Rabu, 7 September 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Azad & Eira Syazira Nikah Bukan Mahu Balas Dendam

Posted: 07 Sep 2011 07:42 PM PDT

Eira Syazira dan Azad Jasmin

PETALING JAYA: Pelakon Azad Jasmin, 35, menjelaskan pernikahannya dengan Eira Syazira yang bakal berlangsung pada 16 September ini bukan mahu membalas dendam terhadap bekas kekasihnya pelakon Faezah Elai yang melangsungkan pernikahan seminggu lebih awal daripada tarikh tersebut.

Faezah dan pengarah drama Heykal Hanafiah akan bernikah pada Jumaat ini di Pulau Pinang.

Ezad berkata, tarikh pernikahannya dengan pelakon Eira Syazira telah ditetapkan oleh pihak keluarga perempuan yang secara kebetulan berlangsung dalam bulan yang sama dengan pernikahan Faezah Elai.

"Pernikahan saya tidak ada kena mengena dengan dia (Faezah). Sial tarikh dan hal-hal perkahwinan telah kami serahkan kepada keluarga untuk tentukan kerana mereka lebih tahu mengenai urusan nikah kahwin," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Sebelum ini timbul kontroversi melibatkan Azad dan Faezah yang didakwa mempunyai hubungan cinta. Selain itu Azad didakwa bertanggungjawab menyebarkan gosip hubungan Faezah dengan Heykal sehingga melibatkan kes mahkamah yang masih belum selesai.

Ketika ditanya adakah pertikaian antara mereka telah selesai selepas kedua-duanya bakal mendirikan perkahwinan, Azad enggan mengulas mengenai perkara itu dan menyerahkannya peguam untuk menyelesaikan masalah terbabit.

"Saya tidak mahu memberi sebarang ulasan mengenai perkara itu kerana peguam telah mengarahkan saya untuk berdiam diri bagi mengelakkan masalah lain timbul," ujarnya tegas.

Dia turut memberitahu tidak akan menjemput Faezah ke majlis perkahwinanya kerana masih kecewa dengan kontroversi yang melanda di antara mereka.

"Saya tidak akan menjemput dia atau sesiapa sahaja daripada keluarganya kerana masih kecewa dengan kontroversi yang melanda. Lagipun saya tidak nampak apa keperluan saya dan Eira untuk menjemput dia ke majlis perkahwinan kami," katanya.

Dalam pada itu, Azad berkata, dia sudah bersedia untuk bergelar suami kepada Eira dan memberitahu persiapan telah hampir siap dilakukan.

"Selepas mengenali Eira tiga tahun lalu saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengannya tetapi faktor kewangan dan komitmen terhadap kerja menjadi penghalang ketika itu," katanya.

Sementara itu, Eira yang popular dengan drama "Kemboja Putih" dan "Cinta Balkis" berkata, mereka sebenarnya merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan tetapi atas permintaan keluarga, ia terpaksa dipercepatkan pada tahun ini.

"Restu daripada keluarga adalah yang paling penting, cepat atau lambat jodoh saya dan Azad telah tiba. Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal selain sedikit berdebar," ujarnya.

Eira turut memberitahu, majlis pernikahannya turut mendapat beberapa tajaan termasuklah daripada Hairi Tajuddin dan Wanpa untuk baju persalinan ketika akad nikah dan pelamin.

"Bagaimanapun konsep dan tema untuk majlis resepsi belah perempuan masih dalam perbincangan manakala belah Azad akan bertemakan Bollywood tajaan daripada Jalinan Kasih," katanya.

Masih belum menetapkan tarikh sebenar majlis resepsinya di Kuala Lumpur, Eira memberitahu kemungkinan ia akan diadakan pada 19 November manakala pihak lelaki pada 26 November 2011.

Pasangan ini juga bakal berbulan madu di Turki dan Indonesia atas tajaan daripada Foto Travel Agency selepas pernikahan.

Lakonan terbaik untuk peminat

Posted: 07 Sep 2011 07:40 PM PDT

Terus popular...muncul dalam  telemovie Aidilfitri, Ku Petik Dosa, baru-baru ini.
Terus popular...muncul dalam telemovie Aidilfitri, Ku Petik Dosa, baru-baru ini.

MELIHAT pada jalur kerjaya dan jadual seni pelakon popular, Fasha Sandha, 27, tiada ruang yang kosong dan masa yang terluang kerana setiap hari dipenuhi pelbagai undangan lakonan dan komitmen sebagai anak seni.

Bagaimanapun, peluang berbual panjang dengannya beberapa hari sebelum menjelangnya Aidilfitri untuk sesi fotografi, Fasha menyuarakan rasa bahagianya yang bagai tersekat jauh tersembunyi.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Fasha yang juga memiliki salon Chinta, bagai melepaskan segala cerita dan sembang yang ingin dikongsikan buat tatapan peminat yang tidak henti menyokongnya.

Jelasnya, kedatangan Syawal kali ini mengundang seribu rasa bahagia dan gembira kepadanya. Tidak sekadar pada aspek kerjaya dan perniagaannya yang kian berkembang baik, malah soal peribadi yang dulunya dijentik kuat juga sudah tidak lagi dibicarakan.


"Bertahun-tahun menjadi pelakon, saya sudah lali dengan sepak terajang industri. Kalis sudah rasanya berdepan dengan apa saja spekulasi dan kontroversi. Tapi alhamdulillah semua itu tidak sekelumit pun mematahkan semangat saya, apatah lagi rasa putus asa. Sebaliknya, semua itu disimpul kemas menjadi senjata terbaik untuk terus bertahan.


"Sekian lama membina empayar sebagai pelakon, perlahan-lahan saya mengukuhkan lapangan baru sebagai ahli perniagaan. Kini saya sudah mampu tersenyum melihat kejayaan yang ada atas hasil usaha dan kesung�guhan. Itulah hadiah terindah saya sifatkan dalam meraikan kedatangan Aidilfitri kali ini.

"Tidak hanya berkumpul dengan sanak-saudara dan menghabiskan masa terluang bersama keluarga, saya sendiri berasa puas dan gembira dengan pencapaian diri sendiri. Setidak-tidaknya, masih ada ruang buat saya bernafas walau dibelit seribu satu dugaan," katanya yang menghabiskan cuti selama lima hari beraya bersama keluarga di Kuala Perlis dan Kangar.

Senyuman yang terukir petang itu bukan pada soal peribadi yang ada kalanya luas dibentangkan media, jauh sekali kepingin bercinta lagi, sebaliknya anak kelahiran Johor Bahru, Johor pada 28 Mac 1984 ini bahagia dengan rezeki dan peluang yang tidak henti diberikan kepadanya.

Fasha juga sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Cinta Elysa dan ruang buatnya berlakon filem tidak dapat dipenuhi walaupun banyak menerima tawaran.

"Ada kalanya saya terfikir sendiri, tersenyum dan bersyukur kerana undangan lakonan tidak henti datang mencurah walaupun penat juga nama saya dikaitkan dengan pelbagai cerita sebelum ini. Ironinya, ia langsung tidak menggugat kepercayaan pihak produksi atau kepercayaan saya pada lakonan.

"Bayangkan jadual kerjaya saya begitu padat sekarang. Sejurus habis penggambaran drama siri 5 Tahun 5 Minit dan Dewa Cinta, saya terus berlari ke lokasi telefilem sempena Aidilfitri yang ditayangkan minggu lalu, Ku Petik Dosa. Belum sempat rehat, saya terus ke lokasi drama siri Cinta Elysa pula hingga kini.

"Saya bertuah kerana berpeluang bekerja dengan ramai pengarah dan pelbagai genre cerita. Watak yang diberi juga jauh lebih matang berbanding sebelumnya yang mampu menyerlahkan kematangan dan kemampuan dalam lakonan.

"Mungkin ini peluang terbaik untuk saya meletak sepenuh fokus bagi mengukuhkan lagi lakonan serta mempelbagaikan lagi bakat yang ada buat peminat yang setia menyokong," katanya yang turut gembira dengan sambutan baik pelanggan terhadap salon Chinta miliknya.

Melihat wajah si empunya senyuman manis ini yang banyak mewarnai drama televisyen hari ini tiada siapa yang sedar yang Fasha terpaksa menolak beberapa tawaran filem.

Meskipun layar lebar menjanjikan skala yang lebih besar dan profil kerjaya yang kuat, bintang filem Anak Halal dan Cicakman ini tidak pernah menjadikan soal itu sebagai kayu ukur pada kerjayanya. Sebaliknya, jelas Fasha berkali-kali, apa yang menjadi keutamaannya adalah kekuatan skrip dan kelainan pada watak yang diberi.

"Sejak awal pembabitan saya, memang cukup mementingkan skrip dan watak kerana saya percaya itu adalah kunci yang membawa kepada kejayaan seseorang pelakon. Tidak timbul soal filem atau drama kerana jika plot ceritanya kuat, ia akan tetap membawa nama seseorang pelakon itu ke tahap yang lebih baik.

"Lihat saja drama Natasha yang saya fikirkan banyak membantu memperkenalkan nama saya dengan lebih cepat kerana penonton lebih merasai karakter yang saya terjemahkan. Itu lebih penting kerana sebagai pelakon, saya hanya inginkan yang terbaik buat peminat dan bukannya pada profil semata-mata kerana banyak mewarnai naskhah layar lebar.

"Drama Cinta Elysa ini skripnya begitu kuat, begitu juga plot cerita serta perwatakannya hingga berjaya menarik minat saya. Lagipun ia ditulis penulis skrip yang sama dengan drama Natasha iaitu Sharifah Abu Salim. Saya yakin ia mampu mengulangi fenomena Natasha.

"Bagaimanapun, saya akui terpaksa menolak beberapa tawaran filem tapi semua itu bukanlah soal skrip yang tidak menarik, sebaliknya masalah masa dan jadual yang bertembung. Prinsip yang saya amalkan adalah tidak mengambil dua tawaran dalam satu masa kerana bimbang terlalu penat dan hilang fokus," katanya.

Mengakui kini sudah memegang beberapa skrip drama dan filem untuk dipertimbangkan, Fasha yang kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem 4 Madu yang ditayangkan tahun lalu, begitu berhati-hati dan teliti akan projek barunya.

"Setakat ini saya sudahpun meneliti beberapa skrip drama siri untuk tayangan Astro serta dua skrip filem termasuk karya romantik komedi terbitan Tall Order Production yang masih perlu saya pertimbangkan.

"Saya akan memilih mana yang berkualiti dan boleh memberikan saya kepuasan maksimum sebagai pelakon," katanya yang merancang mengadakan rumah terbuka buat peminat dan teman rapat di salon Chinta, minggu depan.

Drama Cinta Elysa akan mula disiarkan di TV3 setiap Selasa, jam 9 malam mulai minggu depan. Drama 13 episod ini turut menggandingkannya buat pertama kali dengan Johan Ashaari dan akan menyingkap satu lagi plot cerita berkisar kekeluargaan, persahabatan dan percintaan.

Tujuh Artis 'Celepets' Kecam Pendera Haiwan

Posted: 07 Sep 2011 07:39 PM PDT

Geng 'Celepets' bersama kawan-kawan lain dalam satu majlis

PETALING JAYA: Rakan artis yang menggelar diri mereka "Celebriti Pet" (The Celepets) mengecam tindakan pemilik hotel haiwan Petsknode yang dikatakan melakukan penderaan kepada haiwan yang dihantar ke pusat penjagaan itu.

Tujuh selebriti Celepets ialah Atilia, Serena Choong, Yasmin Hani, Sazzy Falak, Dynas, Daphne Iking dan Aishah Sinclair.

Bagi penyanyi Atilia, 37, dia kesal dengan berita tersebut dan menganggap perbuatan mengabaikan tanggungjawab menjaga haiwan yang diamanahkan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Saya rasa sangat sedih dan marah selepas mendapat tahu tentang kucing-kucing yang dihantar ke pusat penjagaan itu telah diseksa dengan tidak diberi makan sehingga ada yang mati.

Atilia bersama dua ekor kucing peliharaannya.

"Saya memahami perasaan pemilik-pemilik haiwan yang meninggalkan binatang kesayangan mereka di pusat jagaan tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ahad lalu, kira-kira 50 pemilik haiwan peliharaan dan aktivis hak asasi haiwan dilaporkan telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara Damai dekat sini ekoran kematian dan kehilangan binatang peliharaan mereka yang diletakkan di pusat jagaan haiwan berkenaan sempena cuti perayaan Aidilfitri

Mereka mendakwa pemilik pusat jagaan haiwan itu sengaja membiarkan kucing-kucing yang ditempatkan di situ kelaparan sehingga menyebabkan 12 ekor daripadanya mati.

Tambah Atilia, denda terhadap pendera binatang harus setimpal dengan kekejaman yang mereka lakukan.

Sementara itu, bagi Aishah Sinclair perkara tersebut perlu menjadi iktibar kepada masyarakat tentang penderaan haiwan yang semakin menjadi-jadi.

"Saya kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pemilik pusat jagaan haiwan tersebut. Dia seharusnya menjaga amanah yang telah diberikan untuk menjaga kucing-kucing tersebut dan bukannya melakukan kekejaman begitu," ujarnya.

Aishah Sinclair

Tambah Aishah, binatang peliharaan seperti kucing sudah menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka.

Manakala Yasmin Hani turut sedih dan marah dengan kejadian yang dianggap melampaui batas kemanusiaan.

"Ini merupakan kejadian paling besar yang terjadi dan saya harap dengan kejadian ini kerajaan ambil tindakan undang-undang yang setimpal dengan kekejaman mereka.

"Mereka yang mendera haiwan sepatutnya dikenakan hukuman yang setimpal kerana haiwan merupakan binatang yang bernyawa," katanya.

Tambah Yasmin, pemilik haiwan peliharaan juga perlu mempunyai pengetahuan secukupnya tentang penjagaan haiwan masing-masing.

Nick & Vanessa Beli Rumah RM8.5 Juta

Posted: 07 Sep 2011 07:37 PM PDT

PASANGAN selebriti Nick Lachey (gambar) dan Vanessa Minnillo (gambar) membeli sebuah rumah mewah di San Fernando Valley, California, Amerika Syarikat berharga RM8.5 juta untuk melengkapi kebahagiaan mereka setelah berkahwin pada 15 Julai lalu.

Rumah dengan seni bina ala Sepanyol itu memiliki enam bilik tidur utama dan lapan bilik mandi yang dihias dengan mewah.

Selain itu, terdapat juga kolam renang dan teres yang menjadi tempat untuk aktiviti sosial mereka.

Nick juga berasa sangat bersemangat untuk tinggal di rumah baru itu bersama isterinya. Baginya, rumah itu mampu menjadi tempat yang sangat menakjubkan untuk menjalani kehidupan harian mereka.

Selain itu, lelaki itu juga menyatakan keinginannya untuk mempunyai anak dalam waktu yang cepat. Bahkan dia mengaku akan melakukan pelbagai usaha agar segera mendapat anak.

"Percayalah, (mempunyai anak) itu akan membuat saya sangat senang," tuturnya kepada E! News, Isnin.

Justin Bieber Menang Pertandingan Bola Keranjang

Posted: 07 Sep 2011 07:36 PM PDT

PENYANYI Justin Bieber (gambar) berjaya mengalahkan penyanyi rap Lucadris dalam satu pertandingan bola keranjang di Atlanta pada hujung minggu lalu dengan skor 134-132.

Perkara itu terbukti ketika dirinya diminta untuk turut serta dalam pertandingan yang dianjurkan oleh penyanyi rap Ludacris.

Menurut Aceshowbiz, Selasa, seluruh keuntungan yang diperoleh pada pertandingan itu akan disumbangkan untuk kegiatan amal.

Sebelum ini, baik Justin mahupun Ludacris telah mengesahkan tentang kegiatan amal mereka itu melalui akaun Twitter mereka.

Dalam akaun tersebut, kedua-duanya menulis keinginan mereka untuk menjadi pemenang.

Meski khabar angin mendakwa tentang keretakan hubungan Justin dengan Selena Gomez, penyanyi lelaki itu tidak keseorangan dalam perjalanannya menuju Atlanta tetapi ditemani wanita berkenaan yang turut memberi sokongan kepadanya.

Konsert 'Suara Kami' Tidak Sisih Artis Tempatan

Posted: 07 Sep 2011 07:05 PM PDT

Konsert Suara Kami Tiada Niat Sisihkan Penyanyi tempatan.

KUALA LUMPUR: Penganjuran Konsert Suara Kami yang turut menggabungkan artis luar negara pada 17 September depan bukan untuk menyisihkan penyanyi-penyanyi tempatan tetapi ia bertujuan untuk mempelbagaikan sesebuah persembahan.

Ketua Pegawai Operasi, Astro Malaysia, Henry Tan berkata, dengan adanya artis-artis luar negara, ia mampu memeriahkan lagi acara hiburan khususnya dalam memberi ganjaran kepada pelanggan-pelanggan Astro.

"Saya rasa, hal ini bukanlah satu isu yang besar. Rakyat Malaysia begitu unik kerana mempunyai cita rasa yang pelbagai dan contoh terdekat ialah, mereka gemar memakan pelbagai jenis makanan daripada pelbagai bangsa.

"Justeru, saya percaya, persembahan nyanyian juga berkait rapat dengan cita rasa masyarakat kita yang gemarkan pelbagai input persembahan. ," katanya.

Konsert Suara Kami yang dianjurkan oleh Astro itu akan di Stadium Merdeka dekat sini, bermula pukul 8.30 malam yang diadakan secara percuma.

Dari kiri: Faizal Tahir, Kit (Search), Man Kidal dan Azlan.

Ia bersempena dengan ulang tahun Astro yang ke-15 serta sambutan Hari Malaysia jatuh pada 16 September ini.

Artis tempatan yang akan turut serta pada konsert tersebut ialah Yuna, Hujan, Faizal Tahir, Pop Shuvit, Azlan And The Typewriter, Psycho Unit, Soul Krazy, Ruffneckz dan Stacy manakala barisan penyanyi antarabangsa pula ialah penyanyi-penyanyi seperti Rania, Naresh Iyer, Chinmayi (dari India), Hins Cheung (Hong Kong) serta artis Korea.

Sementara itu, beberapa artis tempatan menganggap konsert Suara Kami sepatutnya didominasi oleh artis-artis tempatan tanpa membawa masuk penyanyi luar, memandangkan konsert tersebut bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.

Faizal Tahir berkata, sepatutnya pihak penganjur mengumpulkan lebih ramai artis tempatan untuk disaksikan oleh orang ramai sambil meraikan perayaan tersebut.

"Pada pendapat saya, sepatutnya, masa inilah kita mengumpulkan semua artis Malaysia untuk disaksikan kepada umum terutamanya para belia.

"Saya juga pelik bila beberapa penyanyi yang besar namanya tiada dalam senarai. Saya tak pasti apa objektif sebenar konsert ini dianjurkan. Bagaimanapun saya hormat dengan pemilihan penyanyi yang dibuat kerana mungkin pihak penganjur mempunyai strategi yang tersendiri," kata Faizal.

Seorang lagi penyanyi yang menyertai konsert tersebut, Azlan (Azlan And The Typewriter), turut tidak bersetuju dengan penyertaan penyanyi daripada luar negara selain konsepnya tidak sesuai dengan tajuknya iaitu Suara Kami.

"Saya faham dengan fenomena K-Pop yang menjadi kegilaan ramai remaja, tetapi, jika mahu mengadakan konsert bersempena dengan Hari Malaysia, pengambilan artis luar sebagai penyanyi jemputan seperti kurang sesuai.

"Saya percaya kos bayaran persembahan yang disediakan pasti lebih besar berbanding dengan penyanyi-penyanyi Malaysia," ujarnya.

Bagaimanapun, bagi pandangan penyanyi rap, Altimet pula, dia menganggap gabungan artis tempatan dan antarabangsa adalah satu perkara yang normal dalam penganjuran sesebuah konsert.

"Walaupun saya kurang gemar dengan artis-artis antarabangsa seperti K-Pop, saya perlu fikir bahawa, remaja sekarang gilakan muzik Korea itu. Mana tahu, melalui artis-artis antarabangsa, para remaja dapat mengenali artis-artis tempatan pula," katanya.

Konsert Suara Kami juga boleh ditonton secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104), Raya HD (188), Astro AEC (301), Astro Vaanavil (201), Astro Hitz (705), TV2 dan TV9 selaku rakan media untuk menyiarkan konsert tersebut.

4 minit menggerunkan

Posted: 07 Sep 2011 07:02 PM PDT

SERBU...penjenayah memasuki restoran  di Seksyen 15, Shah Alam.
SERBU...penjenayah memasuki restoran di Seksyen 15, Shah Alam.

SHAH ALAM: Beberapa pelanggan sebuah restoran mamak di Seksyen 15, di sini, termasuk kanak-kanak yang sedang menjamu selera lari lintang-pukang menyelamatkan diri apabila premis itu dimasuki perompak bersenjatakan parang dan pisau.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan selama empat minit dan 11 saat pada kira-kira jam 4 pagi, 28 Ogos lalu, lima lelaki lengkap bertopi keledar serta ada yang memegang pisau dan parang meluru ke arah pelanggan.

Suspek turut mengacukan senjata tajam ke arah pelanggan sebelum merampas komputer riba milik pelanggan yang tergamam dengan kejadian, malah ada juga suspek cuba merampas beg tangan seorang wanita.

Jelas kelihatan menerusi rakaman CCTV pelbagai sudut, pelanggan sedang menjamu selera dan berbual dianggarkan 10 orang termasuk kanak-kanak yang panik berlari keluar dari restoran berkenaan.


Malah, ada juga pelanggan lelaki yang bertindak spontan melarikan diri dengan melompat besi penghadang restoran untuk menyelamatkan diri.

Cemas di KLIA

Posted: 07 Sep 2011 07:01 PM PDT

Kapal terbang milik PIA menerima ugutan bom di KLIA, malam tadi. (Gambar Hiasan)
Kapal terbang milik PIA menerima ugutan bom di KLIA, malam tadi. (Gambar Hiasan)

SEPANG: Sebuah pesawat Pakistan International Airlines terpaksa dikuarantin unit pemusnah bom sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengatakan terdapat bom di dalam pesawat berkenaan malam tadi.

Pesawat yang tiba kira-kira jam 9.30 malam itu di KLIA dan dijadualkan berlepas ke Lahore melalui penerbangan PK-899, malam tadi, terpaksa dikuarantin selepas pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kewujudan bom berkenaan.

Menurut sumber, seorang anggota polis di lapangan terbang berkenaan membuat laporan polis selepas pihaknya menerima satu panggilan telefon mendakwa pesawat itu diletakkan bom.

Sementara itu, jurucakap Malaysia Airport Berhad (MAB) ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima panggilan bom itu, namun enggan mengulas lanjut berikutan siasatan lanjut masih dilakukan.


"Pesawat yang mendarat lewat 30 minit daripada dijadualkan itu dikuarantin bermula jam 10 malam.


"Semua penumpang termasuk kru penerbangan seramai 177 orang diarah keluar daripada pesawat berkenaan sebaik mendarat," katanya.

Jurucakap polis berkata, sebaik semua penumpang dan kru penerbangan meninggalkan pesawat itu, unit pemusnah bom memulakan tugas untuk mengesan bom berkenaan.

Sehingga jam 1 pagi tadi, usaha mengesan bom terbabit masih dijalankan.

"Berikutan itu, hampir keseluruhan landasan di lapangan terbang itu terpaksa ditutup bagi memudahkan operasi mengesan bom berkenaan dilakukan selain mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

‘Saya pondan istimewa’

Posted: 07 Sep 2011 06:59 PM PDT

KANGAR: "Saya bukan sebarang pondan kerana dianugerahi keistimewaan oleh Tuhan yang mungkin tidak terdapat pada pondan lain mengakibatkan saya kini menjadi sasaran kerana perasaan cemburu dan berdendam.

"Ia (cemburu dan dendam) bukannya daripada golongan sejenis, tetapi turut membabitkan wanita yang mungkin meminati teman saya (Mohd Hafizuddin Johari, 20) dan lelaki yang meminati saya kerana pernah diugut akan dirogol beramai-ramai," kata lelaki berperwatakan wanita, Natasya Farisya, 28, yang juga teman istimewa Mohd Hafizuddin, mangsa simbahan asid di depan sebuah rumah di Taman Seri Bakau, di sini, pada awal pagi Sabtu.

Natasya berkata, sejak kejadian simbahan asid berlaku terhadap Mohd Hafizuddin, hidupnya menjadi tidak tenteram dan kini perlu sentiasa berhati-hati kerana bimbang perkara sama akan berulang ke atas dirinya.

Katanya, dia dan Mohd Hafizuddin memang bercadang untuk hidup bersama dan keluar dari Perlis, tetapi impian berkenaan terbantut apabila teman istimewanya dibawa lari anggota keluarganya ketika mereka makan di gerai di Padang Besar, kelmarin.


"Saya cuba menghalang tindakan bapa saudara Hafizuddin membawa lari teman lelaki dengan menggunakan kereta tetapi tidak berupaya.

MAS guna Airbus A380 suku ketiga 2012

Posted: 07 Sep 2011 06:58 PM PDT

CANGGIH...Norshid di dalam kokpit simulator pesawat Airbus A380 yang digunakan bagi melatih juruterbang MAS.
CANGGIH...Norshid di dalam kokpit simulator pesawat Airbus A380 yang digunakan bagi melatih juruterbang MAS.

PENERBANGAN Malaysia (MAS) dijangka memulakan operasi pesawat super jumbo terbesar Airbus A380 pada suku ketiga 2012 dengan menjadikan laluan Kuala Lumpur-London sebagai laluan pertama sempena sukan Olimpik London pada pertengahan Julai depan.

Pengurus Operasi Penerbangan (Bahagian Pembangunan dan Projek Pesawat), Kapten Norshid Ali berkata, pesawat pertama A380 MAS kini dalam proses pemasangan terakhir di Toulouse, Perancis sebelum diterbangkan ke Hamburg, Jerman pada Oktober ini bagi kerja-kerja mengecat.


"MAS kini bersedia untuk menerima pesawat itu dan akan melatih 100 juruterbang untuk mengendalikan pesawat itu. Setakat ini, lapan juruterbang sudah menjalani latihan mengendalikan pesawat ini di Toulouse, Perancis dan kini menjadi tenaga pengajar bagi melatih juruterbang yang layak menggunakan simulator pesawat berkenaan di Malaysia.

"Bermula Jun lalu, seramai 10 juruterbang menjalani latihan menggunakan simulator Airbus A380 yang mempunyai 100 peratus persamaan dengan pesawat sebenar dan setiap juruterbang terpilih akan menjalani latihan selama tujuh minggu sebelum menerbangkan pesawat sebenar," katanya ketika ditemui selepas taklimat mengenai simulator A380 di Subang, semalam.


Norshid berkata, MAS membelanjakan RM51 juta (AS$17 juta) untuk membeli simulator terbabit bagi memastikan juruterbangnya mahir dan berpengalaman untuk menerbangkan pesawat itu.


"Sasaran kita ialah melatih 100 juruterbang bagi pesawat itu di mana 50 orang juruterbang telah bersedia sebaik ketibaan pesawat pada April atau Mei tahun depan. Apabila kami menerima pesawat pertama ini, kami akan menggunakannya selama sebulan untuk tujuan latihan bagi juruterbang yang layak," katanya.

Sumber antioksidan sel kulit baru

Posted: 07 Sep 2011 06:51 PM PDT

KAYA VITAMIN...rangkaian penjagaan wajah Gold Kiwi daripada Skin Food bantu kurangkan cela dan menjadikan kulit lebih berseri dalam empat minggu.
KAYA VITAMIN...rangkaian penjagaan wajah Gold Kiwi daripada Skin Food bantu kurangkan cela dan menjadikan kulit lebih berseri dalam empat minggu.
BUAH KIWI...berkhasiat
BUAH KIWI...berkhasiat

SEBUT saja buah kiwi, pasti ramai yang mencebik kerana hanya sebilangan kecil yang gemar menikmati keunikan rasa buah daripada keluarga beri kultivar ini.

Namun, jangan diketepikan buah kecil yang kaya dengan pelbagai kebaikan ini kerana ia mengandungi lebih banyak vitamin C berbanding oren �serta lebih serat daripada epal.

Kiwi juga kaya kalium (potassium) yang penting untuk mengelakkan tekanan darah tinggi selain membantu melicinkan sistem penghadaman bagi mereka yang
mengalami sembelit.

Dalam bidang kecantikan pula, buah kiwi hijau sentiasa menjadi bahan penting dalam rejim penjagaan wajah kerana kepelbagaian vitamin dan mineral yang terkandung di dalamnya, selain berperanan sebagai sumber antioksidan yang elok untuk perkembangan sel kulit baru.

Bagaimanapun, Skin Food cuba meneroka lebih jauh dengan memperkenalkan
rangkaian penjagaan wajah Gold Kiwi yang dihasilkan sepenuhnya daripada buah kiwi emas.

Buah kiwi emas disifatkan lebih berkuasa kerana tahap antioksidan yang tiga kali �ganda lebih tinggi pada kulitnya berbanding isi, justeru menjadikannya lebih efektif bagi memperbaiki struktur lapisan dalaman kulit.

Masyarakat di New Zealand menikmati kiwi emas bersama kulitnya yang tidak dibuang kerana manfaatnya pada tubuh serta rasanya yang lebih manis berbanding kiwi hijau.

"Selain khasiat serta vitamin yang terkandung di dalamnya, kuersetin iaitu polifenol yang ada pada kulit kiwi emas menjadi senjata utama bagi wanita yang mengimpikan wajah bebas cela dan berseri.

"Ditambah dengan� �kekuatan vitamin C, ia �membantu mencerahkan kulit yang rosak kerana terdedah kepada pancaran matahari berterusan," kata Eksekutif Pemasaran Kanan Skin Food Malaysia, Marsha Lim.

Selain itu, satu bahan yang digunakan dalam rangkaian penjagaan muka Gold Kiwi ini iaitu niasinamida, juga dikenali sebagai vitamin B3 yang disahkan secara klinikal oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) sebagai
bahan pencerah kulit semula jadi.

"Niasinamida berupaya �mengurangkan pigmentasi kulit, sekali gus memberikan hasil ton kulit yang lebih sekata dengan menghalang pemindahan melanin daripada melanosit (sel yang mengandung pigmen seperti sel epidermis kulit)ke keratinosit (sel epidermis yang mensintesis keratin).

"Jadi, rangkaian penjagaan wajah Gold Kiwi ini bukan hanya memberikan hasil kulit berseri tetapi pada masa sama, melindunginya daripada kerosakan berterusan yang berpunca daripada pelbagai pencemaran di sekeliling kita," katanya.

Menerusi tujuh langkah penjagaan menggunakan Gold Kiwi Clearing Toner Pad dan Gold Kiwi Toner (aplikasi penyegar berganda), Gold Kiwi Serum (serum), Gold Kiwi Emulsion (emulsi), Gold Kiwi Cream (pelembap), Gold Kiwi Sun Cream SPF 36PA++ (pelindung matahari) serta Gold Kiwi Hydrating Mask (pupur), wajah akan tampak lebih segar, berseri, cerah dan kurang kusam dalam tempoh empat minggu.

Ia juga sesuai untuk semua jenis kulit terutama mereka yang terbabit dalam aktiviti lasak serta kerap terdedah di bawah pancaran matahari.

Rangkaian Gold Kiwi ini sudah berada di pasaran yang boleh didapati di kaunter Skin Food seluruh negara.



INFO:


Khasiat buah kiwi

  • Asid folik. Semua orang perlukan asid folik malah sumber semula jadi asid folik diperlukan untuk mencegah kecacatan saraf pada bayi serta pembangunan otak dan kognitif pada kanak-kanak.

  • Vitamin E. Jarang makanan rendah lemak apatah lagi buah-buahan menjadi sumber yang baik untuk vitamin E (baik untuk kesihatan jantung dan ciri antioksidan) tetapi kiwi adalah sumber semula jadi rendah lemak yang kaya dengan vitamin ini.

  • Kalium. Kadar kandu�ngannya sama dengan pisang tetapi hanya mengandungi separuh daripada kalori. Baik untuk menyenggarakan tekanan darah dan kesihatan jantung.

  • Vitamin C. Kandungan vitamin C dalam buah ini dua kali ganda berbanding oren. Vitamin C membantu untuk melindungi diri daripada kerosakan akibat radikal bebas terhadap sel dan tisu malah vitamin itu juga membantu dalam penyerapan zat besi.

  • Membantu untuk memulihkan fungsi sistem ketahanan tubuh.

  • Rendah kalori. Sebiji kiwi bersaiz sederhana menyediakan 65 kalori memandangkan 90 peratus daripada beratnya terdiri daripada air.

  • Magnesium. Sumber yang baik untuk magnesium yang membantu untuk membentuk dan menguatkan tulang, merehatkan otot dan saraf serta melancarkan peredaran darah.
  • Kuasa penuh negeri terhadap Islam

    Posted: 07 Sep 2011 06:50 PM PDT


    YANG di-Pertuan Agong bertanggung jawab memelihara Islam pada setiap masa sebagaimana tersurat dalam Jadual Keempat Pelembagaan Persekutuan. - Gambar hiasan


    APABILA bercakap tentang Islam, ramai sebenarnya tidak faham tentang kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Ia diburukkan lagi dengan kecetekan pengetahuan berkaitan sistem perundangan negara. Ramai yang mahu melaksanakan Islam tanpa mengambil kira realiti dan biah di Malaysia.

    Sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep Persekutuan, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang utama, iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Kedua-dua badan ini mempunyai fungsinya tersendiri.

    Selain Malaysia, Australia, Amerika Syarikat dan banyak lagi negara mengamalkan konsep Negara Persekutuan atau Federalisme ini.

    Namun Persekutuan Malaysia agak berbeza dengan persekutuan negara lain dari sudut hubungan antara persekutuan dan negeri itu sendiri.

    Hubungan antara persekutuan dan negeri dalam Malaysia dinyatakan secara khusus dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan.

    Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan iaitu Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama. Manakala DUN pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

    Dalam hal yang demikian kuasa kedua-dua badan itu digariskan. Mereka seharusnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

    Namun penulis tidak berhasrat membincangkan isu Perlembagaan ini. Cukup sekadar menyatakan bahawa antara perkara yang wujud dalam Senarai Negeri adalah hal ehwal berkaitan dengan agama Islam bagi negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan.

    Fokus penulisan pada kali ini adalah tentang kuasa perundangan Islam di dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

    Dalam Perlembagaan Persekutuan hal ehwal Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri. Hal yang demikian dapatlah difahami kerana Sultan adalah Ketua Agama bagi negerinya. Keharmonian ini ditambah lagi apabila setiap Sultan atau Raja yang menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya, baginda perlulah bersumpah akan memelihara Islam pada setiap masa sebagaimana yang tersurat dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

    Kedudukan istimewa Islam ini bukan hanya tradisi yang berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan. Malah, sejak kedatangan Islam ke nusantara. Undang-undang adat juga membuat penyesuaian dalam suasana dan persekitaran Islam secara berperingkat.

    Adat Melayu dan aturan Islam begitu bertaut dalam landskap pemerintahan Raja Melayu seperti pepatah Melayu yang menyatakan 'adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah, syarak mengata adat memakai, cermin yang tidak kabur, pelita yang tidak padam'.

    Malah sejak sebelum penjajahan lagi, Islam memainkan peranan utama dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tatkala penjajah datang kedudukan agama Islam, terutama dalam undang-undang keluarga Islam tidak diusik penjajah.

    Undang-Undang 99 Perak umpamanya mengusir orang yang tidak berpandukan al-Quran dan sunnah ke dalam hutan. Pemimpin yang tidak mempercayai al-Quran dan sunnah juga tidak layak menerajui kepemimpinan negeri.

    Raja Melayu pula mempunyai kuasa yang besar dalam hal ehwal Islam. Kuasa Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam ketika penjajahan juga tidak disentuh.

    Dari sudut hukum syarak pula Raja-Raja berperanan besar dalam menegakkan syariat Islam. Umpamanya, Ibn Naqib al Misri di dalam bukunya Al umdat wa al salik menyatakan fungsi Raja adalah menjaga hal ehwal umat Islam:

    l Memastikan kedaulatan agama Islam terpelihara

    l Memastikan syariat Allah ditegakkan

    l Memastikan umat Islam belajar hukum hakam agama

    l Mengembangkan syiar Islam melalui dakwah dan penaklukan

    l Mempertahankan negara Islam daripada pencerobohan kuasa kuffar

    l Memudahkan dan memberi khidmat kepada jemaah haji

    l Mengimami solat Jumaat secara sendiri atau wakil dan

    l Menjadi wali hakim.

    Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak dalam bidang kuasa negeri, sudah tentulah perkara yang sedikit ini menjadi autonomi kepada negeri dalam menegakkan syiar Islam selain di Wilayah Persekutuan.

    Ini termasuk penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama. Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri ini bukanlah hanya berbentuk dekorasi sahaja. Ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi yang besar terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri.

    Apatah lagi undang-undang Islam mempunyai falsafah atau jurisprudennya tersendiri yang kadangkala tidak difahami orang yang tidak mendalami undang-undang Islam.

    Dalam erti kata lain Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia adalah urusan negeri yang diketuai Ketua Agama melainkan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

    Tidaklah keterlaluan jika dikatakan negeri mempunyai kuasa penuh di dalam hal ehwal Islam. Begitu juga sebaliknya kerajaan negeri tidak boleh mencampuri urusan Persekutuan seperti imigresen, pertahanan dan ketenteraman awam.

    Oleh yang demikian kedua-dua badan perundangan, eksekutif di peringkat Persekutuan dan negeri perlulah menghormati kedudukan ini dan tidak melewati sempadan yang diperuntukkan itu. Mencampuri urusan badan yang lain hanya akan menggugat konsep federalisme ini.

    Kesannya, kedua-dua badan perundangan ini akan hilang identitinya dan bertindak di luar batasan yang diberikan. Ketidakharmonian ini akan menyebabkan perjalanan urusan negara menjadi tergendala.

    Zakat penuhi impian Abu Samah

    Posted: 07 Sep 2011 06:49 PM PDT


    ABU SAMAH nASIR MEMBERI TUNJUK AJAR KEPADA PEKERJANYA.


    KEHIJAUAN alam menemani pemanduan di sepanjang Jalan Gombak. Perkampungan Melayu mendominasi dengan di pinggirnya, terdapat banyak premis perniagaan. Ada yang membuka kedai dobi, kedai makan, bengkel kereta dan sebagainya.

    Akhirnya, destinasi yang dicari ditemui. Seorang lelaki berusia akhir 50-an berkaca mata, senyum mesra menerima tamu. Beliau ialah Abu Samah Nasir, 56, yang akan berkongsi kisah kejayaannya setelah disantuni wang zakat pada kali ini.

    "Dahulu saya bekerja sebagai tukang cat di sebuah syarikat multinasional yang membekalkan kereta mewah ke seluruh Malaysia. Saya memulakan karier bersama syarikat besar itu pada tahun 1975 lagi dan terus bertahan hampir 20 tahun lamanya.

    "Sebagai kakitangan di sebuah syarikat besar, mereka amat mementingkan kualiti kerja. Saya pula mendapat manfaatnya, iaitu pengalaman dan kemahiran yang pastinya tidak senang diperolehi di tempat lain.

    "Setelah berasa mantap, saya memohon untuk berhenti. Saya yakin, berkat pengalaman kerja yang diasah selama ini dan juga kemahiran yang dimiliki, saya mampu menjalankan perniagaan mengecat kereta sendiri.

    "Setelah berhenti kerja, sekitar awal tahun 1990-an, saya membuka sebuah bengkel mengecat kereta di Melaka, iaitu negeri asal kelahiran saya," tambahnya.

    Abu Samah menceritakan, pada awal perniagaannya berjalan baik dan mampu bertahan sehingga ke usia 10 tahun.

    Namun, akhir 1990-an, kemeruduman ekonomi dunia turut memberi tempias kepada perniagaan berskala kecil sepertinya. Akibatnya, perniagaan yang dibina selama 10 tahun itu pun luluh juga.

    Tahun 2001, Abu Samah mengambil keputusan berpindah ke Shah Alam. Alhamdulillah, rezeki keluarga nampaknya lebih baik di Selangor.

    Beliau mendapat sebuah tempat dan kembali memulakan bengkel mengecat kereta. Namun, selepas bertahan selama empat tahun, tuan bengkel memberi notis agar beliau berpindah.

    "Hakikatnya, memindahkan lokasi sesuatu perniagaan bukanlah semudah berpindah rumah. Bukan senang mencari lokasi dan membuka tapak baru yang sesuai.

    "Lalu, sebagai gantinya saya cuba menjalankan perniagaan sebagai sub-kontrak, iaitu menjalankan kerja mengecat kereta di bengkel mengecat kereta yang rata-rata pemiliknya adalah kenalan saya. Sebagai imbalan, keuntungan dibahagikan 50:50.

    "Rupa-rupanya, tidak mudah menjalankan kerja mengecat secara sub-kontrak. Selama kira-kira enam bulan, kehidupan saya sekeluarga kian parah. Dengan pendapatan yang tidak besar dan tidak tetap, saya tidak mampu menyediakan perbelanjaan yang cukup buat anak-anak. Dapat sedikit duit, saya dahulukan sewa rumah, bayar bil air atau elektrik. Akhirnya, duit simpanan habis, pendapatan pun kempis.

    "Selalu juga anak-anak ke sekolah dengan perut kosong. Bahkan kami anak-beranak selalu menjamah roti sebagai ganti nasi. Maklumlah, bila makan nasi kena ada lauknya. Pengalaman inilah yang amat menjerakan saya, sehingga akhirnya isteri saya mencadangkan kami memohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS)," jelasnya.

    Abu Samah leka berkongsi kisah jatuh bangunnya dalam perniagaan. Namun, hingga kini, beliau bahagia membina keluarga bersama Rafidah Md. Ali, 46, dan dianugerah tujuh anak.

    Dua anaknya, iaitu anak pertama dan kedua, sedang melanjutkan pendidikan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Politeknik Shah Alam.

    Menurut Abu Samah lagi, bantuan zakat yang mula diperolehi sekitar tahun 2004 sebenarnya amat memberi erti kepada dirinya sekeluarga. Masakan tidak, LZS memberi bantuan pendidikan, sara hidup dan pelbagai bantuan lagi kepada mereka sekeluarga.

    "Apa yang paling penting, anak-anak saya dapat menumpukan perhatian dengan lebih baik dalam pendidikan. LZS benar-benar membantu kami dalam hal ini," katanya.

    Sungguh pun telah menjadi asnaf di LZS, Abu Samah tidak tega menyerahkan nasibnya begitu sahaja. Baginya, pengalaman dan kemahirannya mengecat tidak wajar dipersiakan begitu sahaja. Beliau akhirnya berjaya memperolehi pekerjaan di sebuah bengkel mengecat kereta.

    Tidak berapa lama kemudian, rezeki datang bergolek apabila tauke tempat kerjanya mahu memindahkan lokasi perniagaannya dan bengkel sedia ada itu ditawarkan kepadanya.

    "Saya suka tempat ini, ia berada di pinggir jalan besar dan diapit pula oleh bengkel membaiki kenderaan dan juga bengkel mengetuk badan kereta.

    "Semua ini adalah nilai tambah yang boleh menyokong perniagaan mengecat milik saya. Sewanya juga agak berpatutan. Maka, mulai tahun 2006, saya menjalankan perniagaan mengecat kenderaan kembali," ujar beliau penuh semangat.

    LZS melihat potensi yang dimiliki oleh Abu Samah, dan ia perlu disokong bahkan diketengahkan. Lalu, Abu Samah dianjurkan agar memohon bantuan modal perniagaan. Kemudiannya, LZS meluluskan bantuan mengembangkan perniagaan sebanyak RM5,000.

    "Alhamdulillah, dengan modal itulah saya membeli peralatan tambahan dan membaiki apa-apa yang perlu. Namun, jika diikutkan masih banyak yang saya perlukan. Bengkel ini masih amat serba kekurangan.

    "Saya mengimpikan jika memiliki modal RM50,000, maka saya akan membina sebuah bengkel yang lebih baik dan juga membeli sebuah oven mengecat. Baharulah saya mampu menarik keyakinan pelanggan dan memenuhi permintaan mereka.

    "Oleh itu, buat masa ini, saya hanya menerima pelanggan yang walk in sahaja. Sesuailah dengan kapasiti tenaga kerja yang terbatas, begitu juga dengan peralatan yang terhad. Saya hanya dibantu seorang pekerja dan saya juga masih memerlukan banyak penambahbaikan dalam perniagaan ini," ujarnya lagi.

    Bersempena kedatangan Syawal yang mulia ini, Abu Samah tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembayar zakat, khususnya di Selangor.

    "Saya berdoa, semoga rezeki mereka kian bertambah, mendapat barakah dan dipanjangkan usia mereka oleh Allah. Jika boleh, doakan juga kejayaan saya. Ingin sekali rasanya menjadi seorang pembayar zakat, yang menghulurkan tangannya membantu orang lain pula," kata Abu Samah penuh harapan.

    Hikmah di sebalik nama

    Posted: 07 Sep 2011 06:48 PM PDT


    Kita hendaklah selalu berdoa agar dimatikan sebagai orang mukmin. - gambar hiasan


    KISAH hidayah anak muda bernama Tarik Preston boleh dikategorikan sebagai satu yang unik. Semuanya berpunca daripada nama Tarik yang diberikan oleh ibu bapanya sebaik dia dilahirkan.

    Ini kerana nama Tarik itu adalah nama yang kebiasaannya jarang menjadi pilihan rakyat Amerika, berbanding dengan rakyat Amerika Afrika dek kerana ketara nilai keislamannya.

    Sepanjang membawa nama tersebut, banyak kali juga dia bertemu dengan mereka yang memiliki nama serupa ataupun mereka yang mengetahui makna nama tersebut.

    Ada juga yang ditemui menanyakan Tarik: "Kamu tahu ke erti nama kamu itu?" Dengan selamba dan berbangga dia membalas spontan: "Tahu, bintang yang menyebarkan cahaya terang."

    Ada ketikanya Tarik akan menokok tambah dengan kisah sejarah Islam mengenai ketokohan Tariq bin Ziyad yang terkenal dengan kisah penaklukan beliau ke atas kota Sepanyol pada 711 sebelum Masihi.

    Cerita pemuda yang memeluk Islam ini pada tahun 1988 dalam usia yang dikira muda iaitu 19 tahun itu lagi, ironinya walaupun dia mengakui akan fakta penting daripada makna namanya itu, dia masih belum mengetahui akan signifikan nama Islamnya itu sehinggalah dia bergelar pelajar kolej.

    "Saya mula menjejakkan kaki ke kolej pada usia 16 tahun dengan mengambil pengkhususan dalam bidang praperubatan/biologi dengan harapan untuk menjadi doktor.

    "Saya tahu untuk bergelar seorang doktor ia memerlukan kepada bebanan tanggungjawab yang cukup berat dan besar. Lantas itu, sudah tentulah saya perlukan kaedah yang baik untuk dijadikan ikutan di dalam hidup ini.

    "Pada tahun pertama pengajian, saya cuba membaca kitab Bible, sayangnya ajaran Kristian sukar diterima dek akal," akui Tarik.

    Tambah Tarik, ketika belajar berkaitan kerumitan sel biologi dalam tubuh manusia yang begitu menakjubkan pada tahun itu, dia dan juga sebahagian teman sekuliah mula mengakui akan kepercayaan kepada kewujudan satu kuasa hebat atau dipanggil Pencipta. Jika melihat kepada fakta kejadian itu, memanglah mustahil ia berlaku secara kebetulan sebagaimana yang dispekulasi oleh para saintis moden.

    Sementelah pula pada cuti musim bunga, Tarik ada berbincang dengan neneknya berkenaan dengan aspek teologi. Pengakuan neneknya seorang yang beragama Kristian, sedikit sebanyak telah menarik minat Tarik.

    Kata neneknya: "Saya menyembah Tuhan tetapi saya tidak menyembah kepada Nabi Isa kerana saya lebih rasa selamat dengan menyembah Tuhan!" Malah dia menasihati saya supaya tidak beribadat atas nama Nabi Isa, sebaliknya beribadat kerana Tuhan.

    "Sebaik kembali ke kolej seusai bicara itu, saya mula bersembahyang pada setiap malam sebelum melelapkan mata sebagaimana yang diajarkan nenek. Tetapi sebagaimana nasihat nenek, saya tidak lagi berdoa atas nama Nabi tetapi sembahyang saya itu adalah kerana Tuhan semata-mata.

    "Sebaik saya mengambil keputusan, muncul rasa bersalah kerana melakukan ritual sembahyang dengan cara berbaring di atas katil. Jadi, saya mula bersembahyang dengan melutut di birai katil, yang mana ia jauh lebih selesa buat saya.

    "Dalam situasi sedang mencari sesuatu yang dapat membimbing saya dalam hidup ini, pada suatu hari ketika sedang melintasi kampus, saya telah memohon bimbingan daripada Tuhan," katanya.

    Semasa tahun pertama di kolej, seorang teman yang baru memeluk Islam telah menyapa Tarik lantas memberikan salam kepadanya sebaik melihat kelibat Tarik yang sedang berjalan melintasi kawasan kampus.

    Oleh kerana membesar di Chicago sejak pada tahun 1970-an, ucapan salam yang seringkali diucapkan oleh seorang yang beragama Islam bukanlah sesuatu yang asing didengar. Lantas dia terus membalas salam temannya itu dengan kebiasaan salam seorang saudara Muslim.

    Rupa-rupanya balasan salam itu telah menimbulkan keraguan dan rasa ingin tahu temannya itu sehinggalah terpacul soalan berbunyi: "Adakah anda sudah Islam?" Pantas balas Tarik: "Saya adalah United Methodist." Angguk temannya seraya menjawab, "Oh... saya ingatkan awak sudah Islam kerana nama awak itu."

    Tidak lama selepas pertemuan itu, mereka bertemu sekali lagi pada satu sesi kelas pengajian. Temannya telah cuba menjelaskan tentang Islam kepada Tarik dan teman-temannya yang lain. Memandangkan usianya yang masih muda serta baru berjinak-jinak dengan agama Islam, jadi tidak banyak maklumat berkaitan Islam yang dapat dikongsi.

    "Apabila pulang bercuti pada musim panas, saya mengambil kerja sambilan sebagai telemarketer. Di situ saya bertemu dengan seorang Muslim bernama Ahmed. Selain seorang mualaf dengan kerakyatan Puerto Rico namun air mukanya sama seperti raut wajah seorang teman Muslim di kolej. Lantas, saya bertanya kepada Ahmed adakah dia seorang Muslim.

    Sambil tersenyum dia membalas: "Ya Tarik. Agak juga Islam?"

    Saya menjawab: "Tidak. Saya seorang United Methodist."

    Ahmed tersenyum sinis lalu berkata: "Dengan nama Tarik, awak sepatutnya seorang Muslim."

    Mereka mula berbicara mengenai tauhid. Tarik begitu tertarik dengan konsep monoteisme dalam Islam.

    Akhirnya, Ahmed telah mempelawa Tarik ke rumahnya dan ketika di situ, Tarik telah ditunjukkan sebuah kitab terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris.

    "Saya begitu tertarik dengan cara dia memberi penghormatan kepada kitab sucinya itu dan saya meminta kebenaran daripada Ahmed meminjamnya.

    "Dia bersetuju dengan syarat saya juga perlu menjaga dan menghormati kitab tersebut sebagaimana dia memelihara kesucian kitab suci itu dengan meletakkannya di tempat yang bersih dan selamat.

    "Hati saya tidak sabar untuk mula membacanya," jelas Tarik.

    Dua minggu kemudian, dia mengajak Ahmed ke rumah dan mereka bercerita mengenai Islam. Tarik memberitahu akan kepercayaannya pada apa yang tertulis di dalam kitab al-Quran itu dan hasratnya untuk memeluk Islam.

    Pada keesokkan harinya, mereka ke Pusat Islam di Washington D.C dan Tarik melakukan syahadah.

    "Beberapa tahun selepas pengislaman, Allah SWT menganugerahkan saya dengan rezeki untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Madinah di mana saya memperoleh ijazah dalam bahasa Arab dan sarjana muda sains hadis," katanya.

    Porter lancarkan urusan di Tanah Abang

    Posted: 07 Sep 2011 06:46 PM PDT


    Tugas porter mengangkat pelbagai jenis barangan perniagaan daripada yang ringan hingga kepada yang berat.


    APABILA di sebut porter, di kalangan kanak-kanak mereka mungkin akan merujuk kepada kepada filem Harry Potter. Namun bagi para peniaga dan pembeli di pusat pemborong terbesar di Asia Tenggara iaitu Tanah Abang, Jakarta, Indonesia, porter memang menjadi watak dan nadi penting dalam melancarkan urusan perniagaan harian.

    Porter di sini adalah petugas atau pemikul yang bekerja menggunakan tulang empat kerat bagi mencari rezeki.

    Tugas mereka ialah mengangkat pelbagai jenis barangan perniagaan daripada yang ringan hingga kepada yang beratnya mencapai 130 kilogram. Bak kata pepatah berat mata memandang, sudah tentu lagi berat bahu yang memikul.

    Tetapi demi tuntutan hidup, dan demi memastikan sesuap nasi untuk anak dan isteri, berat bebanan tidak dipedulikan walaupun bayaran yang diterima mereka rendah.

    Kebanyakan porter akan mengenakan baju T yang mempunyai nombor. Seawal pukul 6 pagi mereka sudah berlegar di sekitar kompleks itu bagi mendapatkan pelanggan.

    Namun ada juga porter senior tidak mengenakan baju T bernombor. Mereka ini sudah di kenali dan mempunyai pelanggan tetap terutama dari kalangan peniaga di Tanah Abang.

    Rata-rata porter yang bekerja berusia antara 20 tahun hingga 60 tahun. Mereka bekerja dengan rela hati. Walaupun upahnya tidak sebesar mana, namun ia adalah pekerjaan 'mudah' kerana tidak memerlukan modal dan kemahiran.

    Biasanya pendapatan mereka sekitar Rp20,000 (RM7.50) hingga Rp50,000 (RM18) sehari. Bagaimanapun mereka yang mempunyai pelanggan tetap boleh mencecah hingga Rp150,000 (RM54) hingga Rp 200,000 (RM71.50) mengikut kemampuan masing-masing.

    Menurut seorang peniaga, Fianky, 26, porter sememangnya diperlukan oleh para peniaga di pusat perniagaan itu bagi membawa pelbagai barangan yang ditempah oleh para pelanggan atau membawa dari tempat penurunan barang di bahagian bawah ke kedai masing-masing.

    "Tanpa porter bagaimana kami mahu membawa barang-barang tersebut ke kedai kami di atas? Begitu juga bila ada pelanggan kami yang mahu membawa barangan dengan jumlah yang besar turun ke tempat letak kereta untuk dimasukkan ke dalam kenderaan mereka," jelasnya.

    Dia mengakui porter sememangnya menjadi nadi kepada peniaga di Tanah Abang dalam melancarkan urusan perniagaan.

    Tambahnya, bayaran kepada porter selalunya bergantung kepada sebanyak mana barangan yang mereka pikul serta jarak barangan itu dibawa.

    "Jika barangannya besar dan berat sudah pasti bayarannya mahal sedikit. Kalau terlalu besar porter akan gunakan troli. Tetapi kaedah ini jarang digunakan kerana ruang antara toko perniagaan di sini sempit. Kerana itu ramai porter memikul karung besar berisi barangan jualan," kata Fianky.

    Bagi peniaga, Sumi, 32, porter perlu dihargai kerana mereka menjalankan tugas dengan jujur kerana tugas yang diamanahkan kepada mereka akan diselesaikan dengan baik.

    "Dalam kesibukan dan kesesakan pengunjung membeli pelbagai barangan, porter tetap mengangkat barangan walau seberat manapun sehingga sampai ke destinasi yang ditujui," tegas Sumi yang menjual pelbagai pakaian kanak-kanak.

    "Sudah lebih 10 tahun saya berniaga di sini belum pernah barangan saya yang dibawa oleh porter tidak sampai di toko saya. Begitu juga dengan barangan jualan pelanggan saya yang menggunakan khidmat mereka," tambahnya lagi.

    Memang benar kata-kata para peniaga di Tanah Abang. Sewaktu duduk berbual dengan beberapa orang porter, mereka berbangga menjalankan khidmat memikul barangan walau keletihan kerana bagi mereka selain daripada mencari rezeki halal, secara tidak langsung dapat memudahkan para peniaga dan pengunjung di pusat itu.

    Bagi Wawan, 26, dia tidak malu menjadi porter. Malah dia merasa beruntung dapat menjalankan tugas itu kerana bukan mudah mendapatkan pekerjaan baik di kota raya Jakarta.

    "Di sini saya hanya menggunakan tenaga dan sedikit teknik mengangkat barang yang berat dengan betul. Saya juga tidak perlu berpanas dan berhujan seperti mereka yang bekerja di luar sana. Jarang sekali saya terpaksa memikul barangan hingga keluar kompleks ini," kata Wawan yang berasal dari Bogor.

    Katanya setiap barang perlu dikira terlebih dahulu sebelum dimuatkan ke dalam guni plastik. Setelah penuh, dia perlu mengikat sebaik mungkin supaya tidak pecah apabila diangkat dan dipikul.

    "Satu bal (guni) seperti ini beratnya antara 40 hingga 60 kilogram. Saya perlu pikul hingga sampai di lif sebelum dibawa turun untuk dimasukkan ke dalam kenderaan pelanggan," jelasnya yang mendapat upah antara Rp10,000 hingga Rp15,000 untuk sekali perkhidmatan.

    Namun begitu Wawan gembira kerana selain mendapat upah dia juga dapat membantu para pelanggan melancarkan perniagaan mereka.

    "Dalam satu bulan saya bisa mendapat Rp 1.5 juta. Itu cukup menyara keluarga saya walaupun tidak dapat bermewah-mewahan," katanya sambil tersenyum.

    Warisan kacang putih 1Malaysia

    Posted: 07 Sep 2011 06:45 PM PDT


    Thanggaraja Solayapan setia menjual pelbagai jenis kacang di Terminal Bas Ipoh.


    SUATU ketika dahulu penjual kacang putih menjaja kekacang dan makanan rangup lain dengan berjalan kaki atau berbasikal dan mereka sering dilihat di bandar-bandar dan kawasan sekitarnya.

    Perniagaan ini, yang dipelopori masyarakat Tamil dari selatan India, bermula seawal kurun ke-19.

    Warga Malaysia dari kalangan generasi pra dan awal pasca Merdeka pasti tidak lupa bagaimana penjual-penjual kacang putih ini menggulung kertas menjadi bentuk kon dan mengisinya dengan kekacang atau snek rangup lain.

    Ramai juga akan mengimbau semula kenangan mereka mengunyah kekacang semasa menunggu bas atau menonton filem di pawagam. Lebih mengkagumkan, snek yang berasal dari India ini dinikmati oleh semua kaum dan ia merupakan snek 1Malaysia yang sebenar.

    Walaupun penjual kacang putih mungkin tidak lagi dapat dilihat atas jalan, kacang putih yang sama kini dijual oleh generasi baru penjaja Tamil sebagai snek pilihan.

    Hari ini, penjual kacang putih menjual snek mereka di lokasi yang ditetapkan. Kekacang dan makanan rangup lain dibungkus kemas di dalam paket plastik dan ramai daripada mereka juga merupakan usahawan kacang putih yang berjaya. Seorang daripada usahawan kacang putih yang berjaya ialah Thanggaraja Solayapan, 55, yang berasal dari tempat industri kacang putih, Kampung Kacang Putih, lebih kurang lapan kilometer dari pusat bandar raya Ipoh.

    Thanggaraja merupakan muka yang tidak asing di Terminal Bas Ipoh kerana beliau merupakan penjual kacang putih di situ dan merupakan generasi ketiga untuk meneruskan perniagaan itu.

    Kacang putih sebenarnya nama yang mewakili pelbagai juadah rangup India seperti muruku, pakoda, sivel, aulu, omma poddi, kadalai dan kekacang seperti dhall, kacang kuda dan kacang tanah.

    Kini juga terdapat kerepek ubi kayu, satu juadah Malaysia yang mengiringi kacang putih.

    Daripada 50 jenis kacang putih yang dijualnya, Thanggaraja membuat 19 daripadanya di kilang kecilnya di rumah.

    Menyedari masyarakat Malaysia bukan sahaja majmuk tetapi juga mempunyai cita rasa berlainan, peniaga inovatif ini mempelbagai lagi juadah tawarannya dengan menambah manisan seperti laddu, jelebi, athirasam yang dibekalkan oleh seorang peniaga Sikh yang juga merupakan rakan lamanya.

    Kadangkala beliau dapat menjual sehingga 200 bungkus kacang putih terutama pada musim-musim menjelang cuti perayaan. Pelanggan pula terdiri daripada pelbagai kaum.

    Beliau turut mengakui berasa bangga apabila ada dalam kalangan pelanggannya yang berbangsa Melayu dan Cina pandai menyebut nama-nama kacang putih yang dijualnya.

    "Sejak 30 tahun lalu, saya fikir, masyarakat bukan India juga meminatinya. Macam yong tau fu dengan nasi lemak juga. Sudah jadi makanan rakyat Malaysia. Kacang putih pula boleh jadi makanan ringan 1Malaysia," katanya bersahaja tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam.

    Bagaimanapun, dalam gambaran yang lebih luas apa yang bermula sebagai perniagaan kecil bagi Thanggaraja dan jiran-jirannya di Kampung Kacang Putih kini bertukar kepada industri desa yang menguntungkan.

    Beliau menarik perhatian bahawa antara 40 dan 50 keluarga di kampung itu terbabit dalam membuat dan menjual kacang putih, perusahaan yang menjadi kebanggaan penduduk di situ dan satu kisah kejayaan masyarakat itu sendiri.

    Bukan seperti generasi sebelum mereka yang hanya mampu hidup serba ringkas, kehidupan usahawan kacang putih di sini jauh lebih mewah.

    Bagaimanapun, kejayaan yang dicapai oleh masyarakat kacang putih ini di Ipoh bukan datang dengan mudah seperti yang ditunjukkan oleh Thanggaraja.

    Sebenarnya, satu tragedi yang membawa mereka ke Kampung Kacang Putih yang membuka laluan kepada mereka sebagai usahawan kacang putih.

    Mereka pada asalnya menetap di kaki Gunung Cheroh tidak jauh dari tempat sekarang, berhampiran kuil Sri Subramaniar, tempat moyang mereka menetap selepas berhijrah ke Malaya pada awal abad ke-19.

    Masyarakat di situ pada asalnya terdiri daripada petani, pekerja dan peniaga kecil termasuk mereka yang menjual kacang putih.

    Pada 1970, sebuah batu besar dari Gunung Cheroh menghempap perkampungan di situ dan demi keselamatan, mereka dipindahkan ke tempat sekarang ini di Buntong.

    Masyarakat itu meneruskan dengan kehidupan mereka tetapi dengan peralihan masa, perniagaan kacang putih menjadi aktiviti utama.

    Perjalanan Craig Antweiler

    Posted: 07 Sep 2011 06:44 PM PDT


    Bersama ibu angkat yang amat disayangi dan dipanggil mummy, Aliza Taher.


    SIFAT ramah Craig Antweiler membuatkan anak muda ini senang didekati. Walaupun baru kali pertama menjejakkan kaki ke pejabat Utusan Malaysia, dalam sekejap masa dia mudah mendapat kawan dan tidak kekok berbual dengan sesiapa yang menyapa.

    Bagi yang baru mengenali pemuda mat salih ini pasti akan menyapanya dalam bahasa Inggeris, namun jangan terkejut apabila dengan selamba sapaan itu dibalas dalam bahasa Melayu.

    Craig, 21, yang berasal dari Cologne, Jerman, sememangnya fasih dan lebih selesa berbahasa Melayu.

    Anak muda yang murah senyuman ini tiba di Malaysia pada 20 Ogos lalu, yang merupakan destinasi terakhirnya dalam pengembaraan melalui jalan darat secara hitch-hiking.

    Dia pulang semula ke negara kelahirannya itu pada 25 Ogos.

    Dalam pengembaraan yang bermula 26 Julai lalu yang turut disertai oleh adik lelakinya, Dario Antweiler, 17, mereka menaiki pesawat dari Cologne ke Turki.

    Projek persendirian yang dinamakan sebagai Projek Barat ke Timur itu merupakan cetusan idea Craig sendiri yang sememangnya mempunyai hobi mengembara.

    Dari Turki mereka meneruskan perjalanan dengan menumpang kenderaan atau hitch-hike seperti kereta, bas, lori, traktor, bot dan apa juga kenderaan hingga tiba di beberapa buah negara termasuk Kurdistan, Iraq, Iran, India, Thailand dan akhirnya Malaysia.

    Lebih 80 buah kenderaan telah ditumpangi untuk sampai ke Malaysia dalam tempoh 25 hari.

    Bagaimanapun, Dario tidak menyertai Craig ke Malaysia sebaliknya berlepas pulang dari India kerana penggal persekolahannya hampir bermula.

    Berbekalkan wang sebanyak 100 euro (RM500), menurut Craig, mereka amat berjimat cermat dengan menggunakannya hanya bagi membeli makanan dan tiket melawat muzium.

    Pun begitu katanya, mereka beruntung kerana makan mereka banyak dibelanja orang.

    Beg galas seberat enam kilogram hanya diisi dengan sebuah periuk kecil, sehelai seluar yang boleh dipanjang dan dipendekkan, tiga helai kemeja-T, kadbod untuk menulis arah dan ubat-ubatan.

    Craig adalah penghidap kencing manis sejak berumur 11 tahun dan perlu mengambil suntikan insulin lima kali sehari.

    Mereka menumpang tidur di rumah kawan-kawan yang dikenali melalui Internet atau mengikat hammock (buaian) pada pokok di taman atau tiang.

    Pelajar kursus matematik dan media sains di Universiti Leipzig, Jerman ini sebenarnya kali pertama menjejakkan ke Malaysia pada tahun 2007 semasa berumur 16 tahun.

    Ketika itu dia mengikuti program pertukaran pelajar American Field Services (AFS) yang merupakan organisasi pertukaran pelajar bagi pertukaran budaya terbesar selepas Perang Dunia Kedua.

    Di Malaysia, Craig tinggal bersama keluarga ibu angkatnya, Aliza Taher di Bukit Jelutong, Shah Alam, selama setahun dan bersekolah dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Bukit Jelutong.

    Dari situ Craig belajar bertutur dalam bahasa Melayu malah mata pelajaran yang diikuti di sekolah juga dalam bahasa Melayu.

    Apa yang membanggakan, Craig lulus semua peperiksaan termasuk Bahasa Melayu dan dipilih sebagai pengawas.

    Selepas tahun 2007, setiap tahun dia datang ke Malaysia kerana rindukan ibu, bapa dan adik beradik angkatnya.

    ''Tidak susah hendak menyesuaikan diri kerana saya sudah biasa melawat Asia Tenggara bersama-sama keluarga,'' kata anak sulung daripada dua beradik kepada pasangan profesor antropologi dan guru komputer yang suka melancong itu.

    Menurut Craig, kecintaannya pada negara ini boleh dikatakan seperti separuh hatinya untuk Malaysia dan separuh lagi untuk Jerman.

    Bercerita mengenai pengalamannya merantau ke negara orang melalui jalan darat, penggemar nasi lemak, sate dan durian itu berkata, pengalaman paling menakutkan ialah kejadian di Turki apabila pemandu lori yang ditumpangi menurunkan dia dan adiknya di tengah-tengah padang pasir.

    ''Kawasan sekeliling gelap, tiada lampu dan tiada orang yang kelihatan. Walaupun rasa takut kami teruskan juga perjalanan. Setengah jam kemudian sebuah lori lalu dan menumpangkan kami.

    ''Satu lagi pengalaman yang boleh dikatakan menakutkan ialah apabila tiba di sempadan antara Turki dan Iran.

    "Di sana kerana pengembaraan secara hitch-hiking bukan perkara biasa dan mereka sukar hendak menumpangkan orang,'' kata Craig yang berbangga kerana berjaya menamatkan perjalanan sejauh 7,000 kilometer.

    Haiwan kesayangan untuk pelajar cerdas

    Posted: 07 Sep 2011 06:42 PM PDT


    Pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran berpeluang memiliki hamster Syria dari Petsmore.


    Hobi memelihara haiwan kesayangan seperti kucing, hamster dan sebagainya mampu membentuk sifat penyayang, ketekunan dan kesabaran.

    Ciri-ciri tersebut turut diperlukan dalam diri seorang pelajar untuk mucul cemerlang dalam pelajaran.

    Atas dasar tersebut juga gedung haiwan kesayangan terkenal, PetsMore, memperkenalkan kempen Anugerah Ganjaran Pelajar Gred A+ bagi memberi ganjaran kepada pelajar cemerlang yang serba boleh.

    Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas jenama PetsMore, Sean Saw, berkata, seorang pelajar yang hebat seharusnya mendapat keputusan akademik yang baik dan mempunyai sifat yang terpuji.

    "Kempen ini menyokong objektif kerajaan untuk memupuk masyarakat yang penyayang dan berilmu pengetahuan.

    " Kami akui bahawa seseorang yang berilmu pengetahuan tidak semestinya seorang yang baik begitu juga sebaliknya. Justeru kempen kami bertujuan untuk mewujudkan keseimbangan tersebut.

    "Pelajar yang baik mempunyai ketekunan, tumpuan, kesungguhan, disiplin dan kesabaran untuk belajar dan mencapai kecemerlangan.

    "Mereka juga boleh menggunakan sifat ini untuk menjaga binatang peliharaan. Jika diberi pendidikan yang betul dan konsisten, ini seharusnya dapat menjadikan mereka pelajar yang cemerlang.

    "Dalam proses ini, kita boleh menyemai banyak nilai yang baik, membolehkan mereka menimba ilmu dan menjadikan mereka dihormati," jelasnya.

    Merujuk kepada nama kempen berkenaan, Sean menjelaskan, pelajar dimaksudkan ialah pelajar yang mendapat gred yang baik (akademik) dan berhati mulia (bersikap prihatin dan penyayang).

    Ikon jantung kecil diletakkan pada perkataan 'Gred' sebagai menunjukkan bahawa seseorang perlu mempunyai hati dan kesungguhan untuk cemerlang dalam segala yang dilakukan, termasuk belajar.

    "A+ dan tanda 'lulus atau betul' dalam logo mencerminkan kecemerlangan," katanya.

    Dalam pada itu menurut Sean, hamster Syria dipilih kerana sifatnya yang terkenal sebagai binatang peliharaan yang cergas, hiperaktif, tangkas dan pintar - iaitu sifat-sifat yang menjadikan seseorang pelajar hebat.

    "Jadi kami menawarkan haiwan kesayangan yang cergas untuk pelajar yang pintar dan cerdas menerusi kempen kami.

    ''Mana-mana pelajar dari mana-mana sekolah, institusi dan sebagainya, yang mendapat markah 80 dan ke atas atau mendapat 'A' dalam peperiksaan mereka baru-baru ini layak merebut tawaran di bawah kempen ini.

    "Mereka hanya perlu menunjukkan keputusan kertas ujian mereka di mana-mana gedung PetsMore dari sekarang hingga 18 September ini dan mereka boleh membawa pulang hamster Syria pada harga hanya RM7.99 seekor.

    "Kami juga menawarkan diskaun 15 peratus untuk semua makanan hamster," jelasnya.

    Bukan itu saja, jika pelajar berkenaan belum menjadi ahli PetsMore, mereka boleh menjadi ahli secara percuma sepanjang tempoh kempen ini kerana yuran keahlian biasa RM10 akan dikecualikan.

    Sean mengakui mempunyai sebab untuk memilih hamster untuk kempen ini.

    "Terdapat banyak spesies hamster yang berlainan tetapi kami mahu memperkenalkan spesies paling popular, iaitu hamster Syria.

    ''Hamster juga mudah dijinakkan. Ia akan menjadi lebih jinak jika meluangkan lebih banyak masa untuk menguruskannya dan akan terus jinak hingga ke akhir hayat," katanya.

    Reka Zone rangsang pelajaran dalam permainan

    Posted: 07 Sep 2011 06:41 PM PDT


    Noraini Mohd. Hashim (dua dari kanan) bersama Andy Low (kanan) pada majlis pelancaran Taman Permainan Reka Zone di IOI Mall Puchong, Selangor baru-baru ini.


    PADA mulanya agak terkejut apabila anak lelaki saya yang baru berusia tiga tahun meminta membelikannya permainan video Play Station (PSP) untuknya.

    "Namun setelah dikenangkan kita kini berada dalam zaman teknologi informasi memang tiada apa yang menghairankan dengan permintaan tersebut.

    "Cuma apa yang merisaukan saya sebagai seorang ibu ialah anak saya tidak mempunyai pergerakan fizikal maksimum yang sepatutnya ada pada usia sebegitu," keluh seorang ibu muda, Amelia Farhana Sharidan, 24 tentang situasi yang berlaku pada anak tunggalnya itu.

    Penulis yakin ramai lagi ibu ingin mengadukan perkara yang sama-anak mereka kini tidak aktif sebagaimana zaman yang pernah dilalui mereka ketika waktu kecil dahulu.

    Panjat pokok, main dalam longkang, berlari berpeluh hingga lencun baju adalah satu situasi yang amat sukar dilihat pada kanak-kanak zaman ini.

    Memang tidak dinafikan banyak faktor menjadi penyumbang perubahan aliran tersebut namun sebagai ibu bapa tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbang apabila anak tidak aktif.

    Namun alternatif tetap ada, terbaru, Reka Setia Playground Sdn. Bhd. (Reka) telah melancarkan pusat permainan dalam pusat membeli belah pertamanya di IOI Mall, Puchong, Selangor.

    Justeru, ibu bapa tidak perlu bimbang aspek keselamatan, jangkitan kuman dan kotoran kerana taman permainan dalaman Reka Zone diilhamkan setelah mengambil kira setiap aspek tersebut.

    "Keperluan permainan kanak-kanak alaf ini bukan sekadar untuk berlari dan bergayut, sebaliknya permainan yang direka untuk mereka haruslah mempunyai unsur-unsur mengasah daya pemikiran, analitikal, mencari simbolik serta menambah daya kreativiti.

    "Justeru tempat permainan mereka memerlukan peralatan yang memberikan stimulasi untuk otak dan daya imaginasi mereka," ujar Andy Low, Pengarah Urusan Reka Setia Playground Sdn. Bhd.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Taman Permainan Reka Zone yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Noraini Mohd. Hashim, baru-baru ini.

    Tambahnya, pasukan pereka taman permainannya sedar bahawa dalam dunia digital ini ramai kanak-kanak 'kehilangan' satu unsur penting dalam kehidupan iaitu bermain.

    "Mengambil kira faktor tersebut maka kami mereka peralatan dan menzahirkan konsep permainan yang bukan sekadar memberi kegembiraan malah permainan sebagai satu proses pembelajaran.

    "Matlamat kami juga agar kanak-kanak zaman ini memanfaatkan masa bersama kawan-kawan serta mengukuhkan perhubungan antara ahli keluarga," jelasnya.

    Taman Permainan Reka Zone di Puchong ini dibangunkan dalam lima seksyen iaitu Seksyen A untuk pendaftaran; Seksyen B untuk kawasan permainan kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah; Seksyen C untuk permainan tembak bola; Seksyen D untuk majlis keraian dan Seksyen E untuk aktiviti memanjat.

    Bersempena dengan pelancaran taman permainan dalaman pertama tersebut, Reka Setia Sdn. Bhd., turut berbesar hati mendermakan satu set taman permainan luar dari versi REKA RS 9000 yang bernilai RM17,500 kepada Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah.

    Perjalanan si manja lebih selesa

    Posted: 07 Sep 2011 06:40 PM PDT


    Dynas Mokhtar bersama permata hati kesayangannya, Khyra Khalisa Hafizy.


    PERJALANAN pulang ke kampung menyambut hari lebaran baru-baru ini memang menyeronokkan ditambah pula dapat berkumpul seluruh keluarga.

    Namun bagi yang mempunyai si kecil perjalanan yang jauh mungkin sedikit tercabar dengan ragam si kecil yang tidak selesa .

    Dalam suasana yang penuh kemeriahan dan kesibukan ini, cabaran paling besar buat para ibu yang baru ialah menenangkan tangisan si manja mereka yang meragam dan tidak cukup tidur serta keadaan tidak selesa dengan lampin yang penuh

    Membiarkan si kecil dengan lampin dalam tempoh terlalu lama juga boleh membuatkan ketidakselesaan pada si kecil.

    Namun inilah yang sering dihadapi oleh ibu-ibu baru semasa musim perayaan.

    Bagi pelakon Dynas Mokhtar, pengalaman bersama si kecil kesayangannya, Khyra Khalisa Hafizy, setahun lima bulan, merentas perjalanan yang jauh bukan masalah yang besar sebaliknya memberikan pengalaman berharga untuk si ibu moden ini.

    "Biasanya sehari sebelum perjalanan, Dynas akan mengemas barang-barang keperluan Khyra,'' ujar pemilik nama sebenar, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, ketika ditemui bersama Khyra baru-baru ini.

    Ibu moden ini memberitahu, pengembaraan yang jauh bersama buah hatinya itu tidak menjadi masalah apabila 'teman sejati', Drypers Pet Pet sentiasa menemaninya.

    "Kelebihan yang ada pada Pet Pet sukar ditandingi dengan lampin yang lain dan sekali gus memudahkan perjalanan kami sekeluarga,

    "Lagipun dengan menggunakan lampin ia memberikan keyakinan yang berterusan kepada Khyra selain menjimatkan perbelanjaan," ujar ibu anggun berdarah campuran Arab dan Cina itu.

    Katanya lagi, lapisan lampin yang nipis memberikan keselesaan kepada si manja.

    Malah, cara pemakaian yang mudah juga membuatkan dia tidak sukar 'memujuk' si kecil untuk menukar dan menggantikannya.

    Dengan ciri-ciri dipertingkatkan, ia berupaya memastikan kulit bayi lebih sihat dan selesa biarpun dalam perjalanan yang jauh dan lama.

    Apa yang penting, biarpun pemakaian yang lama, lampin tidak bocor kerana mempunyai lapisan yang yang boleh menyerapkan air kencing.

    Menurut Dynas lagi, pad serta lapisan tambahan pada lampin tersebut dapat menyerap segala kelembapan sehingga 12 jam.

    "Ia sekali gus memudahkan urusan penjagaan si kecil selain lebih menjimatkan serta ia bebas daripada bahan sensitif sekali gus mengurangkan kesan ruam bayi," ujarnya.

    Sementara itu menurut Pengarah Perdagangan Disposable Soft Good (DSG), Foo Yoke Mun, antara ciri-ciri mesra kulit lampin Pet Pet ini termasuklah losyen di seluruh lampin berbanding lapisan atas sebelumnya.

    ''Losen ini bertindak sebagai pelindung kulit bayi dan sekali gus membantu mengurangkan ruam lampin," katanya.

    Selain itu, lampin itu mempunyai pita pelekat yang 40 peratus lebih lembut berbanding sebelumnya.

    Dengan pita lembut ini jelasnya, kulit bayi yang sensitif khususnya di bahagian perut tidak akan tercalar atau terkena kesan merah.

    Selain itu, keistimewaan lain pula ialah potongan kaki tinggi dengan jalur pinggang boleh bernafas dan mudah regang.

    ''Oleh kerana bahagian bawah belakang kaki boleh berpeluh, potongan begini membenarkan pengaliran udara yang menyejatkan peluh dan menyejukkan kulit bayi," katanya.

    Taksub minyak wangi akhirnya buat sendiri

    Posted: 07 Sep 2011 06:24 PM PDT


    Farahsuzie Sulaiman


    WANITA mana yang tidak sukakan wangian, termasuklah Farahsuzie Sulaiman, 31, yang begitu taksub hingga ke mana saja dia pergi dia akan membeli minyak wangi sebagai kenang-kenangan.

    Memang Farahsuzie tak pernah kisah tentang jenama kerana apa saja minyak wangi asalkan baunya sedap pada deria baunya akan dibeli. Murah atau mahal tidak menjadi keutamaan kepada wanita ini.

    "Kegemaran ini akhirnya mendorong saya untuk menghasilkan minyak wangi daripada jenama sendiri. Dalam tempoh dua tahun melakukan kajian saya akhirnya nekad mengeluarkan DD's Perfume ke pasaran," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran produknya di Hotel De Palma, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

    Dalam majlis yang sama juga, Farahsuzie meraikan majlis Iftar bersama anak-anak yatim dari rumah Baitul Hasanah, Kapar.

    DD yang membawa maksud Dekat Di Hati ini diinspirasikan daripada haruman yang menjadi kegemaran Farahsuzie tetapi yang istimewanya ia boleh didapati dengan harga yang lebih murah.

    "Penting juga bahawa ia minyak wangi yang tidak mengandungi alkohol, yang menjadikan ia lain dari yang lain ialah minyak wangi ini telah dihembuskan bacaan ayat suci al-Quran," jelas wanita kelahiran Klang, Selangor ini.

    Bahagian pertama pengeluaran DD's Perfume dibotolkan mengikut warna, merah jambu untuk wanita, ungu untuk minda dan jingga untuk lelaki.

    DD's Perfume juga didatangkan dalam bungkusan khas untuk kegunaan seluruh ahli keluarga.

    "Pernah kami menyertai satu pameran dan ada seorang wanita mencuba wangian kami, selepas dua hari dia datang semula ke gerai kami dan bau DD's Perfume yang dicubanya masih ada lagi. Dia terus yakin akan haruman berpanjangan tersebut dan membelinya," jelas Farahsuzie lagi.

    Farahsuzie begitu yakin dengan produknya kerana dirinya sendiri pencinta minyak wangi. Baginya setiap jenama di pasaran mempunyai kelebihan masing-masing termasuklah dari jenamanya juga.

    Dia yang mendapat kerjasama dari suaminya, Ahmad Kamil Arifin, 43, turut bertuah kerana menjadi rakan penaja untuk Festival Kahwin-kahwin Masyhur 1Malaysia.

    Dalam festival yang dianjurkan sempena perkahwinan artis Noraniza Idris itu, DD's Perfume menjadi minyak wangi rasmi yang akan dipakai Noraniza Idris pada hari bermula festival hinggalah pada hari persandingannya kelak.

    "Setakat lima bulan beroperasi ini DD's Perfume sudah mendapat permintaan dari pasaran Indonesia, Brunei, dan beberapa negara Islam lain.

    "Sebenarnya kami mempunyai lebih 300 haruman yang akan dikeluarkan secara berperingkat, minyak wangi kami ini diimport dari Perancis dalam kuantiti 100 kilogram sebulan ikut permintaan pasaran," jelasnya.

    92 pelajar terima biasiswa YSD

    Posted: 07 Sep 2011 06:23 PM PDT


    Wan Zahid Mohd. Noordin (tengah) bermesra dengan pelajar pada Majlis Penganugerahan Biasiswa YSD di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.


    KUALA LUMPUR 7 Sept. – Yayasan Sime Darby (YSD) telah memperuntukkan sejumlah RM13.9 juta dalam bentuk biasiswa kepada 92 penerima untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara pada tahun ini.

    Ahli Dewan YSD, Tan Sri Dr. Wan Zahid Mohd. Noordin berkata, daripada jumlah tersebut, RM11.2 juta diberi kepada 27 pelajar di bawah Program Biasiswa Cemerlang YSD yang memfokuskan kecemerlangan akademik dan daya kepimpinan yang tinggi.

    Katanya, dua pelajar dari Singapura turut menerima biasiswa daripada YSD untuk menyambung pengajian mereka di luar negara.

    "Sejumlah RM692,040 turut diberikan kepada 11 pelajar yang tergolong dalam kategori berpendapatan rendah serta kurang upaya yang mana dua daripada mereka alami masalah pendengaran serta kurang upaya.

    "Selebihnya, iaitu RM1.96 juta diberikan kepada 54 pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan sijil di Akademi Sime Darby dalam bidang Pertanian, Kejururawatan dan Sains Kesihatan," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan biasiswa dalam Majlis Penganugerahan Biasiswa YSD di sini, hari ini.

    Sementara itu, penerima biasiswa bagi kategori berpendapatan rendah, Asiah Abdul Rahman, 22, berkata, beliau tidak menyangka menerima biasiswa tersebut dan turut berasa gembira dengan pemberian itu.

    Asiah yang kehilangan bapanya sejak beberapa tahun lalu, kini mengikuti kursus kejururawatan di Kolej Kejururawatan Sime Darby dalam tahun kedua.

    Sementara itu, penerima biasiswa bagi kategori biasiswa cemerlang, Amirul Hakim Noor Haizat, 18, berkata, dengan pemberian biasiswa itu, beliau akan belajar dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai impiannya.

    Amirul Hakim yang mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Asasi di Universiti Cambridge pada 23 September ini.

    Seorang lagi penerima biasiswa bagi kategori sama, Diana Lim, 19, berkata, menerima biasiswa YSD adalah hadiah terbesar dalam hidupnya.

    "Saya akan melanjutkan pengajian ke Universiti Bristol pada Oktober depan dan berjanji pada keluarga akan belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan sesekali menghampakan mereka," katanya yang akan mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di universiti itu.

    Cacat fizikal tak patah semangat

    Posted: 07 Sep 2011 06:21 PM PDT


    Mohd. Fauzi Ramlan (dua dari kanan) bermesra dengan Suhazli Muhamad (tiga dari kanan) dan M. Hanif Hafizuddin (kiri) di Serdang, semalam.


    KUALA LUMPUR 7 Sept. - Kecacatan fizikal tidak pernah mematahkan semangat Suhazli Muhamad, 19, untuk bersaing dengan pelajar normal lain malah menganggap kekurangan yang dimiliki itu sebagai pemangkin dalam mencapai cita-citanya.

    Pelajar yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan dari Ketereh, Kelantan itu berhasrat untuk menerbitkan filem animasi tiga dimensi (3D) dan menjadikan impiannya itu sebagai pembakar semangat untuk realisasikannya.

    "Saya tidak pernah menyesal dilahirkan begini malah kecacatan ini menjadi pencabar kepada pelajar normal lain untuk bersaing dengan saya.

    "Saya amat meminati animasi 3D dan jurusan Sains Komputer adalah pilihan utama saya untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda," ujar anak bongsu lapan beradik itu.

    Sebelum ini, bekas pelajar jurusan Sains Fizikal, Matrikulasi Tangkak, Johor itu memperolehi purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.68 dan 7A, 4B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, Kelantan.

    "Saya akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan sekali gus mencapai cita-cita saya," katanya ketika ditemui pada Majlis Pendaftaran Pelajar Baru 2011/2012 Universiti Putra Malaysia (UPM) dekat sini, hari ini.

    Tujuh tahun lalu, Utusan Malaysia turut melaporkan kesulitan Suhazli yang terpaksa didukung oleh ibunya setiap hari untuk ke sekolah.

    Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, kemasukan pelajar program Ijazah Sarjana Muda ke UPM tahun ini menyaksikan penurunan sebanyak 695 pelajar.

    "Tahun lalu, seramai 4,326 pelajar baru mendaftar masuk berbanding 3,631 pelajar tahun ini.

    "Bagaimanapun penurunan itu berlaku kerana kami memberi tumpuan kepada program pascasiswazah yang bersesuaian dengan status UPM sebagai universiti penyelidikan," katanya.

    Pesakit ketumbuhan muka nekad cemerlang di UUM

    Posted: 07 Sep 2011 06:20 PM PDT


    Hong Siew Hui bersalaman dengan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak pada majlis pendaftaran pelajar baru di Sintok, semalam.


    KUBANG PASU 7 Sept. - Penyakit ketumbuhan pada muka yang dideritai oleh Hong Siew Hui, 23, nyata tidak memadamkan semangatnya untuk meneruskan pengajian di universiti.

    Siew Hui yang berasal dari Simpang Empat, Alor Setar merupakan antara 4,089 pelajar yang mendaftar di 15 Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini bagi meneruskan pengajian peringkat ijazah pertama.

    Malah dia yang akan mengikuti jurusan kewangan, yakin dapat bersaing dengan penuntut lain walaupun menghidap penyakit itu sejak lahir lagi.

    Akibat penyakit itu Siew Hui menderita kerana mata kirinya tidak dapat berfungsi, manakala mulut dan hidung menjadi senget.

    Katanya, dia tidak pernah menjadikan penyakit itu sebagai penghalang untuk meneruskan pengajian di menara gading bagi mencapai cita-citanya.

    "Setelah menjejakkan kaki di universiti ini, saya nekad untuk menamatkan pengajian sama seperti pelajar lain.

    ''Saya sudah bersedia untuk bersaing dengan pelajar lain biarpun terpaksa menanggung penyakit ini," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pendaftaran pelajar baru bagi sesi 2011/2012 di sini.

    Siew Hui yang merupakan anak bongsu dari empat beradik turut ditemani ibu bapanya, Goh Jit Yang, 62, dan Hong Wah, 66.

    Menurut Siew Hui, dia pernah mendapatkan rawatan penyakit itu di China pada 2006, namun belum pulih sepenuhnya dan masih menerima rawatan di hospital di sini.

    Katanya, penyakit itu boleh dipulihkan menerusi pembedahan plastik yang menelan kos sekitar RM30,000.

    ''Namun ketika ini, saya hanya mahu memberi tumpuan kepada pelajaran dan menamatkan pengajian di UUM sebelum memikirkan untuk membuat pembedahan," katanya.

    Dalam pada itu, sebanyak 4,089 pelajar yang mendaftar hari ini akan mengambil pengajian di Kolej Sastera dan Sains, Kolej Perniagaan dan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa.

    Gambar bulan lebih jelas

    Posted: 07 Sep 2011 06:18 PM PDT


    Imej yang diambil oleh LRO NASA yang dikeluarkan kelmarin merakamkan tapak roket Apollo 17 mendarat di bulan dan kesan jejak tayar kenderaan dan bekas tapak kasut yang ditinggalkan oleh angkasawan misi Apollo beberapa dekad lalu dapat dilihat dengan jelas.


    WASHINGTON 7 Sept. – Sebuah kapal angkasa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merakamkan gambar permukaan bulan yang begitu jelas sehingga menampakkan jejak tayar kenderaan dan bekas tapak kasut yang ditinggalkan oleh angkasawan misi Apollo beberapa dekad lalu.

    Tiga imej resolusi tinggi yang dipancarkan oleh Pengorbit Tinjauan Bulan (LRO) milik NASA menunjukkan butir-butir jelas tapak pendaratan di bulan bagi misi angkasa lepas Apollo 12, 14 dan 17 pada akhir 1960-an dan awal 1970-an.

    Malah imej itu mendedahkan setiap haluan jejak tayar apabila angkasawan Apollo yang meneroka permukaan bulan dengan memandu kenderaan lasak menukar arah.

    "Kami boleh menjejaki semula langkah angkasawan dengan lebih jelas untuk melihat lokasi mereka mengambil sampel permukaan bulan," kata ahli geologi bulan, Noah Petro di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard di Greenbelt, Maryland.

    Imej itu juga memperlihatkan jejak-jejak yang jelas pada permukaan bulan apabila angkasawan keluar dari modul Apollo dan meneroka dengan berjalan kaki.

    NASA berkata, visual terbaru yang menakjubkan itu dapat dirakamkan disebabkan perubahan pada orbit kamera altitud rendah yang membolehkan gambar diambil dari jarak kira-kira 21 kilometer oleh LRO.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Label

    Senarai Lagu