Ahad, 4 September 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Ahli astronomi diancam saman pertikai tarikh Aidilfitri

Posted: 04 Sep 2011 05:31 PM PDT

SEJUMLAH orang bersolat Hari Raya Aidilfitri di luar sebuah masjid di Mekah pada Selasa lalu.


JEDDAH - Sejumlah cendiakawan Islam mengancam untuk menyaman seorang ahli astronomi Arab Saudi yang juga seorang saintis, Khaled Al-Zaaq kerana meragui tarikh Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada Selasa lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Khaled sebelum ini mempertikaikan pengakuan beberapa rakyat Arab Saudi yang mengaku melihat anak bulan Syawal pada hari Isnin lalu.

Beberapa rakyat yang melihat anak bulan itu membuat penemuan tersebut kepada Jawatankuasa Melihat Bulan di Arab Saudi yang dikenali sebagai Hilal yang kemudian memutuskan Aidilfitri jatuh pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, Khaled menyatakan apa yang dilihat oleh rakyat Arab Saudi itu adalah planet Zuhal dan bukan anak bulan Syawal.

Beberapa cendiakawan mempertahankan kenyataan kumpulan orang yang melihat anak bulan itu dengan menyatakan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah tepat.

Anak bulan itu amat jelas kelihatan pada malam hari Selasa lalu.

Ia sekali gus menyokong kumpulan orang yang melihat anak bulan itu.

Sejumlah penduduk di kawasan Al-Ais menyatakan mereka melihat anak bulan itu pada Isnin lalu selama setengah jam.

Kumpulan orang yang dipilih untuk melihat anak bulan itu merupakan golongan yang berintegriti.

Mufti Besar, Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah Al-Asheikh semasa membacakan khutbah Jumaat lalu di Masjid Imam Turki bin Abdullah di Riyadh menyatakan, ahli astronomi yang mempertikaikan anak bulan tersebut cuba untuk memaksakan pandangan mereka ke atas rakyat.

"Kami mengikuti ajaran Sunah Nabi kita dengan kuat semasa menentukan puasa dan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Bekas hamba seks akan saman lelaki lacurkannya

Posted: 04 Sep 2011 05:29 PM PDT

JETSADOPHORN CHALADONE


SYDNEY - Seorang wanita Thailand yang pernah menjadi hamba seks semasa dia berumur 13 tahun, Jetsadophorn Chaladone berhasrat untuk menyaman seorang lelaki Sydney yang bertanggungjawab melacurkannya di rumah pelacuran miliknya pada 1995, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia diseludup untuk bekerja di sebuah rumah pelacuran dan dipaksa melakukan hubungan seks dengan lebih 100 lelaki.

Selepas 10 hari, dia ditangkap dalam satu serbuan pihak imigresen dan diusir pulang.

Kini dengan bantuan bekas detektif polis Australia, Chris Payne dan seorang pembikin filem, Luigi Acquisto, wanita tersebut merancang untuk menyaman pengendali rumah pelacuran tersebut.

Miley Cyrus kelihatan lebih muda

Posted: 04 Sep 2011 05:29 PM PDT

GAMBAR Miley Cyrus (kanan) bersama
rakan-rakannya dalam parti Jen Talarico
disiarkan di laman Twitter.


LOS ANGELES - Penyanyi remaja, Miley Cyrus kelihatan lebih muda daripada umurnya yang berusia 18 tahun semasa dia bergambar dengan rakan-rakannya pada satu parti seorang rakannya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Dia menyiarkan gambarnya itu yang dirakamkan bersama rakan-rakannya yang lain di laman Twitter.

Cyrus yang berlakon dalam filem Hannah Montana berkata dalam mesejnya kepada dua juta peminatnya di laman Twitter bahawa dia bergambar dengan seorang rakannya yang bakal menjadi pengantin, Jen Talarico.

Talarico merupakan penari sokongannya di pentas.

Sebelum ini, Jen mengesahkan bahawa Cyrus akan menjadi pengapitnya.

Mesin tiket untuk para pelacur

Posted: 04 Sep 2011 05:28 PM PDT


SEBUAH mesin tiket untuk para pelacur disediakan di tepi sebatang jalan raya di Bonn, barat Jerman pada 29 Ogos lalu.


BONN - Para pelacur di bandar ini di Jerman dikehendaki membawa tiket yang dibeli dari sebuah mesin meter semasa mereka bekerja.

Mesin meter itu kelihatan sama seperti meter tempat meletak kereta.

Jika para pelacur itu tidak membeli tiket tersebut, mereka akan dikenakan denda.

Di Jerman, para pelacur perlu membayar cukai pendapatan.

Kira-kira 200 pelacur dianggarkan bekerja di bandar ini.

"Terima kasih dengan kaedah ini. Kami mampu untuk mengenakan cukai terhadap pelacur dengan penuh keadilan sama seperti orang lain," kata jurucakap pentadbiran bandar ini, Isabelle Klotz.

Trend baharu fotografi guna lampu picit

Posted: 04 Sep 2011 05:27 PM PDT


ANTARA gambar yang disiarkan dalam laman Darren Pearson-Home di Internet dengan menggunakan lampu picit.


SAN DIEGO, Amerika Syarikat (AS) - Seorang artis dari sini, Darren Pearson menghasilkan fotografi dengan menggunakan lampu picit kecil.

Lampu itu digerakkan supaya ia boleh menghasilkan bentuk haiwan seperti dinosaur dan objek-objek lain.

Trend tersebut popular dalam kalangan jurugambar muda sehingga Pearson turut mempunyai blognya tersendiri bagi membincangkan teknik fotografi itu di laman Darren Pearson-Home.

Antara laman yang membincangkan teknik itu ialah thelightpainters.com.

Darren juga mengajar teknik tersebut di laman YouTube.

Liputan dari zon perang

Posted: 04 Sep 2011 05:26 PM PDT



SEBAGAI seorang pengamal media, Shahanaaz Habib tidak pernah rasa berat jika beliau ditugaskan ke mana sahaja destinasi waima ke zon perang sekalipun. Shahanaaz dari akhbar The Star, sememangnya dikenali sebagai wartawan yang berkaliber dan tidak gentar berdepan dengan sebarang cabaran tugasan.

Shahanaaz telah melakar sejarah tersendiri. Beliau tercatat sebagai wartawan Malaysia pertama yang dapat melepasi dan membuat liputan semasa Perang Iraq pada April 2003 dan kembali semula ke wilayah konflik itu pada November 2003.

Lantaran dilontarkan persoalan tentang respons saat diminta untuk bertugas pada bulan Ramadan dan sewaktu berhari raya di perantauan, jawab Shahanaaz:

"Wartawan mana yang rasa berat bila bertugas? Semua ini adalah sebahagian daripada profesion kita."

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu menyimpan pelbagai momen bermakna ketika bertugas di Pakistan bersama jurufoto, Ibrahim Mohtar, pada Oktober 2005 iaitu ketika negara itu dilanda gempa bumi.

Pelbagai kisah yang tidak pernah renggang daripada ingatannya ketika bertugas seorang diri di Iraq pada November 2003. Beliau bukan sahaja berpuasa di sana bahkan sempat meraikan Aidilfitri dengan suasana yang sangat berlainan.

"Semasa Amerika Syarikat (AS) mula melancarkan serangan ke atas Iraq pada Mac 2003, saya ditugaskan ke sana.

"Jadi, saya ingin buat susulan mengenai apa yang berubah selepas itu, pastinya cerita akan lebih menarik pada bulan Ramadan kerana selepas Baghdad jatuh, berlaku ketegangan yang jelas antara Muslim Iraq fahaman Sunni dengan Syiah," cerita wartawan kanan itu.

Sahur dalam kereta


BUKAN calang-calang jurufoto yang berupaya menghasilkan gambar seperti ini.


Pelbagai pengalaman dikutip Shahanaaz sepanjang kembara tugasannya. Sewaktu di Iraq, beliau ditemani oleh seorang pemandu dan penterjemah semasa merentas muka buminya dalam suhu antara 10 hingga 15 darjah Celcius.

"Saya agak terkejut melihat pemandu dan penterjemah saya tak berpuasa. Saya sangkakan Iraq adalah negara Islam.

"Kebebasan adalah sesuatu yang baharu bagi masyarakat Iraq. Mereka tak mahu dikongkong dan mahu kebebasan, maka salah satunya ialah dengan tak berpuasa. Namun, masih ramai juga yang patuh pada tuntutan Islam itu," katanya.

Pandangan Shahanaaz di Iraq juga sering dijamu dengan peristiwa unik.

"Sebaik saja waktu azan, selepas makan kurma, orang Iraq akan sembahyang di merata tempat, tak kira di luar restoran, tepi jalan, mereka tidak tunggu di surau, masjid atau tempat tertutup, mereka solat di mana-mana," ujarnya yang turut membawa abaya dan telefon satelit ketika bertugas.

Sementara itu, di Pakistan, Shahanaaz melihat rakyat Pakistan pasrah dengan nasib yang menimpa mereka. Mereka makan apa sahaja yang dibekalkan di kem yang hanya diterangi lampu minyak tanah dan lilin.

"Sememangnya pada hari-hari awal tiada hotel di sekitar Muzaffarabad dan Kashmir. Kami bermalam dalam kereta pacuan empat roda (saiz besar) pada malam pertama dan kedua.

"Untuk buka puasa dan sahur, kami bawa bekalan seperti roti, biskut, buah-buahan dan makan dalam kereta," imbasnya yang banyak menyaksikan keruntuhan masjid di sana.

Raya yang mengelirukan


BAZUKI mengabdikan kenangan bergambar dengan sebuah keluarga di Afghanistan.


Aidilfitri yang disambut oleh Shahanaaz pada tahun 2003 di Iraq terisi dengan penuh kekeliruan.

Ketika itu, terdapat tiga pihak menyambut hari raya pada tiga hari berbeza. Puak Sunni menyambut raya pertama pada 24 November 2003, puak Syiah (25 November 2005) sementara puak Syiah yang mengikuti fahaman Ayatollah Sistani pula pada 26 November 2003.

Jadi, bagaimana dengan pendirian wartawan itu? "Saya bingung dan tidak tahu mana satu nak ikut, jadi saya ikut tarikh sambutan di Malaysia iaitu 25 November."

Namun, pada ambang Aidilfitri ketika itu, Shahanaaz melalu satu peristiwa yang tidak mampu dilupakannya seumur hidup.

Kunjungannya ke sebuah hospital di Tikrit telah menemukannya dengan seorang bapa yang hiba membawa pulang mayat anak dan anak buahnya yang berumur enam tahun.

"Lelaki itu memberitahu, anak dan anak buahnya itu sangat gembira menyambut hari raya dan telah memakai baju baharu, tapi bom jatuh dan meletup di rumahnya," cerita Shahanaaz yang sangat pilu dengan penemuan itu.

Bertugas di Afghanistan


MANGSA gempa berusaha untuk keluar dari kawasan bencana ke tempat yang lebih selamat.


Seperti Shahanaaz, wartawan foto agensi antarabangsa, Reuters, Bazuki Muhammad, 46, telah melalui siri pengalaman bernilai ketika beberapa kali ditugaskan ke luar negara.

Paling terkesan di sanubari graduan Louisiana State University itu adalah ketika membuat liputan di bumi bergolak, Afghanistan pada tahun 2002. Ketika itu, negara yang di bawah pemerintahan Presiden Hamid Karzai tersebut masih dihimpit krisis perang saudara dan ancaman pergerakan pengganas Taliban.

"Saya tak menolak. Sebagai pengamal media, saya harus bersedia pada bila-bila masa. Isteri saya okey (tentang keputusan untuk pergi) tapi mak saya sedikit risau," ujarnya saat ditanya reaksinya ketika mula-mula menerima tugasan itu.

Cerita Bazuki yang sudah berkhidmat selama 12 tahun di Reuters, selama kira-kira tiga bulan di negara berlandskap gunung-ganang itu, telinganya sering terdengar bunyi letupan di sekitar bandar Kabul dan di pekan kecil, Baghram.

"Setiap letupan itu menandakan ada kematian yang perlu diratapi. Lazimnya, ia terjadi di pasar.

"Letupan pertama hanyalah muslihat untuk mengumpulkan orang untuk datang melihat. Itu bermakna, lebih ramai yang akan menjadi mangsa apabila letupan kedua menyusul," katanya sambil memberitahu, beliau ditemani oleh seorang penterjemah tempatan bernama Ahmad Masood.

Didatangi Taliban


APAKAH yang tersirat di sebalik foto hasil bidikan Bazuki di Afghanistan beberapa tahun lalu?


Antara Bazuki dan Ahmad Masood terkait banyak kisah. Antaranya ialah kisah sahurnya.

"Lelaki Afghanistan itu tanya, sajian apa yang ingin dimakan ketika sahur. Saya jawab, saya makan apa saja yang dia makan. Kemudian, dia hidangkan saya nasi dengan pinggan yang besar.

"Saya fikir lauknya ada di sebalik timbunan nasi itu, tapi ia hanyalah nasi semata-mata. Kemudian, saya pergi ke pondoknya dan mendapati sememangnya saya makan apa yang dia makan," imbasnya yang terkesan dengan kejadian itu.

Setelah beberapa hari di sana, Bazuki baharu menyedari makanan di Afghanistan sangat mahal. Dengan wang yang bernilai AS$10 (RM30), penterjemahnya hanya mampu membeli sajian berupa kebab bersaiz kecil.

Atmosfera Afghanistan signifikan dengan kengerian. Negara itu juga sinonim dengan kedaifan, kematian dan masih dibelenggu dengan berita-berita kemusnahan.

Pada Ramadan yang penuh barakah, keadaan itu tetap serupa. Tentera berserban dan berwajah serius terus berkawal di segenap sudut. Suasana jalan rayanya hanya sesekali dilintasi kenderaan. Hendak melihat bazar Ramadan seperti di Malaysia, jauh sekali!

Meskipun pada musim dingin, angin sejuk bagaikan menusuk ke tulang, Bazuki melihat kanak-kanak Afghanistan tetap bersemangat meneruskan persekolahan di dataran terbuka dan tidak berdinding.

Namun, ada satu perkara yang membuatkan Bazuki tersentuh. Alunan merdu ayat-ayat suci al-Quran yang memecah keheningan kota Kabul yang suram itu membuat beliau terlupa seketika tentang ancaman dan ketakutan.


KATA Bazuki, beliau teringin terbang semula ke Afghanistan sekiranya dia diberi peluang.


"Pernah juga, seorang yang saya syak sebagai Taliban menghampiri saya sambil memegang senjata. Dia bertanya sama ada saya Muslim atau bukan, saya jawab ya.

"Untuk membuktikannya, saya membaca al-Fatihah dan dia terus memeluk saya dan berkata, awak adalah saudara saya," kata Bazuki sambil mengaku dia agak cemas saat itu.

Pengorbanan

Sesungguhnya, untuk membawa berita merentas dunia untuk tatapan masyarakat seperti yang dilakukan oleh Shahanaaz dan Bazuki bukan mudah seperti yang dilihat.

Tiada harga yang mampu membeli pengalaman sebegitu. Bagi Shahanaaz dan Bazuki, semuanya dilakukan demi komitmen dan cinta terhadap tugas. Pada masa yang sama, soal hidup atau mati diserahkan kepada Allah.

Kedua-duanya banyak berkorban. Seperti kata Shahanaaz: "Saya tak telefon keluarga, cuma hantar pesanan teks ucapan hari raya sebab saya mahu tumpukan perhatian pada tugas. Mujur keluarga amat memahami saya."

Bagi Bazuki pula, bayangan kanak-kanak, wanita dan golongan tua Afghanistan sentiasa berlegar-legar di fikirannya tidak kira waktu.

Ada satu perkara yang lebih istimewa juga telah terjadi kepada penterjemah Bazuki, Ahmad Masood. Lelaki itu kini ialah jurufoto rasmi Reuters di Afghanistan.

"Dia cakap nak jadi jurufoto, sepanjang di sana, saya mengajarnya guna kamera," ujarnya yang masih berhubung dengan Ahmad Masood.

Kata Bazuki: "Jika ada peluang saya pasti akan ke sana lagi, di sebalik kekacauan di Afghanistan, saya melihat ia sebenarnya berupaya mengajar manusia belajar erti hidup. Sesungguhnya, pada pandangan peribadi saya, Afghanistan sebenarnya lebih menarik dari Disneyland."

Tradisi memberi duit raya

Posted: 04 Sep 2011 05:24 PM PDT


SAMA ada di kediaman sendiri, rumah yang dilawati ataupun dalam majlis anjuran badan-badan korporat, kanak-kanak semestinya menjadi golongan yang paling gembira kerana mendapat duit raya daripada tuan rumah. - Gambar hiasan


KANAK-KANAK yang berkunjung ke rumah sanak saudara, rakan dan rumah terbuka tentu seronok bila menerima duit raya yang dihulurkan oleh tuan rumah.

Ada yang bersampul dan ada yang diberi begitu saja, sama ada duit syiling atau kepingan duit kertas baharu.

Bermacam-macam rupa dan warna sampul duit raya yang dikeluarkan sejak ia diamalkan masyarakat negara ini. Ada yang diberi percuma oleh bank, institusi perniagaan, hipermarket dan badan korporat malah turut dijual di kedai alat tulis.

"Saya hanya memberikan duit raya kepada mereka yang berumur 15 tahun ke bawah. Amaunnya sama saja baik anak kawan maupun anak saudara," kata Muhammad Nazri dari Sarawak.

Nazri menganggap pemberian duit raya itu terbit daripada rasa keikhlasan.

"Kita bagi bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa. Bukan untuk menunjuk-nunjuk," jawabnya bila ditanya tentang bajet duit raya.

Sabariah Abdul Rashid, yang berasal dari Kedah pula lebih cenderung memberi duit raya mengikut keakraban hubungan.

"Kalau keluarga, bajet kita lebih sikit tapi kalau anak-anak muda yang datang tanpa dikenali, kita tetap terima mereka. Mungkin amaun duit raya buat mereka tak sebanyak yang diberikan kepada anak-anak buah sendiri.


PELBAGAI sampul duit raya kini dijual, termasuk yang kelihatan seperti wang kertas betul. - Gambar hiasan


"Saya berpegang kepada prinsip anak-anak buah yang belum bekerja juga masih di bawah tanggungan ibu bapa dan saudara. Jadi tak salah kalau kita bagi mereka duit raya," kata Sabariah.

Bukan soal umur

Beberapa orang pelajar di institut pengajian tinggi turut ditanya pandangan mereka mengenai duit raya. Adakah mereka masih mengharapkan diberi duit raya?

Nur Farah Syakila Jasmy menjawab: "Umur bukanlah faktor utama. Lebih bergantung kepada si pemberi atau tuan rumah yang kita ziarahi."

Remaja berusia 18 tahun itu masih berharap dirinya akan 'dipertimbangkan' untuk diberi duit raya lagi pada tahun ini. Ini kali pertama Nur Farah berjauhan daripada keluarga dan belajar hidup sendiri di asrama universiti.

Teman sekuliahnya, Azhif Ezzudin bersetuju dengan pandangan Nur Farah.

"Kenangan saya yang termanis ialah ketika jumlah pengumpulan duit raya saya mencecah lebih RM1,000. Tetapi ada juga yang menyedihkan, iaitu bila duit raya zaman kecil dulu, emak gunakan untuk membayar bil," ujar Azhif berjenaka.

Ada juga yang berpendapat, selagi mereka belum berkahwin, mereka boleh diberi duit raya.

Rosli Johnny, 64, berkata, amalan memberi duit raya di dalam sampul duit dipengaruhi oleh budaya pemberian Hong Pao atau dikenali sebagai angpau masyarakat Cina semasa menyambut Tahun Baru Cina.

"Seingat saya, amalan sebegini diambil daripada tradisi warga Cina sempena tahun baru mereka. Biasanya untuk orang Islam, ia lebih kepada suatu sedekah," kata Rosli.

Nuraina Suryani Ruslan pula berpandangan bahawa duit raya sesuai diberikan kepada mereka yang belum bekerja, dan sudah pasti dia seronok jika masih diberi duit raya walaupun jumlahnya kecil.

"Saya setuju jika kesederhanaan dijadikan panduan. Ia juga bergantung kepada ekonomi tuan rumah," katanya.

Usah menunjuk


DUIT raya yang diterima perlulah ditabung atau dibelanjakan untuk sesuatu yang berfaedah. - Gambar hiasan


Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, duit raya boleh disamakan dengan sedekah atau sumbangan kepada yang memerlukan.

"Janganlah kita memberikan duit raya itu semata-mata untuk menunjuk. Duit raya yang diberikan juga perlu berpatutan dengan kemampuan orang yang memberi," katanya.

Tunku Azwil berkata orang yang hendak memberikan duit raya mestilah tidak rasa tertekan dengan tanggungjawab sosial dan persekitaran.

Kalau diikutkan tuntutan agama Islam, ia tidak lebih daripada satu sedekah yang sepatutnya diberikan pada bila-bila masa.

Beliau menasihatkan mereka yang menerima duit raya supaya membelanjakannya dengan baik atau menabung, daripada membazir membeli sesuatu yang tidak berfaedah.

Seorang pegawai cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata, ramai yang telah datang dan sanggup beratur menukar wang baharu di kaunter bank itu untuk dijadikan duit raya.

"Mereka berbuat demikian sejak 22 Ogos lalu," katanya.

Biasanya ia berterusan untuk beberapa hari sehingga stok duit baharu habis.

Seorang pegawai di Bank Al-Rajhi, cawangan Subang Jaya berkata, banyak bank yang menyediakan kemudahan kaunter tukaran duit baharu kerana menjangkakan ramai yang akan datang terutama dalam seminggu terakhir menjelang hari raya.

Disiplin pemakanan, senaman

Posted: 04 Sep 2011 05:23 PM PDT



LIMA tahun lalu, Jennifer Hudson, 30, menggemparkan persada Hollywood dengan kecemerlangan lakonannya menerusi filem muzikal, Dreamgirls. Filem arahan Bill Condon yang menggandingkan Jennifer bersama Beyonce Knowles itu, berjaya menonjolkan bakat Jennifer yang bukan saja memiliki vokal yang memukau malah mempamerkan lakonan berkesan.

Namun, pada bulan Januari tahun ini, nama pelakon kulit hitam manis itu sekali lagi mengejutkan dunia apabila menghiasi media hiburan antarabangsa dengan sosok badan yang langsing.

Biarpun enggan mendedahkan jumlah penurunan berat badan yang sebenar, namun pelbagai pihak memuji imej baharu ibu beranak satu itu. Jika sebelum ini, wanita kelahiran Chicago, Amerika Syarikat (AS) berkenaan tergolong dalam kelompok selebriti berbadan gempal atau XXXL tetapi kini tidak lagi.

Duta kepada Weight Watchers iaitu sebuah syarikat yang menawarkan seleksi produk dan rundingan diet di Amerika Syarikat itu, sudah mula menggayakan dres mengikut potongan badan dan bersaiz 0. Berbanding pakaian saiz 16 yang pernah disarungkannya sejak menuntut di sekolah menengah.


SEJAK tampil kurus, Kelly bukan saja semakin galak berfesyen malah, dia mendapat perhatian pelbagai jenama pakaian.


"Saya kelihatan lebih muda dan segar. Penampilan terbaharu ini jauh berbeza dengan imej saya semasa belajar di sekolah tinggi. Ternyata proses menurunkan berat badan merupakan tugasan dan detik yang paling mencabar. Selain ketahanan mental dan fizikal, saya perlu berdisiplin soal senaman dan pemakanan yang ideal.

"Namun, hari demi hari saya semakin seronok berdiet dan bersenam. Apatah lagi bertuah mendapat bimbingan jurulatih peribadi, Harley Pasternak. Saya dapati sejak badan semakin mengecil stamina nyanyian bertambah baik. Sebab itu, bagi memastikan badan 'cantik' ini kekal lama saya sentiasa mengamalkan aktiviti yang menyihatkan terutamanya bersukan," terang bekas American Idol musim ketiga berkenaan.

Bantuan buah epal

Sementara itu bagi Kelly Michelle Lee Osbourne, 27, impian untuk kurus tidak pernah tercatat dalam kamus hidupnya memandangkan sejak kecil dia tidak pernah mendapat dorongan ataupun kata-kata semangat daripada orang sekeliling supaya menurunkan berat badan.

Bertambah malang, penyanyi berkenaan turut menjadi bahan cacian kelompok media yang lebih gemar mempersenda bentuk badannya daripada hadir memberi sokongan.

Lagipun sebahagian besar kehidupannya sebelum ini, bergelumang dengan masalah penagihan dadah.

"Sepanjang bergelar anak seni, pihak media lebih 'selesa' menghentam bentuk badan saya. Tetapi segala-segalanya berubah selepas keluar dari pusat pemulihan dadah, tiga tahun lepas. Enggan kembali pada dunia hitam, saya dengan hati terbuka menerima pelawaan menyertai pertandingan tarian, Dancing With the Stars.

"Bertitik tolak daripada pertandingan berkenaan saya mendapati perubahan bentuk badan yang menakjubkan. Pada mulanya, kekerapan berlatih menari, berat badan saya semakin susut sehingga turun lima kilogram dalam tempoh dua minggu. Namun, perubahan itu tidak bertahan lama. Berat badan saya naik secara mendadak. Ia berlaku disebabkan tabiat pemakanan yang tidak seimbang. Lazimnya, selepas sesi latihan tarian, perut mula terasa lapar sehingga saya cenderung menikmati makanan ringan, piza dan kentang goreng," luah Kelly yang menyifatkan amalan pemakanan itu telah menyebabkan badannya menjadi tidak bermaya dan keletihan.


BERBEZA. Susuk tubuh Rani yang semakin langsing berkat senaman di gim dan latihan yoga.


Ekoran daripada itu, anak kepada pasangan Ozzy dan Sharon Osbourne, kembali menjalani kehidupan yang lebih sihat dan positif. Langkah permulaan dia memperbanyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam rejim diet harian.

Selain itu, dia yang baru saja selesai menjalani kempen iklan koleksi Material Girl, kepunyaan selebriti popular Madonna, turut melatih diri supaya tidak menjamah makanan selepas pukul 8 malam. Jika lapar sekalipun sebelum tidur Kelly akan menikmati sebiji epal merah sebagai alas perut.

Tambah penggemar fesyen vintaj itu, dia turut mendaftarkan diri bersama teman di gim dan menyertai kelas pilates. Setakat ini, saya telah kehilangan sebanyak 22 kilogram dan paling menggembirakan saya boleh menyarungkan pakaian bersaiz S serta tidak malu berbikini.

Kareena tolak daging


JENNIFER kini mampu memperagakan pakaian saiz S, hasil program diet kendalian Weight Watchers.


Dalam pada itu, pelakon gred A di industri Bollywood, Kareena Kapoor, mampu tersenyum puas apabila usahanya selama setahun menurunkan berat badan menampakkan hasil. Bayangkan, dalam tempoh berkenaan adik kepada pelakon Karisma Kapoor itu, langsung tidak menjamah karbohidrat seperti nasi dan roti canai.

Malah, pelakon utama Kurbaan itu turut meninggalkan tabiat memakan daging kerana menyifatkan daging antara makanan yang menyebabkan berat badannya bertambah secara mendadak. Nampaknya, pantang larang itu menjadi kerana Kareena yang mesra disapa Bebo berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 12 kilogram.

Kini kekasih kepada pelakon Saif Ali Khan berkenaan berbangga menjalani kehidupan peribadi dan karier dengan berat badan 48 kilogram.

"Sebelum ini saya merupakan peminat tegar daging dan karbohidrat memandangkan makanan ini antara makanan ruji keluarga saya. Tetapi, hari ini pola pemakanan saya hanya pada sayur-sayuran dan minum banyak air masak serta jus buah-buahan tanpa gula.

"Sejak menjadi vegetarian tubuh badan saya semakin sihat, cergas dan langsing. Namun, tak dinafikan ada suara-suara sumbang yang mengecam saya mengalami masalah aneroksia sehingga berita itu membimbangkan keluarga saya," tambah Kareena yang obses pada penggaris mata dan pelembap bibir.

Rani amalkan yoga


TEMPOH setahun berdiet, Kareena berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram.


Pelakon popular Bollywood Rani Mukherjee, 33, antara selebriti yang turut mengalami transformasi bentuk badan. Anak kelahiran Mumbai, India yang mencipta populariti menerusi filem Kuch Kuch Hota Hai bersama Shah Rukh Khan dan Kajol, sebelum ini merupakan pembeli setia pakaian bersaiz L dan M.

"Sejak muncul dalam filem Kuch Kuch Hota Hai, saya menerima kritikan tentang tubuh badan yang berisi berbanding lakonan. Pada mulanya, saya tak menghiraukan sebarang kata-kata sinis tetapi, lama-kelamaan ia mendorong agar saya berubah.

"Lantas saya mengambil keputusan untuk menurunkan berat badan. Namun, saya tidak mengimpikan hasil yang drastik, berkurangan antara dua kilogram dalam tempoh sebulan juga sudah memadai," tutur pelakon Hum Tum dan Paheli yang mula mengurangkan pengambilan makanan yang berminyak dan bergoreng.

Bagi memastikan dia mengamalkan diet seimbang dan tidak menjejaskan kesihatan tubuh badannya, maka Rani yang memiliki suara serak-serak basah itu mendapatkan tip daripada doktor pemakanan.

Selain itu, sepupu kepada pelakon Kajol tersebut turut mengamalkan yoga yang dirasakan baik untuk membantu membina ketahanan minda dan fizikal. Selain itu, dia juga melakukan aktiviti senaman di gim sebanyak tiga kali seminggu.

"Sebelum ini, saya fikir untuk kurus hanya perlu diet dan berpantang makan karbohidrat dan minyak. Padahal, memiliki bentuk badan yang langsing memerlukan kita menggabungkan pengambilan pemakanan yang betul dan senaman secara sistematik," tutur Rani yang pernah memenangi Aktres Terbaik pada Anugerah Filmfare yang ke-50.

Pesona tudung polos

Posted: 04 Sep 2011 05:22 PM PDT


GAYA funky remaja terserlah dengan padanan tudung polos rona hijau bersama selendang polka dot.


TREND fesyen bertudung di Malaysia pada hari ini nampaknya semakin menunjukkan peningkatan yang positif. Kini rangkaian butik mahupun kios yang menjual tudung tidak hanya terhad pada penjualan tudung bawal pelbagai gred. Sebaliknya, masing-masing semakin berlumba-lumba menawarkan koleksi tudung pelbagai jenis, material, warna dan corak.

Situasi tersebut diakui oleh perunding imej dan pensyarah fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Faizal Hamid, yang melihat fenomena penjualan tudung hampir setaraf dengan industri fesyen aksesori, sepatu dan pakaian.

"Secara tidak langsung, ia membuktikan golongan wanita bertudung kini semakin bijak bergaya dan memiliki cita rasa fesyen yang baik. Mereka semakin berani mencuba pembaharuan tetapi pada masa yang sama mengekalkan imej muslimah.

"Disebabkan itu, jika diperhatikan fesyen tudung juga mempunyai gelombangnya sendiri. Wanita bertudung tidak lagi terhad pada pemakaian tudung bawal semata-mata sebaliknya, semakin menyerlah dengan tudung siap pakai yang diperbuat daripada kain likra, selendang satin, selendang kain kapas dan yang paling terbaharu selendang panjang bercorak serta berwarna terang," jelas Faizal kepada Stailo yang menyarankan agar kelompok remaja bertudung sentiasa tampil dengan imej segar dan berwarna-warni.


DUA lapisan tudung siap pakai nuansa hitam dan merah yang semakin popular pada hari ini.


Tambah Faizal, selendang warna terang yang semakin popular antara item fesyen yang wajib dimiliki oleh wanita bertudung khususnya golongan remaja. Namun begitu, remaja perlu meneliti sewaktu memilih selendang bercorak dan berwarna. Ia perlu bersesuaian dengan personaliti, lokasi dan majlis yang dihadiri. Paling penting elakkan penampilan kelihatan seperti badut atau mangsa fesyen.

Sebagai contoh, jangan sesekali memadankan, selendang bercorak bersama pakaian yang bermotif bunga atau bercorak abstrak. Tindakan sedemikian akan menyebabkan penampilan kelihatan sarat dan mengundang pandangan kurang selesa daripada orang sekeliling.

"Tidak dinafikan selendang bercorak menyuntik mood ceria kepada individu, namun jika tersalah percaturan ia menyebabkan anda berasa kurang selesa. Kepada mereka yang gemar memakai selendang bercorak pastikan tudung ini dipakai bersama baju polos.

"Selain itu, selendang bercorak cocok digayakan bersama tudung siap pakai konsep polos. Memakai dua lapis tudung berlainan konsep membantu menampakkan penampilan yang menawan. Biasanya selepas menyarungkan tudung siap pakai jenis polos, wanita boleh melilit selendang bercorak di bahagian atas kepala," terang Faizal mengenai trend remaja yang gemar memakai tudung polos bersama selendang bercorak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu