Jumaat, 9 September 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Yuna, Qi Belum Sedia Jadi Suami Isteri

Posted: 09 Sep 2011 09:42 PM PDT

Yuna sibuk dengan kerjaya nyayian dan belum rancang ke jinjang pelamin.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna belum merancang untuk membawa hubungan percintaannya dengan pelakon dan pengacara, Qusyairi atau Qi ke tahap yang lebih serius.

Yuna menjelaskan bahawa dia dan Qi masih belum merancang untuk bertunang walaupun mereka sudah berjumpa kedua-dua ibu bapa masing-masing.

"Saya dan Qi sibuk dengan kerjaya kami ketika ini dan kami mempunyai cita-cita masing-masing untuk dicapai, dan sebarang perancangan bertunang atau berkahwin masih tidak kami fikirkan," katanya.

Tambahnya, dia dan Qi tidak mahu tergesa-gesa dalam perhubungan mereka dan hanya menyerahkannya kepada takdir.

Menurut Yuna lagi, dia ada berkunjung ke rumah Qi untuk berhari raya pada awal Syawal lalu dan begitu juga dengan Qi namun tiada sebarang perancangan mengenai hubungan mereka dibuat oleh kedua-dua belah pihak.

Qi

Ditanya bagaimana dia berhubung dengan Qi apabila berjauhan terutamanya semasa Yuna di Amerika Syarikat (AS) merakamkan album, Yuna memberitahu bahawa dia banyak menggunakan Internet untuk berkomunikasi.

"Seperti pasangan lain, kami berhubung menggunakan Internet dan selalu menggunakan perkhidmatan video Skype untuk berhubung apabila saya di AS," kata Yuna yang ditemui pada majlis pelancaran produk jenama Canon di sini, Khamis lalu.

Fazley & Adik Kongsi Hari Dapat Anak

Posted: 09 Sep 2011 09:41 PM PDT

Fazley memangku Piyush selepas dilahirkan pada 9 September 2011.

PETALING JAYA: Penyanyi lagu Asmara Ini, Fazley Yaakob, 33, menganggap tarikh 9 September 2011 sangat unik kerana anak ketiganya, Piyush lahir pada hari yang sama dengan anak kepada adik ketiganya, Faizal.

Menurut Fazley, anaknya dan anak Faizal turut dilahirkan di sebuah hospital swasta yang sama di Kuala Lumpur.

"Saya rasa gembira kerana ibu dan bapa saya menerima dua kelahiran cucu baru serentak. Isteri saya dan isteri Faizal seperti berjanji pula untuk bersalin pada hari ini (Jumaat).

"Jantina kedua-dua bayi itu juga lelaki. Memang sebolehnya mereka nak hamil dan bersalin sama-sama. Tak sangka pula hajat mereka tercapai," kata Fazley ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Anak ketiganya itu dilahirkan pada pukul 9 pagi, secara pembedahan seberat 3.3 kilogram. Bagaimanapun Fazley enggan mengumumkan nama penuh anaknya sehingga nama tersebut didaftar di Jabatan Pendaftaran Negara.

"Saya sudah ada nama anak tetapi tak mahu beritahu sekarang. Saya hanya boleh berikan nama timangannya iaitu Piyush.

"Anak saya ini dilahirkan lebih besar daripada dua anak yang dilahirkan sebelum ini dan mempunyai lesung pipit di pipi," katanya suami kepada Azrene Soraya, 32, ini lagi.

Fazley menambah, kelahiran anak ketiga ini mungkin merupakan kelahiran yang terakhir memandangkan doktor menasihatkan isterinya agar berehat daripada hamil lagi disebabkan ketiga-tiga anaknya dilahirkan secara pembedahan.

"Saya bersyukur kerana dikurniakan tiga orang anak lelaki dan memang selepas berkahwin, saya dan isteri mengidamkan tiga hingga empat orang anak lelaki. Tetapi kami tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki anak lagi dan menerima anak perempuan," ujarnya yang turut merancang untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian selepas tiga tahun.

Katanya, album kelimanya yang berjudul Lima akan diterbitkan pada November depan termasuk sebuah lagu yang memuatkan suara anak-anaknya berjudul Lagu Dari Papa.

"Saya menamakan album itu dengan tajuk Lima kerana album ini merupakan album saya yang kelima dan kebetulan jumlah ahli keluarga saya menjadi lima orang

Anaknya yang pertama, Ahmad Fariedz (Payish) yang berusia 2 tahun 11 bulan juga dilahirkan pada bulan Syawal manakala anak keduanya, Ahmad Fieradz (Piyash) kini berusia 1 tahun 5 bulan.

Pencuri Pecah Masuk Rumah Keluarga Kamal Adli

Posted: 09 Sep 2011 09:40 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli mengesyaki pencuri yang memecah masuk rumah keluarganya di Bangi dekat sini kira-kira pukul 5 pagi Jumaat dilakukan oleh individu yang dikenali keluarga mereka.

Katanya, kejadian kali kedua itu merupakan sesuatu yang menghairankan kerana pencuri tersebut mengetahui barang-barang yang diletakkan di tempat tertentu.

"Saya masih lagi dalam keadaan pelik dan hairan kerana pencuri tersebut memasuki rumah saya melalui pintu depan dan mengambil barang-barang komunikasi dan elektronik seperti beberapa telefon bimbit, kamera, Ipad 2, Galaksi tab dan wang tunai.

"Padahal Ipad 2 yang baru dibeli oleh adik saya itu diletakkan di tempat tertentu, saya mengesyaki pencuri tersebut orang yang pernah masuk rumah saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Kamal anggaran kerugian yang dialami bernilai lebih RM10,000.

Tambahnya, lebih menghairankan apabila tiada seorang pun daripada ahli keluarganya menyedari kejadian tersebut walaupun abangnya baru sahaja pulang ke rumah kira-kira 4 pagi.

"Pencuri itu masuk melalui bahagian depan rumah dengan memecahkan pengunci dan pintu sebelum menyelongkar semua barang-barang yang ada di tingkat bawah rumah mereka.

"Saya pelik kenapa tiada yang sedar kejadian itu kerana abang saya pulang ke rumah pukul 4 pagi dan mereka baru sahaja tidur. Llagi pula kesemua adik beradik saya ada di rumah ketika itu," jelasnya yang ketika itu berada di rumahnya di Ampang.

Tambah Kamal, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bangi sejurus menyedari kejadian tersebut.

Othman Hafsham Tak Serik Kegagalan 'KKC'

Posted: 09 Sep 2011 09:40 PM PDT

Othman Hafsham

PETALING JAYA: Pengarah filem Karipap Karipap Cinta (KKC), Othman Hafsham kecewa filemnya itu gagal mendapat kutipan tiket yang memberangsangkan selain menyifatkannya sebagai kerugian besar.

Kata Othman, filem yang telah mula ditayangkan pada 31 Ogos lalu itu tidak mencapai sasaran tetapi enggan mengulas punca-punca ia gagal menarik perhatian umum untuk menontonnya.

"Orang kata, tidak elok jika kita memberikan alasan atas sebab kegagalan kita. Saya enggan mengulas panjang.

"Mungkin filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon baru atau golongan muda sekarang tidak kenal Othman Hafsham, saya tidak tahu," katanya yang enggan mengulas mengenai jumlah kutipan tiket filem berkenaan kepada mStar Online yang dihubungi, di sini, Jumaat.

Selain itu, tambah Othman, KKC tidak mempunyai respons daripada penonton mungkin kerana filem itu turut bersaing dengan filem arahan Ahmad Idham, Hantu Bonceng, yang memulakan tayangannya pada tarikh yang sama.

Bagaimanapun, hal ini tidak membantutkan keinginannya untuk berkarya menghasilkan filem seterusnya pada masa akan datang.

"Saya tak mungkin serik. Malah gembira kerana ramai yang masih lagi menyokong dan ada yang memberi kata-kata semangat untuk saya teruskan berkarya.

"Cuma saya kasihan dengan pihak penerbit, Cinematic Sdn Bhd yang telah melaburkan RM1.8 juta untuk filem ini, tetapi tidak mempunyai keuntungan apa-apa pun.

"Lebih menyedihkan KKC hanya ditayangkan sehari sekali sahaja, itu pun pada pukul 11 pagi. Siapa nak tengok?," soalnya.

Dalam pada itu, Othman risau jika tiada lagi pihak pelabur yang ingin menerbitkan filemnya lagi di masa akan datang kerana kegagalan KKC.

KKC dibintangi oleh Gambit Saifullah, Melia Aimellia, Eman manan. Rosnah Johari dan Chef Wan juga merupakan filem yang adaptasi dari sebuah novel karya Nazri M. Annuar.

Jehan Miskin Ditawar Berlakon Dengan Bintang Hollywood

Posted: 09 Sep 2011 09:39 PM PDT

Jehan Miskin tidak sabar untuk berlakon filem Prince of the City.

PETALING JAYA: Pelakon Jehan Miskin bakal berlakon di samping aktres terkenal Hollywood, Michael Madsen menerusi filem Prince of the City pada tahun ini.

Michael pernah muncul dalam filem Reservoir Dogs, Free Willy, Donnie Brasco, Kill Bill dan Sin City.

Menurutnya, pelakon berasal dari Amerika Syarikat itu ditawarkan untuk berlakon dalam filem tempatan yang menggunakan bahasa Inggeris dan diterbitkan oleh Richard Ung. Pelakon Aaron Aziz juga akan berlakon dalam filem tersebut.

"Saya sangat teruja untuk berlakon filem ini kerana jalan ceritanya sangat menarik dan selain genrenya adalah aksi drama.

Michael Madsen.

"Saya ditawarkan untuk melakonkan watak Putera dan merasakan ia merupakan karakter menarik. Saya juga tertarik untuk melihat lakonan Michael Madsen dan juga bergandingan dengan Aaron Aziz dalam filem itu," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya: "Saya minat dia berlakon filem Kill Bill tetapi kalau tidak silap saya cuma ada satu babak dengannya."

Selain itu, dia yang sedang popular dengan watak lelaki lembut dalam telefilem Mak Ok Jer! di Astro Ria akan membintangi sebuah lagi filem yang masih dalam perancangan.

Bercerita tentang lakonan bersahajanya sebagai lelaki lembut bernama Angah dalam telefilem tersebut, Jehan akui akaun Twitter miliknya tidak putus-putus menerima komen daripada orang ramai sejak dari hari drama itu disiarkan.

"Ada yang terkejut dan seronok menonton saya melakonkan watak lelaki lembut," katanya lagi.

Menceritakan lebih lanjut tentang watak itu, Jehan hanya menjadikan lelaki lembut di sekeliling dan menggunakan jiwa feminin dalam dirinya untuk menghayati watak itu.

"Sepanjang menjalani penggambaran, saya dikelilingi oleh lelaki lembut yang bekerja sebagai jurusolek dan menjaga pakaian.

"Jadi, saya menggunakan peluang untuk menjiwai watak itu dan kaitkan dengan jiwa feminin dalam diri saya kerana setiap orang ada jiwa maskulin dan feminin. Saya tak kisah sekiranya ditawarkan watak seperti ini lagi dalam drama akan datang kerana seronok melakonkan watak itu," ujarnya yang sedang menjalani penggambaran telefilem Suka Benci Kamu untuk Astro Ria.

Telefilem di bawah terbitan syarikatnya, Mastermind Group itu turut dilakonkan oleh Julia Ziegler, Zul Yahya, Bell Ngasri, Harun Salim Bachik dan Man (Raja Lawak).

Leonardo Dicaprio Disangka Perompak

Posted: 09 Sep 2011 09:35 PM PDT

SYDNEY: Wajah pelakon kacak, Leonardo Dicaprio seharusnya sudah dikenali di seluruh dunia, namun malang baginya apabila baru-baru ini dia disangka perompak.

Insiden yang berlaku apabila dia ingin membeli barang kemas sebagai hadiah untuk ibu kesayangan, namun kehadirannya telah disalahertikan.

Ketika kejadian berlaku seorang daripada pegawai kedai emas menyangka pelakon tersebut adalah seorang perompak apabila mengenakan kaca mata hitam, bertopi dan memakai jaket menyebabkan pengawal itu membunyikan penggera keselamatan.

Bagaimanapun, beberapa pegawai lain sedar bahawa lelaki tersebut merupakan Leonardo.

"Ketika pengawal-pengawal peribadi Leonardo memasuki kedai, saya dan seorang pegawai merasakan ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Kami menyangka satu rompakan sedang dirancang," ujar pemilik kedai emas tersebut.

Bukan maki peminat

Posted: 09 Sep 2011 08:18 PM PDT

Gambit
Gambit

KUALA LUMPUR: "Saya mengakui ada mengeluarkan kata kesat iaitu 'babi' dan 'anjing' menerusi laman sosial facebook tetapi ia bukan ditujukan kepada peminat, sebaliknya kepada individu yang gemar membuat tohmahan kepada saya selama ini melalui laman sosial terbabit," kata pelakon, Gambit Saifullah, 26.

Katanya, perkataan itu digunakan ketika pertikaman lidah bersama individu yang menyamar sebagai peminatnya di facebook dan dia didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kerana bengang sejurus dihambur banyak kata makian oleh pengkritiknya itu.

Harian Metro 6 Jun lalu melaporkan Gambit pernah menggemparkan industri hiburan tanah air berikutan klip video Marilah Menari nyanyian Prema Yen dan dibintangi Shah Jaszle berbaur lucah dan mendapat tentangan ramai pihak selain didakwa memaki hamun bloger menerusi laman sosial berkenaan.

Katanya, perkara itu sudah pun berlarutan lebih empat bulan yang lalu sejak kontroversi klip video terbabit.


Berhubung isu terbaru itu, Gambit yang muncul sebagai hero dalam filem "Karipap Karipap Cinta" pada 31 Ogos lalu memohon maaf secara terbuka di akaun facebook miliknya terutama kepada mereka yang marah dengan tindakannya itu.

Isteri nampak pistol

Posted: 09 Sep 2011 08:16 PM PDT

DI SINI...mangsa diculik di depan rumahnya di Padang Rengas.
DI SINI...mangsa diculik di depan rumahnya di Padang Rengas.

KUALA KANGSAR: "Saya tak berani bantu suami selepas melihat seorang daripada penjenayah itu memiliki pistol," kata Noraini Abdullah, isteri kepada Alias Zenon, 73, yang diculik sekumpulan enam lelaki di rumahnya di Batu 16, Padang Rengas, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 1 tengah hari di hadapan rumah mangsa, seorang ahli perniagaan yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Padang Rengas ketika dia pulang makan tengah hari.

"Saya sedang memasak di dapur apabila menyedari kelibat seseorang di luar rumah. Saya tidak dapat melihat dengan jelas kerana hujan lebat ketika itu.

"Saya keluar dan melihat kereta suami berada dalam garaj. Ketika itu saya dapati dua lelaki tidak dikenali berada di dalam keretanya menyebabkan saya berasa tidak sedap hati," katanya yang enggan gambarnya dirakamkan.


Noraini berkata, dia sempat melihat suaminya keluar dari kenderaan dan ketika itulah seorang daripada lelaki terbabit menarik mangsa ke tempat duduk belakang sebelum melarikan dia dan kereta Mercedes miliknya.

Riwayat cinta

Posted: 09 Sep 2011 08:15 PM PDT

KENANGAN...Faizal dan Zuzziana ditemui terbaring berpelukan.
KENANGAN...Faizal dan Zuzziana ditemui terbaring berpelukan.

SEREMBAN: Kecewa apabila cinta dihalang keluarga, sepasang kekasih nekad minum racun menyebabkan seorang lelaki maut manakala teman wanitanya kini koma di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini.

Dalam kejadian jam 8 pagi semalam di rumah di Taman Bunga Sejati, Nyatoh, Rantau, di sini, Muhammad Faizal Raj Abdullah, 28, mati di tempat kejadian manakala Zuzziana Rahmat, 18, ditemui kritikal.

Seorang jiran, Suthir Baba, 26, menemui pasangan kekasih itu dalam keadaan berpelukan di ruang tamu rumah dengan mulut dan hidung masing-masing berbuih.

Suthir berkata, dia menyedari kejadian itu ketika pulang dari bekerja jam 8.20 pagi selepas melihat wanita membuka pintu pagar dan kemudian masuk semula ke dalam rumah.


Menurutnya, selang beberapa minit dia terdengar bunyi orang bernafas kuat dari dalam rumah itu sebelum dia dan seorang lagi jiran meninjau untuk melihat apa yang berlaku.

Cari penawar virus pembunuh

Posted: 09 Sep 2011 08:14 PM PDT

ANGGUN...Marion hadir bersama pelakon Contagion sewaktu tayangan perdana, baru-baru ini.
ANGGUN...Marion hadir bersama pelakon Contagion sewaktu tayangan perdana, baru-baru ini.

MEMANDANG wajahnya yang jelita itu, ternyata dia memiliki pesona aura yang hebat bagi seorang bintang filem.

Sering menjadi perhatian orang ramai tatkala muncul di khalayak umum, Marion Cotillard, 35, ternyata sangat bijak menyesuaikan diri dari sudut penggayaan. Pelakon dan penyanyi ini sedar lensa kamera pihak media sentiasa memburu sesuatu yang menarik.

  • Foto

    UNGGUL...Marion pernah merangkul Oscar dan trofi Golden Globe.

  • Foto

    BERAKSI...satu babak lakonan Marion dalam filem arahan Steven Soderbergh.

Ketika ini juga, filem terbaru lakonan Marion arahan Steven Soderbergh sedang ditayangkan di seluruh dunia. Filem menarik itu - Contagion - menyaksikan Marion memegang peranan seorang doktor bernama Leonora Orantes yang berusaha mencari penawar untuk wabak penyakit yang pantas merebak.

Dalam satu kenyataan media antarabangsa, Marion yang pernah merangkul Oscar dan trofi Golden Globe Awards menjelaskan, watak terbaru yang dipegangnya itu bukanlah semudah yang dilihat.


Sebelum memulakan penggambaran lagi katanya, dia perlu terlebih dulu membaca buku mengenai perubatan dan menonton beberapa dokumentari yang berkaitan dengan wataknya demi menjiwai peranan itu.


"Mungkin penonton melihat watak saya nampak mudah, malah saya sendiri terfikir seperti itu pada mulanya. Namun apabila diberikan penerangan mendalam mengenai watak itu, barulah saya menggelabah kerana watak Dr Leonora itu sebenarnya sangat mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon.

"Saya mula pergi ke perpustakaan dan membaca buku berkaitan perubatan agar mendapatkan 'mood' terbaik bagi memainkan peranan itu.

"Bercakap mengenai Leonora pula, dia ditugaskan untuk mencari punca asal penyakit yang melanda Eropah. Leonora terpaksa turun padang mencari pesakit yang dijangkiti sejenis virus yang amat berbahaya itu. Dia kena menjejaki sama ada virus itu datang daripada sumber haiwan atau air.

"Ketika mencari punca penyakit itu serta penawarnya, dia terpaksa berdepan dengan saat mendebarkan kerana dengan hanya sekali sentuhan, seseorang itu sudah boleh dijangkiti virus itu," jelasnya.

Marion yang mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak 1993 menyifatkan pengarah filem itu, Steven, sangat serius ketika bekerja tetapi dia sebenarnya cukup peramah apabila di luar set penggambaran.

Pelakon jelita itu akui rasa sangat bertuah kerana diberikan peluang hebat untuk bekerjasama dengan pengarah itu bersama pelakon kelas A di Hollywood.

Antara pelakon terkenal lain yang membintangi Contagion adalah Jude Law, Kate Winslet, Gwyneth Paltrow, Matt Damon dan Laurence Fishburne.

Katanya mereka semua insan seni yang baik dan dia tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk berkerja dan mengeratkan hubungan persahabatan.

"Saya sangat teruja apabila mendapat tahu mereka semua turut membintangi Contagion, inilah peluang saya untuk berkongsi pengalaman dengan mereka.

"Walaupun saya sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan, saya akui masih banyak yang perlu dipelajari dan diasah demi menjadi pelakon yang lebih baik. Setiap mereka ada pengalaman berbeza, jadi elok sangatlah kami bertukar pandangan di lokasi," ujarnya.

Filem ini antara lain mengisahkan seorang ahli perniagaan (Gwyneth Paltrow) yang sering ke luar negara tiba-tiba dijangkiti sejenis virus dan dalam masa 24 jam, virus berbahaya itu mula merebak dengan pantas.

Ini membuatkan saintis dan pakar di seluruh dunia mula panik dan seterusnya mula bertindak mencari jalan penyelesaian.

Selain Contagion, anak kepada seorang pengarah terkenal, Jean-Claude Cotillard ini turut membintangi sekuel Batman terbaru, The Dark Knight Rises yang akan ditayangkan tahun depan. Marion kini sibuk menjalankan penggambaran filem itu yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Memegang watak sebagai Miranda Tate, Marion berkata, bekerja di bawah arahan Christopher Nolan adalah sesuatu yang sangat menggembirakan dirinya.

"Filem itu adalah projek yang sangat besar dan saya berpeluang bekerja dengan pasukan produksi yang hebat," katanya.

Tidak dapat dinafikan bakat Marion yang diasah sejak kecil lagi banyak membantunya untuk berjaya seperti hari ini.

Sememangnya darah seni yang mengalir dalam tubuhnya itu bukan asing kerana ibunya, Monique Theillaud seorang pelakon handalan di Perancis manakala ayahnya, Jean-Claude ialah pelakon, pengarah dan guru lakonan 'mime' yang terkenal di Perancis.


PROFIL

NAMA SEBENAR: Marion Cotillard
TARIKH LAHIR: 30 September 1975
TEMPAT LAHIR: Paris, Perancis
FILMOGRAFI: Contagion, TaxI, Big Fish, Innocence, A Very Long Engagement, The Last Flight, Nine, Inception, Midnight In Paris, Little White Lies, Public Enemies, La Vie en Rose, Fair Play, Love Is In The Air
PENCAPAIAN: Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Cesar, Pelakon Wanita Terbaik (Academy Awards), Pelakon Wanita Terbaik (Golden Globe Awards)

Gaya gila-gila

Posted: 09 Sep 2011 08:11 PM PDT

SERENA WILLIAMS
SERENA WILLIAMS

SEBELUM dia menjadi tajuk berita kerana menarik diri daripada Terbuka Amerika Syarikat 2011 disebabkan gangguan autoimun, Venus Williams mencuri tumpuan dengan menyarung pakaian yang dihiasi renda.

Dua belas tahun lalu, Madison Keys menyertai sukan tenis dan minggu lalu, pemain berusia 16 tahun itu menarik perhatian pemerhati tenis apabila mara ke pusingan kedua, mungkin memberi bayangan mengenai masa depan pemain tenis AS dengan servis dan pukulan lantun yang bertenaga.

  • Foto

    BETHANIE MATTEK-SANDS

  • Foto

    VENUS WILLIAMS

  • Foto

    MARIA SHARAPOVA

Kisah bagaimana Madison mula bergiat dalam sukan itu bukan lagi rahsia kepada peminat tenis.

"Ketika itu saya berusia empat tahun dan masuk ke bilik ibu bapa saya. Saya fikir ketika itu mereka sedang menonton Wimbledon dan saya mahu memakai pakaian seperti Venus," katanya.


"Mereka memberitahu jika saya bermain tenis, mereka akan membelikan saya baju tenis. Saya katakan, 'Baiklah, saya akan cuba' dan sejak itu saya terus bermain tenis."


Moral kisah itu?

"Saya fikir ia menunjukkan betapa pentingnya kuasa pakaian," kata Madison.

Seorang lagi pemain muda yang turut mencuri perhatian minggu lalu adalah Sloane Stephens, 18 yang mara ke pusingan ketiga.

"Apa yang saya paling suka mengenai Venus?" kata Sloane.

"Dia cantik. Saya suka dengan kesanggupannya mengambil risiko dengan pakaiannya itu. Ia bukan sesuatu yang sering dilakukan kebanyakan pemain, jadi ia adalah satu langkah ke hadapan."

Daripada semua sukan yang tidak memberi mata kepada gaya berpakaian, adakah mana-masa sukan yang turut memberi perhatian kepada pakaian selain tenis?

Ia berkait dengan unsur praktikal dan kebudayaan. Tenis adalah sukan individu, bebas daripada belenggu pakaian seragam. Sifat persaingan satu lawan satu menggalakkan pemain memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk menonjolkan diri.

Tanyalah mana-mana pemain. Selain kesan fizikal, tenis turut memberi kesan psikologi. Pemenang perlu menyerlahkan penampilannya dan cuba menguasai lawan.

Pakaian tidak menentukan keunggulan pemain tetapi daripada pinafor yang digayakan Tracy Austin kepada catsuit yang dipakai Serena Williams, mereka menjelaskan perwatakan seseorang pemain itu.

Dalam era wang lumayan, peningkatan rating dan kehebatan stadium, pakaian mampu menjalinkan hubungan dengan penyokong atau sebaliknya.

"Saya sedang menonton perlawanan. Dua pemain wanita berpakaian sama dari hujung rambut hingga ke kaki, kedua-duanya berambut perang dengan ikatan ekor kuda hingga anda tidak boleh membezakan kedua-duanya," kata Bethanie Mattek-Sands, pemain AS yang menarik perhatian dengan gaya keterlaluan berbanding permainan tenisnya.

"Saya terfikir, perkara itu tidak akan berlaku kepada saya dan setakat ini belum lagi."

Pada Terbuka AS tahun ini, Bethanie turun ke gelanggang dengan stokin paras lutut bercorak jalur dan bintang dengan jalur mata (eye black) bercorak bintang dan jalur dan memakai baju tanpa sebelah lengan.

Dia juga mempunyai sentuhan tersendiri dalam penggunaan jalur mata yang dipinjamnya daripada suaminya, pemain American football dan kini Bethanie mempunyai rangkaian jalur mata bercorak harimau bintang.

"Tenis adalah sesuatu yang hebat di mana kami bebas memilih apa yang mahu dipakai, baik konservatif atau klasik, punk atau apa saja," katanya.

"Tenis sering dikaitkan dengan sesuatu yang konservatif dan seragam tetapi saya suka melawan arus dan itulah yang saya bawa ke gelanggang."

Tidak ramai pemain sanggup melakukan seperti Bethanie tetapi ramai di kalangan pemain ternama mencari pengaruh luar untuk mencipta gaya berbeza dan mengumumkan kehadiran mereka ke gelanggang.

Selain catsuit, Serena juga pernah menyarung skirt denim dan but separas lutut untuk Nike. Dia menggunakan tema pelakon dalam pakaiannya tahun ini. Baju merah jambu yang sepatutnya dipakai sewaktu Terbuka Perancis direka dengan gaya Brigitte Bardot.

Begitu juga dengan kakaknya, Venus yang lebih menarik perhatian dengan gayanya sebelum mengumumkan menarik diri kerana gangguan autoimun yang menjejaskan permainannya.

Venus yang menyarung jenama pakaiannya, EleVen memberikan kebebasan bereksperimen dengan pakaian berenda dan seluar dalam dengan warna kulit, malah turut mencipta gaya bukan konvensional sejak beberapa tahun lalu.

Maria Sharapova turut menggayakan pakaian Nike termasuk gaya yang diilhamkan Audrey Hepburn di Terbuka AS dan gaya tuxedo dan angsa di Wimbledon.

Suai padan beg tangan, kasut

Posted: 09 Sep 2011 08:10 PM PDT

SIANG...tampak lebih classy, pilih kardigan putih kemudian sarungkan supaya kekal sopan ketika bersama keluarga. Pilih beg tangan putih bercorak bersama padanan kasut. Jangan lupa perhiasan diri untuk kekal bergaya.
SIANG...tampak lebih classy, pilih kardigan putih kemudian sarungkan supaya kekal sopan ketika bersama keluarga. Pilih beg tangan putih bercorak bersama padanan kasut. Jangan lupa perhiasan diri untuk kekal bergaya.

SEORANG wanita itu dikatakan bijak bergaya apabila dia dapat memaksimumkan penggunaan pakaian sebaik mungkin.

Dalam erti kata lain, wanita harus tahu teknik suai padan supaya tampil elegan, versatil dan moden sama ada untuk acara siang dan juga malam.

  • Foto

    GAYA 1...blaus labuh jingga dipadankan skirt bertingkat. Untuk tampil sopan padankan dengan kardigan dan perhiasan diri.

  • Foto

    KASUT...pilih kasut dengan kilauan di tengah untuk majlis makan malam.

  • Foto

    MENAWAN...kasut untuk acara malam lebih anggun dan menyerlah sifatnya. Padanan kasut bertali belakang untuk penampilan menawan.

Oleh itu, wanita seharusnya bijak memilih padanan sesuai yang dapat dipakai ketika menghadiri pelbagai acara.

Misalnya, padanan yang sama ke pejabat boleh dipakai untuk acara malam. Dalam hal ini kebijaksanaan dalam menyuai padan memberi kelebihan kepada wanita untuk tampil anggun menyerlah selain dapat menjimatkan kos.


Ramai wanita tidak tahu hanya dengan sehelai pakaian mampu menyerlahkan penampilan. Apatah lagi, sekiranya mereka bijak menambah perhiasan seperti anting-anting, rantai, jam tangan, kaca mata dan beg tangan supaya tampil anggun sama ada ke pejabat atau menghadiri majlis keraian.


Namun wanita harus bijak memilih warna sesuai supaya tidak nampak janggal.
Paling penting pilih beg tangan yang boleh digunakan untuk pelbagai acara, begitu juga kasut yang boleh dipadankan dengan pelbagai warna baju.

Bagi yang gemar menghadiri dua acara pada waktu siang dan malam, usah bimbang memakai pakaian sama kerana anda boleh menukar atau menambah perhiasan bagi memberikan kelainan. Mungkin pakaian anda sesuai dikenakan jaket atau kardigan.

Empat padanan gaya berbeza daripada Carlo Rino mungkin membantu anda dalam membuat pilihan. Untuk lebih selamat, pilih blaus yang boleh digayakan dengan dua kardigan. Tambahkan perhiasan seperti rantai, beg tangan dan kasut untuk lebih menyerlah.

Mahal sangat!

Posted: 09 Sep 2011 08:08 PM PDT

TUMPUAN...antara rumah yang bernilai lebih RM270,000  di Shah Alam.
TUMPUAN...antara rumah yang bernilai lebih RM270,000 di Shah Alam.

SHAH ALAM: "Rumah di bandar raya ini mahal. Saya dan suami berhajat memiliki rumah baru di sini, tetapi apabila tinjau harganya kami tak mampu," kata pekerja swasta, Ainul Fadzilah Mohd Mustafa.

Ainul Fadzilah, 27, yang dua tahun mendirikan rumah tangga mengakui jika tidak memikirkan masa depan, dia tidak membeli rumah di bandar raya ini.

Namun, dia percaya rumah aset penting dan pelaburan berbaloi.

"Lebih setahun saya mencari rumah di Shah Alam, kebanyakan rumah baru berharga RM400,000 dan ke atas manakala rumah mempunyai pemilik berharga RM300,000 ke bawah.


"Jika dibandingkan harga rumah di sini dengan kampung halaman saya di Gerik, Perak, sudah tentu jauh bezanya," katanya.


Suaminya, Muhammad Faiz Mohamed Saaid, 27, tenaga pengajar muda di Universiti Malaya (UM) menyatakan mereka memiliki sebuah rumah dibeli daripada pemilik lain di Seksyen 9 berharga RM270, 000, tetapi ditambah kos pembaikan, kos tetap mencecah lebih RM300,000.

"Kepada mereka yang baru memulakan kerjaya dan ingin membeli rumah di sini, pendapatan sebulan memerlukan sekurang-kurangnya gaji bersih RM3,000.

"Tetapi, jika ditambah kos sara diri, bil air dan elektrik, gaji sebanyak itu pun berkemungkinan tidak mencukupi," katanya.

Pendapat Muhammad Faiz turut dipersetujui isterinya dengan menyatakan setiap bulan mereka akan mengeluarkan hampir RM2,000 untuk membayar ansuran rumah.

Lain pula kisahnya bagi pekerja bahagian pemasaran di sebuah hotel di sini, Aina Mastura Mohamed Saaid, 23, berkata dia ingin menetap di Shah Alam dan merancang untuk membeli pangsapuri kerana harga rumah teres terlalu mahal.

"Saya merancang untuk memiliki rumah di usia muda, tetapi harga rumah terlalu tinggi di Shah Alam menyebabkan saya melupakan hasrat membeli rumah teres atau lot dengan mencari alternatif membeli pangsapuri," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Jualan dan Pemasaran, Syarikat Permodalan Kebangsaan Berhad (SPK Homes), Pik San, berkata bukan saja rumah di Shah Alam mengalami peningkatan dari segi harga, malah di kawasan membangun yang lain.

"Shah Alam kawasan membangun menyebabkan pemaju dan masyarakat ingin memiliki aset di kawasan ini.

"Jika dianalisis dari segi kawasan yang strategik dan menjadi pasaran tumpuan, pasti ada peningkatan nilai hartanah," katanya ketika dihubungi.

Pik San juga percaya untuk membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah, kerajaan sudah mengambil pelbagai inisiatif.

"Selain daripada faktor kawasan strategik, kos pembinaan yang tinggi mempengaruhi harga sesebuah rumah dibina.

"Bahan pembinaan rumah yang meningkat di pasaran turut mengundang kepada peningkatan harga rumah," katanya.

Bahagia Chef Wan

Posted: 09 Sep 2011 08:07 PM PDT

  • Foto

  • Foto

Pakar masakan tak menang tangan rai Syawal, layan cucu

DARI luar rumah lagi sudah terdengar keriuhan empunya suara yang begitu melekat dalam sanubari peminat dunia masakan. Sebagaimana lazimnya karektor humor Datuk Redzuawan Ismail di dalam rancangan masakan, begitu jugalah realiti kehidupan sehariannya tatkala ditemui dalam majlis meraikan Syawal bersama keluarga dan sanak saudara di kediamannya.
Tatkala muncul menyambut kehadiran krew Inspirasi, sekali lagi usik mengusik dan lawak jenaka pemilik jenama Chef Wan ini menambah kemeriahan keluarga besar di kediamannya di Ampang, Selangor.
Bau masakan di dapur menyemarakkan lagi keceriaan majlis yang dihadiri keluarga besar termasuk ibu, bekas isteri dan adik beradik Chef Wan. Tidak ketinggalan anak perempuannya, Serina Redzuawan juga memeriahkan majlis malam itu dengan ditemani suami tercinta, Salahuddin Ghaffar.

Menceritakan sambutan Aidilfitri dirinya kali ini, Chef Wan mengakui dia tidak berpeluang bercuti panjang memandangkan banyak perancangan sudah diatur selepas Aidilfitri yang menuntutnya meraikan Syawal secara ala kadar.

Cuma seketika pulang ke kampung halaman di Raub, Pahang, kemudian beliau terpaksa memenuhi komitmen dalam pencarian bakat baru program masakan, AFC Next Celebrity Chef yang dianjurkan Asian Food Channel (AFC).

"Disebabkan komitmen dalam program yang pertama seumpamanya di Asia ini, saya perlu berada di banyak negara seperti Hong Kong, Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia dan India bagi mencari tujuh wakil bagi setiap negara yang akhirnya akan bertanding dalam AFC Next Celebrity Chef.
"Saya baru saja pulang dari Singapura yang mana selama dua hari saja sesi uji bakat, seramai 120 orang yang hadir bagi merebut tujuh peserta akhir yang mewakili Singapura. Daripada wakil semua negara inilah kita akhirnya akan memilih lima peserta akhir yang akan bertanding merebut gelaran AFC Next Celebrity Chef," kata Chef Wan yang baru saja melancarkan koleksi buku masakan terbaru berjudul The Best of Chef Wan.

Di balik kesibukan Chef Wan yang tidak putus-putus menerima undangan dalam rancangan masakan tempatan dan antarabangsa, kesempatan waktu singkat dimanfaatkan beliau untuk bermanja dengan cucu sulung kesayangannya, Tristen Tareef yang sudah berusia 10 bulan.

Sepanjang sesi fotografi dijalankan, nampak cukup akrab hubungan datuk dan cucu ini. Sesekali beliau mengagah Tristen yang cukup bersemangat mengenakan baju Melayu, Chef Wan kemudiannya mendukung pula cucu kesayangannya hingga semacam tidak boleh berenggang.

"Jika ada kesempatan dan masa terluang di sini (Kuala Lumpur) memang masa itu dihabiskan bersama Tristen. Tidak dapat lama, sekejap pun sudah cukup kerana telatahnya sendiri sudah cukup menghiburkan saya," katanya yang juga baru pulang dari Perth, Australia bagi mewakili negara ke Festival Mandaring Truffle.

Serina yang turut mencelah mengakui yang papanya itu memang cukup memanjakan Tristen termasuk soal pakaian dan pemakanan. Untungnya kata Serina, Tristen sering mendapat ole-ole setiap kali Chef Wan bekerja di luar negara.

"Kalau saya kecil dulu memang jarang ada kesempatan dengan papa kerana dia banyak ke luar negara. Apabila melihat layanan papa pada Tristen, memang rasa bertuah sangat dan gembira kerana Tristen dimanjakan olehnya," kata Serina.

Bercerita pula mengenai buku masakan yang diterbitkan bersempena 25 tahun bergelar selebriti chef, pakar masakan ini mengakui buku The Best of Chef Wan memberi makna besar sepanjang pembabitannya dalam bidang masakan.

"Bukan saja kerana buku ini mewakili perjuangan saya yang genap 25 tahun pada Mei lalu, pada masa yang sama saya turut dedikasikan penghargaan dalam buku ini kepada ibu saya yang genap usia 80 tahun pada tahun ini.

"Ketika kunjungan saya di Perth, baru-baru ini pihak penerbit memilih untuk melancarkan terus buku masakan ini dan apa yang membanggakan saya dalam tempoh kurang tiga jam saja sebanyak 200 buku berjaya di jual," katanya yang turut menjangkakan akan melancarkan buku masakan itu di Kuala Lumpur, Jakarta dan Manila dalam masa terdekat.

Kemeriahan sambutan Syawal di kediaman Chef Wan dengan kehadiran kaum keluarga itu secara tidak langsung membuka pintu hati untuknya mencari kediaman baru bagi menampung jumlah keluarga yang kian bertambah.

Selama 15 tahun menetap di Ampang Selangor, memang berat bagi Chef Wan untuk memikirkan soal berpindah tetapi mengenangkan suasananya kini sudah berbeza dan status dirinya sendiri yang baru menerima cucu membuatkan dia terbuka untuk mencari lokasi kediaman yang lebih selesa.

Tatkala menjamu nasi ulam hasil air tangan Chef Wan, pakar masakan ini turut melahirkan rasa bimbang kerana budaya makanan rakyat Malaysia pada masa kini. Selain menyaksikan semakin ramai yang mengalami obesiti, Chef Wan mengakui masyarakat kian membazir dengan apa sajian yang kadang kala tidak dinikmati sepenuhnya.

Mengakui dirinya sendiri pada hari-hari biasa sekadar menikmati juadah ala kadar, baginya cukuplah sajian yang mengenyangkan.

"Termasuklah sambutan raya kali ini. Wan tidak membeli baju pun kerana baju raya tahun lepas pun masih ada yang tidak pakai. Memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu, adalah lebih baik duit yang kita ada itu dimanfaatkan untuk perkara lain termasuk mendahulukan kepada adik-beradik dan anak buah yang memerlukan.

"Pada tahap sekarang ini, Wan sudah umpama sebuah pohon yang rendang di mana banyak cabang yang memerlukan perhatian Wan. Sebagai anak sulung, inilah cabaran bagi Wan untuk keluarga sebagaimana dari dulu pun. Kehidupan ini kita memiliki pilihan dan tidak terkecuali cabaran itu sendiri untuk kita mengharunginya," katanya.

Disapa apakah gelaran 'Datuk' mengubah kehidupannya, dalam nada tergelak Chef Wan tidak menafikan tanggapan orang mulai berbeza walaupun pada akhirnya dia tetap selesa dengan sapaan Chef Wan.

"Walaupun gelaran ini membuktikan pengiktirafan ke atas sumbangan kita kepada negara, Wan tidak sesekali merasakan itu mengubah diri. Pada akhirnya, orang tetap mengenali nama Chef Wan juga," katanya mengakhiri pertemuan.

Rezeki berganda Serina

RAUT wajahnya sebegitu berseri tatkala berkongsi cerita mengenai sambutan Syawal kali ini. Bukan satu tetapi dua perkhabaran indah dilalui Serina Redzuawan, sekali gus mengakui kehadiran Syawal kali ini begitu bermakna buat dirinya dan suami, Salahuddin Ghaffar.

Selain pertama kali meraikan Syawal dengan kehadiran cahaya mata sulung, Tristen Tareef yang memasuki usia 10 bulan, Syawal kali ini turut menyaksikan dirinya mengandung anak kedua yang sudah lima bulan usia dalam kandungannya.

"Andai tahun lalu, saya dan suami berdua meraikan Aidilfitri kerana hanya raya keempat baru saya melahirkan Tristen. Tetapi, raya kali ini memang meriah kerana berhari raya bersama suami dan Tristen yang semakin membesar.

"Saya pula mengandung lagi, rasanya memang meriahlah sambutan kali ini," katanya yang meraikan Aidilfitri di kampung halaman di Raub, Pahang.

Sebagaimana pengalaman mengandung dulu, Serina bersyukur kerana dia tidak mengalami sebarang alahan sebagaimana lazim bagi ibu mengandung. Sebaliknya, Serina lebih aktif dan giat mengusahakan perniagaan dan kerjaya seni.

Ditanya mengenai persiapan Syawal kali ini, Serina mengakui dia cukup teruja terutama ketika membuat persediaan persiapan raya untuk Tristen yang sudah mula berjalan.

"Bagi saya, mengandung memang menyeronokkan kerana saya sangat aktif dan boleh melakukan semua kerja dengan mudah. Mungkin ibu mengandung lain berdepan dengan mual dan kepenatan, saya pula Alhamdulillah tidak mengalami simptom sebegitu. Saya percaya, kita tidak boleh melayan sangat perasaan," katanya yang masih aktif berlakon drama bersiri kepolisan.

Menceritakan pengalaman berhari raya, Serina mengakui agak bertuah apabila bersuamikan lelaki Inggeris kerana tidak bercanggah pendapat soal giliran pulang berhari raya. Lantas, Hari Raya pasti akan diraikan di kampung halamannya.

Lebih-lebih lagi, Salahuddin bagi Serina sangat mudah menerima budaya Melayu sehinggakan mudah bergaul serta menikmati hidangan Melayu.

"Ketika awal berkahwin dulu saya memang gusar memikirkan bolehkah dia mengikuti cara Melayu lebih-lebih lagi berhari raya di kampung dengan keadaan panas, tidur berhimpit dan kurang selesa.

"Tetapi dia jenis yang memahami membuatkan semuanya berjalan lancar," katanya yang dijangka melahirkan anak kedua pada Januari depan.

Melihat 'tenaga' dengan semangat Serina bercerita, memang dirinya jenis yang tidak duduk diam. Sambil bercerita yang dia aktif berniaga termasuk baru saja menerbitkan sebuah telemovie iaitu Man Pos Masuk Kampung yang akan disiarkan di Astro dan turut giat memasarkan produk kesihatan, MaVellous yang turut melantik papanya sebagai duta produk.

Lebaran santai Titi

Posted: 09 Sep 2011 08:05 PM PDT

Titi Kamal
Titi Kamal
OPOR ayam, sambal hati, lontong dan biskut puteri salju menjadi hidangan wajib yang melengkapi menu istimewa pagi Syawal lalu di kediaman keluarga pelakon terkenal, Titi Kamal.

Syawal kata Titi pelakon berusia 30 tahun ini, tidak akan sempurna tanpa hidangan yang sudah menjadi kemestian kepada keluarganya apatah lagi lebaran cuma sekali diraikan setahun.
Namun, tanpa perlu berselindung, anak bongsu lima bersaudara ini mengakui, dirinya masih belum mahir selok belok hal pengurusan dapur.
Semua hal berkaitan penyediaan menu lebaran diserahkan kepada ibunya yang sudah memahami selera setiap anaknya apabila Aidilfitri menjelma.

"Sama ada membakar biskut atau memasak hidangan yang menuntut waktu yang panjang, mama selesa melakukannya sendiri. Saya cuma tinggal makan," katanya berseloroh.

Isteri kepada pelakon kacak, Christian Sugiono berkata, segala perancangan mengenai aktiviti berhari raya kebiasaannya dibuat pada saat akhir.

Seperti Syawal ini, Titi dan keluarganya selesa memilih untuk beristirehat di rumah sambil menonton pelbagai program menarik yang ditayangkan sepanjang hari raya.
"Saya tidak pasti sama ada kami akan balik kampung atau sebaliknya. Tetapi saya dan suami sudah menyiapkan agenda untuk menziarahi tetangga dan saudara, itu satu kemestian.

"Seandainya tiada apa yang dilakukan, kami memilih untuk bersantai dan menonton filem yang sedang mendapat sambutan," katanya.

Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, pelakon yang membolosi dunia hiburan selepas menjuarai gadis muka depan Anekka Yess 1997 ini dapat merasakan perbezaan ketika berpuasa.

Disebabkan mahu meneguk kemanisan dan fadilat pada bulan suci, Titi memilih untuk memperlahankan aktiviti seninya sepanjang Ramadan lalu.

"Andai tidak terikat dengan penggambaran dan nyanyian, saya juga menguruskan kerjaya suami. Jadual kami padat, apatah lagi saya terpaksa bekerja ke sana sini untuk menghadiri mesyuarat.

"Kebetulan saya dan suami membuka perniagaan berasaskan makanan dan hartanah, jadi banyak yang perlu saya pelajari.

"Pada masa lapang, saya menajamkan lagi skil memasak. Selalunya saya akan melayari internet dan membelek buku resipi seterusnya cuba memasak," katanya serius.

Wanita yang sering tampil dengan gaya rambut hitam lepas itu semakin sibuk apabila restoran Sunda yang diusahakan di Jakarta Pusat mula beroperasi, sekali gus merealisasikan impiannya untuk bergelar ahli perniagaan.

Titi berkata, ketika dia bergelut di dapur, Christian atau mesra disapa Tian akan turut membantu untuk meringankan bebannya.

Tian sering memberikannya idea, apatah lagi suaminya itu berpengalaman menguruskan dapur kerana pernah bekerja di restoran ketika menuntut di Jerman dulu.

Sering kata Titi, mereka memilih menu ringkas sebagai sajian kerana Tian kurang menggemari hidangan berat terutama berasaskan makanan laut.

"Tian sebaliknya menggemari ayam, daging atau pasta. Jadikan cara masakannya tidak terlalu berat. Saya sendiri belum mahir menyediakan menu asli Indonesia.
"Sering yang saya hidangkan kepada suami adalah nasi goreng atau masakan Cina dan pasta. Selebihnya, saya masih lagi belajar.

"Jika Tian tidak terikat dengan penggambaran kami akan masak bersama. Kami akan cuba untuk luangkan waktu, jika tidak tengah hari kami makan bersama pada waktu malam," katanya.

Menanti dikurniakan cahaya mata

BIARPUN mahir di dapur, namun kata Titi, Tian belum pernah memberikannya kejutan seperti menyajikan hidangan kegemaran isterinya.

Malah Tian lebih senang jika Titi yang memasak kerana air tangan bintang Ada Apa Dengan Cinta dan Mendadak Dangdut itu cukup enak dinikmati.

"Titi sendiri boleh memasak, kegemarannya makanan manis seperti kuih atau pencuci mulut. Selalunya saya cuma menjadi pengkritik, memberitahunya apa yang terlebih dan apa perlu dikurangkan.

"Setakat ini, ramai yang memberikan komen positif malah teman juga menyukai air tangannya yang mempunyai ciri tersendiri," kata Tian.

Pasangan yang diijabkabulkan pada 31 Mei 2009 itu berkata, mereka sentiasa mencari ruang untuk meluangkan waktu bersama.

Sekali pun Titi masih aktif berlakon, malah berterusan menjalani sesi penggambaran selepas bergelar isteri, dia dan Tian sentiasa mencipta ruang harmoni dalam hubungan mereka.

"Sibuk bagaimanapun, kami akan mencari kualiti waktu untuk mengeratkan hubungan. Tiada masalah jika pulang lewat malam pada hari bekerja tetapi hujung minggu, kami akan menghabiskan masa berdua," kata pemilik album, Lebih Baik Sendiri itu.

Ruang waktu pasangan ini semakin terhad kerana tanggungjawab Titi sebagai jurucakap produk selain bergelut dengan dunia nyanyian menyita sebahagian besar masa mereka.

Kesibukan itu, barangkali mendorong pasangan yang bernikah di Australia belum dikurniakan cahaya mata biarpun sudah bersedia untuk bergelar ibu bapa.

"Jangan ditanya bila kerana jika saya mampu berbicara dengan Allah mengenainya, sudah pasti saya akan bertanya hal itu.

"Selagi belum sampai waktunya, kami nikmati dulu hidup berdua. Saya percaya akan ada keajaiban yang datang, sekali gus membawa keindahan dalam hidup kami nanti," katanya.

Maybank lancar logo korporat baru

Posted: 09 Sep 2011 08:02 PM PDT

NAJIB melancarkan logo baru Maybank sambil diperhatikan Megat Zainuddin (kiri) dan Wahid di ibu negara, semalam.
NAJIB melancarkan logo baru Maybank sambil diperhatikan Megat Zainuddin (kiri) dan Wahid di ibu negara, semalam.
Lambangkan bank lebih agresif jadi peneraju khidmat kewangan serantau

MALAYAN Banking Bhd (Maybank), bank terbesar negara dari segi jumlah aset, semalam melancarkan logo korporatnya yang baru menggantikan logo yang sudah digunakan sejak 1993 bagi memacu misi untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan di Seluruh Asia.

Logo itu melambangkan bank yang lebih agresif, dinamik dan berwajah kontemporari dengan perkembangan semasa serta sejajar dengan wawasan menjadi peneraju perkhidmatan kewangan serantau.
Bercirikan lebih moden dan terkini dengan mengekalkan elemen utama iaitu nama Maybank, warna kuning dan lambang kepala harimau mempamerkan bank berkenaan, manakala penggunaan lambang kepala harimau yang lebih hebat dan gagah menterjemah kekuatan kumpulan perbankan itu dan kepemimpinannya di rantau ini.
Logo dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Menara Maybank di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Perdana Menteri berkata, beliau gembira dengan keupayaan Maybank mencatat prestasi cemerlang tahun ini dan tahun lalu.

Katanya, Maybank bukan saja berupaya mengekalkan status sebagai syarikat paling bernilai di Malaysia dengan pasaran modal RM65 bilion, tetapi turut memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.5 bilion tahun ini iaitu peningkatan 16 peratus daripada tahun sebelumnya.

Paling membanggakan prestasi Maybank menghasilkan dividen yang diberi kepada unit amanah diurus Permodalan Nasional Bhd mencapai RM4.4 bilion hingga memberi kesan kepada pemilik unit amanah saham di seluruh negara.
Bagi pihak rakyat Malaysia dan kerajaan, saya mengucapkan tahniah kepada Lembaga Pengarah pengurusan dan kakitangan Maybank atas kejayaan amat cemerlang yang dicapai, katanya ketika berucap pada majlis pelancaran logo baru Maybank sempena majlis sambutan hari raya bank itu semalam.

Perdana Menteri berkata, semua institusi kewangan di negara ini disarankan menyokong pelbagai inisiatif yang dilakukan kerajaan untuk membangunkan negara ke peringkat lebih tinggi.

Mengulas logo berkenaan, beliau menyifatkan pertukaran logo MAYBANK berbeza daripada syarikat lain kerana kebiasaannya ia dilakukan syarikat bermasalah dengan berharap ia dapat mengubah nasib syarikat berkenaan.

Maybank berbeza kerana perubahan logo dilakukan untuk disesuaikan dengan kejayaannya di seluruh Asia, katanya.

Sementara itu, mengulas perniagaan Maybank di luar negara, Abdul Wahid berkata, permohonan lesen perbankan di Laos dijangka diluluskan tahun depan dan akan membuka cawangan pertamanya di negara itu pada tahun sama.

Maybank juga berharap dapat berkembang di Thailand dengan menjalankan perbankan runcit, katanya.

Kemilau Cinta Kamila kembali di Saluran ‘Bintang 141’

Posted: 09 Sep 2011 07:58 PM PDT

Dek kerana sambutan hebat dan hangat peminat-peminat sinetron Indonesia di Malaysia, pihak Broadway Media dengan banggannya membawakan kepada peminat-peminat senetron popular, Kemilau Cinta Kamila (KCK) kembali ke kaca tv anda melalui Saluran INDOPEK di Astro menerusi Saluran BINTANG 141.
Sinetron hebat yang pasti meyayat hati ini akan memulakan siarannya pada Hari Isnin, 12 September 2011, jam 12.30pm dan akan disiarkan pada setiap hari Isnin-Jumaat.
Memenuhi permintaan dan bagi tidak menghampakan penonton yang telah menonton KCK di Saluran Prima Astro sedikit masa dahulu, pihak Broadway Media melalui Saluran Bintang (141) akan menyiarkan sinetron ini sehingga ke pengakhiran episod yang pastinya menjanjikan kepuasan kepada penonton-penonton.
KCK mengupas tentang percintaan, kehidupan secara realitinya seseorang individu, mengetengahkan konsep kasih dan sayang serta dendam kesumat yang sememangnya sebati dengan kehidupan masyrakat kita sekarang.
Sinopsis Global KEMILAU CINTA KAMILA
KAMILA (Asmirandah) adalah seorang gadis cantik, sederhana dan baik hati. Kamila hanya tinggal berdua dengan Ibunya, FARAH (Marini Zumarnis). Untuk membantu ibunya memenuhi kebutuhan hidup mereka, Kamila bekerja di sebuah café sebagai pelayan restoran. Farah sangat menyayangi Kamila dan berusaha menjadi ayah sekaligus ibu bagi Kamila. Farah sangat ketat untuk satu hal, yakni ia tidak mengijinkan Kamila berpacaran, kecuali bila Kamila lulus kuliah dengan gelar cumlaude.
Di tempat kerjanya Kamila bertemu dengan EDO PRAYOGA (Mischa Chandrawinata), seorang pria yang ganteng dan kaya raya. Mereka berdua akhirnya berpacaran tanpa sepengetahuan Farah. Hingga akhirnya Kamila hamil. Edo bimbang, ia belum sanggup untuk bertanggung jawab. Ibunya Edo, MARTHA (Debby C Dewi) malah menjanjikan Kamila sejumlah uang untuk menggugurkan kandungan. Kamila benar-benar hancur melihat perlakuan keduanya.
Suatu hari, Kamila menemani sahabatnya, LIVIA (Tika Putri) pergi bersama FADIL (Jonas Rivanno), pacar Livia. Fadil kemudian melamar Livia. Dengan berbunga-bunga, Livia memasangkan cincin yang baru diterimanya ke jari Kamila, dengan harapan agar Kamila juga akan segera dilamar oleh Edo. Kamila sangat sedih mendengarnya. Belum sempat cincin itu dikembalikan, ketiganya mengalami kecelakaan.
Dalam keadaan kritis, Fadil menyampaikan ke keluarganya untuk merestui hubungannya dengan kekasih hatinya. Belum selesai Fadil berbicara, ibu Fadil, AMBAR (Nunu Datau) tertegun melihat Kamila, wanita yang pernah ia lihat bersama Fadil dan juga mengenakan cincin yang sama dengan Fadil. Semua pun mengira kalau Kamila lah kekasih Fadil, begitu pun dengan Farah.
Keluarga Fadil tidak menyetujui hubungan Fadil dengan Kamila. Fadil yang kemudian mengetahui bahwa Livia telah tiada, kemudian mengakui bahwa bayi dalam kandungan Kamila adalah anaknya. Hal itu semata-mata Fadil lakukan menyelamatkan hatinya sendiri yang terluka karena kehilangan kekasihnya, juga untuk menyelamatkan Kamila dan bayinya yang telah ditolak oleh Edo. Ternyata Edo tidak bisa begitu saja melupakan Kamila, ia sangat cemburu melihat kedekatan Kamila dan Fadil. Edo pun kembali mendekati Kamila.
Bagaimanakah kisah selanjutnya? Akankah semua kekacauan dan kesalahpahaman yang terjadi dapat teruraikan? Jawabannya terangkum secara manis dan menyentuh, dalam Sinetron "Kemilau Cinta Kamila"

Dek kerana sambutan hebat dan hangat peminat-peminat sinetron Indonesia di Malaysia, pihak Broadway Media dengan banggannya membawakan kepada peminat-peminat senetron popular, Kemilau Cinta Kamila (KCK) kembali ke kaca tv anda melalui Saluran INDOPEK di Astro menerusi Saluran BINTANG 141.

Sinetron hebat yang pasti meyayat hati ini akan memulakan siarannya pada Hari Isnin, 12 September 2011, jam 12.30pm dan akan disiarkan pada setiap hari Isnin-Jumaat.

Memenuhi permintaan dan bagi tidak menghampakan penonton yang telah menonton KCK di Saluran Prima Astro sedikit masa dahulu, pihak Broadway Media melalui Saluran Bintang (141) akan menyiarkan sinetron ini sehingga ke pengakhiran episod yang pastinya menjanjikan kepuasan kepada penonton-penonton.

KCK mengupas tentang percintaan, kehidupan secara realitinya seseorang individu, mengetengahkan konsep kasih dan sayang serta dendam kesumat yang sememangnya sebati dengan kehidupan masyrakat kita sekarang.

Sinopsis Global KEMILAU CINTA KAMILA

KAMILA (Asmirandah) adalah seorang gadis cantik, sederhana dan baik hati. Kamila hanya tinggal berdua dengan Ibunya, FARAH (Marini Zumarnis). Untuk membantu ibunya memenuhi kebutuhan hidup mereka, Kamila bekerja di sebuah café sebagai pelayan restoran. Farah sangat menyayangi Kamila dan berusaha menjadi ayah sekaligus ibu bagi Kamila. Farah sangat ketat untuk satu hal, yakni ia tidak mengijinkan Kamila berpacaran, kecuali bila Kamila lulus kuliah dengan gelar cumlaude.

Di tempat kerjanya Kamila bertemu dengan EDO PRAYOGA (Mischa Chandrawinata), seorang pria yang ganteng dan kaya raya. Mereka berdua akhirnya berpacaran tanpa sepengetahuan Farah. Hingga akhirnya Kamila hamil. Edo bimbang, ia belum sanggup untuk bertanggung jawab. Ibunya Edo, MARTHA (Debby C Dewi) malah menjanjikan Kamila sejumlah uang untuk menggugurkan kandungan. Kamila benar-benar hancur melihat perlakuan keduanya.

Suatu hari, Kamila menemani sahabatnya, LIVIA (Tika Putri) pergi bersama FADIL (Jonas Rivanno), pacar Livia. Fadil kemudian melamar Livia. Dengan berbunga-bunga, Livia memasangkan cincin yang baru diterimanya ke jari Kamila, dengan harapan agar Kamila juga akan segera dilamar oleh Edo. Kamila sangat sedih mendengarnya. Belum sempat cincin itu dikembalikan, ketiganya mengalami kecelakaan.

Dalam keadaan kritis, Fadil menyampaikan ke keluarganya untuk merestui hubungannya dengan kekasih hatinya. Belum selesai Fadil berbicara, ibu Fadil, AMBAR (Nunu Datau) tertegun melihat Kamila, wanita yang pernah ia lihat bersama Fadil dan juga mengenakan cincin yang sama dengan Fadil. Semua pun mengira kalau Kamila lah kekasih Fadil, begitu pun dengan Farah.

Keluarga Fadil tidak menyetujui hubungan Fadil dengan Kamila. Fadil yang kemudian mengetahui bahwa Livia telah tiada, kemudian mengakui bahwa bayi dalam kandungan Kamila adalah anaknya. Hal itu semata-mata Fadil lakukan menyelamatkan hatinya sendiri yang terluka karena kehilangan kekasihnya, juga untuk menyelamatkan Kamila dan bayinya yang telah ditolak oleh Edo. Ternyata Edo tidak bisa begitu saja melupakan Kamila, ia sangat cemburu melihat kedekatan Kamila dan Fadil. Edo pun kembali mendekati Kamila.

Bagaimanakah kisah selanjutnya? Akankah semua kekacauan dan kesalahpahaman yang terjadi dapat teruraikan? Jawabannya terangkum secara manis dan menyentuh, dalam Sinetron "Kemilau Cinta Kamila"

Saya juga ada harga diri!

Posted: 09 Sep 2011 07:56 PM PDT

AGAKNYA apa yang anda rasakan jika setiap kali keluarga berhimpun, anda menjadi seperti pembantu rumah, bukan sebahagian daripada keluarga mentua?

Adakah anda akan menangis dan berkurung di dalam bilik, atau terus tabah menghadapi situasi genting tersebut setiap kali berhimpun bersama adik-beradik?

Saya pasti jawapan itu tidak dapat diberikan kerana anda mungkin tidak mengalaminya seperti mana yang dilalui oleh Delaila (bukan nama sebenar) yang saban tahun menahan perasaan dengan sikap keluarga mentua terhadapnya.

Agaknya benar kata orang, jika kita ada rupa, berpendidikan dan berjawatan tinggi, semua orang suka dan dipandang tinggi. Tetapi bagi yang tidak punya apa-apa melainkan kudrat dan jiwa yang luhur, tidak siapa akan peduli.

Itulah yang dirasakan oleh Delaila, ibu kepada dua orang anak perempuan berusia lapan dan 10 tahun.

Pertemuan dengan Delaila sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini membuka ruang kepada saya untuk menyelami perasaan wanita muda ini yang pada saya berada dalam situasi senyum di dalam tangisan. Kepada saya, Delaila berkongsi cerita untuk iktibar kita bersama.

"Saya berusia awal 30-an, tidak bekerja, hanya suri rumah sepenuh masa. Saya berkahwin dengan suami, Aman (bukan nama sebenar) 11 tahun lalu atas pilihan keluarga. Suami hanya bekerja biasa, anak bongsu dalam adik-beradik seramai enam orang.

"Sementara saya, anak yatim piatu dan hanya mempunyai seorang kakak dan seorang abang yang tinggal jauh dari tempat tinggal saya di utara tanah air.

"Walaupun diatur keluarga, perkahwinan kami bahagia. Suami amat sayang dan mengambil berat terhadap kebajikan saya dan anak-anak.

"Lima lagi adik-beradik suami, berkelulusan universiti dan telah berkahwin serta mempunyai keluarga sendiri.

"Bapa mertua saya meninggal dunia lima tahun lalu. Semasa hayatnya, dia menjadi pelindung saya setiap kali kami berhimpun beramai-ramai.

Dia mengambil berat dan selalu menyabarkan saya supaya tidak ambil hati dengan sikap ibu mentua saya yang tegas dan mengamalkan pilih kasih. Ketiadaannya menjadikan saya hilang tempat bermanja dan mengadu.

"Saya bukan menantu pilihan mak mentua disebabkan kekurangan saya, walaupun saya yakin prestasi saya sebagai menantu amat cemerlang.

"Setiap kali berhimpun adik-beradik, saya adalah orang yang paling sibuk di dapur kerana saya tinggal bersama mentua. Saya akan buat semua kerja termasuk mengemas, memasak dan ke pasar.

"Lima lagi menantunya, dua lelaki dan tiga perempuan ditatang bagai minyak yang penuh. Jarang disuruh buat kerja malah mereka dilayan sebagai tetamu kelas pertama dan diberikan seorang satu bilik.

"Mentua saya sanggup berhabis duit untuk mengubah suai rumah pusakanya semata-mata untuk memberi keselesaan kepada anak menantu pilihannya berbanding saya dan suami yang terus menetap di bilik yang sama sejak kami berkahwin hingga kini.

"Namun itu bukanlah perkara penting bagi saya. Yang manisnya saya dan suami bahagia. Suami faham kemelut yang saya lalui dan selalu menyabarkan saya. Saya yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya.

"Apabila berhimpun beramai-ramai tentunya perbelanjaan juga akan meningkat. Itulah yang berlaku setiap kali kami berhimpun beramai-ramai terutama pada hari raya. Sayangnya mereka semua buat tak tahu sahaja dengan alasan setiap bulan akaun mentua saya sudah dimasukkan wang belanja. Pada hal mereka tidak tahu duit itu sebenarnya tidak pernah diusik oleh mentua saya kecuali mengubah suai rumahnya untuk keselesaan mereka anak beranak.

"Perbelanjaan rumah termasuk bil api, air dan telefon, semuanya ditanggung oleh suami saya.

"Apabila mereka buat tidak tahu, mahu tidak mahu, saya dan suami terpaksa juga keluarkan belanja. Apa salahnya hulurkan RM10 seorang untuk menampung belanja dapur. Ini tidak, masa makan semua berebut, bila bab membeli, semua buat bodoh.

"Dua hari sebelum hari raya, rumah mentua saya akan dipenuhi dengan anak menantu dan cucunya yang pulang ke kampung untuk beraya. Saya dan suami pagi-pagi lagi sudah ke pasar membeli keperluan untuk dimasak. Mana nak masak untuk berbuka, makan malam, persiapan raya juga saya mesti selesaikan.

"Ipar-duai saya hanya memerhati, kalau ada pun menolong, paling lama 15 minit kemudian terus menghadap televisyen atau laptop, ada yang keluar ke pekan malah ada juga yang masih berdengkur walaupun matahari mula menampakkan diri.

"Yang saya hairan mentua saya tidak pula ambil kisah dan menegur anak menantu dan cucu-cucunya itu. Kalau saya, terlajak sikit waktu Subuh, menjerit-jerit dia memanggil nama saya sehinggakan jiran keliling boleh dengar.

" Sejak berkahwin sehingga kini, saya tidak pernah merungut pada suami sebab saya anggap itu semua sebagai tanggungjawab yang perlu saya laksanakan. Walaupun penat saya paksa diri kerana tidak mahu mak mentua merungut.

"Kadang-kadang saya terfikir juga, kalau hari-hari biasa saya sudah bekerja keras di dalam rumah itu, apa salahnya setahun sekali ipar-duai saya pula yang mengambil alih.

"Tetapi apa yang saya harapkan tidak berlaku, sebaliknya saya tetap jadi 'bibik' yang setia melayan tetamu setiap kali mereka balik.

"Bohong kalau saya tidak terkilan dan rasa penat, tetapi saya telan sendiri kerana mahu menjaga hati mentua dan suami.

"Tetapi tahun ini kesabaran saya tercabar. Saya tidak boleh tahan lagi apabila anak-anak saudara yang sudah remaja buat saya macam pembantu rumah, suruh buat itu dan ini. Mereka langsung tidak menghargai saya sebagai ibu saudara mereka.

"Saya dijerit dan disuruh membancuh minuman dan menyediakan makanan mereka, macam saya tidak ada hati dan perasaan sedangkan mak bapa dia orang asyik berborak dan menghadap TV 24 jam.

"Mak mentua saya juga tidak melarang dan menegur sikap buruk cucu-cucunya terhadap saya. Agaknya di mata mereka, saya memang pembantu rumah. Semalaman saya menangis di dalam bilik kerana sedih dengan sikap mereka. Suami memujuk supaya saya bersabar tetapi saya katakan saya sudah hilang sabar.

"Saya nekad mengajak suami berpindah. Sudah sekian lama saya berbakti kepada mentua dan anak menantunya dan kini sampai masanya saya memberi tumpuan kepada diri saya, suami dan anak-anak pula.

"Saya perlu berubah untuk kebahagiaan saya sendiri. Saya harap suami faham dan bersetuju dengan saya. Saya harap mak mentua saya sedar dengan sikapnya kepada saya sepanjang 13 tahun hidup serumah dengannya.

"Saya bukan minta disanjung dan dipuja tetapi sekurang-kurangnya, hargai pengorbanan saya, sayang saya seperti mana dia menyayangi anak menantu dan cucu-cucunya yang dari bandar itu.

"Saya sedar siapa saya. Saya tidak ada kelulusan dan jawatan tinggi yang dia boleh uar-uarkan kepada orang kampung. Rupa juga kurang. Tapi saya ada harga diri dan sekeping hati yang ikhlas dan jujur untuk menghormati, menyayangi dan berbakti kepadanya sebagai menantu. Mudah-mudahan Allah mudahkan hajat saya untuk terus hidup dengan cara saya sendiri. Insya-Allah," Delaila menamatkan ceritanya dengan air mata bergenang.

Saya amat berharap Delaila terus tabah dan sabar menghadapi tekanan dan berdoa semoga kemelut yang dialaminya itu akan selesai segera.

Hajat Delaila untuk berpindah juga saya sokong 100 peratus demi kebaikan masa depannya. Namun Delaila harus bijak menangani masalah ini agar hubungan suami dengan ibunya tidak terjejas.

Buat semua mertua, layan menantu biar sama rata, kasih sayang juga mesti seimbang demi kerukunan dan keharmonian hidup berkeluarga.

Kepada Delaila, luahkan apa yang tersurat di hati kepada suami dan mentua. Jangan simpan lama-lama, bimbang diri sendiri yang akan merana.

Menamatkan catatan, pesanan saya, jadilah wanita yang sabar dan tabah, kerana kepayahan itu sebenarnya adalah jalan menuju bahagia.

Berlumba selepas hujan

Posted: 09 Sep 2011 07:55 PM PDT


PENGARAH Urusan Red Adventure, Narimah Samat (kanan) menyampaikan replika cek kepada pemenang pertama kategori Wanita Terbuka, Junainah Asma di Kepong, Kuala Lumpur.


HUJAN pagi yang tidak dijangka membasahi bumi Kuala Lumpur tidak membantutkan semangat lebih 200 peserta yang berkobar-kobar untuk beradu tenaga dalam acara perlumbaan basikal MTB (mountain bike).

Dalam pertandingan yang diadakan di trek Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur pada 30 Julai lalu, sebanyak enam peserta antarabangsa dari Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Hong Kong turut menyertainya.

Penyertaan dari Singapura diwakili oleh Geylang Cycling Team.

Pertandingan itu merupakan salah satu daripada projek KL Perdana Challenge 2011 - Metropolitan MTB Garden Race dan dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan kerjasama Red Adventure dan Persatuan Penulis Pelancongan Malayisa (Tram).

Jarak kayuhan yang dipertandingkan adalah antara lapan kilometer (km) hingga 36 km dengan empat kilometer bagi setiap pusingan.

Menurut kenyataan Red Adventure, para peserta tidak berganjak sehinggalah hujan berhenti tepat pukul 10.00 pagi.

Sebaik sahaja hujan berhenti, acara pertama dimulakan iaitu kayuhan fun ride bagi kategori artis dan media. Menyusul selepas itu adalah kategori veteran, junior lelaki dan junior perempuan yang berkayuh sejauh 16 km.

Menerusi kategori terbuka wanita, para peserta perlu melengkapkan kayuhan sejauh 12 km diikuti kategori terbuka lelaki yang menamatkan kayuhan sebanyak tujuh pusingan bersamaan dengan 28 km.

Kemuncak acara adalah kayuhan kategori elite yang disertai oleh para pelumba profesional negara dan mereka mengayuh mengelilingi padang sebanyak sembilan pusingan bersamaan dengan 36 km.

"Acara ini telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai dan penyertaan juga amat memberansangkan. Pelbagai kelab, persatuan dan pertubuhan sukan berbasikal serta individu telah menyertai pertandingan ini.

"Antara kelab yang mengambil bahagian adalah Sutama Cyclo, Initial Cycling Club, Sungai Buaya Cycling Club, Team Airforce, Mercury Team, UTEM Cycling Team, ThaiMalay Cycling Club, ET Cycling Club, DUE RODA-AIF Cycling Club, Exora Cycling Team, S2HC Cycle dan Cycle X MTB," kata kenyataan itu kepada S3.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Elite, Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Junior Lelaki, Junior Wanita dan Veteran. Manakala media dan artis pula berpeluang mencuba nasib dalam acara fun ride.

Juara setiap kategori menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 hingga RM300 termasuk medal.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, Yuhaini Yusoff.

Menurut Yuhaini, acara ini diadakan untuk merancakkan lagi aktiviti promosi lokasi-lokasi pelancongan menarik di sekitar Kuala Lumpur, khususnya taman-taman rekreasi dan permainan.

"Pihak kami juga menggalakkan percutian bersama keluarga di hujung minggu, selain menggalakkan aktiviti sukan yang sihat dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan tersebut.

Putrajaya Shangri-la bertaraf 5 bintang

Posted: 09 Sep 2011 07:54 PM PDT


PEMANDANGAN di lobi hotel Shangri-la


BAGI mereka yang tidak pernah berkunjung ke Putrajaya atau pun jarang berurusan di pusat pentadbiran kerajaan ini, mungkin tidak menyedari kewujudan sebuah hotel bertaraf lima bintang di kawasan ini.

Manakan tidak, kebanyakan orang luar beranggapan Putrajaya hanya menempatkan bangunan-bangunan kerajaan, premis perniagaan dan perumahan untuk kakitangan awam sahaja.

Namun, di tengah-tengah kesibukan pusat pentadbiran kerajaan ini terdapat sebuah hotel milik orang paling kaya di Malaysia, Robert Kuok Hock Nien yang dibina di puncak sebuah bukit di Taman Putra Perdana, Presint 1.

Terletak agak terlindung daripada kesibukan lalu lintas, hotel Putrajaya Shangri-la telah wujud sejak lapan tahun lalu dan merupakan satu-satunya daripada rangkaian hotel itu yang menggunakan konsep hotel butik iaitu hotel yang mempunyai jumlah bilik yang sedikit berbanding dengan hotel mainstream lain.

Hotel butik ini menjadi pilihan utama kepada ahli perniagaan dalam dan luar negara sebagai lokasi untuk bermesyuarat, beristirehat dan berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan mahu pun swasta yang banyak berpusat di sini.

Selain itu, Putrajaya Shangri-la juga bertuah kerana terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang memudahkan tetamu yang mempunyai urusan perniagaan dalam perhentian singkat atau mempunyai urusan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Cyberjaya, Lembah Silikon Malaysia.

Dengan menggunakan idea konsep pembinaan Putrajaya iaitu bandar dalam taman, hotel ini turut berkongsi idea yang sama apabila tema yang diguna pakai adalah alam semula jadi.

Ia dapat dilihat pada taman yang mengelilingi hotel ini dan tumbuhan tropika yang diletakkan di dalam hotel serta taman teres yang bersambung dengan bilik tetamu.

Dengan menawarkan kemudahan sebanyak 118 bilik yang dikategorikan sebagai penginapan mewah, Putrajaya Shangri-La menyediakan lapan jenis bilik pilihan iaitu Deluxe Park View, Deluxe Hill View, Deluxe Hill View (keluarga), Fountain Court View, Executive Suite, Premier Suite dan Presidential Suite pada harga bermula serendah RM350++ hingga RM820++ semalam.

Namun, sempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Merdeka, Putrajaya Shangri-La menawarkan dua pakej istimewa kepada pelanggannya iaitu Pakej Cuti Perayaan yang menawarkan penginapan satu malam bersama sarapan dan Pakej Bilik Getaway yang menawarkan penginapan satu malam beserta sarapan dan hidangan malam pada harga yang istimewa.

Kesemua bilik-bilik itu dilengkapi TV skrin rata dengan siaran Astro, kemudahan internet dan perabot yang mewah serta bermutu tinggi, selain dilatari pemandangan mempesona bandar.

Selain menyediakan penginapan, hotel ini turut menyediakan kemudahan sebuah dewan yang mampu memuatkan tetamu seramai 150 orang dalam satu masa untuk pelbagai acara dan tujuan seperti majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun dan rumah terbuka hari raya.

Manakala, bagi syarikat yang mahu mengadakan perbincangan atau kelas 'brainstorming' pula, Putrajaya Shangri-La menyediakan tiga bilik mesyuarat yang mampu memuatkan 20 hingga 30 orang.

Hotel Putrajaya Shangri-la juga menyediakan dua tempat menarik untuk menjamu selera mengikut cita rasa pengunjung iaitu Kafe Azur yang menyediakan hidangan berkonsepkan fine-dining dan Kafe Palm Hill yang mengetengahkan sajian bufet antarabangsa yang masing-masing berharga dalam lingkungan RM93 dan RM116.

Jauh dari kesibukan ibu kota, Hotel Putrajaya Shangri-la juga sesuai sebagai tempat menghilangkan tekanan pada hujung minggu mahu pun ketika hari biasa.

Di sini terdapat sebuah kolam renang yang besar berstatus infiniti dengan latar belakang pemandangan yang sangat indah iaitu bangunan-bangunan hebat

di Putrajaya.

Selain itu, Putrajaya Shangri-la juga menyediakan rawatan spa dengan kaedah yang unik apabila urutan dilakukan berdasarkan konsep zodiak kalendar Barat.

Pengunjung akan dibelai oleh pakar terapi bertauliah mengikut tarikh lahir pelanggan menggunakan minyak, bunga dan herba terpilih pada harga bermula daripada RM180 hingga RM300.

Bagaimanapun, untuk pelanggan yang mahukan pakej rawatan spa yang lebih murah, hotel ini turut menyediakan beberapa jenis rawatan berkonsepkan urutan ala carte yang harganya bermula serendah RM80 sahaja.

Bagi pengunjung yang berminat boleh mengunjungi spa tersebut pada setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

Terletak berhampiran spa tersebut, terdapat sebuah gimnasium yang dibuka 24 jam sehari untuk pengunjung beriadah.

Untuk pengunjung yang mahu merasai sendiri percutian di sini boleh terus menghubungi pegawai khidmat pelanggan hotel Putrajaya Shangri-la di talian 03-8887 8888 atau e-mel di alamat, slpt@shangri-la.com.

Padang Kota meriah umpama pesta

Posted: 09 Sep 2011 07:53 PM PDT


Salah seorang penarik beca mengayuh becanya mengelilingi Padang Kota bersama pengunjung.


SEBUT sahaja Padang Kota, pasti ramai yang tahu tempatnya meskipun mereka bukan berasal dari Pulau Pinang.

Ia merupakan antara lokasi wajib kepada pengunjung Pulau Mutiara tanpa mengira bangsa dan had umur.

Bagi yang muda, di situlah mereka berkumpul bersama rakan sebaya untuk berkongsi cerita tentang apa sahaja yang mereka minati.

Bagi yang sudah berkeluarga pula, Padang Kota menjadi pilihan untuk membawa anak-anak bersiar.

Malah kaki pancing turut kelihatan mencuba nasib agar kail mereka disambar ikan di Padang Kota.

Terletak di tepi pantai, kawasan ini diapit dengan beberapa bangunan bersejarah berusia ratusan tahun seperti Kota Cornwallis dan bangunan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Ini membuatkan persekitarannya menyajikan pemandangan yang cukup menarik.

Hembusan bayu dari laut pula menjadikan suasana terasa segar dan nyaman. Di situ juga terdapat medan selera yang menjual pelbagai hidangan terkenal di Pulau Pinang seperti nasi kandar dan pasembur.

Semua itu menjadikan Padang Kota terus 'hidup' umpama sebuah pesta meskipun jarum jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah malam.

Lantas, peluang itu digunakan sebaik mungkin oleh golongan peniaga yang sanggup bersengkang mata mencari rezeki yang boleh dikatakan lumayan buat mereka.

Ia termasuk pengayuh beca yang sentiasa menggamit orang ramai terutama pelancong untuk menaiki kenderaan roda tiga mereka.

S2 berkesempatan mendengar dari mulut pengunjung sendiri tentang keunikan Padang Kota yang membuatkan mereka tidak jemu berkunjung ke situ.

Seorang pengunjung, Ida Royani Romelan, 24, memberitahu, setiap kali mempunyai masa terluang pada waktu malam, dia akan datang ke Padang Kota kerana tempat tersebut menjadi tumpuan ramai anak-anak muda.

"Seronok bila lihat ramai muda-mudi berkumpul di sini pada waktu petang, sebab itulah saya juga teruja bila datang ke sini. Lagipun tempat ini terbuka. Jadi, tidak perlu takut jika ke sini walaupun seorang diri.

"Saya selalunya datang dengan keluarga atau rakan-rakan dan kami biasanya akan duduk bersantai di sini untuk menghirup udara segar di malam hari," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga barangan permainan, Che Yam Nordin, 45, turut menyuarakan pandangan yang sama.

Katanya, Padang Kota merupakan antara tempat yang menjadi tumpuan penduduk negeri ini bukan sahaja kerana kedudukannya yang strategik tetapi juga faktor sejarah kawasan sekitarnya.

"Kawasan ini dipenuhi orang ramai setiap hari sehingga awal pagi. Ada yang datang bawa anak-anak bermain memandangkan mereka sibuk bekerja di siang hari.

"Malah setiap kali malam, boleh dikatakan macam ada perayaan yang ingin disambut di sini," ujarnya.

Seorang pengayuh beca, Wong Yeap Hui, 60, pula berkata, setiap malam dia pasti akan datang ke situ untuk berehat sambil berusaha menarik pengunjung agar menaiki becanya.

"Saya sudah lama kayuh beca dan setiap malam saya pasti datang ke sini untuk melepaskan penat dan mencari rezeki," jelasnya.

Bagi yang pertama kali mahu menjejakkan kaki ke Pulau Pinang, jangan lupa singgah di Padang Kota untuk menikmati kemeriahan di situ.

Kawan-kawan teman Ramona di kala lapang

Posted: 09 Sep 2011 07:52 PM PDT


RAMONA Zamzam (tiga dari kanan) ketika menyambut hari lahir seorang kawannya, baru-baru ini.


Baginya, duduk bersama dengan teman-teman dan melakukan pelbagai aktiviti bersama membuatkannya riang dan gembira.

Sama seperti kebanyakan remaja lain, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd. Zamzam, 22, lebih selesa sekiranya detik berkenaan diluangkan dengan bersantai bersama teman-temannya.

"Begitulah rutin saya sekiranya tidak terikat dengan aktiviti seni, saya akan mengajak rakan-rakan untuk keluar dan menghabiskan masa terluang kami bersama-sama.

"Bagi saya dengan cara itu, ia dapat membuatkan saya lupa sebentar terhadap bebanan kerja yang ditanggung selain merehatkan diri.

"Lagipun apabila keluar bersama ia dapat mengeratkan lagi hubunan persahabatan yang telah terjalin di antara kami," ujarnya kepada S3 baru-baru ini.

Menyambung bicara, gadis yang dibesarkan di Ipoh, Perak itu menambah, apabila keluar bersama rakan-rakannya banyak aktiviti yang dilakukan seperti menonton wayang, berkaraoke, duduk minum-minum di kedai mamak ataupun mengunjungi spa.

"Selalunya kalau keluar, pasti saya dan kawan-kawan akan melakukan beberapa aktiviti dalam memenuhkan ruang kosong yang kami ada.

"Namun antara yang wajib kami lakukan adalah mengunjungi kafe ataupun restoran-restoran mamak di mana sambil makan atau minum, kami akan bertukar-tukar cerita.

"Dari situ sedikit sebanyak kami dapat mengetahui perkembangan terkini yang berlaku dalam kehidupan masing-masing," jelas anak sulung daripada dua beradik itu.

Ujarnya lagi, setelah letih berbual perihal cerita terbaru tentang diri masing-masing, barulah dia dan rakan-rakannya beransur meninggalkan restoran yang dikunjungi untuk melakukan aktiviti lain.

"Dari restoran atau kafe itu, kami akan beralih ke tempat-tempat lain. Tengoklah kalau ada yang ingin menonton wayang, kami akan terus ke panggung dan kalau ada yang ingin berkaroke, kami akan ke pusat karaoke.

"Semua itu bergantung kepada keputusan majoriti jika ramai yang ingin ke karaoke, kami semua akan ke sana," kongsi Ramona lagi.

Namun jelas Ramona, secara jujurnya dia lebih gemar keluar menonton wayang bersama dengan teman-temannya itu.

"Saya ini kaki wayang dan hampir setiap minggu saya akan menjengah ke panggung untuk menonton filem-filem terbaru.

"Tetapi sekiranya kawan-kawan mengajak ke tempat lain, saya tetap akan bersama dengan mereka.

"Bagi saya apa yang penting kami dapat bersama dalam meluangkan masa tanpa mengira kepentingan diri sendiri," jelas aktres yang meminati bintang Hollywood, Megan Fox dan Gerard Butler.

Selain itu, ujar pelakon yang mula dikenali menerusi drama Begitukah Cinta, dia juga akan memperuntukkan masa untuk keluar bersama keluarganya.

"Keluarga adalah keutamaan saya dan sekiranya ada kelapangan, saya akan mengajak keluarga untuk keluar bersama.

"Selalunya jika keluar dengan keluarga, pusat membeli-belah adalah destinasi yang akan kami tujui sama ada untuk membeli-belah ataupun sekadar mencuci mata," kata Ramona yang baru tampil dalam telefilem Tart Untuk Kakak yang disiarkan sempena Aidilfitri lalu.

Jelasnya, keluarga juga adalah peneman setia yang akan menemaninya untuk berkunjung ke restoran mamak sekiranya dia teringin untuk menikmati hidangan lewat malam.

"Teh tarik merupakan minuman kegemaran saya. Jika waktu malam, saya teringin minum teh tarik di restoran mamak, saya pasti mengajak ibu, ayah dan adik saya ke restoran berhampiran rumah kami.

"Malah makanan mamak juga dekat dengan keluarga saya terutamanya ayah yang begitu menggemari masakan kari. Maklumlah ayah saya ada darah Pakistan," ujar Ramona sebelum menamatkan perbualan pada petang itu.

Bakat kreatif Shaheizy Sam

Posted: 09 Sep 2011 07:51 PM PDT


SAM dikelilingi anak saudara. Dari kiri, Azrin, Cinta, Sean, Aydeen dan Kenny yang memangku Arjuna sedang menonton cerita menerusi komputer riba.


TATKALA melihat lakonannya sebagai mat despatch dalam filem Adnan Semp-It, ramai yang ketawa dan tidak kurang juga yang mengalirkan air mata simpati dengan nasib Arman lakonannya menerusi filem Sekali Lagi.

Itulah kelebihan pelakon Shaheizy Sam Abd. Samad, 29, yang mampu membuat penonton 'terjebak' dengan aksi lakonannya yang penuh penghayatan itu.

Namun ada satu lagi bakat Shaheizy Sam atau yang mesra dengan panggilan Sam yang tidak diketahui umum.

Baru-baru ini S3 berjaya merakamkan aksi Sam yang tidak pernah didedahkan kepada orang ramai ketika berkunjung ke rumahnya di Bukit Antarabangsa.

Sewaktu menuruni tangga menuju ke rumahnya, penulis dapat melihat dengan jelas betapa tekunnya Sam menggosok kertas pasir ke bingkai kerusi pasang siap.

Sam yang hanya mengenakan kemeja- T dan seluar pendek itu memberitahu penulis, dia telah memulakan kerja-kerja memasang dan mengecat bangku serta meja itu sejak raya pertama lagi.

"Memang tidak merancang pun. Pada hari raya pertama itu, bila terasa bosan Sam mula terfikir kerja apa yang perlu dilakukan.

"Disebabkan sudah lama Sam berhasrat nak buat taman di halaman rumah ini, Sam terus pergi ke Ikea membeli bangku dan meja kayu ini," jelasnya.

Kata Sam, bangku dan meja pasang siap yang dibeli asalnya berwarna gelap dan dia sengaja memilih cat warna putih untuk disesuaikan dengan tema taman putih impiannya.

Jelas Sam, dia jenis yang tidak boleh duduk diam dan mesti melakukan sesuatu pekerjaan sebagai mengisi waktu terluang.

"Bila letih, Sam akan tidur tapi selalunya Sam akan melakukan kerja-kerja yang jarang dilakukan sebelum ini. Entahlah, sejak dulu Sam minat dengan kerja-kerja tangan.

"Kalau nak ikutkan bangku dan meja ini setelah siap dipasang, ia sudah boleh diguna tapi Sam nak kelainan. Kerja-kerja mengecat atau pertukangan begini dapat membebaskan fikiran Sam daripada segala bebanan. Kemudian hati rasa puas tengok hasil kerja yang dibuat," katanya terus terang.

Menurutnya, projek mengecat bangku dan meja taman itu akan siap dalam beberapa hari lagi kerana dia amat teliti dan cerewet dalam melakukan persiapan.

Kata Sam, adalah menjadi tabiatnya, kalau buat kerja-kerja begitu dia tidak mahu diganggu kerana kerja seni memerlukan kedamaian.

Namun sepanjang menyiapkan projek taman putih itu, kerjanya sering terganggu dengan gelagat anak-anak kakaknya, Jozieta Ronalie,36, iaitu Kenny, 7, Aydeen,4, Sean, 3 tahun. Serta anak-anak Samzy Fuzette,35, iaitu Mohd. Azrin Fuzette, 10, Cinta Matanya Fuzette, setahun dan Arjuna enam bulan.

"Gangguan-gangguan yang tidak diingini inilah yang membuatkan kerja-kerja Sam terganggu. Sekejap-sekejap datang nak membantu tapi menganggu. Biarpun begitu, Sam gembira kerana raya kali ini anak saudara dari Alaska, Amerika Syarikat balik beraya sama," katanya yang dipanggil Papa Adik di kalangan anak saudara.

Kata Sam, dia turut membeli lampu hiasan yang kemudiannya disembur cat putih untuk diletakkan di taman di hadapan halaman rumahnya itu.

Menurutnya, ada juga jiran-jiran yang secara bergurau meminta dia membuat benda yang sama di rumah mereka.

"Ada uncle tu kata, macam kafe aje. Sebenarnya, Sam nak buat taman ini tempat lepak dengan kawan-kawan terutamanya kalau ada perlawanan bola sepak," katanya.

Dalam pada sibuk dengan kerja-kerja mengecat itu, Sam sempat menunjukkan hasil kerjanya di ruang tamu, bilik tidurnya dan komputer riba miliknya.

"Sam tidak suka mengecat dinding keseluruhan sebab tidak mencabar. Cuba tengok tiga garisan pemisah ini, Sam yang buat.

"Begitu juga dengan komputer ini. Bajet permata-permata yang dilekatkan di komputer ini mencecah RM500. Biarpun mahal, janji Sam puas hati dengan hasil kerja yang menampakkan logo Gucci," katanya.

Katanya, kerja-kerja tangan begitu hanya dilakukan setiap kali dia ada waktu lapang yang jarang-jarang dimiliki.

Menurut pelakon popular itu, dia bukanlah jenis yang suka lepak di luar.

Katanya, mungkin sudah terbiasa sejak zaman sekolah kerana dulu rakan-rakannya suka datang lepak di rumah dan kebetulan maminya, Khaty Fauziah rajin memasak.

Pelakon yang telah membintangi filem antaranya, Evolusi KL Drift 2, Niyang Rapik, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syruga Cinta dan Bohsia-Jangan Pilih Jalan Hitam bakal tampil filem Bini-Bini Ku Gengster pada 22 September ini.

Ciptaan Kassim Masdor diminati

Posted: 09 Sep 2011 07:50 PM PDT


KASSIM Masdor masih kelihatan segak pada usia 73 tahun.


Ramai yang tahu lagu-lagu tersebut dendangan Allahyarham Fazidah Joned, Sanisah Huri dan Allahyarham Datin Rafeah Buang, namun tidak ada yang ambil kisah dengan pencipta lagu tersebut.

Pencipta asal lagu-lagu raya klasik yang tidak jemu didengar hingga hari ini adalah Kassim Masdor yang kini berusia 73 tahun.

Menurut komposer yang berasal dari Singapura itu, lagu-lagu raya itu masih diminati hingga kini kerana seni kata dan melodinya sesuai dengan suasana.

"Bila lagu dan liriknya serasi dengan suasana, barulah pendengar dapat merasai keindahan lagu tersebut, sekali gus dekat di hati," jelasnya.

Komposer yang mula mencipta lagu pada usia 16 tahun dengan lagu Sapu Tangan Tanda Mata, dendangan Allahyarham Puan Sri Saloma itu berkata, dia tidak kisah jika lagu-lagu ciptaannya dirakam semula oleh generasi muda.

Katanya, jika ramai yang merakam semula, itu tandanya lagu ciptaannya mendapat tempat di hati pendengar.

Bagaimanapun Kassim amat terkilan jika ada penyanyi yang merakam semula lagu ciptaannya dengan menggubah melodi asal.

"Saya seronok kalau orang menyanyi semula lagu ciptaan saya tetapi janganlah sampai merosakkan irama asal. Saya tidak kisah kalau penyanyi itu menyanyi ikut gaya sendiri tanpa perlu meniru gaya penyanyi asal," pintanya.

Menurut Kassim, setiap kali Syawal menjelang, dia hanya beraya bersama lima orang anak dan cucu-cucunya sahaja.

Dia yang menduda sejak 38 tahun lalu, berkata, hidupnya tidak pernah sunyi dan tidak terlintas untuk berumah tangga lagi kerana sentiasa dikelilingi cucu dan pelbagai kegiatan.

Malah dalam usia sekarang, dia masih diberi tanggungjawab menjadi tenaga pengajar vokal di sebuah kolej swasta di Singapura.

"Saya mengajar para pelajar yang berusia antara 14 hingga 25 tahun yang dipilih daripada uji bakat. Dalam seminggu, saya mengajar selama tiga jam di kelas dan perseorangan.

"Para pelajar ini mesti ada asas seni, barulah boleh mengikuti kelas bimbingan vokal saya ini. Bila tamat belajar dalam tempoh dua bulan, mereka akan diberi sijil," katanya yang masih lagi bermain piano jika diundang mengadakan persembahan.

Teman baik P. Ramlee

Kassim yang merupakan salah seorang perintis anggota kumpulan popular Pancha Sitara yang ditubuhkan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berkata, dia banyak belajar daripada Seniman Agong itu.

Ketika ditemui di Saloma Bistro, Jalan Ampang dalam satu majlis berbuka puasa baru-baru ini, komposer itu sempat berkongsi cerita lucunya bersama P.Ramlee.

Kata Kassim, P.Ramlee kalau marah matanya sepet dan ketika penggambaran filem Panca Delima, mood seniman itu tidak begitu baik menyebabkan semua pelakon dan krew diam.

"P.Ramlee kalau marah semua orang akan diam. Nak jadi cerita, sewaktu shooting filem Panca Delima, Udo Omar kena berlakon dengan ular sawa.

"Disebabkan takut dengan P.Ramlee yang sedang marah, dialognya bertukar. Udo sepatutnya sebut "wahai ular, janganlah makan aku" tapi tertukar jadi "wahai aku, janganlah makan ular".

Katanya, daripada kejadian itulah, tercipta dialog "Ani angkat kain hujan, jemuran dah turun" dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Kassim yang sering dilantik sebagai penjaga konti oleh P.Ramlee setiap kali mengarah filem berkata, selain dirinya, S.Sudarmaji, Mustafa Yassin dan Yusoff B adalah di antara mereka yang rapat dengan P.Ramlee.

Menurutnya, setiap seorang daripada mereka ada tugasan masing-masing dan kebolehan mereka itu memudahkan kerja-kerja P.Ramlee.

Doa Azlee ketika di Mekah

Posted: 09 Sep 2011 07:49 PM PDT


SALAH satu adegan filem Senario Ops Pocot lakonan Azlee (kiri) dan Senario yang ditayangkan di pawagam baru-baru ini.


AZLEE dikenali ramai sebagai pelawak bersama kumpulan Senario sejak awal tahun 1990-an. Di atas pentas persembahan, keletahnya yang kelihatan agak 'gila-gila' mudah untuk menghiburkan para peminatnya.

Bagaimanapun, pelawak popular berusia 44 tahun ini menyedari dalam senda guraunya sewaktu berlawak, ia mungkin kurang disenangi segelintir pihak. Azlee juga sering bimbang jika ia boleh menguris hati seseorang.

Justeru, bapa kepada dua orang anak ini sentiasa bermuhasabah tentang dirinya. Peluang itu antaranya, digunakan termasuklah sewaktu dia mengerjakan umrah di Mekah pada tahun 2006. Azlee kuat berdoa sewaktu berada di sana hampir dua minggu.

Menurut Azlee, antara doa yang dipanjatkannya ke hadrat Allah ialah agar dia diberi taufik serta hidayah dalam meneruskan mata pencariannya sebagai pelawak dan pelakon. Itu adalah sumber pendapatannya dalam bidang seni sejak hampir 20 tahun lalu.

"Sewaktu mengerjakan umrah itu, saya banyak berdoa kepada Allah terutama ketika berada di Masjidil Haram. Saya mohon agar Allah beri petunjuk kepada saya dalam meneruskan kerjaya dalam bidang ini. Di situ saya mendapat kekuatan.

"Saya banyak meminta ampun kepada Allah jika pembabitan saya dalam bidang selama ini pernah menimbulkan dosa tanpa disedari. Niat saya cuma satu iaitu mahu cari makan dengan bakat yang dikurniakan oleh Allah. Saya mahu menyara keluarga saya.

"Mudah-mudahan doa dan taubat saya itu diperkenankan oleh Allah," katanya dalam nada bersungguh-sungguh semasa ditemui di rumahnya di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Sewaktu mengerjakan umrah, pelawak berasal dari Skudai Kiri, Johor ini turut membawa isterinya Aslinda Ayob, 40, dua anaknya, Siti Amaliah, 10 bulan dan Siti Aishah, 7 tahun serta ibu mertuanya, Sely Abd Wahab, 51 dengan kos mereka mencecah RM25,000.

Jelas Azlee, selepas pulang dari Mekah dia banyak berubah termasuklah mendalami ajaran Islam, menghayati perjuangan Nabi Muhammad dan membataskan pergerakkannya dalam bidang lakonan agar ia tidak melanggar hukum syarak.

"Saya juga banyak berjumpa ustaz bagi bertanyakan tentang kerjaya saya sebagai pelakon. Sebab itu, banyak perkara yang saya bataskan sewaktu berlakon. Misalnya, tidak bersentuhan dengan wanita bukan muhrim.

"Selain itu, niat saya bukan sahaja mahu mencari rezeki tetapi saya berharap agar lakonan saya itu sebagai ibadah. Saya harap ia dapat memberi manfaat kepada para penonton dengan cara menghiburkan hati mereka," ujarnya dalam nada bersungguh-sungguh.

Pemilik nama sebenar Mohd. Azlee Jaafar ini berkata, peluang mengerjakan umrah anjuran Kumpulan Media Prima Berhad itu tidak disia-siakannya dengan melawat tempat-tempat bersejarah di Tanah Suci itu.

Antara tempat yang menjadi kegemarannya ialah Makam Nabi Muhammad SAW di mana di tempat suci itulah air matanya mudah untuk tertumpah setiap kali dia menziarahi nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah ke atas umat manusia itu. Ia tersentuh tanpa disedari.

"Saya memang seorang yang suka melawak tetapi apabila berada di makam Rasulullah, hati saya mudah sebak hingga mengalirkan air mata. Saya menangis macam budak-budak kecil sewaktu berada di sana. Saya pun tidak tahu kenapa. Susah hendak menjelaskannya.

"Mungkin kerana mengenangkan jasa dan pengorbanan Rasulullah kepada kita semua menyebabkan hati saya tersentuh. Malah, saya bersyukur kerana segala urusan saya semasa di sana dipermudahkan Allah. Saya mudah untuk beribadah.

"Contohnya, saya dapat berada di sisi makam Rasulullah biarpun ia dikawal ketat oleh pihak berkuasa di sana. Malah, saya dan anggota-anggota keluarga saya semuanya sihat sepanjang mengerjakan umrah," jelasnya yang terus setia bersama Senario hingga kini.

Meskipun sudah lima tahun dia mengerjakan umrah itu yang turut disertai dua lagi anggota Senario iaitu Lan Pet-Pet dan Wahid, tetapi dia berazam mahu menjejakkan lagi kakinya ke Mekah selain menunaikan ibadat haji pada masa depan. Itu adalah matlamatnya.

Azlee yang telah membintangi lebih 20 buah filem sejak tahun 1999 kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod lakonannya berjudul Naik Lif Turun Tangga arahan Jamal Khan bergandingan dengan Noorkhiriah. Ia akan ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu