Jumaat, 9 September 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Pilih bekas rakan sekolej

Posted: 08 Sep 2011 07:45 PM PDT

pix_gal0
Bukan harta yang dipandang

RAMAI sudah maklum, Putri Mardiana secara rasmi berpisah dengan bekas suami pada akhir Ogos 2009 dan daripada perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata. Namun, status janda yang disandangnya mungkin bertukar tidak lama lagi apabila pelakon berbakat ini disatukan dengan kekasih hati, Mohd Hasnul Amril.

Pelakon Santau berusia 30 tahun ini juga tidak menyembunyikan buah hatinya apabila si jejaka yang seusia dengannya menemani wanita ramah terbabit tatkala dia muncul pada sebuah majlis bersama anak-anak yatim di ibu kota, bulan lalu. Begitupun mungkin belum masanya dia merakamkan gambar bersama teman istimewanya itu, sehinggalah kedua-duanya sah diijabkabulkan.
Sebaliknya, wanita yang lebih selesa membahasakan dirinya Nana ini memberitahu, sejak beberapa bulan lalu dia sudah berubah fikiran. Bukan berubah fikiran soal pasangan, namun katanya, dia pernah mengeluarkan kenyataan ingin bertunang sebelum berkahwin, namun kini dia berasakan lebih elok jika dia terus saja melangsungkan pernikahan.
"Dulu saya sering menjawab mahu bertunang dulu sebelum diijab kabul, tetapi kini saya mahu terus berkahwin. Maklumlah bertunang itu lebih banyak dugaannya.
"Lagipun saya sudah kenal hati budi kekasih dan anak-anak juga sudah memanggilnya papa," katanya sambil memberitahu, mereka akan disatukan sebagai suami isteri pada tahun depan.

Ceria bercerita kisah ikatan kasih antara mereka, Nana memberitahu, semuanya bermula apabila Hasnul yang juga rakan kolejnya itu menyapa dirinya di sebuah pusat beli belah terkemuka di Kuala Lumpur.

"Dia menegur saya di KLCC dan saya tidak sangka dia masih mengingati wajah saya. Bayangkan, sudah sepuluh tahun saya tidak bertemu dengannya dan pertemuan di KLCC itu membuahkan rasa antara kami, lalu satu keputusan tekad diambil untuk terus mengikat kasih," katanya yang menyifatkan kekasih hatinya itu sebagai lelaki yang baik dan menerima dirinya seadanya.
Kata pelakon itu lagi, sewaktu di kolej, masing-masing sudah mempunyai teman istimewa dan perhubungan mereka ketika itu hanyalah sebagai rakan.

"Selepas pertemuan itu pada Jun lalu, dia ada bertanya pada saya sama ada sudah ada pengganti. Apabila saya memaklumkan status saya, dia terus melamar saya sebagai kekasihnya," kata Nana sambil menjeling manja ke arah lelaki yang sentiasa menyokong kerjayanya sebagai pelakon.

Bercerita lanjut soal hati, dia jujur memberitahu, apa yang diimpikan daripada seorang lelaki bukanlah kekayaan, tetapi kejujuran serta keikhlasan.

"Kisah perceraian saya kisah yang tidak boleh diundur lagi dan saya perlu terus mara ke hadapan. Saya tidak pandang lelaki kaya, sebaliknya pada hati serta kasih sayang yang boleh diberikan kepada saya. Saya syukur kerana keluarga kekasih juga menerima saya seadanya," katanya yang menjadi kegagalan rumah tangga sebagai pengajaran berguna dalam hidupnya.

Dalam gembira yang bakal menggamit wanita ramah ini, ada sendu yang mengiringi diri ibu kepada Alia Wirdani, 8; Amir Firman, 6; dan Airell Zuhair, 5, ini.

"Selagi anak-anak bahagia, saya tidak ada masalah untuk memberikan ruang untuk mereka tinggal bersama bekas keluarga mentua di Bentong. Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa dan sejak berpisah, anak-anak sudah biasa tinggal dengan mereka," katanya yang memberitahu, sejak berpisah, dia akan mengambil anak-anak setiap kali Syawal menjelang.

Katanya, hati ibu mana yang tidak sebak jika anak-anak tiada bersama, namun dia gagahi juga perasaan itu bagi memberikan yang terbaik kepada semua pihak.

"Selalunya saya pulang ke Perak pada Syawal pertama dan hari kedua pula saya akan kembali ke Pahang untuk mengambil anak-anak pulang ke kampung saya pula," katanya yang kelihatan sebak ketika menceritakan kisah anak-anak tersayang.

Watak pelacur cabar kemampuan

PUTRI MARDIANA mempunyai kelebihan tersendiri apabila terjun ke dunia lakonan. Dia pernah memenangi pingat emas dalam kategori lakonan di Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Hollywood, California, Amerika Syarikat. Paling tidak, kejayaan itu membuktikan dirinya memiliki bakat yang diiktiraf apabila memilih seni sebagai periuk nasi.

Biarpun melangkah ke gelanggang lakonan agak lewat berbanding pelakon wanita lain, namun dia terus melangkah dan bersyukur tawaran filem masih kekal menjadi miliknya. Kisah keruntuhan rumah tangganya juga diletakkan ke tepi, supaya tidak mengganggu gugat impian dan harapan bergelar anak seni berjaya.

"Saya baru saja selesai menjalani penggambaran filem Sumpahan Kum Kum arahan Ismail Bob Hashim dan filem terakhir saya bersama MIG, Tujuh Petala Cinta yang diarahkan Azhari Zain," katanya yang bernaung di bawah syarikat pengurusan ternama itu selama tiga tahun, sebelum memilih untuk beralih angin.

Katanya, rezekinya juga tidak putus-putus apabila dia juga ditawarkan berlakon dalam drama untuk Tv AlHijrah berjudul Siti Mariam yang menjalani penggambaran pada Ramadan lalu.

"Dalam Siti Mariam, saya membawa watak Siti Aishah, iaitu anak Siti Mariam. Dalam drama ini, saya juga membawakan watak wanita bertudung," katanya.

Ketika ditanya, tidakkah dia gentar akan menjadi seperti pelakon Stanza Cinta, Fathia, mahupun Tiz Zaqiyah yang membawakan watak bertudung dalam drama Nur Kasih, sehingga mengelirukan peminat terhadap penampilan sebenar mereka di luar lokasi, wanita ini dengan jujur menjawab, bidang lakonan adalah tempat baginya mencari rezeki dan tidak semua permintaan peminat dapat ditunaikan.

"Saya harus jujur mengatakan rezeki saya adalah dalam bidang lakonan dan tidak semua watak memerlukan saya bertudung, dan saya harus melakukannya kerana saya cari makan dengan cara itu," katanya yang tidak menafikan akan memakai tudung apabila terbuka hatinya kelak.

Katanya lagi, tidak salah peminat mahu mencorakkan artis pujaan mereka ke arah kebaikan, namun peminat perlu faham lubuk rezeki pelakon adalah tawaran yang diterima mereka dan sentiasa perlu bersedia membawa watak yang diminta pengarah ataupun produser.

Nana turut memberitahu, dia juga membintangi telefilem yang akan disiarkan Astro Ria arahan Amor Rizan.

"Judul telefilem ini ialah Pernikahan Sundal Bolong, di mana saya membawa watak pelacur dan di pertengahan cerita, saya akan mati dibunuh pengamal ilmu hitam.

"Membawa watak pelacur begitu mencabar, tetapi pengalaman melakonkan watak lebih kurang sama sama dalam Tujuh Petala Cinta memberi bonus kepada saya untuk mendalami watak seperti ini," katanya yang tidak pernah lupa membuat rujukan di internet bagi menjayakan watak yang diamanahkan ke bahunya.

Ujarnya, memainkan watak pelacur memerlukannya menjiwai perwatakan seorang pekerja seks daripada aspek lontaran dialog serta bahasa tubuh, dan bagi menghasilkan watak yang begitu asli, kajian berkenaan watak jenis itu perlu dilakukan dengan baik.

"Saya akan berasa puas hati apabila watak yang dibawa menjadi dan diingati peminat. Watak seorang pelacur amat berat dibawa tetapi saya perlu mendalaminya sepenuh hati," katanya.

Berfikiran positif serta saling percaya

Posted: 08 Sep 2011 07:44 PM PDT

pix_middle

LEBIH tiga tahun menyulam cinta, pasangan artis, Eira Syazira, 27, dan kekasihnya Azad Jazmin, 35, memilih tarikh bernikah di kediaman keluarga Eira di Persint 14, Putrajaya pada 16 September ini.

Bukan lagi rahsia apabila pasangan yang pada mulanya bergandingan dalam lakonan menerusi beberapa drama dan filem, seterusnya menyanyi lagu duet bersama selain bernaung di bawah syarikat rakaman sama iaitu FG Music Sdn Bhd.

  • Foto

    SERASI...Azad dan Eira tiga tahun menyulam cinta.

  • Foto

    EIRA...persiapan majlis perkahwinan hampir siap.

  • Foto

    BERBAKAT...Eira bakal tampil lagu duet bersama Azad berjudul Lagu Jiwa.

Mungkin itulah dikatakan suratan atau kebetulan. Apabila sampai jodoh dan mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak, akhirnya pasangan sejoli ini bakal disatukan pada majlis serba ringkas namun penuh makna.

Biarpun pelbagai persepsi timbul ekoran pengumuman majlis perkahwinan itu yang dikatakan dilakukan secara mengejut, namun bagi Eira yang popular dengan watak air mata itu menyerahkan semuanya kepada keluarga. Malah dia sudah bersedia menerima apa saja andaian dan kecaman daripada semua pihak.


"Sebenarnya semua perancangan saya serahkan kepada keluarga. Kami memang merancang untuk bernikah sudah lama sebelum ibu bapa ke umrah Ramadan lalu.


"Sebaik pulang daripada mengerjakan umrah, baru ibu bapa kami berbincang dan memilih tarikh yang sesuai. Saya serahkan sepenuhnya keputusan kepada keluarga. Restu dan doa daripada keluarga dalam hubungan kami cukup penting pada saya.

"Begitupun saya menunggu semua perkara yang diatur betul-betul jadi dan berjalan lancar baru saya bertindak memaklumkan dan mengedarkan jemputan kepada media dan rakan seminggu selepas Aidilfitri," katanya.

Eira mengakui walaupun memaklumkan secara mengejut, namun timbul pelbagai dakwaan mengenai hubungan mereka malah ada pula yang berteka-teki tarikh majlis perkahwinan mereka. Ikut perancangan asal mereka sebenarnya mahu mendirikan rumah tangga tahun depan namun dia tidak menyangka jodohnya sudah sampai.

Tambah Eira yang popular menerusi drama Cinta Balkis, dia gembira dan teruja apabila keputusan mereka untuk bergelar suami isteri diterima baik peminat. Malah ada yang memberi restu dan menyokong keputusan itu.

Debaran menanti detik disatukan sememang gagal disembunyikan Eira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi yang baru saja melancarkan album solo berjudul, Di Hati Ini Julai lalu. Dia bersyukur kerana dipercepatkan jodoh bersama kekasih hatinya itu.

Selain kerap terbabit bergandingan dalam filem dan drama antaranya filem Ngangkung, Eira dan Azad juga dipilih syarikat rakaman FG Music menyampaikan lagu duet berjudul Lagu Jiwa ciptaan Manusia Putih. Lagu berkenaan yang sudah siap dirakam dijangka berada di pasaran sekitar November ini.

Ditanya mengenai personaliti jejaka berjaya menawan hatinya itu, Eira berkata, dia tidak meletakkan sebarang kriteria khusus buat Azad memandang ia cukup klise. Seperti pasangan bercinta dan bakal menempuh alam rumah tangga dia sentiasa berfikiran positif dan saling mempercayai antara satu sama lain dalam hubungan mereka.

"Tidak perlu saya jelaskan apa keistimewaan dirinya yang berjaya menambat hati satu. Biar saya simpan saja perkara itu. Yang penting pada saya dia memang segalanya buat saya," katanya.

Sebelum ini timbul kontroversi membabitkan Azad dan pelakon, Faezah Elai yang didakwa mempunyai hubungan cinta. Selain itu, Azad didakwa bertanggungjawab menyebarkan gosip hubungan Faezah dengan pengarah terkenal, Heykal Hanafiah sehingga membabitkan kes mahkamah yang masih belum selesai. Faezah bakal bernikah dengan Heykal hari ini di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut mengenai isu membabitkan Azad dan bekas kekasih (Faezah Elai), Eira enggan campur tangan mengenai perkara itu, sebaliknya dia ada menasihatkan Azad untuk menyelesaikan isu berkenaan secara baik tanpa membabitkan isu saman dan mahkamah. Tambah melegakan hatinya, kebenaran terbukti dan biar masyarakat sahaja yang menilai apa yang positif dan negatifnya.

Sementara, Azad ketika dihubungi memaklumkan majlis pernikahan mereka ditetapkan keluarga perempuan dan secara kebetulan berlangsung dalam bulan yang sama dengan pernikahan Faezah.

"Saya sudah bersedia menjadi suami kepada Eira. Malah itu jawapan dan janji saya kepada keluarga Eira sebaik ditanya mengenai sejauh mana keseriusan saya dengan hubungan kami.

"Memang saya merancang untuk bernikah dengannya sudah lama namun disebabkan komitmen kerja dan pelbagai urusan menyebabkan hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan," katanya.

Walaupun Azad baru selesai menjalani penggambaran filem SAM arahan Shafiq Yusof dan sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Skuad Metro, namun persiapan untuk majlis berkenaan tetap berjalan lancar.

Ketika ini persiapan majlis pernikahan itu sudah hampir 90 peratus siap. Eira juga berasa bertuah kerana mendapat tajaan pakaian daripada Wan Pa dan Zaha Wedding Planer dari Ipoh untuk majlis akad nikah dan persandingan yang berkonsep cermin, kristal dan bunga ros.

Majlis resepsi Eira kemungkinan besar akan diadakan pada 19 November juga di Putrajaya. Sementara di sebelah Azad dengan bertemakan Bollywood mendapat tajaan Jalinan Kasih di Pulau Pinang pada 26 November ini.


PROFIL

NAMA KOMERSIAL: Eira Syazira
NAMA SEBENAR: Syazira Shuhaimi
TARIKH LAHIR: 19 Julai 1984
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik
KARIER: Pelakon dan penyanyi
TEATER: Lorong 2/90 dan Bangsawan Lela Manja
FILEM: Bisikan Remaja, Ngangkung, Aku Bukan Tomboy
DRAMA: Puluhan antaranya Gerak Khas, Sembilu, Ibu Kota Cinta, Kaca, Lesen, Meniti Bara, Senja Kala, Dosa Haniza, Seteguh Kinabalu, Elly, Ku Milikmu, Embun Mutiara & Cinta Balqis.

Pelancaran Album Siti Nurhaliza Tertangguh Kerana Sean Kingston

Posted: 08 Sep 2011 07:41 PM PDT

Datuk Siti Nurhaliza

PETALING JAYA: Penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terpaksa menangguhkan majlis pelancaran album Inggerisnya All Your Love yang sepatutnya dijadualkan Jumaat (hari ini) kepada 25 September depan kerana masalah di pihak bintang antarabangsa Sean Kingston.

Album yang sepatutnya sudah berada di pasaran itu tergendala kerana proses rakaman terakhir lagu duetnya dengan penyanyi tersebut yang berjudul Remember Me mempunyai sedikit masalah.

"Sepatutnya sudah berada di pasaran pada tetapi proses rakaman Sean Kingston di sana lambat untuk dibawa balik ke sini.

"Kalau nak ikutkan semuanya sudah selesai dan Insya-Allah jika tiada masalah ia akan dipasarkan pada 25 September nanti," katanya ketika ditemui di studio stesen radio Suria FM, di sini, Khamis.

Datuk Siti Nurhaliza bersama penyampai Breakfast Show, Zizi, Shira dan Halim Othman melancarkan laman web Suria FM radio online.

Siti Nurhaliza hadir bagi mempromosi album Inggeris tersebut dalam segmen Breakfast @ Suria yang dikendalikan oleh Halim Othman, Zizi dan Shira.

Selain itu, Siti turut melancarkan laman web Suria FM.

Dalam pada itu, klip video untuk "single" Falling in Love akan memulakan penggambaran pada Isnin depan di kawasan sekitar pusat beli belah Pavilion.

"Klip video ini akan melibatkan ramai iaitu lebih 500 orang penari profesional, kita menggunakan khidmat pengarah baru iaitu Atom.

"Album ini banyak menggunakan khidmat orang baru yang mana saya tidak pernah bekerja sebelum ini. Namun saya suka idea-idea yang baru dan segar daripada mereka," ujarnya.

Selain itu, bercerita tentang kontroversi tuduhan kononnya berus alat solek SimplySiti menggunakan bulu khinzir, Siti berkata ia sudah pun selesai.

"Semuanya sudah selesai, walaupun memang ada terjejas terhadap jualan namun Alhamdulillahlah, masalah itu dapat diatasi dengan baik. Inilah dugaan dalam perniagaan," katanya.

KP Baru Finas Perlu Ubah Industri Perfileman Tempatan

Posted: 08 Sep 2011 07:40 PM PDT

Norman Abdul Halim

PETALING JAYA: Penerbit-penerbit filem tempatan mengharapkan Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru iaitu Mohd Naguib Razak, dapat mengubah industri perfileman Malaysia menjadi lebih berkualiti selain pengurusannya yang lebih teratur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim, pelantikan Naguib sebagai 'nakhoda' dalam industri perfileman tempatan diharap dapat mengubah beberapa perkara yang sering menjadi punca perfileman negara sukar untuk berkembang.

"Saya percaya, apabila kita mempunyai ketua, ia lebih mudah untuk kita menggerakkan industri ke arah yang lebih berkualiti.

"Antara perkara-perkara yang akan saya susulkan dalam mesyuarat nanti ialah dari segi pemberian insentif kepada penerbit-penerbit filem mengikut kelayakan gred," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Jurey Latif Rosli

Tambah Norman, sistem pembelian tiket dalam talian juga perlu diperbaharui di mana laporan kutipan tiket hendaklah dikemaskinikan oleh pihak Pemamer yang bertanggungjawab terhadap panggung wayang di negara ini.

Naguib menggantikan Mohd Mahyidin Mustakim yang telah tamat tempoh kontraknya pada 30 Jun lalu selepas lima tahun berkhidmat. Pelantikan itu berkuat kuasa 1 September lalu.

Kata Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Jurey Latiff Rosli pula, dengan pengalaman luas Naguib serta mempunyai hubungan baik dengan penggiat-penggiat seni di luar negara, dia berharap, Naguib dapat mengangkat filem-filem tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Saya percaya, Naguib boleh membawa filem-filem Malaysia ke luar negara. Cuma, bagi pihak penerbit filem pula, mereka perlu menghasilkan filem-filem yang berkualiti dan bukan hanya bersifatkan komersial semata-mata.

"Selain itu, Naguib juga perlu menyusun strategi bagaimana dia ingin mengaktifkan Studio Digital Mix Stage yang telah dibina dengan kos berjuta-juta ringgit oleh pihak kerajaan, tetapi tidak dimanfaatkan oleh penerbit-penerbit tempatan kerana mereka lebih gemar ke luar negara untuk membuat pembikinan akhir sesebuah filem," tegasnya.

Ahmad Idham

Sementara itu, penerbit dan pengarah filem, Ahmad Idham pula berkata, pelantikan Naguib sebagai KP Finas mungkin dapat memberi idea-idea baru dan segar

"Saya tidak pernah kenal atau bertemu dengannya sepanjang saya berada dalam industri seni ini. Tetapi saya percaya, dengan usianya yang masih muda, dia dapat memberi idea-idea segar dalam membangunkan perfileman tempatan.

"Ingin saya katakan, terlalu awal untuk bercakap sama ada dia layak memegang jawatan tersebut atau tidak. Biarlah kita memberi peluang kepadanya, sejauh mana sumbangan yang dapat diberikan kepada industri," katanya.

'Kali Kedua' Buat Faralyna Berdebar

Posted: 08 Sep 2011 07:40 PM PDT

PETALING JAYA: Bintang baru, Faralyna Idris mengakui berdebar setiap kali drama lakonannya disiarkan di televisyen.

Pelakon drama Kali Kedua yang mula bersiaran pada malam Rabu (semalam) di TV9 (pukul 8.30 malam) ini berkata dia takut menerima reaksi daripada penonton.

"Biarpun ini bukan drama pertama saya tapi saya tetap berdebar apabila ia ditayangkan apatah lagi menerusi slot-slot yang popular.

"Saya takut menerima pandangan orang terhadap lakonan saya, macam-macam perasaan yang timbul," katanya.

Drama 13 episod menerusi slot Aurora itu turut dibintangi oleh Nas Muammar Zar, Faralyna Idris, Anne Ngasri dan Nazim Othman.

Ketika ditanya tentang perbezaan watak drama ini berbanding drama popularnya Asmara, Fara berkata, kali ini dia lebih banyak memainkan emosi.

"Saya juga takut penonton bosan dan tak dapat bezakan watak drama sebelum ini. Kali ini saya lebih membawakan karakter yang bermain dengan emosi," katanya.

Bercerita tentang watak gadis lemah lembut dan air mata yang kerap kali dibawakan, Faralyna berkata dia mahu mempelbagaikan sesuatu karakter biarpun watak baik.

"Ya, saya akui banyak menerima tawaran untuk melakonkan watak-watak baik, buat masa ini memang saya tiada pilihan kerana masih baru.

"Tapi jika diberi pilihan sudah tentu saya mahu cuba watak-watak yang lain," katanya.

Drama "Kali Kedua" mengisahkan tentang Qaseh (Faralyna) dan Reza (Nas-T). Namun, godaan daripada wanita sepejabat Reza yang telah membuatkan dia mengkhianati cinta Qaseh.

Keadaan ini membuatkan Qaseh berada dalam keadaan trauma kerana amat menyayangi Reza, namun akhirnya dia reda dengan ujian itu.

Perpisahan mereka adalah disebabkan oleh orang ketiga. Qaseh amat kecewa namun lama-kelamaan kehadiran Zarin iaitu abang kepada sahabat baiknya Rina sedikit sebanyak mengubati kekecewaan Qaseh.

Badan KD Lebih Cantik Selepas Bersalin Anak Ketiga

Posted: 08 Sep 2011 07:39 PM PDT

KD bersama Raus Lamos dan anak ketiganya.

JAKARTA: Bentuk badan penyanyi Krisdayanti (KD) selepas melahirkan anak ketiga, Arrianha Amora Lemos dikatakan jauh lebih cantik berbanding ketika melahirkan anak keduanya.

Menurut rakanya, Iis Dahlia, bentuk badan KD lebih kurus jika dibandingkan semasa melahirkan Azriel hasil perkahwinan dengan komposer Anang Hermansyah sebelum ini.

"Yanti sihat, apa yang ketara ialah selepas melahirkan anak ketiga ini, bentuk badannya lebih kurus dan cantik," ujarnya seperti dipetik detikhot.com.

Selain itu, demi perkembangan yang sempurna, Krisdayanti memilih untuk memberi susu badan sepenuhnya kepada bayinya itu.

Hingga kini, saudara mara serta rakan taulan KD masih lagi mengunjunginya. Penyanyi Menghitung Hari ini dijangka dibenarkan pulang daripada hospital pada, Jumaat.

Sandra Bullock Nafi Hamil Anak Ryan Reynolds

Posted: 08 Sep 2011 07:38 PM PDT

Sandra Bullock dan Ryan Reynolds

SEJAK bercerai dengan Jesse James, Sandra mula dikaitkan dengan aktor Ryan Reynolds, selepas digandingkan bersama dalam filem "The Proposal". Terbaru, dia dikatakan sedang hamil anak Ryan.

Berita tersebut telah dilaporkan sendiri oleh majalah OK! di mana Sandra bakal bergelar seorang ibu selepas memiliki seorang anak angkat, Louis, sebelum berpisah dengan Jesse.

Mendengar khabar angin itu, Sandra terus menyangkal dakwaan tersebut dan menghubungi majalah berkenaan dan meminta pengarangnya untuk membetulkan semula berita tersebut.

Dalam sebuah temu bual Samantha Harris, pengacara tersebut telah menjelaskan bahawa Sandra tidak hamil seperti yang dilaporkan oleh majalah Ok!

"Sandra telah memberitahu saya bahawa dia tidak hamil anak Ryan, malah mereka juga bukan sepasang kekasih," kata pengacara tersebut.

Selain menyangkal khabar berkenaan, Sandra juga turut menafikan bahawa Ryan telah bersetuju untuk menjadi bapa kepada Louis.

Mila Kunis Mengaku Tidak Boleh Menulis

Posted: 08 Sep 2011 07:34 PM PDT

Mila Kunis

PELAKON Mila Kunis mengakui dia bukanlah seperti pelakon-pelakon lain yang mempunyai cita-cita untuk bekerja di belakang tabir seperti penulis skrip kerana dia tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

"Bayangkan, saya sering runsing bila mahu menulis e-mel, apatah lagi untuk sebuah skrip filem. Saya tidak mampu melakukannya.

"Walaupun idola saya merupakan seorang yang serba boleh dalam bidang seni, Tina Fey dan Kristen Wiig yang hebat dalam penulisan, saya gagal mengikut cara mereka. Mungkin kerana saya tidak berbakat," seloroh Mila .

Bagaimanapun, kata Mila, kegagalannya dalam penulisan tidak bermakna dia tidak boleh bergaul dengan penulis-penulis skrip yang hebat.

"Tidak berbakat dalam penulisan tidak bermakna kita tidak boleh bergaul dengan mereka. Bagi saya, apabila kita bersama penulis-penulis profesional ini, mereka seolah-olah memberi satu pengajaran menarik dalam kehidupan seharian kita," ujarnya.

Nafi Marsha cuba bunuh diri

Posted: 08 Sep 2011 07:33 PM PDT

Marsha Milan Londoh
Marsha Milan Londoh

PETALING JAYA: "Berita penyanyi Marsha Milan Londoh cuba menelan 30 biji pil bagi cubaan membunuh diri tidak benar dan spekulasi liar. Saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul," kata Afeeq Abdul Wahab, 25, teman rapat Marsha ketika dihubungi bagi mengulas kejadian penyanyi berusia 28 tahun itu yang dikejarkan ke hospital pagi Rabu lalu.

Afeeq berkata, Marsha dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas rebah di parkir kediamannya di Jalan Klang Lama akibat tekanan darah rendah. "Marsha mengalami kemalangan sebelum itu mengakibatkan cedera dahi serta matanya mempunyai kesan lebam dan luka. Ketika itu Marsha keluar sendirian membeli makanan di kawasan berdekatan kondominiumnya. "Dia masih boleh memandu hingga ke rumah sebelum rebah. Saya percaya ia disebabkan trauma atas kemalangan yang berlaku memandangkan tidak pernah berdepan masalah sebegitu "Spekulasi kononnya dia menelan 30 biji pil untuk membunuh diri dan apa saja gosip tersebar tidak tepat dan mungkin ada pihak menyalah anggap tindakannya dengan mengambil ubat bagi mengurangkan penyakit tekanan darah rendah," katanya.


Sebelum itu desas-desus mengatakan Marsha cuba membunuh diri kerana marahkan teman lelakinya juga ahli perniagaan kerana mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Suami muda tak sabar

Posted: 08 Sep 2011 07:31 PM PDT

KUANTAN: Akibat gagal menahan sabar selepas lebih tiga jam menunggu isteri membeli-belah, seorang lelaki hilang pertimbangan sehingga sanggup memukul wanita itu di depan orang ramai dengan sebuah beg tangan di sebuah pasar raya di Jalan Gambang, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, wanita berusia 50 tahun dan tinggal di sebuah taman perumahan berhampiran pasar raya berkenaan, lebam di beberapa bahagian badan dan muka sebelum mendapat rawatan di sebuah klinik kesihatan di Jalan Gambang.


Sebelum kejadian, pasangan terbabit dikatakan masuk ke sebuah pasar raya untuk membeli barangan keperluan sebelum si suami dikatakan penat dan berehat di luar pasar raya itu.

Selepas kira-kira tiga jam menunggu, si suami yang berusia hampir 20 tahun lebih muda daripada isterinya itu mula bengang dan berang apabila mendapati wanita berkenaan tidak muncul dalam waktu yang sudah dijanjikan sebelum itu.


Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, isteri lelaki berkenaan keluar dari pasar raya itu sambil menjinjing beberapa beg plastik mengandungi barangan dibeli.


Tanpa mempedulikan isterinya yang ketika itu menjinjing banyak barang di tangan, lelaki berkenaan terus menengkingnya sehingga menarik perhatian pengunjung lain yang berada berhampiran.

Lelaki itu yang tidak menghiraukan perhatian pengunjung lain terus merampas beg tangan isterinya sebelum memukul beberapa kali di badan selain melibas beg berkenaan ke muka isterinya.


Wanita terbabit yang terkejut dengan tindakan luar batasan si suami kemudian terus melarikan diri masuk ke dalam kereta kerana malu kejadian itu disaksikan pengunjung lain.

Susulan kejadian itu, wanita terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, kira-kira jam 10 malam kelmarin.


Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.


Menurutnya, siasatan awal mendapati, pergaduhan itu hanya berpunca daripada lelaki berkenaan tidak puas hati dengan sikap mangsa kerana gemar mengambil masa lama untuk membeli-belah.


Bagaimanapun, katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Buang bapa, kebas wang

Posted: 08 Sep 2011 07:28 PM PDT

MALANG...Wahid (tengah)  ditemani Alias (kiri) dan Jamil sebelum dihantar ke pusat perlindungan sementara, semalam.
MALANG...Wahid (tengah) ditemani Alias (kiri) dan Jamil sebelum dihantar ke pusat perlindungan sementara, semalam.

LABUAN: Pilu hati seorang bapa berusia 71 tahun apabila kerinduan dipendamnya untuk bertemu anak berakhir dengan insiden tidak dijangka apabila dia dihantar 'orang suruhan' anaknya itu ke tepi sebuah masjid hanya beberapa jam melepaskan kepenatan di rumah orang kesayangan itu, semalam.

Lebih menyedihkan Wahid Hussin yang tinggal bersendirian di Kuala Penyu dekat sini, sanggup menempuh perjalanan sejauh lebih 60 kilometer (km)menaiki bot dan pengangkutan awam lain sebaik keluar dari Hospital Kuala Penyu, semata-mata mahu meraikan Aidilfitri bersama anak lelaki berusia 40-an, di sebuah kampung di sini.

Warga emas yang kematian isteri lebih 12 tahun lalu itu bukan saja 'dibuang' berhampiran Masjid Jamek An-Nur, malah wang tunai dimiliki termasuk yang disumbang orang ramai ketika dirawat di hospital turut dikebas anak derhaka terbabit.

Warga emas itu bernasib baik apabila ditemui dalam keadaan lemah oleh pekerja masjid di tepi pokok bunga berhampiran masjid sebelum dibawa ke pekarangan rumah ibadat itu untuk diberi bantuan sebelum diserahkan kepada pengurusan untuk tindakan selanjutnya.


Masih berbaju pesakit hospital, Wahid yang ditemui Harian Metro di pekarangan Masjid Jamek An-Nur di sini, tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan perbuatan anak kandungnya itu.

Sekeluarga terancam along tagih RM70,000

Posted: 08 Sep 2011 07:27 PM PDT

TERIMA UGUTAN...Rokiah sekeluarga membuat aduan kepada PPIM.
TERIMA UGUTAN...Rokiah sekeluarga membuat aduan kepada PPIM.

KUALA LUMPUR: Sebuah keluarga kini hidup dalam ketakutan selepas diburu along yang meminta bayaran RM70,000 selepas seorang ahli keluarga mereka meminjam wang sebanyak RM3,000 untuk membayar bil hospital di Klang.

Mangsa hanya dikenali sebagai Rokiah, 50, berkata, along dan konconya ada pergi ke premis perniagaannya minggu lalu dan menggugut meminta wang sebanyak RM70,000.


Katanya, along berkenaan mahu wang pinjaman itu dilunaskan segera sekiranya mereka mahu selamat.

"Selepas itu, konconya datang lagi ke kedai saya meminta wang sebanyak RM35,000 tetapi ia masih tidak mampu dilunaskan oleh saya kerana jumlahnya terlalu besar.


"Kelmarin, mereka datang lagi meminta wang RM25,000 tetapi saya tiada wang sebanyak itu. Mereka turut mengugut kami sekeluarga hingga kami takut untuk keluar rumah," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, kejadian itu amat menakutkannya sekeluarga kerana konco along terbabit kerap datang meminta wang padahal jumlah pinjaman anaknya tidak seberapa tetapi kadar bunga dikenakan amat tinggi dan berlipat kali ganda.

Katanya, anaknya membuat pinjaman dengan along berkenaan April lalu kerana suaminya sakit. Pinjaman itu terpaksa dilakukan bagi membiayai bil hospital.


"Saya tidak menyangka perkara ini menjadi semakin rumit apabila kami sekeluarga pula diburu along terbabit yang menuntut hutang mereka dengan jumlah yang banyak.

"Pada awal pinjaman, anak saya ada membayar sebanyak RM50 sehari bagi tempoh dua minggu dan berhenti apabila kesempitan wang," katanya yang tidak tahan dengan gangguan along menyebabkan dia sekeluarga nekad membuat laporan di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Latih tenaga profesional industri spa

Posted: 08 Sep 2011 07:24 PM PDT

PENTING...pengurut atau ahli terapi perlu mempunyai pengetahuan mengenai anatomi badan manusia dan bukannya hanya tahu mengurut saja.
PENTING...pengurut atau ahli terapi perlu mempunyai pengetahuan mengenai anatomi badan manusia dan bukannya hanya tahu mengurut saja.
BANEY...mahu ubah persepsi masyarakat.
BANEY...mahu ubah persepsi masyarakat.

"MASYARAKAT selama ini banyak disogok dengan paparan cerita 'hitam' mengenai khidmat di pusat urut menyebabkan pandangan terhadap spa turut terjejas.

"Bagaimanapun, persepsi berkenaan perlu diubah kerana spa terutama yang sudah berdaftar dengan Persatuan Spa Malaysia (Amspa) memiliki standard industri spa termasuk kebersihan dan perkhidmatan berkualiti selain menggunakan tenaga kerja yang mahir dan terlatih.

"Golongan yang menyalahgunakan spa untuk tujuan berseronok dan hiburan melampau sebenarnya mempersendakan bidang ini. Saya mahu mengubah persepsi kerjaya di bidang ini bukanlah sesuatu yang menjijikkan tetapi satu industri yang mampu memberi pulangan lumayan kepada negara dan pengusaha itu sendiri," demikian kata Presiden Kedua Amspa, Rahatul Baney Mohd Amin.

Anak jati kelahiran Selangor itu mengakui, dulu apabila sebut saja mengenai spa, persepsi masyarakat memang lebih kepada pusat kecantikan yang menawarkan 'khidmat' tambahan seperti yang disediakan rumah urut.


Rahatul atau lebih mesra dengan panggilan Baney berkata, kini sudah tiba masa untuk bidang itu diangkat tahapnya sebaris dengan profesional lain dan diiktiraf masyarakat.


Misi wanita kecil molek berusia 39 tahun itu untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap bidang spa dan kecantikan semakin membuahkan hasil selepas dia dan Datin Ramona Suleiman menubuhkan Energy Academy Spa empat tahun lalu.

Energy Academy juga mendapat pengiktirafan yang pertama sebagai 'Center of Excellence' untuk Pusat Bertauliah Spa oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Dengan pengiktirafan dan sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan dan lain-lain agensi kerajaan, ia dilihat sebagai inisiatif untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir negara untuk bekerja secara profesional seterusnya memajukan industri spa ke peringkat antarabangsa.

Pengarah eksekutif yang sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Komunikasi dan Spa di Cyberview Lodge Resort & Spa itu berkata, masyarakat selama ini keliru dengan khidmat yang ditawarkan di spa dan masih ramai yang menyamakan ia dengan pusat urut haram yang beroperasi tanpa lesen atau seliaan.

Paparan cerita hitam mengenai spa membuatkan masyarakat memandang sebelah mata kerjaya di bidang berkenaan sedangkan ia sebenarnya mampu menjanjikan pulangan yang menguntungkan jika dilaksanakan dengan baik.

Baney yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang berkenaan mengakui pihaknya mahu menggunakan landasan pendidikan bagi mengubah pandangan berkenaan dan alhamdulillah, hari ini kerjaya di bidang spa semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Sejak akademi yang mengendalikan kursus pengendalian spa secara profesional itu diwujudkan, dia melihat sendiri bagaimana ia perlahan-lahan mengubah pandangan masyarakat terhadap bidang berkenaan.

"Tidak ada akademi menyediakan kursus lengkap yang dijalankan secara profesional diwujudkan di Malaysia sebelum ini. Ia menyebabkan banyak pusat urut dan spa kecantikan menggunakan pengurut atau ahli terapi tanpa kelayakan kerana hanya berpandukan kepada pengalaman.

"Justeru, penubuhan akademi ini memang tepat pada masanya kerana ia menyediakan pendidikan secara sistematik dan profesional kepada individu yang berminat untuk mengembangkan kerjaya menyertai bidang spa," katanya.

Suatu ketika dulu, spa hanya dikaitkan untuk golongan mewah tetapi kini ia sudah menjadi keperluan untuk kekal sihat dan cantik.

Berbanding spa kecantikan biasa, spa terapeutik yang kini semakin banyak diusahakan juga mampu memberikan khidmat setanding fisioterapi di hospital atau klinik bagi meningkatkan tahap penyembuhan pesakit berkaitan saraf.

Baney berkata, ramai yang tidak mengetahui tekanan yang dialami sama ada membabitkan kerja atau masalah peribadi sebenarnya boleh mengundang bahaya.
Tekanan itu jika dibiarkan boleh menjejaskan kelancaran darah, sekali gus mengganggu kesihatan otot dan badan secara amnya.

"Di sini, peranan sentuhan membabitkan manusia amat penting kerana urutan yang diperoleh bukan sekadar mengurangkan kesakitan otot atau keletihan tetapi pada masa sama, dapat membantu memberi ketenangan dan meredakan tekanan.

"Itulah antara keajaiban urutan dan kami mahu masyarakat sedar selain pengambilan pil ubatan, kaedah holistik seperti urutan spa juga mampu membantu mengurangkan kesakitan," katanya.

Sementara itu, Baney turut mengajak belia, ibu tunggal, penerima zakat dan penerima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berminat untuk mendalami bidang spa mengikuti kursus Terapi Urutan Spa di Energy Academy.

Pengambilan dibuka untuk latihan di Pusat Utama di Kuala Lumpur dan Langkawi bermula pada 10 September melalui laman web di www.energyacademy.com.my.

Akademi berkenaan menawarkan program Perantis Spa (Spa Apprenticeship Program) bagi kursus Terapi Urutan Spa, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2, ia terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Jelasnya, kursus berkenaan mendapat akreditasi daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia selain turut menawarkan dana (geran) kepada yang layak.

Dana daripada Kementerian Pelancongan Malaysia itu hanya diberikan kepada mereka yang betul-betul layak untuk mengikuti kursus ditawarkan.

"Pemohon perlu menjalani sesi temu duga terlebih dulu bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dan berminat untuk mendalami bidang spa saja diberikan tempat kerana kami tidak mahu dana disia-siakan," katanya.

Tempoh kursus yang ditawarkan selama enam bulan meliputi tiga bulan intensif sepenuh masa di dalam kelas dan tiga bulan praktikal di tempat kerja.

Pelajar yang mengikuti latihan industri dijanjikan peluang pekerjaan sekurang-kurangnya selama 12 bulan kepada pelatih yang memenuhi kriteria yang diperlukan majikan.

Selain itu, pelajar yang ditauliahkan sebagai tenaga mahir juga berpeluang ditempatkan di organisasi spa dengan kerjasama Amspa.

"Pelatih yang sudah ditauliahkan boleh menyambung pelajaran dalam bidang Diploma Anatomi & Fisiologi dan Diploma Urutan Badan dengan mengikuti Program CIBTAC.

"Program pelesenan antarabangsa ini dapat menaik taraf pusat perkhidmatan spa sedia ada khususnya kepada pelancong dari luar negara. Namun kursus ini bukan hanya terbuka kepada golongan belia saja kerana pemilik, pengurus atau ahli terapi spa yang mempunyai pengalaman tanpa sebarang sijil atau latihan formal sebelum ini juga digalakkan untuk menyertainya," katanya.

Antara silibus paling menarik disediakan akademi itu ialah mempelajari anatomi manusia selain teknik pernafasan yang betul.

Baney mengakui, selepas mempelajari mengenai anatomi, kaedah mengurut akan menjadi lebih berkesan kerana pengurut atau ahli terapi mempunyai lebih pengetahuan mengenai otot, saraf dan tulang.

"Pengurut atau ahli terapi perlu mengetahui sedikit sebanyak maklumat berkaitan anatomi badan manusia kerana ia penting untuk diadaptasikan dengan teknik urutan yang dikehendaki pelanggan.

"Ia turut membantu pengurut atau ahli terapi untuk mengesyorkan teknik yang bersesuaian mengikut keperluan tubuh pelanggan.

"Selain itu, penggunaan istilah perubatan secara tidak langsung turut menyerlahkan pengetahuan ahli terapi dan tukang urut dan bukan hanya sekadar tahu mengurut saja seperti yang dilakukan tukang urut haram yang diambil dari luar," katanya mengakhiri perbualan.



PROFIL:

NAMA: Rahatul Baney Mohd Amin
UMUR: 39 tahun
ASAL: Selangor

JAWATAN: Pengarah Eksekutif Energy Academy Spa, Presiden Kedua Amspa, Ahli Jawatankuasa People Pillar dan Asia Pacific Wellness Coalition, Ahli Prinstek (Persatuan Pemilik Institusi Pengajian Tinggi Swasta Sains Kesihatan dan Teknologi Malaysia)

Invest KL raih enam pelaburan

Posted: 08 Sep 2011 07:23 PM PDT

pix_gal0
Firma multinasional minat perluas operasi di Lembah Klang, Greater KL

INVEST KL, agensi yang ditubuhkan khusus untuk menarik pelaburan asing ke kawasan Lembah Klang dan Greater KL akan menerima enam pelaburan pertamanya membabitkan firma multinasional yang disenarai dalam Fortune 500 sebelum akhir tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Zainal Amanshah, berkata agensi itu telah menerima banyak pertanyaan daripada firma multinasional yang berminat untuk mengembangkan operasi perniagaan masing-masing di kawasan pertumbuhan ekonomi negara itu.
Katanya, minat itu sejajar dengan perkembangan rantau Asia Tenggara yang kini dikenal pasti kawasan pertumbuhan akan datang di kalangan pelabur global.
"Prospek menerima pelaburan itu adalah cerah yang mana kami telah menerima pertanyaan dari firma multinasional yang mempunyai rancangan mengembangkan operasi perniagaan mereka ke pasaran baru.

"Setakat ini, kami menerima maklum balas daripada firma multinasional yang beroperasi di Singapura, Asia Barat, Jepun, China, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah," katanya kepada media selepas pengumuman perkembangan terkini Program Transformasi Ekonomi (ETP) di Kuala Lumpur, semalam.

Invest KL yang mula beroperasi 1 Jun lalu diletakkan di bawah tiga kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Ia diberi mandat menarik 100 firma multinasional melabur di kawasan Lembah Klang dan Greater KL menjelang 2020.
Kawasan pelaburan seluas 2,900 kilometer persegi itu membabitkan 10 majlis perbandaran tempatan di seluruh Kuala Lumpur dan Selangor.

Zainal berkata, bagi mencapai mandatnya, Invest KL bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), Multimedia Development Corporation (MDeC), Bank Negara Malaysia, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dan koridor pembangunan bagi memudah cara kemasukan pelabur asing ke kawasan itu.

"Firma multinasional terbabit boleh melabur sama ada untuk membuka ibu pejabat baru, ibu pejabat serantau atau pusat pengedaran serantau di Lembah Klang dan Greater KL," katanya.

Beliau berkata, Invest KL menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada pelabur dalam pelbagai aspek, termasuk memperkenalkan pelbagai hab perniagaan khusus di Kuala Lumpur kepada pelabur, memberi cadangan lokasi pelaburan terbaik, membentuk pakej fiskal berdaya saing dan menyediakan program pengurusan tenaga kerja.

"Kami juga menyediakan perkhidmatan dari segi memudahkan urusan pemindahan dari lokasi perniagaan sedia ada mereka, program membiasakan diri dengan lokasi perniagaan dan perkhidmatan pasca pelaburan lain," katanya.

Syarikat yang mahu melabur di Malaysia perlu diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan modal berbayar minimum AS$1.5 juta dan perbelanjaan operasi minimum AS$3.5 juta setahun.

Firma berkenaan juga perlu mempunyai rangkaian anak syarikat yang besar di luar Malaysia, mempunyai lima syarikat berkaitan di luar negara serta menyediakan peluang kerja kepada kumpulan profesional berkelayakan tinggi, teknikal serta kakitangan sokongan.

Bookie kembali

Posted: 08 Sep 2011 07:22 PM PDT

pix_gal0
Polis Johor intip bookie terima dan jawab telefon secara kerap di Stadium Larkin

PERMULAAN kancah bola sepak Piala Malaysia tercemar apabila disahkan seorang bookie ditahan polis dipercayai terbabit dengan sindiket mengendali pertaruhan perlawanan membabitkan Johor dan Kedah di Stadium Larkin, Selasa lalu.

Kini, apa yang pasti satu gambaran terjelma betapa perlawanan peringkat kumpulan di lapan gelanggang, Sabtu ini bakal dipantau dengan andaian gelagat sama mungkin berulang mencalar imej bola sepak negara.
Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Md Jais Sarday yang ditemui menyuarakan pengharg aan terhadap kejayaan Polis Johor dan sedia membantu usaha membanteras gejala yang masih menular itu.
Beliau menggesa agar polis mengambil tindakan tegas termasuk bersikap proaktif dengan menyiasat mana-mana pasukan atau pemain yang disyaki terbabit.

"Sebelum ini saya akui ada spekulasi mengenai gelagat perjudian tetapi tiada bukti kukuh. Sebelum saingan Piala Malaysia musim ini bermula, kita sudah menyingkirkan empat pemain kerana disyaki terbabit dalam mengatur perlawanan.

Jun lalu, seorang bookie dari Singapura dan bekas jurulatih didakwa di tiga mahkamah berasingan atas tuduhan mengatur keputusan perlawanan membabitkan T-Team, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan dalam saingan Piala Presiden.

"PBNJ memandang serius dan sedia bekerjasama dengan polis dalam membanteras kegiatan tidak bermoral ini bagi memastikan arena bola tempatan khususnya di negeri ini tidak dibelenggu dengan gejala rasuah," katanya.
Kegiatan itu terbongkar susulan tangkapan seorang lelaki berusia 28 tahun yang ditahan ketika sedang sibuk mengatur pertaruhan membabitkan perlawanan antara Johor dengan Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Selasa lalu.

Kesibukan menerima dan menjawab panggilan telefon berhubung pertaruhan dibuat di tempat duduk utama stadium berkenaan, membuatkan bookie terbabit tidak menyedari dirinya sedang diintip sepasukan anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Polis Johor yang membuat pemantauan terhadap kegiatan haram itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Asisten Komisioner Che Yussof Che Ngah, berkata lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 10.50 malam.

"Hasil maklumat dan risikan yang dibuat, suspek berjaya ditahan ketika dia sedang sibuk menerima dan menjawab panggilan telefon dipercayai daripada individu yang membuat pertaruhan berhubung perlawanan yang sedang berlangsung di stadium berkenaan ketika itu.

"Susulan tangkapan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit dan kertas catatan yang memaparkan jumlah pertaruhan dan perlawanan diterimanya," katanya ketika dihubungi, semalam.

‘Tentera sabun’ main sorok-sorok

Posted: 08 Sep 2011 07:21 PM PDT

WARGA asing menjadikan tempat letak kereta di Seksyen 18, di Shah Alam, sebagai lubuk mencari rezeki dengan mengambil upah mencuci kenderaan.
WARGA asing menjadikan tempat letak kereta di Seksyen 18, di Shah Alam, sebagai lubuk mencari rezeki dengan mengambil upah mencuci kenderaan.
Warga asing sedia khidmat cuci kereta tanpa lesen mengelak ditahan MBSA

SHAH ALAM: Sekumpulan enam warga asing dari Chennai, India, mempertaruhkan nasib datang ke negara ini sejak setahun lalu dengan menjadikan tempat letak kereta di Seksyen 18, di sini sebagai lubuk mencari rezeki dengan mengambil upah mencuci kenderaan di kawasan berkenaan.

Dikenali sebagai 'tentera sabun' di kalangan penduduk tempatan, kesemua warga asing itu mengenakan bayaran RM5 bagi upah mencuci bahagian luaran kenderaan dan menjadikannya sebagai pekerjaan tetap mereka walaupun mengakui terpaksa bermain 'sorok dan sembunyi' setiap kali didatangi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tinjauan Sentral ke lokasi mereka bertugas sejak beberapa hari lalu mendapati, kesemuanya mendakwa enggan bekerja di kilang seperti warga asing lain kerana kerja mencuci kenderaan itu mampu memberikan pendapatan lebih RM150 sehari berdasarkan purata 30 kenderaan yang mampu dicuci.
Seorang daripada mereka yang hanya dikenali Prakash, berkata sejak menjalankan operasi di kawasan letak kereta di situ, mereka turut mendapat 'kontrak' mencuci harian di kalangan pemilik kenderaan yang bertugas di beberapa pejabat dan kedai di kawasan berkenaan.

"Selain pelanggan harian, kami juga mendapat upah mencuci kereta secara kontrak di kalangan pemilik kenderaan yang bekerja di kawasan ini. Cuma kami selalu berhati-hati dan terpaksa lari jika penguat kuasa (MBSA) datang membuat pemeriksaan," katanya yang fasih berbahasa Malaysia.

Prakash, dipercayai mengetuai kumpulan enam lelaki itu mendakwa mereka kini tinggal menyewa di sebuah flet milik penduduk tempatan di Seksyen 19, kira-kira satu kilometer dari tempat mereka mencari rezeki dengan bayaran sewa sebanyak RM650 sebulan.

"Kami datang bekerja menaiki basikal dan mesti sampai di sini sebelum jam 9 pagi. Kami mesti sampai awal di sini sebab kebiasaannya pada awal pagi penguat kuasa belum datang membuat pemeriksaan," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya bekalan air yang digunakan untuk mencuci kenderaan, dia mendakwa mendapat kemudahan itu daripada pili air milik sebuah kedai berdekatan dengan dikenakan bayaran tertentu dan tidak berdepan masalah menggunakannya sejak setahun lalu.

"Air untuk mencuci kereta kami sewa dari sebuah kedai tapi sabun dan pengilat tayar kami dapat daripada pembekal yang datang. Dalam sebulan kami menggunakan sekurang-kurangnya enam liter sabun dengan harga RM200 termasuk pengilat tayar," katanya.

Tentera sabun seramai enam orang itu bukan asing di kalangan penduduk tempatan dan pemilik kenderaan di kawasan letak kereta berdekatan sebuah pasar raya besar itu kerana sering menawarkan perkhidmatan kepada setiap pemilik kenderaan tanpa malu.

Rakyat mula terima kesan baik inisiatif ETP

Posted: 08 Sep 2011 07:03 PM PDT

 NAJIB bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada majlis mengumumkan laporan kemajuan ketujuh ETP di Kuala Lumpur, semalam.
NAJIB bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada majlis mengumumkan laporan kemajuan ketujuh ETP di Kuala Lumpur, semalam.
84 peratus program dirancang kerajaan sudah dilaksana

KUALA LUMPUR: Sebanyak 84 peratus daripada inisiatif Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sudah diumumkan kerajaan sedang dilaksanakan dengan kebanyakannya memberikan kesan positif kepada rakyat.

Sejak dilancarkan Oktober tahun lalu, 87 inisiatif diumumkan dengan 23 daripadanya siap beroperasi, 50 sudah bermula, manakala 14 lagi dalam peringkat kerja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau gembira Projek Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) yang dilancarkan pada Januari lalu sudah mengubah kehidupan 237 pekedai di seluruh negara sehingga kini.
Beliau berkata, projek itu berjaya membantu memperkembangkan perniagaan dan memberi impak amat besar kepada pekedai kecil bagi menambah pendapatan kedai dan kebebasan kewangan.

"Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Perkhidmatan Perniagaan yang aspirasinya untuk menjadikan Malaysia pusat data bertaraf antarabangsa juga menunjukkan perkembangan positif dengan Pusat Data CSF di Putrajaya dijangka siap suku terakhir tahun ini dan dibuka secara rasmi pada 9 Januari depan.

"Perkongsian awam-swasta antara Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (MARDI), Infoculture Sdn Bhd dan Sime Darby melalui projek penanaman padi yang diumumkan Mac lalu menyaksikan 33 petani menerima pulangan lebih baik pada tuaian pertama," katanya di sini, semalam.

Selain itu, Najib berkata, QAV Technologies Sdn Bhd yang melabur RM12 juta untuk membangunkan pusat pensijilan diod pemancar cahaya dan lampu pepejal di Pulau Pinang kini dalam proses pemasangan peralatan dan beroperasi menjelang akhir tahun ini.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala percaya semua projek ETP dirancang dapat dilaksana mengikut jadual.

"Berita baik ialah kedudukan daya saing negara bertambah baik dan berada di tempat ke-21 mengikut Laporan Daya Saing Global 2011," katanya.

2 Raksasa gegar Stadium Merdeka 1 Oktober ini

Posted: 08 Sep 2011 07:00 PM PDT

Masih bersemangat dan masih menjanjikan yang terbaik, band rock lagenda, Sweet Charity dan Blues Gang mengakui masih kekal dalam mood yang sama biarpun rancangan mereka untuk beraksi di pentas besar itu tertangguh berikutan perhimpunan haram bersih pada 9 Julai yang lalu.
Bakal menunaikan impian peminat yang sudah membeli tiket sebelum ini pada 1 Oktober nanti, mereka berharap agar konsert ini bukan yang terakhir untuk mereka, dan kedua-dua band ini juga mengharapkan lebih ramai lagi penyanyi-penyanyi di zaman mereka dahulu mengikuti jejak langkah mereka selepas ini.
"Kami pandang positif untuk setiap perkara yang berlaku sebelum ini. Penangguhan tarikh ini juga sebenarnya memberi banyak peluang untuk kami berlatih dan akan memberikan yang lebih baik dimalam 1 Oktober nanti.
"Setakat ini tiket sudah pun 50 peratus terjual dan kami sasarkan hampir 25 ribu penonton akan hadir pada malam itu. Pada mereka yang sudah membeli tiket sebelum tarikh ditukarkan, tiket itu masih boleh digunakan pada hari kejadian.
"Tidak banyak kelainan yang kami ubah jika dibandingkan sekiranya ia berlangsung pada 9 Julai lalu, cuma mungkin dari segi persediaan sahaja, memandangkan kami lebih bersemangat sekarang ini.
"Daripada segi pemilihan lagu pula, ia sebenarnya masih belum mempunyai senarai yang tetap, manakala dari segi persembahan mungkin ia lebih matang memandangkan pada usia kami, tetapi kami tetap akan memberikan satu perasaan dan gerak geri yang bersesuaian dengan muzik yang kami bawakan,"jelas Ramli Sarip.
Hadiah menarik
Menariknya tentang konsert ini, penganjur turut menyediakan 100 keping tiket VIP yang bernilai RM500 dan pemegang tiket ini layak untuk memenangi hadiah cabutan bertuah yang berupa sebuah gitar eksklusif yang telah ditandatangani oleh kedua-dua band.
Setiap seorang pemegang tiket VIP itu juga akan menerima sebuah buku edisi terhad, 40 Tahun Bagaikan Bermimpi Sweet Charity yang berharga RM9.90, sehelai T-Shirt terhad, sesi bertemu artis dalam satu jamuan ringkas selepas konsert dan tempat duduk khas untuk menonton konsert ini.
Manakala kepada peminat-peminat yang memberli tiket berharga RM73 turut layak memenangi cabutan bertuah berupa tiga biji motor Naza Blizt cc150 tajaan Naza dan 20 set pakej diskaun perlancongan.
Tiket-tiket boleh didapati di www.airasiaredtix.com, talin hotline: 02 87754666 atau semua cawangan Redtix di Rock Corner dan Victoria Music dan kaunter-kaunter terpilih Transnasional dan Plusliner.

Masih bersemangat dan masih menjanjikan yang terbaik, band rock lagenda, Sweet Charity dan Blues Gang mengakui masih kekal dalam mood yang sama biarpun rancangan mereka untuk beraksi di pentas besar itu tertangguh berikutan perhimpunan haram bersih pada 9 Julai yang lalu.

Bakal menunaikan impian peminat yang sudah membeli tiket sebelum ini pada 1 Oktober nanti, mereka berharap agar konsert ini bukan yang terakhir untuk mereka, dan kedua-dua band ini juga mengharapkan lebih ramai lagi penyanyi-penyanyi di zaman mereka dahulu mengikuti jejak langkah mereka selepas ini.

"Kami pandang positif untuk setiap perkara yang berlaku sebelum ini. Penangguhan tarikh ini juga sebenarnya memberi banyak peluang untuk kami berlatih dan akan memberikan yang lebih baik dimalam 1 Oktober nanti.

"Setakat ini tiket sudah pun 50 peratus terjual dan kami sasarkan hampir 25 ribu penonton akan hadir pada malam itu. Pada mereka yang sudah membeli tiket sebelum tarikh ditukarkan, tiket itu masih boleh digunakan pada hari kejadian.

"Tidak banyak kelainan yang kami ubah jika dibandingkan sekiranya ia berlangsung pada 9 Julai lalu, cuma mungkin dari segi persediaan sahaja, memandangkan kami lebih bersemangat sekarang ini.

"Daripada segi pemilihan lagu pula, ia sebenarnya masih belum mempunyai senarai yang tetap, manakala dari segi persembahan mungkin ia lebih matang memandangkan pada usia kami, tetapi kami tetap akan memberikan satu perasaan dan gerak geri yang bersesuaian dengan muzik yang kami bawakan,"jelas Ramli Sarip.

Hadiah menarik

Menariknya tentang konsert ini, penganjur turut menyediakan 100 keping tiket VIP yang bernilai RM500 dan pemegang tiket ini layak untuk memenangi hadiah cabutan bertuah yang berupa sebuah gitar eksklusif yang telah ditandatangani oleh kedua-dua band.

Setiap seorang pemegang tiket VIP itu juga akan menerima sebuah buku edisi terhad, 40 Tahun Bagaikan Bermimpi Sweet Charity yang berharga RM9.90, sehelai T-Shirt terhad, sesi bertemu artis dalam satu jamuan ringkas selepas konsert dan tempat duduk khas untuk menonton konsert ini.

Manakala kepada peminat-peminat yang memberli tiket berharga RM73 turut layak memenangi cabutan bertuah berupa tiga biji motor Naza Blizt cc150 tajaan Naza dan 20 set pakej diskaun perlancongan.

Tiket-tiket boleh didapati di www.airasiaredtix.com, talin hotline: 02 87754666 atau semua cawangan Redtix di Rock Corner dan Victoria Music dan kaunter-kaunter terpilih Transnasional dan Plusliner.

Apa terjadi dengan Marsha?

Posted: 08 Sep 2011 06:52 PM PDT

Pelakon dan penyanyi jelita, Marsha Milan Londoh diberitakan sedang menjalani rawatan di wad trauma dan kecemasan di sebuah pusat perubatan selepas dikatakan menelan 30 biji pil yang kemudian membuatkan wanita kelahiran Sabah ini pengsan di kediamannya petang semalam.

Marsha yang sebelum ini merupakan bintang program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga dikatakan berbuat demikian kerana tidak sihat sejak beberapa hari yang lalu.

Dalam satu kenyataan, pembantu peribadinya, Syada, telah menafikan tindakan Marsha itu bermotifkan bunuh diri dan setakat ini masih berada didalam rawatan di Pusat Rawatan Universiti Malaya.

Marsha pernah menimbulkan kontroversi sedikit masa lalu, apabila dia dikatakan telah berkahwin secara rahsia namun ianya sebenarnya hanya sebuah gimik untuk klip video terbarunya.

Seni rekaan selendang dunia Islam

Posted: 08 Sep 2011 06:52 PM PDT


Wanita Melayu Minangkabau menggayakan busana tradisional berserta selendang dan hiasan kepala Abad ke 19 Masihi / abad ke 13 Hijrah.


MUZIUM Kesenian Islam Malaysia (MKIM) mempunyai pelbagai koleksi selendang dari beberapa negara Islam seperti dunia Melayu, India, Iran dan Asia Tengah. Selendang mempunyai pelbagai saiz dan kegunaan mengikut adat resam dan cara hidup masyarakat Islam di sesuatu kawasan.

Di Malaysia selendang sering dikaitkan sebagai salah satu daripada pakaian wanita sama ada sebagai tudung ataupun dijadikan hiasan di bahu ketika memakai pakaian tradisional seperti baju kurung atau kebaya.

Kain selendang yang digunakan sebagai tudung dan hiasan di bahu oleh wanita Melayu selalunya nipis dan mempunyai hiasan yag terdiri daripada sulaman kelingkan atau sulaman biasa dan kadangkala ia diperbuat daripada kain songket.

Selendang daripada kain songket terutamanya bagi wanita Melayu Minangkabau, digunakan sebagai hiasan kepala dan juga kain penutup dada. Kain hiasan kepala wanita minangkabau dilipat sehingga mempunyai bentuk seperti tanduk.

Saiz kain selendang yang digunakan untuk tujuan ini adalah lebih besar berbanding dengan saiz kain selendang yang digunakan sebagai tudung.

Dalam pakaian tradisional kaum wanita masyarakat Melayu di Pantai Timur Semenanjung yang dikategorikan sebagai kembang, kain selendang bersaiz besar turut digunakan sebagai kain penutup kepala, bahagian belakang, bahu dan dada ketika keluar dari rumah.

Salah satu jenis kain yang sering digunakan dalam pakaian tradisional kaum wanita Pantai Timur ialah kain limar. Ini kerana ia lembut dan mempunyai warna yang menarik.

Bagi wilayah Islam yang mempunyai cuaca yang sejuk, selendang merupakan salah satu cara untuk memanaskan badan. Penggunaannya tidak terhad kepada golongan wanita sahaja.

Golongan lelaki juga menggunakan kain selendang yang bersaiz besar untuk memanaskan badan dengan melilitkan selendang untuk menutup bahagian belakang, bahu dan dada. Kadangkala saiz selendang yang besar dapat menutup hampir keseluruhan badan si pemakai.

Salah satu jenis selendang yang dihasilkan untuk tujuan ini ialah selendang Pashmina. Selendang Pashmina diperbuat daripada benang bulu kambing biri-biri.

Ia kemudiannya ditenun menjadi sehelai kain yang sangat sesuai bagi memerangkap haba dan memanaskan badan si pemakai. Selendang ini ditenun dalam pelbagai warna dan corak.

Terdapat juga selendang yang mempunyai satu warna sahaja dan ia kemudiannya dihias dengan untaian simpulan benang di bahagian atas dan bawah sebagai hiasan. Ia tidak sesuai digunakan di negara yang panas kerana sifat benang bulu yang memerangkap haba.

Satu lagi jenis selendang yang dihasilkan dan dipakai oleh masyrakat Islam ialah selendang Kashmir. Ia diberi nama sempena dengan nama tempat ia dihasilkan iaitu Kashmir.

Kashmir merupakan kawasan yang sejuk kerana ia terletak di bahagian utara benua kecil India. Tidak seperti selendang lain yang sering dihasilkan dalam bentuk segi empat tepat, selendang Kashmir sering dihasilkan dalam bentuk segi empat tepat. Si pemakai perlu melipatkan selendang tersebut menjadi bentuk segi tiga.

Selain ditenun, selendang Kashmir juga mempunyai sulaman yang dijadikan hiasan. Satu perkara yang menarik, kebanyakan penyulam dan penenun selendang Kashmir terdiri daripada golongan lelaki.

Mereka mempunyai kemahiran dalam menghasilkan selendang Kashmir bermutu tinggi untuk pasaran tempatan dan juga pasaran luar. Ia dihasilkan daripada pelbagai jenis benang seperti benang bulu ataupun sutera.

Selendang yang dihasilkan ini juga digunakan oleh golongan lelaki untuk tujuan pemanasan badan. Motif utama yang sering digunakan untuk menghias selendang Kashmir ialah motif tumbuhan yang dikenali sebagai 'boteh'.

Koleksi selendang dunia Islam MKIM dipamerkan di galeri tekstil MKIM.

Menangis dalam solat

Posted: 08 Sep 2011 06:51 PM PDT

SEMASA Ramadan lalu, saya ada mengikuti solat tarawih yang disiarkan secara langsung di televisyen. Dalam keadaan tertentu saya dapati imamnya akan menangis semasa membaca ayat-ayat al-Quran yang berkaitan azab Allah. Keadaan yang sama juga kadang kala berlaku di negara kita.

Persoalannya, adakah perbuatan menangis itu membatalkan solat dan jika tidak, setakat mana kita dibolehkan menangis dalam solat.

JAWAPAN:

Diharuskan menangis dalam solat kerana takutkan Allah SWT, takut akan seksanya serta takut amalan tidak diterima oleh-Nya. Ia merupakan sifat ahli takwa, yang sentiasa mendambakan keredaan dah kasih sayang-Nya yang Maha Agung.

Tidak semua kita yang mampu mengalirkan air mata dalam solat. Malahan hanya sedikit yang menangis dalam solat. Tangisan dalam solat sangat bermakna di hadapan Allah SWT.

Menangis dalam solat adalah antara ciri orang yang beriman kepada Allah swt, firman-Nya yang bermaksud: ...apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. (Maryam: 58)

Abdullah bin Syirkhir berkata yang bermaksud: "Aku melihat Rasulullah SAW mendirikan solat mendirikan solat sambil baginda teresak-esak bagaikan dadanya terdapat air yang sedang mendidih di dalam cerek". (riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasaie, dan al-Tirmidzi)

Begitulah apa yang digambarkan oleh para sahabat nabi SAW dalam memperakui sikap baginda dalam solat. Pernah juga diriwayatkan dalam beberapa athar bahawa tempat sujud baginda akan basah dek tangisan baginda dalam sujud. Baginda berpesan agar pembaca al-Quran itu menangis, kalau tidak boleh menangis buat-buatlah menangis.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bacalah al-Quran serta menangis ketika membacanya, jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam banyak keadaan para sahabat menangis bersama Rasulullah SAW sama ada dalam solat, membaca al-Quran mahupun dalam keadaan umat Islam terhimpit dalam kesusahan. Ringkasnya, air mata, Rasulullah SAW dan para sahabat tidak dapat dipisahkan daripada al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), Yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); Yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa Yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah) sesiapa Yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada-Nya. (al-Zumar: 23)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa di antara sifat-sifat al-abrar adalah mereka yang memiliki sifat-sifat yang dimiliki oleh para sahabat antaranya; apabila dibacakan ayat-ayat Allah (al-Quran) kulit badan mereka bergementar, kemudian menjadi luluh bersama kalbunya untuk berzikir kepada Allah SWT.

Mereka tidaklah berteriak seperti kena hasutan dan menangis yang dibuat-buat, akan tetapi mereka memiliki ketegaran, keteguhan dan kesopanan dan rasa takut yang tidak akan ada menyamai sifat seperti itu.

Oleh sebab itulah mereka beroleh kepujian yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld: 4, hlm: 51)

Tidak semudah yang disangka bagi air mata mengalir di dalam mengenang nasibnya di hadapan Rabbul Jalil. Seseorang yang menangis di dalam solat kerana Allah SWT maka solatnya tidak batal selagi mana tangisannya tidak mengeluarkan suara yang kuat, seperti meraung sehingga mengganggu orang lain atau didengari oleh orang lain.

Sebab itu dalam banyak keadaan kita akan dapati imam-imam di Masjid Haram mahupun masjid-masjid yang lain apabila mereka mula menangis mereka akan cuba mengawal suara supaya tidak terkeluar suara tangisan yang kuat.

Bagi mengelakkan suara mereka tidak terkawal biasanya mereka akan berhenti bagi menenangkan perasaan sebelum menyambung bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Maksudnya tangisan dalam solat harus dikawal supaya tidak melampuai keharusan.

Kadang-kadang saya hairan melihat jemaah yang solat bersama imam-imam di masjid al-Haram, bila imam menangis mereka pun turut menangis, kalau yang menangis itu jemaah dari kalangan orang arab mungkin kerana mereka turut faham sebab itulah mereka menangis, tapi kalau jemaah yang bukan berbangsa arab, yang tidak mempelajari bahasa arab juga turut menangis, kenapa?

Jawapannya ialah mukjizat al-Quran, nur al-Quran, ayat-ayat yang menembusi telinga manusia dan singgah di sanubari yang memang secocok dan rindukan al-Quran.

Itulah antara sebab kenapa yang tidak faham al-Quran juga turut menangis. Mata yang menangis di dalam solat dan ketika membaca al-Quran hanya kerana takutkan Allah SWT akan menjadi hujah di hadapan Allah SWT.

Hanya sedikit manusia bersyukur

Posted: 08 Sep 2011 06:50 PM PDT

Firman Allah SWT: Katakanlah Dia-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati. (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. Katakanlah: Dia-lah yang menjadikan kamu berkembang biak di muka bumi, dan hanya kepada-Nya-lah kamu kelak dikumpulkan.

Ibn Kathir berkata: "Allah yang menciptakan kamu daripada tiada kemudian memberi kepada kamu pendengaran, penglihatan, akal dan kemampuan. Sebaliknya sedikit sahaja di kalangan kamu yang bersyukur dan juga menggunakannya segala nikmat kurniaan Allah ini untuk mentaati dan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya."

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat di atas hanya menyebut dua dari lima pancaindera kerana kepentingan yang utama. Ia juga dikira mewakili pancaindera yang lain. Ini sesuai dengan kebiasaan penggunaan bahasa Arab yang

menyebut sebahagian tetapi yang memberi maksud kepada keseluruhan."

Sebutan al-fu'ad secara khusus merupakan pemikiran manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain di muka bumi ini.

Firman Allah SWT: Dan mereka berkata: Bilakah datangnya ancaman itu jika kamu adalah orang-orang yang benar?

Sayid Qutub berkata: "Itulah pertanyaan orang yang dilamun keraguan dan itulah juga pertanyaan orang yang degil dan angkuh sedangkan mengetahui masa kiamat tidak menjejaskan apa pun."

Bagi mereka sama sahaja sama ada hari kiamat itu berlaku esok atau setelah berjuta tahun tetapi apa yang penting pasti berlakunya kiamat dan seluruh makhluk akan dihimpunkan pada hari tersebut dan segala amalan sewaktu di dunia akan diberi balasan.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Sesungguhnya ilmu (tentang hari kiamat itu) Hanya pada sisi Allah. Dan Sesungguhnya Aku hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan.

Ibn Kathir berkata: "Tiadalah diketahui waktu berlakunya kiamat kecuali Allah sedangkan Dia perintahku (Nabi SAW) untuk mengkhabarkan kepada kamu bahawa hari kiamat pasti berlaku dan bukan mustahil. Aku hanya penyampai dan pemberi amaran."

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang diutuskan dari sisi Tuhanku bagi memberi penjelasan kepadamu tentang syariat-Nya dan sesuatu yang dihalalkan atau diharamkan-Nya supaya kamu mengetahui setiap urusan kamu. Aku telah menyampaikan kepadamu apa yang sepatutnya aku sampaikan (risalahku)."

Firman Allah SWT: Ketika mereka melihat azab (pada hari kiamat) sudah dekat, muka orang-orang kafir itu menjadi muram. dan dikatakan (kepada mereka) inilah (azab) yang dahulunya kamu selalu meminta-mintanya.

Muka pucat

Sayid Qutub berkata: "Apabila mereka memandang peristiwa kiamat dari dekat dan menghadapinya depan mata mereka secara mendadak tanpa sebarang pendahuluan, maka muka mereka terus muram dan dukacita lalu dikatakan kepada mereka: Inilah hari yang kamu cabar dan minta disegerakan kedatangannya iaitu hari kiamat."

Cara menayangkan pemandangan yang berlaku berulang dalam al-Quran apabila ia menghadapi pendustaan dan keraguan. Ia menayangkan pemandangan itu secara tiba-tiba dan berbohong serta orang yang ragu terus berdepan dengan peristiwa yang dibohongi atau diragui mereka.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Terangkanlah kepadaku jika Allah mematikan Aku dan orang-orang yang bersama dengan Aku atau memberi rahmat kepada kami, (maka kami akan masuk syurga), tetapi siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari seksa yang pedih? Katakanlah: Dia-lah Allah yang Maha Penyayang kami beriman kepada-Nya dan kepada-Nya-lah kami bertawakal. Kelak kamu akan mengetahui siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata.

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya tidak ada sesiapa pun yang mampu menyelamatkan kamu daripada azab Allah SWT kerana kekafiranmu yang menyebabkan kamu layak menerima seksaan ini."

Sama sahaja bagimu kiranya kami binasa seperti yang kamu inginkan sehingga kami memperoleh rahmat Allah SWT atau kami menang sehingga dapat menjunjung tinggi Islam seperti yang kami harapkan. Kedua-duanya merupakan kemenangan yang diharapkan dan kejayaan yang kami harapkan. Terdapat dua perkara penting di sini, antaranya:

nPerintah kepada mereka agar mencari jalan keselamatan dengan keimanan yang benar ikhlas kepada Allah SWT dan rasa takut kepada-Nya.

nSepatutnya mereka sibuk dengan urusan masing-masing dan bukannya bercita-cita Nabi SAW dan orang mukmin mati.

Jelaslah bagi Kamu akan mengetahui siapa yang sesat di antara kita dan siapa yang mendapat petunjuk serta siapa pula yang menerima kesudahan buruk di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagimu?

Sayid Qutub berkata: "Andainya mereka masih meragui hari kiamat, sedangkan teraju Kerajaan alam berada di tangan Allah Yang Maha Kuasa di atas segala sesuatu, maka apakah akan terjadi jika iradat Allah menghendaki untuk mengharamkan mereka dari air yang menjadi sumber hidup yang amat dekat itu."

Kemudian al-Quran meninggalkan mereka supaya berfikir apakah akan terjadi jika Allah SWT izinkan kejadian kekeringan air itu berlaku?

Dalam ayat di atas, Allah SWT menuntut mereka agar mengiktiraf cara mengakui nikmat-nikmat-Nya bertujuan memperlihatkan kepada mereka betapa buruk kekafiran mereka itu.

Allah SWT yang bersifat rahmat dan pemurah-Nya telah mengeluarkan air dan mengalirkannya ke setiap penjuru untuk keperluan manusia.

Oleh itu sewajarnya bagi umat manusia beriman dengan Allah Tuhan sekalian alam dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Baraan rapatkan silaturahim

Posted: 08 Sep 2011 06:49 PM PDT


Rombongan baraan berkunjung dari rumah ke rumah dengan berjalan kaki dan bermotosikal setiap kali menyambut syawal.


SELESAI bacaan tahlil dan doa kepada para arwah dan sekian muslimin serta muslimat yang dilakukan selepas solat sunat Aidilftri, soalan pertama ditanya pada sekalian jemaah adalah: "Bagaimana tahun ini, kita buat baraan tak?"

Soalan yang sudah pasti dijawab: "Ya" oleh para jemaah surau Tali Air 10, Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor.

Mana mungkin tradisi turun temurun yang diamalkan sekian lama oleh masyarakat Islam berketurunan Melayu Jawa itu dilupakan. Biarpun generasi bersilih ganti, tradisi baraan di Aidilfitri telah dilestarikan sejak sekian lama.

Dahulu, biasanya baraan dibuat sehingga empat sesi iaitu hari pertama raya adalah baraan golongan dewasa termasuk warga emas lelaki, kemudian diikuti pada hari berikutnya anak-anak muda lelaki, kaum ibu dan seterus kumpulan gadis-gadis pingitan di kampung.

Namun perubahan zaman berlaku, generasi lama sudah tiada dan anak-anak muda ramai sudah berumah tangga dan berhijrah ke luar.

Kini tinggal hanya dua sesi baraan - kaum lelaki dan kaum ibu sahaja!

"Esok pukul 9 pagi, kita mulakan baraan dengan semua ahli jamaah berkumpul di surau," demikian keputusan sepakat bagi menjayakan baraan tahun ini.

Kebetulan tahun ini giliran penulis berhari raya di kampung halaman di Tali Air 10. Jadi peluang mengikut baraan pada tahun ini tidak dilepaskan dan menyempurnakannya dari awal sehingga akhir.

Apatah lagi teringat pada khutbah Aidilfitri sebelum itu, khatib berkali-kali berpesan kepada para jemaah tentang betapa penting lebaran diisi dengan program ziarah menziarahi, kunjung mengunjung dan saling bermaaf-maafan di antara sanak saudara dan jiran tetangga.

Silaturahim perlu diperkukuhkan meskipun dengan orang yang telah memutuskan tali persaudaraan dengan kita, tegas khatib.

Justeru, ia sejajar dengan semangat silaturahim yang dibawa dalam tradisi baraan - budaya kunjung mengunjungi secara berkumpulan di pagi Aidilfitri yang diwarisi sejak sekian lama oleh masyarakat Jawa.

Mungkin dalam suasana yang berbeza mengikut keadaan setempat sama ada di Selangor, Johor atau di sebelah Perak, baraan ternyata benar-benar meriahkan suasana Aidilfitri.

Seawal pukul 9 pagi keesokannya, hampir 60 ahli jemaah siap berkumpul di pekarangan surau. Kanak-kanak, anak-anak muda dan generasi warga emas yang masih kuat kudratnya tidak ketinggalan mahu menjayakan baraan di lebaran ini.

Masing-masing lengkap berbaju Melayu, bersongkok dan berketayap dalam suasana penuh berwarna-warni.

Penulis turut membawa anak lelaki, Nur Ali Irfan, 9 agar dia mengenali tradisi mulia baraan ini sejak di peringkat rebung lagi.

"Nak duit raya tak? Jom, ikut abah pergi baraan," kata penulis.

Bagi memudahkan perjalanan menghabiskan 'penjelajahan' dari satu kampung dalam baraan, motosikal menjadi pilihan. Deruman enjin motosikal meskipun membingitkan telinga di samping dentuman mercun bola saling berbalas (sudah pasti agak merbahaya jika tidak berhati-hati) bagaikan mengiringi pergerakan rombongan.

Menggeleng-geleng kepala pakcik-pakcik malah ada yang melatah terkejut dek dentuman mercun tetapi semua itu tidak mengapa.

Ini lebaran, biarkan sahaja anak-anak muda itu bergembira.

Destinasi pertama rumah tuan imam kampung, Basri Abdul Karim yang kami tuju. Kalau tidak kerana baraan mungkin penulis sendiri tidak berkesempatan menziarahi rumah pak ustaz yang lemah lembut tutur bahasanya itu. Dia tersenyum ramah menyambut salam yang saya hulurkan.

Di rumahnya, tuan imam sempat menitipkan pesan-pesan tentang kepentingan ziarah menziarahi.

Sesudah itu, anggota baraan bergerak dari satu rumah ke satu rumah. Kebiasaannya setiap wakil tuan rumah akan turut serta dalam rombongan. Itu 'syarat wajib' atau sebenarnya sikap tanggungjawab dan tanda sepakat jika mahu rombongan baraan singgah ke rumah.

Tiba di rumah tetangga, tersenyum tuan rumah menyambut anggota-anggota baraan dengan hati penuh gembira (walau begitu ramai, tidak terhitung jari).

Hari Raya di bumi Sunan Kalijaga

Posted: 08 Sep 2011 06:47 PM PDT


Replika atau patung seorang kiai yang sedang mengajar al-Quran turut menjadi tarikan dalam Sambutan Malam Aidilfitri di Pulau Jawa Indonesia.


OMBAK manusia di Jalan Parangtritis semakin deras; bunyi sepeda-motor semakin kuat, asap enjin menyelimut wajah anak-anak kecil yang mengantuk, menguap ketika baring dan duduk di atas riba ibu-ibu mereka.

Di seberang jalan satu keluarga membuka tikar dan langsung 'berkelah' di kaki lima jalanan. Bapak yang menjaga toko kedai jamu bertanya pada saya: "Mas, mau coba urat madu". "Nggak usah Pak, saya nggak butuhin jamu lho! Hahahaha!" jawab saya.

Berdiri di sisi Jalan Parangtritis pada malam terakhir bulan Ramadan, kita menunggu kedatangan anak-anak muda yang akan memeriahkan Karnival Takbiran Lebaran ala Jawa.

Setelah sepanjang bulan Ramadan mereka menyediakan diri dengan latihan-latihan, iaitu setiap senja setelah Maghrib.

Pakaian seragam mereka, semuanya dibuat sendiri: ada yang berpakaian kostum panglima silat, ada yang pakai pakaian guru ala Kung-Fu; ada yang nak jadi Transformer; ada yang pakai bertopeng watak kartun kesukaan kanak-kanak; terutamanya Spongebob dan Doraemon!

Namun begitu, ini bukan suatu perayaan sekular, tapi keagamaan: Perayaan hari raya, hari lebaran, yang unik di Jogjakarta, Jawa Tengah.

"Sudah tiga kali saya merayakan lebaran bersama teman-teman saya di Jogja, iaitu para akademik (dosen kalau dalam Bahasa Indonesia) dari Universitas Islam Sunan Kalijaga dan Universitas Gajah Mada (UGM).

"Buat mereka ini merupakan suatu fenomena lokal atau tempatan yang biasa. Sejak bangku sekolah mereka telah melibatkan diri mereka dalam karnival lebaran sebegini.

"Kalau di Malaysia meriah begini Mas Farish?" saya ditanya. "Eh, nggak- Sambutan raya di Malaysia ngak begitu warna-warni. Kalau karnival begini, hampir ngak ada langsung" jawab saya. Mereka tercengang, lalu bertanya: "Eh, manakan bisa? Bukan lebaran itu suatu yang 'enjoy', suatu yang bikin senang?"

Ya, lebaran bikin senang. Buat mereka perayaan hari terakhir Ramadan itu menandakan suatu kemenangan yang besar. Dalam konteks jihad rohani dimana ego dan nafsu ditewaskan oleh semangat dan iman yang lebih kuat, ini merupakan suatu kemenangan yang sangat luar biasa.

"Bagi saya, ini juga merupakan suatu kemenangan yang penting pada tahap simbolik. Kemenangan semangat warga Indonesia yang begitu bangga dengan budaya, bahasa dan sejarah mereka; yang yakin dalam segala persoalan keimanan dan keagamaan. Mereka juga bangga dengan budaya dan pendirian budaya mereka".

Fenomena ini menekankan hakikat bahawa warga Indonesia di Pulau Jawa itu Muslim, tetapi dalam masa yang sama juga Jawa (bangsa). Kedua-duanya diberi keberatan yang berpatutan. "Kulo wong Jowo, bukan wong Arab" (Kita orang Jawa, bukan orang Arab).

"Berkali-kali saya diingatkan fakta yang sama," kata Dr. Farish.

Di Jawa, budaya dan identiti Kejawen begitu kuat dan kental, sehingga tidak dapat dilupakan. Apabila berita bahawa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mungkin melawat Jogjakarta dan Borobudur disiarkan tahun lalu, ada pula budayawan Jawa yang menyuarakan keinginan mereka melihat Presiden itu memakai kain (sarung) batik Jawa di kraton (istana) dan Candi.

Tidak kira Obama Presiden Amerika pun, di Jawa, tetap Jawa dan budaya-identiti Jawa diutamakan!

Sifat bangga budaya Jawa ini bukan hanya khusus bagi umat Islam, tapi juga orang Kristian di Jawa juga. Di selatan Jogjakarta ada pula Gereja Ganjuran ala' Jawa di mana muzik Kristian tiap hari Ahad itu dalam bentuk muzik gamelan.

Jika dilihat di dinding, patung Jesus yang ada di sana pun memakai kain batik (corak Parang Rosak).

Luar biasa komitmen orang Jawa kepada Budaya dan bahasa mereka, sehingga Nabi pun pakai kain batik!

Setelah waktu Isyak, perarakan pun bermula. Saya duduk di kaki lima sambil menghisap rokok klobot yang dibuat dengan kulit jagung.

Bau aroma (rokok) kretek ada di mana-mana. Bunyi gamelan semakin kuat - gedung-gedang gedung-gedang - dan terdengar suara merdu yang melaungkan takbir ala Jawa dalam loghat Jawa yang sekental kopi Jawa.

Anak-anak mula bermain mercun dan bunga api, ibu-bapa tersenyum-senyum senang.

Kalau di Barat, media Barat khuatir akan kebangkitan Islam radikal yang dikatakan berpusat di Indonesia. Tetapi setelah berkunjung ke Jawa berkali-kali dari tahun 1996 hingga sekarang, realiti hidup masyarakat Indonesia buat saya adalah ini:

"Suatu bangsa yang bangga dengan diri mereka, budaya dan bahasa mereka. Tak kira susah ataupun senang, Budaya Jawa itu masih hidup.

"Saya masih teringat betapa sedihnya saya dan teman-teman akademik setelah berlaku gempa bumi di Jogja, di mana universiti kita hancur ranap; masjid di Universitas Islam pecah dua, seakan kek yang dipotong pisau raksasa. Namun begitu, slogan di jalanan mendeklarasikan: 'Jogja Bangkit!'

Buat teman-teman di Malaysia yang tidak pernah ke Jogjakarta - kota budaya, ilmuwan dan seni yang luar biasa itu - eloklah berkunjung ke sana.

Bukan susah kalau mahu ke Jogja. Zaman ini menaiki kapal terbang hanya dua jam saja. Jika mahu menonton karnival raya dengan segala aspek budaya-agama yang kompleks dan menarik ini, jangan lupa tarikhnya, hari Ramadan terakhir, malam raya.

Walaupun kita - Malaysia dan Indonesia - merupakan negara jiran dengan hubungan sejarah yang begitu lama dan dalam, ini merupakan suatu fenomena yang mesti dilihat.

Jika sesiapa ingin membidas dakwaan bahawa agama Islam itu ekstrem dan umat Islam itu fanatik belaka, maka tunjukkan foto-foto dan video perayaan Lebaran di Jogja yang begitu senang, meriah dan hangat.

Segala pendustaan dan penipuan media yang anti-Islam itu akan berkecai langsung, berdepan dengan realiti Islam yang warna-warni ini.

Masakan Arab di The Castle

Posted: 08 Sep 2011 06:44 PM PDT


Abdul Sattar E. Muhsin di hadapan restorannya.


KEPELBAGAIAN dalam masakan menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi yang terkenal dengan makanan dan minuman yang tersendiri termasuk masakan bertaraf antarabangsa.

Kebiasaannya, cita rasa masakan diambil daripada pelbagai budaya seperti masakan tradisional orang Melayu, Cina, India, Arab, Jepun dan Barat.

Melalui gabungan tersebut, masakan yang disajikan sudah tentu lebih enak dan bercita rasa unik.

Begitu juga dengan masakan Arab. Bagi yang meminati masakan padang pasir ini, apa kata singgah ke Restoran The Castle yang terletak di Plaza Berjaya, bersebelahan Times Square, Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

Rasa sekali pasti nak lagi. Itulah yang dapat digambarkan tentang kelazatan masakan Arab.

Menghidangkan pelbagai jenis sajian, bermula dengan sup sebagai pembuka selera, diikuti masakan panggang, nasi beriani dan jus, penggemar masakan Arab terutama masakan kambing pasti berasa puas dengan keenakan serta kelazatan resipi dari Yaman itu.

Malah hidangan yang dimasak oleh chef didatangkan khas dari Yaman itu juga menggunakan rempah ratus bermutu dan berkhasiat.

Menawarkan pelbagai jenis masakan terkenal Arab, pengunjung tidak akan kecewa malah pastinya berpuas hati dengan menu yang dihidangkan bersama harga yang cukup berbaloi.

Pemiliknya, Abdul Sattar E. Muhsin berkata, pembukaan restoran tersebut adalah untuk memenuhi selera rakyat Malaysia yang gemarkan makanan Arab tanpa berbelanja besar.

"Di sini, kami menyediakan lebih 100 jenis masakan dan harga yang ditawarkan juga berpatutan yang bermula dengan RM5 sehinggalah RM25 seorang.

"Selain itu, apa yang kita mahukan ialah pelanggan itu merasa sendiri pengalaman menikmati keenakan masakan yang kami bawakan khas dari negara berkenaan," katanya ketika ditemui sempena pembukaan restoran tersebut, baru-baru ini.

Antara menu istimewa yang terdapat ialah nasi mandil ayam dan kambing, sandwich falafel, madghut kambing, hummus (celupan kacang kuda dengan minyak zaitun dan jus lemon), kebab dan banyak lagi.

Hidangan-hidangan lain ialah daging moulokhiya (daun moulokhiya yang dihidangkan bersama nasi dan daging kambing), shekh el mashi (terung berinti daging kisar), daging kambing atau ayam oqdah berperisa bawang putih dan digoreng bersama tomato.

Jelas Sattar, nasi mandil misalnya selain dimasak menggunakan beras basmati, ia dimasak secara tradisional bagi memastikan ia kualitinya terjamin.

Boleh memuatkan sehingga 100 pelanggan pada satu masa, restoran tersebut turut dilengkapi dengan perabot serba mewah dan kemasan kayu jati yang memberikan deria anda pengalaman menakjubkan.

"Selain menerima pelanggan yang ingin menjamu selera setiap hari, kami turut menerima tempahan untuk mengadakan pelbagai jenis jamuan atau keraian termasuk majlis perkahwinan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu