Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Kemewahan senibina & dekorasi tradisional
- Mengenali budaya silam di kampung Mari-Mari Culture Sabah
- Mudahnya manusia jadi barang dagangan
- JRCC pantau kawasan ancaman pengganas
- BMW raih kedudukan tertinggi kepuasan pelanggan
- Hardy Hartono Intai Peluang Di Malaysia
- Terbaru Daripada Beyonce Knowles
- Inspirasi gipsi goda Kate
- PLI labur RM225j
- Lebih kerap dialami warga tua
- Biarlah berlalu
- Rebut peluang untuk cemerlang
- Modul tangani pelatih PLKN buta huruf
- Lampu bukan sekadar memberi cahaya
- Fatin Suhana gadis berdikari
- Kegilaan aksesori batu hiasan
- Jambori pengakap erat hubungan Malaysia, Indonesia
- Sharifah Aini rai persaraan guru besar SK Kampung Tunku
- Kumpul dana naik taraf prasarana
- Penyelidik UMT kultur mutiara air tawar
- OKU bukan penghalang ke menara gading
- Adelaide pilihan penuntut Malaysia
- Misi Gaza Farah
- Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju
- Bakal miliki dua satelit baru
| Kemewahan senibina & dekorasi tradisional Posted: 11 Sep 2011 11:46 PM PDT NUN terpencil di penghujung Tanjung Rhu, Pulau Langkawi, tersergam sebuah destinasi percutian tropika ideal yang mengharmonikan segala keunikan warisan budaya senibina Melayu dalam membawakan pengalaman lima bintang terunggul kepada para pengunjung. Ketenangan dan kedamaian bayu ombak Laut Andaman sedia terhampar baru mengalu-alukan kedatangan tetamu dari dalam dan luar negara ke Four Seasons Resort Langkawi dengan penuh kemesraan layanan hospitaliti yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu. Ini merupakan sebahagian keunikan pengalaman lima bintang Four Seasons, yang bukan sekadar penginapan mahal sarat dengan ekstravaganza dekorasi asing. Sebaliknya, keseluruhan konsep resort berkenaan memperincikan keistimewaan struktur kediaman Melayu lama, ditonjolkan oleh landskap kemakmuran tropikal yang menyelimuti premis resort tersebut. Sementara senibina tradisional Melayu asli dijadikan asas konsep binaan kesemua struktur di resort itu, para tetamu pastinya menyedari pengaruh etnik Asia, India dan Arab. Ini bertujuan untuk menyingkap kepelbagaian suntikan budaya yang benar-benar mewakili Malaysia pada hari ini. Ketelitian suntikan hiasan menyerlahkan idea sebenar di sebalik konsep dekorasi Four Seasons, bermula daripada ruang masuk utamanya yang menggabungkan unsur rekabentuk Moor terutama pada arca gergasi menuju ke ruang lobi utama berkonsep terbuka. Inspirasi Moghul turut membingkai struktur kesemua pavilion dan villa penginapan mewah sehingga kepada motif luar biasa yang menyerikan ruang kamar mandi berlantai terazo dan marmar diimport khas membentuk seakan-akan sebuah oasis persendirian. Diasaskan daripada konsep sebuah perkampungan Melayu tradisional, kamar penginapan Four Seasons dilengkapi sistem perudaraan ala tradisional agar tetamu dapat menikmati hembusan bayu laut sebenar sama ada dari keselesaan katil sambil menonton televisyen mahupun sambil bersantai di anjung peribadi serba luas. Di samping itu, hiasan dekorasi dalaman juga tidak kurang kekuatan pengaruh kesenian Melayu dengan penggunaan meluas motif dan fabrik tradisi batik sebagai penghias utama walaupun masih diperkukuhkan dengan kemasan ala Arab untuk menonjolkan sisi eksklusif. Four Seasons merangkumi 91 pavilion atau astaka dan villa penginapan bersaiz mewah. Sebanyak 68 pavilion Melaleuca dua tingkat masing-masing merangkumi empat unit dan 20 Villa Beachfront eksklusif, setiap satunya dengan bilik spa dan kolam persendirian. Namun paling mengujakan adalah kamar mandi. Lebih layak dipanggil ruang mandian, ia direka khusus untuk memberi ketenangan kepada para tetamu dengan inspirasi hammam (tempat mandian) atau jakuzi ala Turki juga pancuran 'hujan' di luar dalam taman terpencil tanpa gangguan. Seolah-olah enklaf tersembunyi dalam spa eksklusif, kesemua kamar mandi menampilkan jendela langit (skylight) yang memantulkan pencahayaan suria semula jadi sekali gus memperjelaskan lagi dekorasi unik dan memberikan pengalaman luar biasa kepada para tetamu. Bayangkan pula tahap kedamaian yang bakal dikecapi apabila melangkah ke The Spa untuk mengembalikan ketenangan dan mengimbangi keperluan diri dengan suasana serta layanan khusus bagi mententeramkan kecelaruan jiwa dari kota. Tidak seperti mana-mana kemudahan rawatan seumpamanya, The Spa berjaya melangkah kembali ke dunia lampau untuk mewujudkan sebuah perkampungan Asia yang maha tenang, berlatarkan cenuram kapur dramatik dan dikelilingi kolam teratai. Selesai bersantai dan memanjakan diri seharian, para tetamu tidak perlu susah payah mencari makanan. Sebaliknya, hidangan Melayu asli atau gabungan menu gourmet Asia disediakan dalam persekitaran paling sempurna di restoran Ikan Ikan, Serai dan Kelapa Grill. Untuk maklumat lanjut mengenai Four Seasons Resort Langkawi, layari www.fourseasons.com. | ||
| Mengenali budaya silam di kampung Mari-Mari Culture Sabah Posted: 11 Sep 2011 11:44 PM PDT (Yang mengikuti rombongan AirAsia dan Jabatan Pelancongan Negeri Sabah keTawau baru-baru ini.) SEJUJURNYA Sabah mempunyai pelbagai keunikan dan keindahan menarik yang sukar ditandingi. Diversiti etnik menjadikan ia lebih unik dan istimewa. Namun untuk mempelajari dan mengenali budaya masyarakat Sabah dengan lebih dekat tidak mampu dilakukan dalam tempoh masa yang singkat kerana setiap satu etnik mempunyai keistimewaannya tersendiri. Bagaimanapun kesempatan melawat perkampungan Mari-Mari Culture telah memberikan pendedahan yang luas kepada pelancong untuk mengenali budaya dan masyarakat Negeri Di Bawah Bayu ini dengan lebih dekat. Konsep yang digunakan oleh pihak pengurusan Mari-Mari Culture juga mudah kerana ia membangkitkan semula kehidupan masyarakat di Sabah pada zaman dahulu kala melalui lakonan oleh beberapa artis budaya. Melalui lakonan ini pengunjung dapat memahami lebih dekat dan tidak bosan untuk mengetahui sejarah penduduk etnik Sabah selain mendengar penjelasan daripada pemandu pelancong. Terletak lebih kurang 30 minit perjalanan dari bandar Kota Kinabalu, Mari-Mari Culture yang juga dikenali sebagai kampung budaya itu sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin mengenali lebih dekat budaya masyarakat Sabah. Pemandu pelancong yang ramah dan fasih berbahasa Inggeris juga turut banyak membantu, terutamanya pelancong asing yang ingin menikmati penjelajahan di situ. Ketibaan kami pada petang itu disambut baik dan mesra sekali oleh kakitangan bertugas. Sedikit taklimat diberikan kepada pengunjung sebelum memulakan pengembaraan dan pesanan mengenai pantang larang yang tidak patut dilakukan sepanjang berada di dalam kawasan kampung budaya. Ini kerana walaupun lawatan ke kampung budaya itu hanya lakonan semata-mata bagaimanapun mereka masih berpegang kuat pada adat dan pantang larang yang diamalkan sejak zaman nenek moyang dulu. Terdapat lebih daripada lima jenis rumah panjang suku kaum Rungus, Dusun, Lundayeh, Bajau dan Murut yang setiap satunya mempunyai perbezaan mengikut cara hidup masing-masing. Pembinaan rumah panjang itu juga adalah seperti asal dengan menggunakan kulit kayu pokok, buluh dengan atap rumbia yang menunjukkan sifat sebenar sesebuah rumah panjang ketika itu dan pengunjung boleh merasai situasi sebenar berada di dalam rumah panjang. 'Bobohizan' muncul dari hutan Setelah selesai taklimat daripada petugas di kampung budaya, kami diarahkan berbaris sebelum memasuki kawasan itu. Salah seorang daripada kami dipilih ketua rombongan untuk bertemu dengan Ketua Kampung. Saya cukup bertuah kerana telah dipilih oleh ahli rombongan untuk mengetuai kumpulan kami dan saya bertanggunjawab untuk memastikan semua ahli kumpulan tidak membuat perkara-perkara yang dilarang di samping memastikan mereka sentiasa bergerak di belakang saya. Perkara pertama yang kami lalui semasa merentas perkampungan budaya tersebut adalah kejutan daripada 'pendekar-pendekar' yang dikenali sebagai 'Bobohizan' dari hutan. Kemunculan mereka adalah untuk memastikan pelawat yang datang bukan untuk menceroboh kawasan kampung dan menangkis roh-roh jahat. Seorang wanita berpakaian hitam, bertongkat dan matanya ditutup berjalan-jalan di sekeliling kami sambil membaca mentera sebelum membenarkan kami berjumpa dengan Ketua Kampung yang seterusnya membenarkan kami masuk ke kawasan mereka. Ketua Kampung seterusnya mengarahkan beberapa anak buahnya untuk mengikut kami meninjau kawasan kampung budaya selain pemandu pelancong yang sibuk memberikan penerangan mengenai situasi yang kami tempuhi. Di situ kami dibawa melawat dan meninjau cara-cara penyediaan tuak, iaitu sejenis arak yang diperbuat daripada beras dan memberi peluang kepada pengunjung yang bukan beragama Islam untuk mencuba tuak yang dituang di dalam bekas buluh. Di satu sudut pula kelihatan beberapa orang gadis sedang melakukan demonstrasi masakan ayam di dalam buluh yang menjadi makanan harian masyarakat di situ sehingga kini. Tarian Lansaran uji stamina Antara aktiviti yang menjadi kegemaran sepanjang berada di perkampungan budaya Mari-Mari Culture' ialah melawat rumah panjang suku kaum Murut. Dari luar sudah kedengaran riuh-rendah dari dalam rumah seolah-olah ada pesta besar sedang berlangsung. Rupa-rupanya beberapa orang pengunjung sedang cuba menarikan tarian Lansaran, satu tarian tradisional masyarakat itu. Pelbagai aksi menggelikan hati dapat dilihat pada malam itu. Tarian ini bukan seperti tarian yang biasa dilihat. Ia ditarikan di lantai khas berukuran kira-kira 81 kaki persegi yang dibina di tengah-tengah rumah panjang yang diperbuat menggunakan kayu bulat. Kayu bulat dipasang berlapis-lapis secara khusus supaya boleh melantun seperti "spring". Tarian lansaran dilakukan oleh kumpulan penari lelaki dan perempuan dengan pakaian tradisional warna hitam dan hiasan manik-manik yang berwarna-warni. Kaum lelaki memakai topi berbulu burung serta pakaian diperbuat daripada kulit kayu bercampur kain berwarna. Penari tarian ini membuat bulatan sambil melonjak-lonjak di atas lantai lansaran dengan diringi oleh hentakan susunan kayu bulat di bahagian bawah lantai lansaran, sambil itu penari lelaki akan melonjak ke atas untuk mencapai "kinkilat" yang digantung di bahagian atas sambil bersorak tanda gagah. Kemuncak tarian lansaran ialah berbalas-balas pantun tanda mengeratkan lagi tali silaturahim sesama mereka. Pada masa lalu tarian itu dipersembahkan bagi menyambut kepulangan para pahlawan yang telah mencapai kemenangan setelah bertarung di medan pertempuran. Sesungguhnya peluang untuk mengembara di perkampungan Mari-Mari Culture memberi pengalaman dan pengetahuan yang berguna mengenai sejarah dan penduduk pelbagai etnik di Sabah. | ||
| Mudahnya manusia jadi barang dagangan Posted: 11 Sep 2011 11:43 PM PDT KULIT halus, pipi gebu, bibir mungil dan mata bundar antara gambaran yang menterjemahkan dua bayi comel ini. Sesekali kedua-duanya ketawa riang sehingga mencuit hati bagi sesiapa sahaja yang memandang termasuk penulis. Bayi perempuan yang berumur sembilan bulan ini dipanggil Iman sejak kehadirannya di rumah ini sewaktu usianya baru seminggu manakala seorang lagi merupakan bayi lelaki yang mesra dengan panggilan nama Abang. Usianya? Dianggarkan setahun lebih kerana sehingga ke hari ini masih belum ada yang dapat menentukan umurnya yang sebenar dengan tepat berikutan tiada sijil kelahiran atau surat-beranak yang disertakan bersama sewaktu Abang dijumpai di sebuah klinik swasta di Kuala Lumpur pada November tahun lalu. Iman dan Abang diselamatkan daripada dijual dalam Operasi (Ops) Cinta Sayang yang dijalankan oleh Unit Anti-pemerdagangan Orang Bukit Aman dibantu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dalam satu serbuan tahun lalu. Selain itu, Polis turut merampas sijil lahir Iman dan wang tunai RM21,000 dipercayai dibayar oleh pasangan suami isteri yang ingin membeli bayi berkenaan. Kasihan pada Iman apabila hampir menjadi mangsa sindiket penjualan bayi di klinik tersebut yang dipercayai menjalankan kegiatan itu lebih sedekad lalu. Dengan nilai RM21,000, Iman seolah-olah dijadikan barang dagangan. Kemungkinan Abang yang turut berada di klinik yang sama dalam serbuan tersebut pastinya bakal dijual pada harga yang sama, kurang sedikit atau mungkin lebih daripada jumlah itu. Difahamkan, bayi yang dijual di pasaran gelap memberikan pulangan begitu lumayan berikutan permintaannya yang tinggi. Di Malaysia sahaja, bayi dijual pada harga serendah RM10,000 sehingga mencecah RM20,000 seorang. Sama ada ibu bapa Iman dan Abang atau pihak klinik itu, kesemuanya tidak berhati perut, bersikap zalim kerana mahu memperdagangkan bayi-bayi yang tidak berdosa. Begitu mudah manusia dijadikan sebagai barang dagangan, fikir penulis yang melihat dua bayi ini di Rumah Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang untuk Kanak-kanak dalam satu lawatan anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN), baru-baru ini. Ini merupakan kali kedua penulis menjejakkan kaki ke rumah perlindungan itu selepas pertama kali pada awal tahun ini bagi membuat liputan cerita muka depan Mingguan mStar bertajuk Pemerdagangan Manusia yang disiarkan pada 23 Januari 2011. Selain rumah perlindungan bagi wanita dan kanak-kanak, penulis turut pernah melihat persekitaran rumah perlindungan untuk lelaki di lokasi berlainan. Sejak 28 Februari 2008, jumlah keseluruhan kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dan diberikan perintah perlindungan (PO) yang ditempatkan di rumah perlindungan seramai 104 orang. Seramai 13 penghuni daripada jumlah itu adalah bayi. Bagi tempoh itu juga terdapat seramai 479 wanita dan 216 lelaki menjadi mangsa pemerdagangan orang di mana masing-masing ditempatkan di rumah perlindungan berasingan. | ||
| JRCC pantau kawasan ancaman pengganas Posted: 11 Sep 2011 11:42 PM PDT JIKA melihat pada pulau terpencil di perairan Semporna, Sabah ini pasti tidak disangka ia menjadi antara 33 penempatan strategik bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan Operasi Pencegahan Serangan Pengganas (Op Pasir). Maka tidak hairanlah terdapat sekumpulan pasukan tentera bersenjata di satu kawasan pada kedudukan lebih tinggi di pulau yang dinamakan Danawan ini sebagai markas operasi mereka. Hanya berkeluasan 0.63 kilometer persegi yang dihuni oleh sebahagian besarnya adalah masyarakat tanpa negara, Pulau Danawan dilihat sekadar biasa-biasa sahaja. Apakah relevannya menempatkan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) di pulau ini sedangkan Pulau Siamil yang berjiran sejauh 1.6 kilometer pun tidak berpenghuni? Namun keterangan oleh Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman jelas mencerminkan kesiapsiagaan ATM dalam memelihara dan melindungi keselamatan negara daripada pelbagai ancaman. "Pulau Danawan hanya sebahagian daripadanya. Banyak pulau dan perairan di Sabah telah disusun strategi bagi memantapkan Op Pasir. "Penempatan tentera di bawah ATB2 ini ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti lokasi strategik, kawasan berisiko tinggi dari ancaman atau anasir luar dan kawasan serta penempatan berkepentingan yang harus dilindungi," katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini. Pada masa ini, unit-unit di bawah ATB2 menduduki dan menguasai kawasan seluas 1,577 kilometer meliputi 33 penempatan strategik iaitu 22 penempatan di 20 pulau dan 11 penempatan di pesisiran pantai. Satu hikmah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan beliau bersama pengarang kanan media ke kawasan operasi Op Pasir baru-baru ini menegaskan bahawa benteng pertahanan negara itu tidak mengizinkan Malaysia dicerobohi apatah lagi diancam secara luaran atau dalaman walau hanya seinci. Justeru, Pusat Kawalan dan Sistem Pengawasan (JRCC) Op Pasir bertindak menguasai keselamatan maritim berpandukan konsep situational awareness dengan mengesan sebarang aktiviti atau pergerakan yang mencurigakan di perairan Pantai Timur Sabah dan mengambil tindakan sewajarnya. Operator radar itu bukan sahaja mampu mengesan dan merakamkan 'penceroboh' atau 'penjenayah' bahkan tindakan turut diambil untuk menyiasat, memeriksa dan jika perlu memberkas mereka. JRCC yang beroperasi di satu lokasi rahsia memantau aktiviti keseluruhan Op Pasir melalui System Consultancy Services (SCS) dan pesawat tanpa pemandu (UAV). Semua maklumat yang diperoleh melalui radar atau video secara langsung dipancarkan terus ke JRCC juga menjadi Pangkalan Operasi Hadapan Op Pasir. Dalam pelaksanaan tersebut, penggunaan projek sistem komunikasi bersepadu seluruh negara Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dioptimumkan. Ia turut dibangunkan untuk agensi keselamatan, penguatkuasaan dan kecemasan yang berkongsi prasarana tetapi masih mengekalkan autonomi setiap agensi. GIRN adalah sistem komunikasi utama bagi membolehkan inter-operasi antara semua agensi keselamatan yang beroperasi di Pantai Timur Sabah seperti ATM, Polis Marin, Pasukan Gerak Am dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata, insiden penculikan di Pulau Sipadan dan Pulau Pandanan melibatkan kumpulan militan Abu Sayaf yang berlaku 11 tahun dahulu dijadikan sebagai satu hikmah serta peringatan bahawa keselamatan negara tidak seharusnya diperlekehkan. "Kami sentiasa mengggerakkan Op Pasir secara berterusan dalam menjaga keamanan negara dan operasi ini telah mengembalikan keyakinan masyarakat berhubung isu keselamatan. "Kesannya, kedatangan pelancong asing ke Sabah semakin meningkat manakala insiden penculikan tidak berlaku lagi di Pantai Timur Sabah," katanya. Tambahnya lagi, kadar jenayah kecil seperti rompakan dan kecurian enjin bot juga berkurangan dengan kerjasama ATB2 dan masyarakat setempat. Markas ATB2 merupakan sebahagian daripada Markas Angkatan Bersama (Mk AB) iaitu perintah peringkat operasi yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan semua operasi bersama, operasi yang berkemungkinan menjadi bersama, operasi gabungan, operasi bersepadu serta multinasional seperti keamanan di bawah piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ditubuhkan pada 16 Julai 2007, Mk AB melaksanakan tugas berdasarkan konsep bersama bersifat tiga khidmat (tri-service) bagi memastikan fungsinya lebih berkesan dalam membantu Panglima ATM terutama aspek pemerintahan dan pengawalan operasi di peringkat tertinggi ATM. Op Pasir hanya sebahagian operasi Mk AB di dalam negara namun markas itu sudah bertindak ke luar negara menerusi misi PBB seperti di Sudan, Afghanistan, Timor Leste dan Lebanon. Lebih efektif Ahmad Kamarulzaman berkata, Mk AB akan terus memantapkan operasi agar tindakan secara menyeluruh lebih cekap dan kesannya lebih efektif. "Aset-aset ATM akan ditambah lagi dari semasa ke semasa tertakluk kepada kemampuan kerajaan bagi meningkatkan keupayaan rondaan dan pengawasan di perairan maritim Sabah Timur khasnya penggunaan bot-bot pemintas. "Selain itu, kami akan mengoptimumkan teknologi bagi operasi maritim berdasarkan sistem radar lebih bersepadu dan meningkatkan keupayaan pengawasan sepanjang masa. "Usaha secara berterusan bersama dengan agensi-agensi maritim seperti APMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dimantapkan," katanya. Menurut beliau, peranan ATM semakin dihargai oleh rakyat dan masyarakat perlu membantu menjadi 'telinga' dan 'mata' dalam memberi maklumat bagi meningkatkan lagi keberkesanan operasi. "Kad kecemasan mesra turut diperkenalkan yang mengandungi nombor-nombor telefon kem-kem tentera untuk para nelayan. "Pendekatan itu memudahkan tindakan segera sekiranya berlaku aktiviti jenayah atau sebarang situasi yang mencurigakan semasa mereka di laut," katanya. Ahmad Kamarulzaman berkata, ATB2 juga menjalankan konsep rondaan mesra dan program bertanya khabar serta program khidmat masyarakat atau Program Jiwa Murni di kawasan Op Pasir dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat. "Apa yang penting adalah memastikan kesejahteraan mereka di samping membuktikan ATM komited menjaga keamanan negara," katanya yang menyifatkan anggota tentera yang terlibat dalam Op Pasir amat komited dan bersedia bertempur mematahkan ancaman pengganas. | ||
| BMW raih kedudukan tertinggi kepuasan pelanggan Posted: 11 Sep 2011 11:40 PM PDT BMW terus mengukuh jenamanya apabila menjadi pilihan utama pengguna sekali gus meraih kedudukan tertinggi dalam tahap kepuasan perkhidmatan pelanggan di Malaysia. Hasil kaji selidik Indeks Perkhidmatan Pelanggan Malaysia (CSI) J.D. Power Asia Pacific 2011 Malaysia mendapati faktor utama yang menyumbang kepada paras tertinggi terhadap kepuasan pelanggan adalah makluman mengenai waktu kenderaan untuk diselenggarakan. Selain itu enam lagi faktor BMW menjadi pilihan utama ialah kualiti servis, pengambilan kenderaan, inisiatif servis, penasihat dan fasiliti servis yang diberikan. Kali selidik yang kini memasuki tahun kesembilan ini turut mengambil kira tahap kepuasan pelanggan di kalangan pemilik kenderaan yang mengunjungi pusat servis bertauliah untuk penyenggaraan atau kerja membaik pulih di antara 12 bulan hingga 24 bulan dari tarikh pembelian kenderaan. Tinjauan ini menilai tahap kepuasan pemilik kenderaan baru terhadap proses perkhidmatan selepas-jualan dengan meninjau prestasi pengedar dalam lima faktor tersebut. Prestasi CSI dilaporkan sebagai markah indeks berdasarkan skala 1,000 mata. Purata markah kesuluruhan kepuasan pelanggan pada 2011 adalah 718 mata, peningkatan sebanyak lapan mata berbanding dengan tahun 2010. Antara 12 jenama yang termasuk dalam tinjauan ini, BMW berada di kedudukan tertinggi dengan 804 mata dan mencatat prestasi cemerlang dalam faktor pengambilan kenderaan dan kualiti servis. Berada di belakang BMW ialah Mercedes-Benz (799) dan Isuzu (770). Buat pertama kalinya kedua-dua BMW dan Mercedes-Benz mencatat nama masing-masing dalam kedudukan dalam kaji selidik 2011 ini. Dengan tinjauan ini juga mendapati bilangan pelanggan yang menyatakan bahawa pengedar servis memaklumkan mereka apabila kenderaan mereka sudah sampai waktu untuk penyenggaraan telah meningkat secara ketara kepada 38 peratus pada tahun 2011, berbanding dengan 16 peratus pada tahun 2010. Di kalangan pelanggan yang menerima notis awal mengenai penyenggaraan rutin daripada pengedar servis, tahap kepuasan adalah 21 mata lebih tinggi daripada purata industri. Menurut Pengarah Eksekutif J.D. Power Asia Pacific, Singapura, Mohit Arora, menghubungi pelanggan bagi penyenggaraan rutin adalah perkhidmatan tambah nilai yang semakin kerap dilakukan oleh pengedar servis. "Melaksanakan proses-proses yang memaklumkan pelanggan apabila tibanya waktu penyenggaraan akan menggalakkan mereka untuk membuat temujanji penyenggaraan dan membolehkan pengedar servis untuk merancangkan aliran servis dan sumber-sumbernya dengan lebih baik. "Ini juga menyumbang kepada tahap kesetiaan pelanggan yang lebih tinggi terhadap pengedar servis dan jenama," ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Hasil kajian itu juga mendapati bahawa pelanggan yang menyatakan kos servis sebenar mereka adalah sama atau lebih rendah daripada yang dianggarkan adalah lebih berpuas hati (pada purata 733 mata) berbanding dengan pelanggan yang sama ada tidak menerima anggaran (683) ataupun kos sebenarnya lebih tinggi daripada yang dianggarkan (657). "Dalam pasaran yang persaingannya amat sengit seperti Malaysia, ianya adalah sangat penting untuk menyediakan anggaran kos semasa permulaan proses servis dan memastikan bahawa anggaran itu adalah tepat. "Selain itu, pengedar servis haruslah berkomunikasi dengan berkesan dan tepat pada masanya apabila wujudnya perbezaan di antara anggaran dan kos sebena," kata Arora. Kadar kesetiaan pelanggan dan sokongan terhadap jenama dan pengedar servis adalah ditentukan oleh kepuasan terhadap pengedar servis bertauliah. Sebanyak 42 peratus pelanggan yang sangat berpuas hati (purata markah kepuasan pelanggan melebihi 796) menyatakan bahawa mereka pasti mengesyorkan servis pengedar mereka kepada rakan-rakan dan keluarga. Sementara itu, 40 peratus pelanggan yang sangat berpuas hati menyatakan bahawa mereka 'pasti akan' mengunjungi semula pengeder servis mereka untuk khidmat servis selepas tempoh waranti. Tinjauan ini adalah berdasarkan penilaian daripada 2,667 pemilik kenderaan baru yang membeli kenderaan antara Februari 2009 dan Mei 2010, dan meghantar kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah antara Ogos 2010 dan Mei 2011 untuk perkhidmatan servis. Tinjauan ini dilakukan antara Februari dan Mei 2011. J.D. Power di Asia Pacific menjalankan tinjauan CSI di seluruh dunia melalui pejabatnya di Tokyo, Singapura, Beijing, Shanghai dan Bangkok. Ia menjalankan penyelidikan kepuasan pelanggan dan menyediakan khidmat perundingan dalam industri automotif, teknologi maklumat dan kewangan untuk pengguna dan perniagaan di China, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Filipina, Taiwan, Thai dan Vietnam. Maklumat lanjut berkaitan J.D. Power Asia Pasific dan produknya boleh disemak melalui laman web www.jdpower.com. | ||
| Hardy Hartono Intai Peluang Di Malaysia Posted: 11 Sep 2011 11:39 PM PDT GEMERLAPAN cahaya bintangnya belum cukup bersinar. Biarpun aktor dan model Indonesia bergelar Hardy Hartono ini hadir dengan pakej fizikal yang lengkap, itu bukan kelebihan mutlak untuknya membolosi arena lakonan semudah yang disangkakan. Kata jejaka berusia 27 tahun ini, tempoh lima tahun berpijak di pentas hiburan dirasakan terlalu hijau dan baru, apatah lagi untuk berpuas hati atau mendabik dada. Dalam pertemuan istimewa bersama OopStarz! baru-baru ini, Hardy mengakui, dia masih mencari tuah dan faktor X yang dapat melonjakkan lagi namanya agar menggamit perhatian umum. "Mungkin ramai yang menganggap paras rupa dan fizikal yang saya miliki sebagai satu kelebihan. Hakikatnya, proses untuk bergelar popular tidak semudah yang disangka. "Selepas lima tahun menceburi bidang seni secara profesional, saya terus bekerja kuat untuk mengintai peluang di merata tempat bagi mengukuhkan nama dan profil," katanya. Melihat keraguan dan ekspresi rendah diri yang dipamerkannya saat perbualan kami mengisi ruang, persoalan demi persoalan terus diajukan tentang faktor dan sebab yang merencatkan pengukuhan namanya. Jelas Hardy, persaingan yang sengit dalam atmosfera seni di Indonesia adalah cabaran terbesar bagi mana-mana pemainnya. Katanya, untuk menonjol dan ke depan, setiap anak seni harus bijak menampilkan pakej yang tersendiri dan bukan sekadar paras rupa yang kacak atau cantik saja. "Persaingan yang sengit di Indonesia adalah cabaran terbesar. Kita sedia maklum, terlalu banyak pelakon dan penggiat seni harus bersaing sesama sendiri untuk dikenali dan mendapat tempat. "Untuk berjaya dalam bisnes hiburan ini, dua pakej asas iaitu paras rupa dan kemahiran harus bergerak seiring. Kedua-duanya perlu saling melengkapi kerana jika kurang salah satunya, maka susahlah untuk membina nama," luahnya. Dia yang bermula sebagai model katalog produk pada 2005 berkata, sekalipun namanya tidak segah mana berbanding teman akrab juga aktor Samuel Rizal atau nama-nama lain termasuk Nicholas Saputra, Baim Wong, Fauzi Baadila dan Fedi Nuril, dia cukup bertuah dan bersyukur kerana terus mendapat ruang di sana. "Sebagai pelakon, masih banyak kekurangan yang perlu diperkemas untuk terus 'hidup' di pentas seni. "Tidak memadai dengan wajah kacak dan fizikal yang menarik tetapi apa yang mampu saya tawarkan kepada penonton menerusi bakat dan keunikan diri," tuturnya. Dilamar Erma Fatima Hardy mengakui lamaran sutradara, Erma Fatima untuk berlakon dalam drama bersiri Kitab Cinta (TV AlHijrah) adalah satu rezeki yang tidak ternilai harganya. Menerusi peluang itu jugalah dia dapat meluaskan lagi jaringan kerjaya ke negara jiran, Malaysia. Dia yang menganggap ketentuan itu sebagai permulaan yang baik lantas berharap untuk mengintai lebih banyak peluang di negara ini. "Pada awalnya saya tidak pasti dan ragu-ragu apabila dilamar oleh pengarah Erma Fatima, awal tahun ini. Kini selepas melihat impak positif daripada pembabitan itu, saya amat bersyukur dengan peluang tersebut. "Baru-baru ini, saya baru saja muncul dalam versi telefilem Kitab Cinta pada Hari Raya baru-baru ini. Menjelang November depan saya akan kembali terlibat untuk musim kedua drama itu pula," katanya. Justeru, Hardy berharap agar pintu rezekinya di gelanggang lakonan tanah air akan terbuka luas selepas ini kerana dia mahu untuk bekerjasama dengan para penggiat dan karyawan tempatan. "Saya berharap langkah saya ke Malaysia tidak berhenti di sini. Saya ingin membintangi drama atau filem berat dan aksi dan menjalin kerjasama dengan penggiat yang kreatif dan berkaliber di Malaysia. "Sebab itu, saya perlu terus mencari peluang di sini untuk mengembangkan lagi bakat dan menawarkan lebih banyak pilihan kepada penonton," jelasnya. Dianggap sombong Seperkara yang jelas tentang aktor yang membina nama menerusi sinetron Aqso dan Madina ini adalah sikap pendiam dan pemalu yang dimilikinya. Malah, akuinya dek kriteria itu jugalah dia kurang menonjol berbanding rakan pelakon lain yang seangkatannya. "Saya rasa antara sebab lain yang membuatkan saya lambat dikenali adalah kerana sikap pemalu, pendiam dan berat mulut. "Bukan saya sombong cuma memang sejak kecil saya agak kekok untuk memulakan perbualan dengan orang baru. Kebiasaannya, saya akan mengambil masa untuk membina kemesraan dengan orang baru," kongsinya. Tambahnya, acap kali juga dia disalah ertikan oleh orang lain yang menganggapnya sebagai seorang yang sombong dan tidak mesra. Realitinya, berkali-kali Hardy menerangkan bahawa dia senang untuk bergaul dengan sesiapa saja. "Banyak kali orang salah faham dan mendakwa saya sombong dan tidak peramah. Sebab itu, saya tidak rapat dengan ramai orang. "Lagipun, secara fitrahnya, saya lebih selesa apabila bersendirian. Ketika bekerja di Jepun selama tiga tahun, saya berjauhan dengan keluarga dan rakan-rakan dan selesa dengan keadaan itu," katanya menyimpulkan bicara. | ||
| Terbaru Daripada Beyonce Knowles Posted: 11 Sep 2011 11:36 PM PDT Artis: Beyonce Knowles Album: 4 Lagu Pilihan: I Miss You, Countdown, I Was Here dan End Of Time Edaran: Sony Music Malaysia SELEPAS Dangerously in Love (2003), B'Day (2006) dan I Am... Sasha Fierce (2008), Beyonce Knowles (gambar) muncul dengan album terbarunya berjudul 4. Sekali dengar, 4 yang menggabungkan elemen muzik Jazz, Blues, dan Funk 80-an serta 90-an itu kurang menarik minat OopStarz! dengan lagu-lagu yang dimuatkan. Mungkin ia perlu dimainkan dengan kerap, barulah beberapa lagu dapat 'menangkap' ke telinga pendengar. Pendapat OopStarz!, 4 tidaklah sekuat album-album sebelum ini yang mampu membuatkan orang terus jatuh cinta pada lagu-lagu yang dibawakan apabila pertama kali mendengarnya. Antara lagu yang dimuatkan pada album ini ialah 1+1, I care, I Miss You Best Thing I Never had, Party (menampilkan Andre 3000), Rather Die Young, Start Over, Love On Top, Countdown, End of Time, I was Here dan Run The World (Girls). Pada trek pertama, 1+1 yang dihasilkan oleh Beyonce bersama Tricky Stewart, Terius Nash dan Coray Jackson Carter yang menceritakan tentang seseorang yang hangat dilamun cinta itu hanyalah sebuah lagu yang biasa sahaja, tetapi, kerana mainan vokal mantap yang dibawakan oleh Beyonce, ia boleh dikira sedap untuk didengar. Lagu Party yang diterbitkan oleh Kanye West telah diambil sampel lagu daripada La Di Da Di, yang pernah dinyanyikan oleh Doug E. Bagi yang meminati muzik Retro R&B, lagu ini mungkin akan menjadi kegemaran. Begitu juga dengan lagu Boyz II men, Uhh Ahh, sampel lagu tersebut diambil untuk menghasilkan Countdown. Ternyata susunan muzik yang rancak menarik didengar. Secara keseluruhannya, 4 bukanlah sebuah album komersial tetapi menerusi album ini ia menunjukkan tentang diri Beyonce yang berkarya mengikut idealismenya. Selain itu, menariknya tentang album ini ia dipasarkan dalam dua versi iaitu Duluxe di mana ia memuatkan sebanyak dua keping cakera padat (CD) dengan tiga lagu bonus dan tiga versi remix iaitu lagu Run The World (Girls). Menerusi CD itu juga, peminat Beyonce dapat menyaksikan klip video menerusi laman web yang dinyatakan. Manakala, versi Standard pula hanya memuatkan 12 trek lagu yang telah dirakamkan. Bagaimanapun, melihat kulit album ini, ramai yang akan kagum dengan foto-foto yang dipaparkan kerana setiap foto berkenaan mewakili setiap judul lagu yang dimuatkan dalam album tersebut. | ||
| Posted: 11 Sep 2011 11:34 PM PDT TERBAIK...hubungan akrab Testino dengan Kate sejak 21 tahun lalu memudahkannya menghasilkan gambar luar biasa sempena perkahwinan supermodel itu pada 1 Julai lalu. DETIK TERINDAH...Kate dan Hince bergambar dalam suasana intim. IA boleh dianggap detik yang ditunggu-tunggu dalam dunia fesyen. Ketika Kate Moss diiring menuju tempat dia bakal dikahwinkan secara rasmi dengan Jamie Hince, supermodel itu ternyata tidak menghampakan orang ramai dengan penampilan penuh anggun dengan gaun ciptaan sahabat karibnya, John Galliano. Kini, gambar rasmi perkahwinan Kate - Hince yang dirakam jurugambar terkenal, Mario Testino, didedahkan kepada orang awam.
| ||
| Posted: 11 Sep 2011 11:33 PM PDT SEPAKAT...Izuddin (kiri) dan Aldino ketika bertemu di litar Monza, Itali, baru-baru ini. PETRONAS Lubricants International (PLI), anak syarikat Petronas Dagangan Berhad (PDB) akan melabur kira-kira RM225 juta untuk membina pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D) di Turin, Itali bagi memperkukuhkan kedudukannya dalam industri minyak global. Pusat R&D dijadualkan mula dibina pada 2013 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2015.
Menurutnya, pusat itu berupaya memenuhi standard diperlukan pengeluar peralatan tulen (OEM) selain spesifikasi produk minyak pelincir bagi pasaran Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun.
Syarikat itu yang tergolong dalam kelompok 15 teratas senarai syarikat minyak pelincir dunia juga mengambil alih FL Selenia iaitu pengeluar dan pemasar minyak pelincir automotif berjenama Eropah.
Beliau berkata, langkah terbaru berkenaan adalah komitmen berterusan PLI bagi memperkukuhkan kedudukan serta produk dihasilkan di peringkat global.
| ||
| Posted: 11 Sep 2011 11:31 PM PDT PETANDA...antara petanda penyakit ini apabila mereka seolah-olah mengalami gejala menopaus. PENYAKIT TIDAK DIKENALI...penyakit yang jarang berlaku ini lazimnya menyerang mereka yang berusia. HIDUPNYA terasa serba tidak kena. Sudah beberapa tahun dia mengalami masalah cirit-birit yang tidak diketahui puncanya. Paling merimaskan ialah gejala selaran kepanasan yang membuatkan dia kerap berpeluh pada waktu malam sehingga mengganggu tidurnya. Apabila ke klinik, doktor menganggap Ain (bukan nama sebenar) mengalami gejala menopaus. Kalau dia sudah berumur, tanggapan itu mungkin boleh diterima tetapi dia masih muda, sekurang-kurangnya ada 10 tahun lagi untuk sampai ke peringkat itu. Baru-baru ini apabila menjalani ujian pemeriksaan, doktor memberitahu masalahnya itu mungkin disebabkan ketumbuhan neuroendokrin (NET). Itu kali pertama Ain mendengar nama penyakit berkenaan. Tidak hairanlah jika kebanyakan doktor yang ditemuinya sebelum ini tidak berjaya mengenal pasti punca masalahnya kerana NET dikategorikan sebagai penyakit jarang berlaku dan tidak dikenali.
Kini ia dipanggil NET, berdasarkan kandungan protein di dalamnya dan ia diterima Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak lebih 10 tahun lalu. Di Malaysia, tiada statistik jumlah pesakit dan walaupun ia jarang berlaku tetapi pakar perubatan menganggap angkanya semakin meningkat. Ini selaras dengan daftar kanser di Amerika Syarikat yang menunjukkan peningkatan lima kali ganda kes NET dalam tempoh lima tahun kebela�kangan ini. Bagaimanapun, usah terlalu risau kerana jumlahnya masih dianggap kecil iaitu 2.5 hingga lima kes bagi 100,000 penduduk setahun. Peningkatan kes ini disumbangkan kewujudan peralatan moden yang boleh mengesan NET dan biasanya ditemui di saluran gastrousus, pankreas dan kadangkala pada paru-paru. Pertambahan jumlah kes juga mungkin disebabkan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan. Oleh kerana NET jarang berlaku, tidak hairanlah jika kanser yang berbahaya ini biasanya lewat dikesan. Kebanyakan kes dikesan lima hingga tujuh tahun selepas pesakit mempunyai ketumbuhan atau mengalami gejala. Bagaimanapun, bukan semua pesakit mengalami gejala kerana ada jenis NET yang tidak menunjukkan sebarang gejala dan pesakit boleh menjalani hidup tanpa sebarang masalah. Dalam kes begini, penyakit mereka biasanya ditemui secara tidak sengaja iaitu apabila mereka menjalani ujian kesihatan bagi masalah lain. NET boleh berlaku pada semua peringkat umur, lelaki dan wanita tetapi pakar perubatan berpendapat ia lebih kerap dialami orang tua. Punca dan gejala Seperti kanser lain, punca NET tidak diketahui dengan jelas. Jika dilihat pada namanya yang membabitkan perkataan 'endokrin' mungkin ada yang beranggapan pesakit akan mengalami sindrom neuroendokrin seperti berlakunya berlebihan hormon dan menjejaskan sesetengah fungsi badan seperti paras gula terlalu tinggi atau rendah. Namun tidak ramai yang mengalami gejala seperti ini. "Masalahnya, gejala NET sangat pelbagai, ia boleh berbentuk khusus atau umum. Gejala khusus ialah paras gula rendah, cirit-birit atau pesakit berasa sakit perut. Banyak kes disalah tafsir sebagai Sindrom Gangguan Usus (IBS atau usus spastik). Ia menyebabkan pesakit kehangatan kerana ketumbuhan ini boleh mengeluarkan bahan yang membuatkan kita berasa panas. "Sukar untuk menentukan punca kepanasan yang dialami pesakit dan jika pesakit ialah wanita berumur, ia mungkin dikaitkan dengan gejala menopaus. Doktor mungkin perlu melakukan ujian lain dan biasanya ia hanya dikesan selepas lima hingga tujuh tahun melalui ujian histologi atau ujian biokimia khas. "Kelewatan pengesanan ini disebabkan gejala NET yang samar-samar selain kesedaran mengenai penyakit ini masih belum meluas," katanya pada pelancaran buku panduan NET, baru-baru ini. Namun secara umumnya, kebanyakan pesakit tidak mengalami gejala. Gejala yang ditunjukkan juga bersifat umum seperti bengkak, cirit-birit, sakit atau senak perut, pendarahan dalam saluran gastrousus, sakit dada, sesak nafas, selaran kepanasan dan kerap berpeluh menyerupai masalah artritis, alahan makanan, IBS, ketagihan alkohol, asma, keresahan dan menopaus. Turut hadir pada majlis berkenaan, Perunding Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Datuk Dr Looi Lai Meng; Perunding Radiologi Pusat Perubatan Pantai, Dr Shahrina Man Harun; Perunding Pembedahan Hepatobiliari Pankreatik Hospital Selayang, Dr Krishnan Raman; Perunding Gastroenterologi Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Sharmila Sachithanandan dan Perunding Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein. Kehadiran pakar daripada pelbagai bidang itu menunjukkan NET adalah penyakit yang sangat 'unik' dan memerlukan gabungan beberapa pakar untuk mengesan dan merawatnya. Apa yang membimbangkan pakar perubatan, NET boleh merebak ke bahagian badan lain (metastasis) dan ia bersifat sangat agresif. Ini bermakna ia boleh berkembang dan merebak dengan cepat. Jika NET berlaku pada pankreas, ia boleh menyebabkan beberapa sindrom seperti insulinoma, gastrinoma, glukagonoma, VIPoma, somatostatinoma dan NET pankreas tanpa sindrom yang semuanya didapati merebak ke bahagian badan lain. Apa yang pesakit perlu lakukan jika tidak mengalami gejala? "Sebenarnya setiap pesakit akan mengalami gejala tertentu yang mengganggu kehidupan mereka tetapi biasanya ia dianggap sebagai 'masalah biasa'. Ramai yang berjumpa doktor apabila 'masalah biasa' ini sudah tidak tertanggung lagi. "Di Malaysia, pesakit selalu bertukar-tukar doktor. Jika doktor pertama yang ditemui tidak berjaya mengurangkan masalah mereka, pesakit akan mencari doktor lain. Ia menyebabkan proses diagnosis (pengesanan) menjadi lebih sukar. "Oleh kerana NET dianggap penyakit yang jarang berlaku dan agak sukar dikesan, langkah terbaik ialah pesakit bersabar dengan doktor yang ditemui supaya ujian seterusnya boleh dilakukan. Doktor anda akan mendapatkan pandangan daripada pakar daripada bidang lain dan biasanya melalui cara inilah penyakit anda dapat dikesan (berdasarkan perbincangan dan penelitian beberapa pakar berlainan bidang)," katanya. Jika anda mengesyaki mengalami NET, disarankan supaya menjalani ujian pengesanan penanda ketumbuhan (tumor marker). Bagaimanapun perlu diingat, walaupun keputusan anda positif, ia tidak semestinya NET. Jika keputusan positif penanda kanser tiada kaitan dengan NET, jadi apa yang boleh dijadikan sebagai penunjuk masalah ini? Sebenarnya ujian penanda kanser tidak disarankan sebagai saringan penyakit kanser kerana ia bukan ujian tepat untuk NET, tetapi keputusan positif itu mungkin menunjukkan ketumbuhan atau kanser lain. Pengesanan NET seharusnya berdasarkan gejala bukan melalui imbasan atau ujian darah. Ia bergantung kepada gejala yang dialami, barulah penyiasatan boleh dilakukan. Jika ia gejala gastrousus, maka penyiasatan gastrousus akan dilakukan. Bagaimana doktor keluarga boleh membantu? Menurut Dr Fuad, oleh kerana ia jarang ditemui, doktor perlu bertanyakan jika pesakit mengalami gejala luar biasa. Mereka juga perlu lebih peka terhadap perbezaan kecil dan bertanya lebih banyak soalan jika didapati berlakunya gejala yang mencurigakan. Rawatan Jenis rawatan bergantung kepada masalah yang dihadapi setiap pesakit. Biasanya pesakit perlu menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan atau kanser mereka. Walaupun kanser bersifat agresif dan sudah merebak, doktor akan tetap mencadangkan supaya dilakukan pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan asal. Dalam sesetengah keadaan, kanser yang merebak ini bersifat terpencil dan lebih mudah untuk dibuang. Berbeza dengan rawatan kanser lain, kemoterapi tidak menjadi keutamaan kerana tidak banyak ubat yang berkesan untuk kanser NET. Ubat kemoterapi yang berkesan pula terlalu toksik dan peluang untuk kanser mengecil dengan ubat ini agak rendah. Ubat kemoterapi yang ada sekarang masih tidak mampu membunuh sel kanser NET, jadi pendekatan rawatan yang dijalankan sekarang ialah untuk mengurangkan gejala supaya pesakit boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik. Dalam kes NET, kaedah radioterapi tidak akan digunakan kecuali bagi keadaan tertentu seperti jika ketumbuhan mengalami pendarahan atau badan pesakit tidak menunjukkan sebarang tindak balas terhadap rawatan lain atau apabila kanser sudah merebak ke tulang dan menyebabkan pesakit berada dalam kesakitan. Radioterapi hanya bertindak untuk mengurangkan kesakitan atau mengecilkan saiz kanser yang sudah membengkak. Bagaimanapun, kini sudah ada rawatan bersasaran seperti endostatin atau octreotide yang membantu mengurangkan gejala NET. Ada juga rawatan yang mampu menyekat kemaraan atau perkembangan kanser. "Walaupun kita tiada hospital yang dikhususkan untuk merawat kanser ini, tetapi Malaysia mempunyai ramai pakar perubatan yang boleh membantu anda. Pesakit tidak perlu pergi ke luar negara untuk berubat kerana rawatan terbaik dan doktor berpengalaman ada di negara ini," katanya. | ||
| Posted: 11 Sep 2011 10:09 PM PDT LALUANNYA berada dalam dunia seni tidaklah seindah yang disangka. Zahirnya macam manis bersalut madu, namun hakikat sebenar, pahit bak hempedu. Hanya mereka yang tabah dan dan mempunyai semangat teguh saja mampu meneruskannya. Meskipun permaidani merah terhampar menyambut kehadiran bakat muda jelita ini dalam bidang seni, namun ternyata di sebalik hamparan yang terbentang, rupa-rupanya ada ranjau dan duri yang sedang menanti. Cukuplah dengan apa yang Lofa lalui. Lofa tidak mahu lagi dilihat sebagai pelakon yang menarik perhatian peminat dengan cerita sensasi yang bukan-bukan. Bukanlah marah kepada media yang bertanya soalan berhubung perselisihan faham dengan seorang pelakon tapi memang tiada apa yang perlu diperkatakan lagi. Lofa tak mahu disebabkan terlalu bercerita soal peribadi, cerita mengenai kerjaya tenggelam begitu saja. Biarlah cerita kerjaya seiring dengan kisah peribadi, kata gadis berusia 22 tahun pada sesi fotografi yang diadakan di Pelabuhan Klang, baru-baru ini. Begitupun, selain perselisihan fahamnya dengan Nur Fazura, tersebar juga cerita kononnya seorang pelakon baru sudah memburuk-burukkan dirinya serta bercerita perkara yang buruk mengenai Neelofa. Apakah dia mempunyai masalah dengan pelakon terbabit sehingga tergamak menyebarkan cerita yang tidak betul. Memang ada dengar kisah pelakon memburukkan Lofa. Biarlah. Tak perlu nak layan ceritanya. Dia memang tak suka dengan Lofa. Lebih baik tumpukan kerjaya dan memantapkan lagi seni lakonan Lofa, katanya. Sememangnya, populariti Lofa naik mendadak dan siapa sangka tidak sampai setahun menceburkan diri dalam bidang lakonan, dia sudah berpeluang berada di bawah bimbingan pengarah berpengalaman seperti Erma Fatima dan Aziz M Osman. Terbaru, dia akan berada di lokasi penggambaran filem Lemak Kampung Santan arahan Hans Isaac. Lofa memang ada niat menyertai kelas lakonan, tapi hasrat itu terpaksa ditangguhkan dulu. Tapi dalam filem Lemak Kampung Santan, semua pelakonnya akan mendapat bimbingan Fatimah Abu Bakar. Memang Lofa harap dapat berlatih di bawah bimbingannya, katanya dalam nada teruja. Bakal duta kosmetik terkemuka? BUKAN saja laris dalam bidang lakonan tapi Lofa juga menjadi rebutan untuk menjadikannya duta pelbagai produk kecantikan. Terbaru, jika tiada aral melintang dia bakal bergelar duta kepada sebuah produk kosmetik gergasi yang sememangnya menjadi idaman ramai. Khabarnya pelakon yang berasal dari Kelantan Darul Naim ini akan terbang ke luar negara Oktober ini untuk menjalankan sesi fotografi sempena pelantikannya sebagai duta produk berkenaan. Tunggulah pengumuman rasmi dibuat oleh pihak berkenaan, katanya ringkas. Selain bergelar produk kosmetik, Lofa turut dilamar oleh sebuah produk penjagaan kulit yang tidak kurang terkenalnya. Bagaimanapun hasrat itu ditangguhkan seketika kerana kontrak jurucakap yang sedia ada belum tamat, katanya. Dalam perkembangan lain, Lofa yang sebelum ini mengusahakan perniagaan kasut secara di atas talian (online) menerusi laman web neelofaheels.blogspot.com bercadang memperkembangkan lagi perniagaannya itu. | ||
| Posted: 11 Sep 2011 10:05 PM PDT SOKONGAN...mahasiswa perlu menjadikan sokongan dan harapan ibu bapa sebagai azimat untuk mencapai kejayaan. HARI ini 41,267 mahasiswa yang terpilih memasuki institusi pengajian tinggi awam seluruh negara memulakan kehidupan di kampus secara rasmi, sekali gus meneruskan perjuangan menimba ilmu untuk masa depan. Sesuai status disandang, mereka perlu berdikari, belajar menyesuaikan diri dengan suasana baru serta pada masa sama bertungkus-lumus supaya berjaya menamatkan pengajian. Harapan dan cita-cita disatukan untuk bergelar graduan serta menggenggam ijazah, sekali gus memasuki dunia kerjaya yang semakin mencabar.
| ||
| Modul tangani pelatih PLKN buta huruf Posted: 11 Sep 2011 09:57 PM PDT ABDUL LATIF sambil diperhatikan Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil bertanyakan sesuatu kepada pelatih PLKN sebelum merasmikan Majlis Pelepasan Pelatih PLKN Kumpulan 3 Siri 8/2011, di Kuala Lumpur, semalam. Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, berkata cadangan mewujudkan modul Literasi Membaca dan Menulis atau I-Smart itu timbul selepas JLKN mengesan ada pelatih PLKN dalam kumpulan tiga siri 7/2010 mempunyai masalah untuk menulis, membaca dan mengira (3M). Ada juga pelatih beragama Islam tidak tahu bersolat, mengaji dan membaca doa, justeru kita berani jamin selepas mengikuti modul selama 30 jam kredit sepanjang tempoh 85 hari mereka mengikuti PLKN itu, ada perubahan yang akan berlaku pada mereka, katanya. Beliau berkata, pihaknya turut menjamin pelaksanaan modul itu tidak akan mengganggu perjalanan modul latihan sedia ada dan buat masa ini JLKN sudah melatih 30 jurulatih untuk mengajar pelatih yang berhadapan masalah 3M. Semalam, seramai 19,418 pelatih berlepas menaiki 307 bas ke kem PLKN seluruh negara dan jumlah keseluruhan pelatih yang akan mengikuti latihan dalam Kumpulan 3 sesi kali ini adalah seramai 57,190 orang termasuk 1,579 dari Sabah dan Sarawak. Sementara itu, Abdul Latif menyambut baik cadangan Institut Akhbar Malaysia (MPI) untuk melengkapkan petugas media dengan kemahiran bertugas di zon konflik melalui satu kursus khas dengan bantuan Kementerian Pertahanan. | ||
| Lampu bukan sekadar memberi cahaya Posted: 11 Sep 2011 09:55 PM PDT Ramai yang tidak tahu reka bentuk lampu boleh menjadi alat perhiasan dekorasi ruang kediaman. Jika anda bijak memilih reka bentuk lampu sama ada di ruang tamu, bilik tidur, dapur atau sudut-sudut lain di kediaman, ia boleh mengindahkan ruang tersebut. Pendek kata, ia bukan sekadar memberi cahaya walaupun ada yang menyebut rumah tanpa lampu ibarat malam tanpa siang. Ini membuktikan lampu satu elemen penting bagi sesebuah kediaman. Pengeluar lampu, Lightcraft misalnya mengeluarkan pelbagai jenis lampu sesuai dengan konsep perhiasan, pengeluar perhiasan rumah. Syarikat ini mengeluarkan pelbagai bentuk, saiz, fesyen dan corak lampu yang memikat hati. Daripada sentuhan klasik hingga kepada moden dan trendy, kepelbagaian warna-warna kontras, berkonsepkan flora atau geometrik serta penggunaan logam atau kayu rotan, semuanya menjadi permintaan. Membangkitkan mood Tahukah anda warna dan efek cahaya bukan sahaja memainkan peranan dalam membangkitkan mood dan suasana, bahkan juga mencantikkan ruang kediaman. Misalnya warna lampu meja menulis anda mungkin berbeza dengan lampu di ruang tamu dan bilik tidur. Pencahayaan ini sebenarnya mempunyai fungsi berbeza mengikut ruang kediaman. Di Lightcraft terdapat pelbagai pilihan lampu moden dengan bentuk canggih dan terkini. Ada lampu yang tangkainya boleh diubah seperti menggubah bunga dan ada juga lampu yang diterap elemen futuristik seperti lampu cadmo, lampu lantai yang berbentuk seperti pasu panjang yang langsing. Terdapat juga lampu-lampu retro zaman 70-an yang dipermoden menjadi lampu yang nampak unik, kontemporari dan canggih. Selain itu, lampu di luar kediaman tidak kurang menariknya. Misalnya, lampu di bahagian depan pintu rumah berperanan penting untuk pengawasan keselamatan di waktu malam. Dengan penataan menarik, ia boleh menyerikan kediaman di waktu malam. Penyeri pejabat Bagi sebuah syarikat yang mementingkan hiasan dalaman, lampu sangat berperanan penting. Di pejabat penulis sendiri, lampu bukan sekadar memberi waktu malam tetapi ia juga berfungsi di waktu siang. Rekaan atau cahaya lampu yang menarik membantu pekerja selesa menyelesaikan tugasan harian. Tanpa lampu, suasana menjadi suram dan gelap. Bertambah menarik jika pejabat memilih pelbagai bentuk geometri sebagai hiasan lampu sudut. Pilihan menarik ini menjadi penyeri dekorasi pejabat lebih-lebih lagi mereka yang banyak menghabiskan masa di dalam pejabat. Bagi mereka yang ingin menghabiskan kerja pejabat di rumah, anda boleh menggunakan lampu meja jika lampu di siling kurang memberikan cahaya kepada kerja anda. Selain itu, anda boleh menambah lampu meja atau lampu sudut. Ini juga membantu merehatkan mata anda setelah seharian melihat dokumen yang boleh menyebabkan tekanan pada bahagian mata. Oleh itu, pilihlah model yang sesuai dengan dekorasi pejabat anda sama ada stail moden atau tradisional asalkan ia tidak kelihatan janggal pula. Lampu raksasa Dalam pada itu, bertempat di bilik pameran Lighttcraft, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, satu majlis cabutan bertuah utama, iaitu sebuah lampu besar, JJ Outdoor bernilai RM34,461 telah diadakan pada 7 Julai lalu. Pelanggan yang membelanjakan RM 20 000 dalam satu resit layak menyertai cabutan bertuah tersebut. Uniknya, lampu raksasa tersebut menarik jika anda meletakkannya di ruang tamu. Berbentuk seakan lampu meja tulis, penataan cahaya lampu ini sudah cukup untuk satu ruang besar seperti ruang tamu. | ||
| Posted: 11 Sep 2011 09:55 PM PDT
CUTI semester panjang selama empat bulan dimanfaatkan sewajarnya oleh gadis manis ini dengan berniaga secara kecil-kecilan. "Fatin menjual tudung, selendang, alat solek dan pakaian wanita melalui blog saya, www. fatinsuhana.blogspot.com," kata pemilik nama penuh Che Wan Fatin Suhana Che Wan Khalid. Menurut gadis berusia 22 tahun ini, sesekali dia juga dipanggil untuk menggayakan rekaan terkini butik-butik pakaian muslim. Biar pun secara sambilan, baginya peluang sebegitu tidak patut dilepaskan apatah lagi dia juga sangat meminati dunia peragaan. Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri yang lalu, Fatin berkata, dia menyambutnya di rumah keluarganya di Kuantan, Pahang. Walaupun kedua ibu bapanya berasal dari Terengganu, namun kali ini mereka memilih untuk beraya di rumah sendiri sahaja. Pelbagai hidangan tradisi disediakan seperti lontong, lemang dan rendang. Tidak dilupa juga kuih-muih moden. Paling istimewa, ia dihasilkan sendiri oleh Fatin yang sememangnya mahir ketika di dapur. Penuntut jurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Teknologi Mara ini membuktikan bahawa gadis moden hari ini tetap mahir memasak. "Fatin sediakan dua jenis kek iaitu kek keju mousse dan kek keju Oreo. Selain itu, Fatin turut membuat apam polka dot, spaghetti dan puding oren koktel," katanya lagi. Melihat kepada gaya manja gadis ini, sukar mempercayai dia seorang yang sangat berdikari. Menurutnya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia dihantar ke Jepun oleh bapanya untuk belajar budaya di sana. Tempoh sebulan digunakan oleh Fatin untuk ke sekolah dan bergaul dengan penuntut di sana walaupun dia tidak mahir berbahasa negara itu. Pengalaman itu menjadikan Fatin semakin matang biar pun di kelilingi orang asing. Malah dua tahun lalu, bersama rakan-rakan, dia mengembara ke Eropah selama sebulan. "Mengembara membuka mata kita mengenai budaya dan cara hidup masyarakat luar. Ia juga menjadikan kita semakin berdikari dan percaya kepada kebolehan sendiri," akhiri gadis comel itu lagi. | ||
| Posted: 11 Sep 2011 09:54 PM PDT
KETIKA menggayakan aksesori , perkara pertama yang difikirkan adalah keinginan untuk tampil ringkas, moden dan anggun dalam apa jua suasana. Dalam pada itu, jangan terlalu leka membeli aksesori yang mencecah ribuan ringgit tanpa memikirkan konsep solekan yang sesuai untuk ke majlis, pejabat atau bersantai. Pada era ini, wanita bukan sahaja ingin tampil ayu tetapi juga mereka mahu kelihatan cergas dan elegan. Satu hal yang nyata, kegilaan kepada aksesori daripada batu-batu hiasan semakin dapat dilihat pada masa kini. Semakin ramai wanita yang amat menyukai aksesori ini berbanding barangan kemas. Batu-batu permata separuh berharga yang bermacam-macam warna, kristal dan mutiara merupakan di antara aksesori pilihan wanita. Selain daripada harganya yang tidak semahal emas, aksesori sebegini terasa selamat dipakai selain mudah dipadankan dengan warna pakaian. Himpunan aksesori merah, hijau, biru, hitam, kuning dan sebagainya tidak memerlukan anda membuang banyak masa untuk mencari perhiasan sepadan. Lama memakainya dan terasa jemu dengan rekaan yang ada, jangan disimpan sahaja kerana anda boleh menempah rekaan lain yang lebih sofistikated dan mengikut peredaran zaman. Apa kata intai aksesori unik, menarik dan nampak elegan daripada Kyla Ruiz. Menjual aksesori menerusi jaringan Internet, pengasas Kyla Ruiz mengimport koleksi aksesori dari Austria dan Amerika Syarikat. Koleksi-koleksi ini sesuai untuk gaya formal, klasik, sofistikated dan kasual. "Dalam bahasa Sepanyol, Kyla bermaksud cantik dan Ruiz merupakan nama kerabat raja Sepanyol. Seindah namanya, jenama ini membawa ada trend aksesori batu hiasan yang berkualiti. Dalam pada itu, Kyla Ruiz turut menawarkan aksesori mewah yang disaluti emas 18 karat dan perincian batu Swarovski selain menggunakan saduran perak berkualiti," katanya yang boleh dihubungi di laman web www.kylaruiz.com atau www.facebook.com/kylaruiz.kr. | ||
| Jambori pengakap erat hubungan Malaysia, Indonesia Posted: 11 Sep 2011 09:53 PM PDT Wakil pengakap dari Malaysia bersama pengakap dari Jambi di Jambori Pengakap Nasional Indonesia, Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia baru-baru ini. SERAMAI 22 guru penolong kanan kokurikulum daerah Batu Pahat bersama tiga pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Johor menyertai Jambori Pengakap Nasional Indonesia (JAMNAS) di Teluk Gelam, Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia baru-baru ini. Jurucakap kumpulan, Mustaffa Siraj memberitahu, penyertaan ini adalah dalam rangka lawatan sambil belajar untuk meninjau perjalanan jambori sekali gus mengeratkan hubungan antara dua negara berjiran. "Aspek persediaan tempat, pengurusan makanan, keselamatan dan juga lawatan berjaya diurus dengan baik termasuk kawalan ketat oleh Angkatan Bersenjata Indonesia (ABRI) di kawasan perkhemahan seluas 65 hektar itu," pujinya. Jambori selama enam hari itu dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan disertai 25,000 pengakap dari seluruh Indonesia dan wakil-wakil dari Malaysia, Singapura dan Brunei. Menurut Mustaffa, keupayaan Pengakap Indonesia menganjurkan jambori yang sungguh besar itu menarik perhatian Pengakap Malaysia dan layanan yang diberikan kepada peserta negara kita juga amat memuaskan. "Malah Pengakap Malaysia turut berpeluang melawat ke pelbagai tempat menarik di Palembang seperti Pulau Mekaro, Bukit Siguntang dan jambatan Ampera," katanya. Sepanjang jambori, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah dan diskusi topik alam sekitar, kitar semula, pemanasan global dan masalah serantau serta antarabangsa. Selain itu, peserta jambori turut melakukan aktiviti membuat gajet, persembahan kebudayaan dan mendirikan khemah yang dihias indah dengan unsur-unsur budaya 23 wilayah di Indonesia. Manakala penyediaan tapak pameran pelbagai agensi kerajaan dan swasta pula memberi input serta pengetahuan berguna kepada peserta jambori khususnya delegasi negara kita. Jambori Malaysia akan diadakan pada November ini di Terengganu. | ||
| Sharifah Aini rai persaraan guru besar SK Kampung Tunku Posted: 11 Sep 2011 09:51 PM PDT Ainon Abdullah diiringi masuk ke kereta selepas majlis meraikan persaraannya di SK Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. PENYANYI terkenal tanah air, Datuk Sharifah Aini membuat persembahan istimewa untuk meraikan persaraan Guru Besar Cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tunku, Ainon Abdullah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Persembahan selama setengah jam penyanyi pujaan Ainon itu diadakan sebagai usaha pihak sekolah untuk memberi penghargaan terakhir atas segala sumbangan dan pengorbanannya mengharumkan nama sekolah. Dalam ucapannya Ainon berkata, dia berasa sangat gembira namun tetap sedih dan terharu kerana bakal meninggalkan sekolah yang telah mengabadikan terlalu banyak kenangan pahit dan manis baginya. "Semoga kecemerlangan sekolah akan dapat diteruskan oleh para guru yang menggalas tanggungjawab besar dalam memastikan ia dikekal atau dipertingkatkan pada masa hadapan. "Teruskanlah usaha membawa nama sekolah ke satu tahap kecemerlangan yang membanggakan dan pada masa yang sama dapat melahirkan murid-murid cemerlang dalam bidang akademik mahupun kokurikulum," kata guru Bahasa Inggeris kelahiran Johor Bahru ini. Ainon telah berkhidmat selama 35 tahun tujuh bulan sebagai guru di 11 buah sekolah di Johor, Pahang dan Selangor. Beliau pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Bahasa Inggeris pada tahun 1994 (Johor), 1998 (Pahang) dan 2002 (Selangor). Hadir sama pada majlis "Sanjungan Budi, Lambaian Kasih" itu ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kampung Tunku, Datuk Dr. Wong Sai Hau; Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Selangor, Jamaluddin Harun; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Petaling Utama, Abu Omar Mos dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Datuk Nasir Mohd. Ali. Pada majlis itu, Sai Hau turut menyampaikan sumbangan bernilai RM2,000 kepada Ainon untuk diserahkan kepada sekolah tersebut. Ainon turut merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak termasuklah PIBG yang telah banyak memberi sumbangan kepada sekolah dalam pelbagai bentuk demi kejayaan dan pembangunan murid-murid di sekolah berkenaan. Sementara itu, Abu Omar berkata, guru-guru di sekolah ini sangat bertuah kerana rangka dan hala tuju sekolah telah disediakan dan ia hanya perlu dilaksanakan dengan cara yang betul agar kecemerlangan sekolah dapat ditingkatkan dari masa ke masa. Tambahnya lagi, segala sumbang bakti yang diberikan oleh bekas guru besar sekolah ini diharap akan menjadi amal jariah yang hanya akan mampu di balas oleh Allah. | ||
| Kumpul dana naik taraf prasarana Posted: 11 Sep 2011 09:49 PM PDT Wee Ka Siong melancarkan program jogathon SMK Pandan Mewah untuk mengumpul dana menambah baik kemudahan sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini. DALAM merealisasikan hasrat untuk menambah baik prasarana sekolah bagi keselesaan pelajar dan seluruh warganya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandah Mewah melancarkan program Jogathon untuk mengumpulkan dana bagi tujuan tersebut di sekolah itu baru-baru ini. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong ketika melancarkan program itu berkata, inisiatif mengadakan jogathon patut mendapat sanjungan kerana ia secara tidak langsung memberi peluang kepada ibu bapa untuk terlibat dalam membantu mengumpul dana sekolah. "Sasaran untuk mengumpulkan dana sebanyak RM135,000 ini akan menjadi kenyataan jika tenaga semua pihak dapat digemblengkan dalam membantu sekolah. "Matlamat ini juga akan mampu direalisasikan dengan penglibatan pihak-pihak luar seperti orang perseorangan, syarikat-syarikat dan badan korporat yang lain," ujar beliau. Jelasnya lagi, kemudahan sedia ada yang terdapat di sekolah perlu dinaik taraf dan ditambah sejajar dengan keperluan semasa bagi kegunaan dan kebaikan sekolah serta faedah kepada orang ramai. "Keprihatinan ibu bapa terhadap perkembangan anak-anaknya di sekolah akan menjadi rangsangan terbaik kepada murid-murid untuk melakar kejayaan. "Inisiatif ini bakal menjadi landasan untuk pelajar mendekati budaya murah hati dengan membantu melengkapkan kekurangan kemudahan dalam usaha untuk menghasilkan mutu pendidikan yang berkualiti," katanya Sementara itu, Pengetua Cemerlang SMK Pandah Mewah, Inson Derani berkata, program yang julung kali dianjurkan itu bermatlamat untuk membiayai program akademik para pelajar terutamanya kepada calon-calon yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. "Melalui hasil dana yang dapat dikumpulkan melalui penjualan kupon sempena jogathon peringkat sekolah itu nanti akan digunakan bagi penambahan infrastruktur sekolah yang mampu meningkatkan lagi pencapaian pelajar dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. "Kemudahan yang bakal dinaik taraf melalui hasil dana ini juga diharap akan membantu dalam menambahkan lagi tahap kecemerlangan keputusan peperiksaan di kalangan para pelajar," katanya. Program jogathon ini diadakan secara kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu. | ||
| Penyelidik UMT kultur mutiara air tawar Posted: 11 Sep 2011 09:45 PM PDT Penyelidik di China berjaya menghasilkan mutiara air tawar yang bernilai tinggi. PASTI ramai yang geram dan teruja melihat mutiara yang cantik untuk dijadikan perhiasan. Mutiara tempatan terkenal di Sabah dan ramai tertanya-tanya bagaimana proses kultur atau bahasa mudahnya, menternak mutiara. Mutiara yang terdapat di pasaran kini kebanyakannya adalah daripada air masin. Namun pada pandangan mata kasar, fizikalnya lebih kurang sama dengan mutiara air tawar cuma yang air masin lebih padat. Namun, pasaran mutiara air tawar tetap ada kerana peminatnya ramai, khususnya wanita untuk dijadikan perhiasan. Persoalannya, sejauh mana pengeluaran mutiara air tawar boleh dipertingkatkan dan dijadikan aktiviti ekonomi untuk masyarakat luar bandar. Mungkin ada yang sangsi dengan projek seumpama itu memandangkan pasarannya terhad kerana ia bukan komoditi makanan. Namun, inisiatif ke arah itu wajar digerakkan dan dipuji kerana belum ada pihak yang meneroka projek ternakan mutiara air tawar di negara ini. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi salah sebuah pusat kecemerlangannya, Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) mengambil langkah berani memulakan projek menternak mutiara air tawar. Projek itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) serta dibiayai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Terengganu. Menurut Pengarah Akuatrop, Prof. Dr. Faizah Shaharom, idea tersebut timbul selepas beliau mengadakan tinjauan ke Tasik Kenyir di Terengganu pada tahun 2008 bersama Dr. A. Sait Sahul Hameed, penyelidik dari Jabatan Zoologi, Kolej C. Abdul Hakeem India bagi meninjau potensi di tasik berkenaan. Kata Dr. Faizah, beliau dicadangkan untuk mencuba projek kepah mutiara kerana kemungkinan ada kesesuaian di tasik tersebut. Idea tersebut akhirnya di realisasikan pada tahun lepas oleh seorang penyelidiknya, Zulizah Ochi yang berminat dengan penghasilan mutiara. Selaku pembantu penyelidik projek berkenaan, Zulizah bersama rakannya Haziq Norzin telah memulakan projek ternakan di pusat penetasan Akuatrop. Langkah itu bermula selepas pasukannya di Akuatrop berjaya mengenal pasti sejenis kepah yang terdapat di Tasik Kenyir yang boleh menghasilkan mutiara air tawar. ''Kajian tersebut membuahkan hasil dengan terbentuknya blister pearl yang telah dikenal pasti oleh pakar mutiara dari luar negara, Dr. Tom K. Stern, kata Zulizah. ''Namun selepas tiga bulan, kepah yang telah di implan itu mati akibat kekurangan makanan semulajadi dan ketidaksuaian diternak di dalam tangki,'' kata beliau ketika di temui di UMT, baru-baru ini. Menurut Zulizah, tinjauan awal yang dijalankan menunjukkan Tasik Kenyir berpotensi menjayakan projek mutiara air tawar. Spesies kepah yang telah dijumpai oleh penyelidik dari UMT telah pun dikenal pasti. Keyakinan UMT untuk meneruskan projek berkenaan berdasarkan kejayaan pengusaha di China yang menghasilkan mutiara air tawar secara komersial sejak awal 1970. Kejayaan Indonesia yang juga telah berjaya menghasilkan mutiara air tawar menerusi Margaritifera sp. yang berasal dari Taiwan pada 2005 secara kolam terkawal juga menjadi pendorong kepada percubaan UMT. Bahkan Vietnam, Thailand, India dan Bangladesh telah menceburi ternakan mutiara air tawar di dalam kolam. Maka bukan satu yang mustahil bagi UMT untuk menceburi ternakan mutiara air tawar. Menurut Dr. Faizah, teknik penghasilan mutiara di Indonesia sama seperti yang dijalankan di Taiwan iaitu menggunakan pengimpalanan nuclei sebagai asas pembentukan mutiara dan diletakkan dalam kolam. Dengan maklumat-maklumat terbaru itu, Akuatrop bersama Jabatan Perikanan telah mengenal pasti sebuah kolam rekreasi milik Ketengah untuk dijadikan tempat pengkulturan kepah mutiara bersama dengan ikan. Beliau menggunakan kepah selepas maklumat daripada kajian Zulizah dan rakannya bahawa ia boleh digunakan menggantikan tiram untuk tujuan yang sama. Sistem polikultur adalah sama seperti yang diamalkan di Taiwan dan terbukti membuahkan hasil yang lumayan. Di samping dapat menambahkan pendapatan kerana dapat menghasilkan dua jenis produk akuakultur pada masa yang sama, sistem ini juga terbukti dapat menjimatkan ruang pengkulturan. | ||
| OKU bukan penghalang ke menara gading Posted: 11 Sep 2011 09:44 PM PDT
KECACATAN bukan penghalang bagi seseorang individu itu mencapai apa yang mereka impikan. Ibarat kata pepatah, di mana ada jalan di satu ada kemahuan. Jika rajin berusaha kejayaan bakal menjadi milik semua orang termasuk mereka yang bergelar golongan kurang upaya (OKU). Malah golongan itu telah membuktikan kecemerlangan yang dicipta dalam akademik mahupun kokurikulum telah menyakinkan pelbagai pihak sehingga mereka berjaya menempah nama ke menara gading. Usaha dan kejayaan mereka patut dicemburui, khususnya bagi insan yang dilahirkan dan membesar dalam keadaan sempurna. Namun itulah realiti kehidupan apabila kekurangan diri menjadi pembakar semangat untuk memperolehi segulung ijazah. Nama ilmuan cacat penglihatan tersohor negara, Allahyarham Prof. Datuk Dr. Ismail Md. Salleh menjadi idola untuk membuktikan bahawa OKU juga boleh berjaya dan mencapai kecemerlangan. Sempena Minggu Haluan Siswa Universiti Malaya (UM) Sesi 2011/2012 seramai enam belas pelajar OKU mendaftar sebagai pelajar baharu di Kolej Kediaman Ketujuh (Za'Ba), baru-baru ini. Mereka terdiri daripada siswa pelbagai jenis kecacatan seperti lumpuh fizikal dan buta, tetapi semua itu tidak mematahkan semangat mereka menjejaki kaki ke universiti. Salah seorang pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda Sastera yang cacat penglihatan, Amirah Fatinah Rozaidi berkata, dia bersyukur ke-hadrat ilahi kerana berjaya untuk melanjutkan pelajaran ke UM. Katanya, usaha yang dia lakukan selama ini berbaloi kerana itu adalah impiannya untuk membuktikan kepada ahli keluarga bahawa dirinya mampu untuk berdikari seperti insan normal yang lain walaupun dengan keadaan sebegini. "Saya bersyukur kerana kolej di UM menyediakan kemudahan yang baik dan sempurna kepada kami insan OKU. "Dengan kemudahan ini, saya akan terus berusaha untuk menempuhi hari-hari yang bakal mendatang, sokongan rakan-rakan dan ahli keluarga, Insya-Allah akan memudahkan urusan saya di sini," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Minggu Haluan Siswa Siswa Universiti Malaya Sesi 2011/2012 peringkat Kolej Kediaman Ketujuh itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Profesor Datuk Rohana Yusof. Menurut Amirah, kekurangan itu bukan penghalang beliau untuk terlibat dengan aktiviti kokurikulum namun akan terus aktif dengan program yang dianjurkan universiti. "Apa yang boleh disimpulkan 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Pilihan terletak di tangan kita, doakanlah kami OKU di sini dalam mengiringi setiap pencapaian dan kejayaan," katanya. | ||
| Adelaide pilihan penuntut Malaysia Posted: 11 Sep 2011 09:43 PM PDT
AUSTRALIA Selatan khususnya Adelaide sememangnya terkenal sebagai destinasi pengajian tinggi pilihan bagi pelajar-pelajar dari Malaysia dengan tawaran pelbagai bidang pengajian. Jaringan kerjasama antara Malaysia dan Australia Selatan sejak lebih 60 tahun menjadikan lokasi ini sebagai pilihan bagi para pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti mahupun kolej. Menteri Pekerjaan, Latihan dan Pengajian Tinggi Australia Selatan, Jack Snelling berkata, jaringan kerjasama kedua-dua negara ini sejak sekian lama merupakan antara faktor kenapa Selatan Australia menjadi pilihan bagi pelajar melanjutkan pengajian selain mutu pendidikan serta kemudahan terbaik yang disediakan. "Malaysia ialah sumber pasaran ketiga terbesar untuk Australia Selatan dengan jumlah pelajar seramai 2,538 menuntut di sana berbanding 23,247 pelajar dari seluruh negara itu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau ditemui dalam rangka lawatannya ke negara ini bagi menghadiri siri mesyuarat tertinggi dengan naib-naib canselor universiti, pengetua-pengetua Kolej Matrikulasi Australia Selatan (SAM) dan pegawai kerajaan bagi mengukuhkan rangkaian pendidikan Australia Selatan. Menurutnya, lebih 10 peratus jumlah pelajar Malaysia yang belajar di Australia menuntut di Australia Selatan kerana pelbagai keistimewaan yang disediakan bagi keselesaan pembelajaran para penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar bahagian selatan Australia itu. "Antara keistimewaan yang ditawarkan kepada para penuntut dari Malaysia yang berbeza dengan kawasan-kawasan lain di negara itu ialah seperti kemudahan sistem pengangkutan awam sama seperti pelajar tempatan yang mampu menjimatkan perbelanjaan sehingga A$700 setahun. "Pejabat Sokongan Latihan yang satu-satunya terdapat di Australia turut disediakan bagi menyediakan khidmat sokongan dan nasihat mengenai semua aspek kehidupan dan pembelajaran di Adelaide," ujarnya. Selain daripada itu, katanya lagi, para pelajar lepasan ijazah tajaan biasiswa yang membawa keluarga mereka ke Adelaide juga akan mendapat keistimewaan membayar yuran persekolahan awam untuk anak-anak mereka sama seperti pelajar tempatan. "Faedah yang begitu istimewa seperti ini mungkin tidak akan dapat diperolehi di kawasan lain di Australia mahupun di negara-negara lain yang jelas menunjukkan komitmen tinggi Australia Selatan dalam bidang pendidikan," ujarnya. | ||
| Posted: 11 Sep 2011 09:42 PM PDT FARAH (duduk, bertudung hitam) bersama Angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan ahli Mapin yang menyertai misi Radig2 di Gaza, Palestin, baru-baru ini. KEBANYAKAN mahasiswa dan mahasiswi lebih gemar melakukan aktiviti yang bermanfaat bersama keluarga atau bekerja separuh masa sepanjang cuti semester institusi pengajian tinggi (IPT) baru-baru ini. Namun perkara itu berbeza bagi mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Farah Afzan Faridi, 23, yang menghabiskan masa cuti semester dengan melakukan kerja amal bersama anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menyertai misi Ramadan Ke Gaza Kedua (Radig2) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim). Dalam misi amal itu, Farah diamanahkan untuk melihat keadaan mahasiswa di Palestin dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar. Menurut Farah, pada hari pertama di Gaza, dia dan ahli MAPIM dibawa menemui Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri Seni dan Kebudayaan, Menteri Wanita dan Hal Ehwal Masyarakat Palestin serta NGO tempatan yang membantu wanita kurang upaya, wanita kematian suami dan anak-anak yatim. Misi rombongan itu juga menjalinkan jaringan persahabatan dengan pelajar universiti, pegawai kerajaan, dan NGO di Gaza di samping melawat ahli keluarga rakyat Palestin yang menderita. Pergerakan yang sangat terbatas akibat serangan udara yang dilakukan tentera Israel tanpa henti menyebabkan Farah dan ahli Mapim yang lain tidak berkesempatan untuk melawat Hospital Gaza kecuali Kumpulan Perubatan. Bagaimanapun, Farah berkata, mereka berpeluang melawat hospital kanak-kanak yang baru dibina dan mengedarkan bungkusan gula-gula. Bersama tiga wanita lain yang menyertai rombongan itu, dia merasai sendiri pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila terdedah dengan suasana dentuman bom berhampiran hotel penginapannya. "Kawasan berhampiran hotel kami yang dianggap tempat paling selamat di Gaza tiba-tiba diserang bom beberapa kali sepanjang berada di sana," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pengalaman yang turut menyentuh perasaan Farah ialah ketika menunaikan solat isyak, terawih dan witir yang diimamkan sendiri Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh. Dia kagum apabila melihat Ismail seorang pemimpin yang sentiasa senyum walaupun berdepan dengan maut pada setiap masa dan diberi tekanan serta kecaman oleh regim Israel. "Pergerakannya terbatas namun Ismail yang merupakan seorang pemimpin negara sentiasa senyum dan tenang ketika beliau bersama rakyat meraikan saat berbuka puasa dan majlis tahfiz," katanya. Farah menambah, anak muda dan generasi baru di Gaza memainkan peranan penting untuk membentuk negara yang sempurna walaupun dalam keadaan kucar-kacir. Menurutnya, wanita Gaza sentiasa mendidik dan mentarbiyah anak mereka yang ditugaskan sebagai seorang mujahid dan pejuang Islam bagi menentang kezaliman. Katanya, walaupun kehidupan mereka di sana amat perit dan sentiasa berdepan dengan saat-saat kematian pada bila-bila masa, namun mereka tetap cekal dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Sehubungan itu, beliau menyeru anak muda Malaysia termasuk mahasiswa IPT supaya memainkan peranan penting bagi mempertahan keamanan dan keselamatan negara daripada anasir serta ancaman dari dalam mahupun luar negara. | ||
| Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju Posted: 11 Sep 2011 09:41 PM PDT
Selain pertambahan infrastruktur berkaitan angkasa yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa) seperti Observatori Negara Langkawi (ONL) yang telah dirasmikan awal tahun ini, pembangunan sektor angkasa negara mengorak langkah ke hadapan dengan wujudnya dokumen Dasar Angkasa Negara. Dokumen Dasar Angkasa tersebut yang sedang dalam peringkat akhir draf akan menjadi pemangkin bagi pembangunan sektor angkasa negara masa hadapan, termasuk pembangunan sektor industri angkasa, yang mana Angkasa akan bertindak sebagai agensi penggerak utama. "Dijangka sebelum akhir tahun ini (Dasar Angkasa Negara ) akan siap ,'' ujar Ketua Pengarah Angkasa Dr. Mustafa Din Subari ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini. Dasar itu penting sebagai memenuhi keperluan rangka kerja dan hala tuju dalam membangunkan sektor angkasa yang strategik dan penting bagi negara. Ia juga sebagai kerangka dan garis panduan untuk memandu industri angkasa negara dalam tempoh 10 tahun akan datang iaitu sehingga 2020. Tempoh 10 tahun diambil kerana sektor angkasa sentiasa berubah dan dasar juga perlu berubah bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa. Dengan adanya dasar baru itu, sektor angkasa akan diiktiraf sebagai sektor baru yang strategik yang boleh menjana ekonomi baru bagi negara di samping meningkatkan keupayaan negara di dalam teknologi tinggi bagi tujuan keselamatan. Sembilan kumpulan kerja yang melibatkan beberapa kementerian dan jabatan persekutuan serta pihak industri telah terlibat bagi menggubal dasar tersebut. Mereka ialah kumpulan kerja satelit komunikasi, satelit navigasi, remote sensing (penderiaan jauh atau pencerapan bumi), undang-undang angkasa, sumber manusia, pendidikan dan kesedaran awam, penyelidikan dan pembangunan (R&D), industri angkasa dan teknologi angkasa. Sebelum ini dengan ketiadaan Dasar Angkasa Negara, semua aktiviti berkaitan angkasa termasuk perkembangan sektor industrinya hanyalah dibuat atas faktor komersial. Sebagai contoh, penggunaan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) begitu meluas kerana ada pihak yang bersedia menjualnya secara komersial untuk pengguna. Dengan adanya dasar angkasa itu, pembangunan sektor angkasa akan memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti hiliran seperti aplikasi bagi satelit telekomunikasi, satelit navigasi dan satelit atau remote sensing, yang dijangka menjadi industri penting bagi penjanaan ekonomi baru negara. Menurut Dr. Mustafa, baru-baru ini juga Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan antara kementerian dan juga agensi-agensi berkaitan angkasa. Jawatankuasa Angkasa Negara (Jangka) itu dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili. Ia turut dianggotai oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komuniti (KPPK), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Turut terlibat ialah Kementerian Luar, Kementerian Pelajaran (KPM), Kementerian Kewangan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Jabatan Penerbangan Awam dan wakil Industri - Aeronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB), dan MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd. Jangka yang akan membincang dan mencadangkan program berkaitan angkasa bagi negara akan melaporkan kepada hasil perbincangan kepada Majlis Aeroangkasa Malaysia ( MAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Ini kerana kata Dr. Mustafa, bidang angkasa setakat ini masih terletak dalam bidang aeroangkasa. Selain dokumen Dasar Angkasa Negara, Angkasa juga sedang dalam usaha mewujudkan satu akta berkaitan angkasa iaitu Akta Angkasa Lepas Malaysia. Akta tersebut penting untuk mengawal selia aktiviti dan operasi berkaitan sektor angkasa seperti pelancaran dan pengoperasian satelit, pendaftaran objek yang dilancarkan ke angkasa lepas, pengoperasian stesen Bumi dan aktiviti lain yang berkaitan. Menurut Dr. Mustafa, setiap pelancaran dan pengoperasian satelit yang dimiliki oleh rakyat ataupun syarikat Malaysia perlu diberi lesen dan Angkasa atau pun entiti lain yang akan ditentukan oleh kerajaan akan diwujudkan sebagai pihak bertanggungjawab pengeluaran lesen pada masa akan datang selepas akta tersebut diwartakan. Malaysia juga, kata beliau, memerlukan akta tersebut bagi membolehkan kerajaan menjayakan beberapa perjanjian angkasa lepas antarabangsa yang telah ditandatangani oleh Malaysia tetapi belum lagi disahkan. Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia perlu sebagai contoh, bertanggung jawab terhadap apa juga operasi satelit milik rakyat atau syarikat Malaysia. Sekiranya berlaku masalah, ia adalah tertakluk di bawah tanggungjawab kerajaan. Bagaimanapun, apabila akta yang bakal diwujudkan diguna pakai, tanggungjawab tersebut dipindahkan kepada pemilik satelit berkenaan. Ketika ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merupakan badan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen untuk kebenaran menggunakan julat frekuensi gelombang sahaja. "Akta ini juga penting dalam mengawal selian aktiviti pelancongan angkasa sekiranya ada pihak yang membangunkannya di negara ini. "Input awal ke arah penggubalan akta kini sedang dikumpulkan menerusi mesyuarat, seminar, bengkel melibatkan pelbagai pihak termasuk Pejabat Peguam Negara berkenaan dengan undang-undang dan juga universiti berkenaan dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D). "Akta akan bertindak sebagai kenderaan kepada Dasar Angkasa Negara," kata Dr. Mustafa . Dalam pada itu, program kesedaran dan pendidikan juga terus dilaksanakan untuk pelbagai peringkat lapisan kumpulan sasar termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan pelajar universiti. | ||
| Posted: 11 Sep 2011 09:40 PM PDT Program Angkasawan Negara merintis kepada pembangunan sains dan industri angkasa negara yang lebih pesat. Industri angkasa umumnya boleh dibahagikan kepada segmen huluan (upstream) dan hiliran (downstream). Segmen huluan merangkumi industri pembuatan, pelancaran dan pengoperasian sistem satelit seperti MEASAT dan juga RazakSat. Segmen hiliran pula merangkumi antaranya aplikasi kepada sistem satelit komunikasi, panduan arah atau navigasi, remote sensing, ketenteraan dan juga saintifik. Program-program di bawah industri hiliran angkasa penting bukan sahaja untuk meningkatkan aplikasi teknologi angkasa negara, malah ia adalah segmen industri yang memberikan pulangan secara langsung kepada negara dan orang ramai. Di sinilah manfaat dari sektor angkasa yang diharapkan. Ia seperti aplikasi telefon yang membolehkan seseorang berhubung dengan saudara mara atau rakan di luar negara pada bila-bila masa, menonton siaran Astro dan menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung. Aplikasi lain termasuk mengeluarkan wang tunai melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak di tengah perjalanan, adalah antara aplikasi satelit komunikasi. Bantuan perjalanan, penjejakan kenderaan atau pun barangan untuk tujuan pengurusan juga keselamatan, pemetaan, penyediaan skala waktu tepat untuk tujuan perbankan dan juga caj perkhidmatan berasaskan masa seperti panggilan telefon dan utiliti, adalah antara aplikasi satelit navigasi. Sementara aplikasi imej satelit remote sensing untuk tujuan kajian keadaan sekitar, pembangunan kawasan, guna tanah dan pemantauan keadaan, sudah menjadi kelaziman di negara ini. Sehubungan itu menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Mustafa Din Subari, pembangunan industri hiliran angkasa inilah yang akan menjadi fokus pembangunan sektor angkasa tempatan selepas dasar angkasa negara dan akta diselesaikan dalam setahun dua ini. Dalam pada itu, pembangunan segmen huluan angkasa juga akan diteruskan. Beliau berharap, dua lagi satelit akan dapat dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan sektor angkasa negara. Jika sebelum ini negara boleh berbangga dengan pelancaran satelit awal oleh pihak swasta dimulakan oleh Binariang Satellite System Sdn. Bhd. Menerusi MEASAT 1 dan MEASAT 2 pada 1996 dan MEASAT -3 pada 2006. Satelit komunikasi tersebut menandakan penglibatan Malaysia dalam industri angkasa berteknologi tinggi. Sejak tahun 1990-an, negara telah membangunkan satelit sendiri. Ia bermula dengan TiungSat-1, kemudiannya satelit pencerap Bumi RazakSat yang bertujuan untuk kegunaan pengambilan imej yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Menurut Dr. Mustafa, usaha tersebut akan diteruskan dengan pembangunan satelit RazakSat-2 yang juga berfungsi sebagai satelit mencerap bumi. Fasa awal pembangunannya akan bermula September tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Satelit berkenaan akan dibangunkan sebagai kesinambungan kepada RazakSat yang mana stesen kawalan buminya beroperasi di Pusat Angkasa Negara di Sungai Lang Banting , Selangor. Satu lagi perkembangan menarik yang membuktikan Angkasa terus memberi keutamaan kepada industri angkasa ialah pembangunan satelit komunikasi. Satelit komunikasi tersebut yang telah diluluskan pembangunannya oleh kerajaan kini hanya menunggu dana pembiayaan sebelum usaha membinanya dimulakan yang dijangka pada 2013. Dalam pada itu, kemudahan sedia ada di Pusat Angkasa Negara , Sungai Lang yang masih dalam proses pembangunan telah bertambah berikutan dengan kejayaan menyiapkan FASA 3A yang melibatkan dua komponen utama iaitu pusat data dan juga makmal pemasangan kemudahan dan pengujian (AIT-assembly, integration and test) . Fasa tersebut yang telah siap dibina pada 31 Julai lalu akan melalui fasa pemasangan kemudahan dan pengujian peralatannya yang dijangka akan siap pada Mac tahun depan. Berikutan cadangan pembangunan RazakSAT-2, kemudahan di pusat tersebut juga dijangka ditambah termasuk pemasangan antena daripada sebuah kepada dua buah selepas ini. Angkasa juga akan membangunkan stesen kawalan bumi kedua bagi RazakSat-2 yang dicadangkan di Sabah bagi tujuan sokongan dan juga bagi tujuan perhubungan dengan satelit itu nanti dengan jarak masa tertangguh kira-kira setengah jam berbanding di Semenanjung. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan