Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Tulang kuda, pedati 3,000 tahun ditemui
- Polis sembunyi dalam belukar untuk tangkap pemandu laju
- Menara untuk pengunjung tak takut gayat
- Kapal terbaharu Tentera Laut Diraja Britain
- Terowong dijadikan tempat berlumba kereta mewah
- Libya ada Presiden baharu dalam tempoh 20 bulan
- Jolie belanja RM6,253 dalam tempoh 15 minit
- karpet pelengkap kekemasan lantai
- Wajar cuci tiga bulan sekali
- Kehidupan minoriti Islam di Ho Chi Minh City
- Jamu selera dengan landak laut
- Doa dalam minyak wangi
- Pesta Terengganu di Menara KL
- Jiwa patriotik wataniah
| Tulang kuda, pedati 3,000 tahun ditemui Posted: 02 Sep 2011 10:21 PM PDT
LUOYANG, China – Beberapa ahli arkeologi telah menemui rangka tulang kuda dan pedati kayu di sebuah makam Dinasti Zhou di sini, lapor sebuah akhbar semalam. Usia rangka tulang kuda dan pedati itu dipercayai hampir 3,000 tahun. Sebanyak lima pedati kayu dan 12 rangka tulang ditemui di dalam makam tersebut. Ahli-ahli arkeologi percaya makam itu milik seorang pegawai terkenal pada zaman itu. | ||||||
| Polis sembunyi dalam belukar untuk tangkap pemandu laju Posted: 02 Sep 2011 10:19 PM PDT GAMBAR dalam bulatan menunjukkan lokasi persembunyian anggota-anggota polis di Dollar, Scotland pada 17 Ogos lalu. DOLLAR, Scotland – Beberapa anggota polis bersembunyi di dalam belukar di sini untuk menahan pemandu yang memandu kereta dengan laju, lapor sebuah akhbar semalam. Taktik itu tidak menyalahi undang-undang kerana mereka tidak menggunakan alat pengesan kelajuan yang perlu dilihat orang ramai. Anggota-anggota polis itu akan menahan kereta yang dipandu laju dengan serta-merta di lokasi tersebut. Perbuatan anggota-anggota polis itu dirakamkan oleh seorang penduduk tempatan, Mike Day. Namun, beberapa pengkritik berkata, tindakan polis itu akan menyebabkan pemandu menekan brek dengan tiba-tiba kerana mereka melihat anggota-anggota polis tersebut keluar dari belukar. | ||||||
| Menara untuk pengunjung tak takut gayat Posted: 02 Sep 2011 10:18 PM PDT BEBERAPA orang berdiri di atas lantai kaca di Menara Blackpool, Britain baru-baru ini. BLACKPOOL, Britain – Sebuah menara berusia 118 tahun diubah suai apabila kaca diletakkan di lantai untuk membolehkan para pengunjung melihat pemandangan bangunan di bawah mereka, lapor sebuah akhbar semalam. Menara Blackpool itu mempunyai ruang yang dikenali sebagai Skywalk pada ketinggian 115.82 meter. Para pengunjung perlu menaiki lif untuk tiba di lantai seberat 4.15 tan. Kaca itu turut diletakkan di bahagian bumbung. | ||||||
| Kapal terbaharu Tentera Laut Diraja Britain Posted: 02 Sep 2011 10:18 PM PDT KAPAL terbaharu Tentera Laut Diraja Britain belayar ke Portsmouth kelmarin. LONDON – Sebuah kapal Tentera Laut Diraja Britain belayar ke Portsmouth kelmarin dengan menggunakan teknologi terbaharu, lapor sebuah akhbar kelmarin. Kapal HMS Dragon itu dilengkapi dengan sistem pertahanan peluru berpandu selain mampu menangkis serangan jet-jet pejuang. Ia kini ditempatkan di sebuah pangkalan di Portsmouth. Kapal itu dilancarkan pada November 2008 dari Dermaga Govan di Scotland. Sejak itu, kapal tersebut melakukan satu siri ujian di perairan Scotland. Kapal itu yang berada dalam kelas pemusnah 45 memiliki panjang 152 meter dengan kelajuan maksimum 27 knots serta 190 kru selain berat 7,500 tan. Ia yang dibina oleh syarikat BAE Systems mempunyai kemampuan untuk menentang ancaman terbesar daripada jet-jet pejuang dan peluru berpandu. Kapal itu kini sudah diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Britain. | ||||||
| Terowong dijadikan tempat berlumba kereta mewah Posted: 02 Sep 2011 10:17 PM PDT TEROWONG Hindhead di Surrey, England menjadi tumpuan golongan muda memandu laju dengan menggunakan kereta sport mewah. HINDHEAD – Sebuah terowong sejauh 2.09 kilometer di selatan England di sini menjadi tumpuan golongan muda untuk memandu kereta sport mewah pada kelajuan tinggi, lapor sebuah akhbar semalam. Golongan muda itu memandu kereta Lamborghini, Ferrari dan Aston Martin untuk mencipta rekod mereka sendiri semasa memandu laju di terowong tersebut. Terowong itu bernilai £370 juta (RM1.7 bilion) dan ia digunakan untuk kereta dan lori yang bergerak di antara London dengan kawasan Pantai Selatan. Beberapa laporan menyatakan bahawa terdapat beberapa kereta yang dipandu dengan laju dan membelok di sekitar bulatan dekat sebuah sekolah rendah. Aksi pemandu kereta itu boleh ditonton di laman YouTube. Terowong itu dibuka pada 29 Julai lalu. Seorang penduduk, William Broadhurst, 66, yang tinggal beberapa meter dari terowong itu menyatakan perbuatan pemandu yang tidak bertimbang rasa telah menyebabkan penduduk sukar tidur pada waktu malam. Dia bimbang kematian akan berlaku di terowong tersebut ekoran tindakan para pemandu berkenaan. | ||||||
| Libya ada Presiden baharu dalam tempoh 20 bulan Posted: 02 Sep 2011 10:16 PM PDT SEORANG anggota penentang Muammar Gaddafi mengawal satu pusat pemeriksaan dekat sebuah lapangan terbang di Tripoli kelmarin. LONDON – Libya akan mempunyai Presiden baharu bagi mentadbir negara itu selepas pilihan raya Presiden dan parlimen diadakan pada awal 2013. Pendedahan itu dibuat oleh seorang wakil Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang kini sebuah badan yang mentadbir Libya setelah rejim Muammar Gaddafi tumbang. "Kita mempunyai pelan jalan yang jelas, satu era peralihan kira-kira 20 bulan," kata wakil NTC itu, Guma al-Gamaty kepada stesen penyiaran BBC di Britain. Menurutnya, proses peralihan kuasa sedang berjalan dan pihak kepimpinan NTC akan menyelesaikan perpindahan mereka ke Tripoli dalam tempoh beberapa hari. Dia berkata, satu majlis akan ditugaskan untuk merangka perlembagaan Libya sebelum pilihan raya tersebut diadakan. Sementara itu, para pemimpin sementara Libya mendesak supaya pengikut-pengikut Gaddafi supaya meninggalkan Tripoli dan pulang ke kampung masing-masing. Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Ahmed Darrad semalam. "Tripoli kini bebas dan setiap orang perlu meninggalkan bandar ini dan kembali ke bandar mereka," katanya. Menurutnya, bermula hari ini, terdapat sejumlah anggota keselamatan yang akan bertugas semula. Pergolakan di Libya bermula sejak Februari lalu apabila para pemberontak melancarkan serangan menentang kepimpinan Gaddafi yang sudah memerintah selama 42 tahun. Rejim Gaddafi tumbang pada minggu lalu dan sehingga kini pemimpin tersebut masih bersembunyi manakala terdapat sejumlah pengikutnya yang masih melakukan serangan ke atas para pemberontak yang kini menguasai negara tersebut. | ||||||
| Jolie belanja RM6,253 dalam tempoh 15 minit Posted: 02 Sep 2011 10:15 PM PDT ANGELINA JOLIE membeli pakaian untuk Shiloh (dua dari kanan) dan Zahara (kanan) di King's Road, London baru-baru ini. LONDON – Pelakon terkenal, Angelina Jolie menghabiskan wang sebanyak £1,300 (RM6,253) dalam tempoh 15 minit di kedai French Connection, lapor sebuah akhbar semalam. Dia membeli-belah bersama dengan anak-anaknya iaitu Shiloh, 5, dan Zahara, 6, di kedai tersebut yang terletak di King's Road di sini. Pelakon itu membeli-belah ketika kekasihnya, Brad Pitt menjalani penggambaran filem terbaharunya dekat London. Dia membeli pelbagai pakaian untuk kedua-dua anaknya itu baru-baru ini. "Jolie benar-benar seorang yang mesra," kata seorang pelanggan yang melihat gelagat aktres tersebut. Menurutnya, pelakon itu menandatangani autograf untuk beberapa wanita di kedai tersebut. "Dia bertegas tidak membenarkan kakitangannya untuk membantunya membawa beg beli-belah ke keretanya," tambahnya. Pelanggan itu menyatakan, dia gembira untuk bercakap dengan orang ramai dan menandatangani autograf. "Saya berada di kedai tersebut dan tidak percaya apabila saya melihat dia membelanjakan £1,300 dalam tempoh yang singkat," katanya. | ||||||
| karpet pelengkap kekemasan lantai Posted: 02 Sep 2011 10:14 PM PDT
BAGI Nurul Haniz Jennifer, 36, bersantai di ruang tamu rumahnya yang berkonsepkan gaya kontemporari Eropah sememangnya merupakan rutin harian yang cukup menyenangkan. Lazimnya, usai menguruskan perihal anak-anak dan rumah tangga, wanita yang mesra disapa Nurul itu gemar menghabiskan masa di ruang tamu yang indah dengan set sofa, meja kopi dan televisyen digital paparan cecair kristal (LCD). "Selain menonton televisyen dan melayari internet, saya juga gemar membaca koleksi majalah di sini. Lagipun, suasana di ruang tamu bukan saja tenang malah menyegarkan memandangkan ia terletak berhampiran pintu gelangsar. "Sebab itu, saban hari saya memastikan persekitaran ruang tamu sentiasa tersusun rapi dan berada dalam keadaan bersih termasuklah karpet. "Ini bagi mengelakkan hama dan debu yang boleh menyebabkan kegatalan dan rengsa pada bahagian kaki," tutur Nurul sambil menunjukkan karpet jenis Shaggy rona coklat gelap dan lembut yang menghiasi ruang tamunya. Berbicara lanjut, Nurul yang merupakan jurusolek sambilan menyatakan karpet adalah kelengkapan hiasan yang perlu ada dalam kediamannya. Jelas beliau, hamparan permaidani di beberapa ruang utama seperti ruang tamu, ruang makan dan kamar tidur membantu menyuntik mood ceria. Atas faktor berkenaan, ibu kepada empat orang cahaya mata itu cenderung menukar warna dan corak karpet setiap kali dia menukar warna cat dinding serta set perabot. "Kini saya mengetengahkan konsep Eropah moden. Set sofa terdiri daripada warna terang seperti ungu, putih dan merah, manakala kusyen mini pula nuansa coklat gelap, krim, putih dan kelabu. "Disebabkan dinding rumah dicat skim warna O'keefe Gray dan Jefferson, maka saya memilih karpet warna coklat dan krim yang senada dengan warna dinding. JENNIFER sentiasa memastikan permaidani yang diletakkan di ruang makan dibersihkan setiap hari. Menyerikan dekorasi kediaman "Karpet yang sama turut saya hamparkan di bawah meja makan bagi memberi keselesaan pada tapak kaki. Tidak dinafikan sesetengah individu bimbang untuk memasang karpet di ruang makan kerana tidak mahu butir nasi dan lauk-pauk melekat pada karpet. "Tetapi, amalan saya selesai menjamu selera, saya akan membersihkan karpet menggunakan vakum," jelas Nurul yang pernah dihadiahkan permaidani Mesir buatan tangan berharga RM5,000 oleh seorang teman. Sementara itu, pereka fesyen dan perunding dekorasi kediaman, Rico Rinaldi Tono, 27, menyarankan setiap kediaman sama ada jenis banglo, teres, kondominium ataupun pangsapuri wajar memiliki permaidani yang bersesuaian dengan keluasan ruang. Tutur Rico, permaidani bukan sekadar bertindak mengelakkan tapak kaki kedinginan tatkala memijak lantai terutamanya lantai marmar dan jubin, malah merupakan salah satu elemen yang melengkapkan dekorasi rumah. Selain ruang tamu, karpet juga menarik diletakkan di ruang menonton televisyen, ruang bacaan dan kamar tidur. "Rumah tanpa karpet tampak polos dan kurang seri. Namun, itu tidak bermakna untuk menaikkan seri rumah individu perlu membentangkan permaidani yang rona sedondon dengan warna perabot, dinding dan langsir. Impaknya, suasana rumah akan kelihatan pelik. "Misalnya, jangan sekali-kali memilih karpet merah sekiranya perabot dan langsir juga daripada warna yang sama. "Saranan saya, idea dekorasi rumah kelihatan lebih menarik apabila warna karpet itu sejajar dan serasi dengan warna dinding," jelas Rico sambil memberikan beberapa tip pemilihan karpet. Katanya, bagi ruang tamu yang menempatkan set perabot warna gelap atau suram, permaidani warna terang serta kontra adalah pilihan ideal. Sementara itu, bilik bersaiz kecil atau sempit pula, elok dihiasi permaidani warna cerah atau putih. Tetapi warna berkenaan tidak bersesuaian bagi keluarga yang memiliki anak kecil kerana karpet akan mudah comot. "Selain mengambil kira aspek keluasan ruang, konsep dekorasi rumah turut memainkan peranan penting dalam pemilihan karpet. "Sebagai contoh, gaya hiasan ala Bali atau etnik sesuai dipadankan dengan ambal yang diperbuat daripada rotan atau buluh. "Jika memilih seni hiasan konsep tradisional Melayu atau Asia Barat, maka permaidani motif kerawang dan flora buatan Mesir, Iran atau Turki merupakan pilihan yang bijak. "Bagi dekorasi urban, pilih saja karpet jenis Shaggy yang bak bulu kucing dan semakin popular," tegas Rico yang menasihati orang ramai supaya merancang sebelum membeli karpet untuk kediaman.
Membantu pelanggan memilih Dalam pada itu, pembantu jualan karpet Jakel, Ressa Faradika Junaidy, 22, memberitahu, kebiasaannya sebelum pelanggan membeli permaidani yang ditawarkan, petugas gedung karpet Jakel akan mengadakan sesi rundingan ringkas. "Sesi ini bertujuan untuk mengenal pasti sama ada jenis dan ciri-ciri karpet yang dikehendaki pelanggan bersesuaian dengan ruang kediaman pilihan. Kami tidak mahu pelanggan membeli koleksi karpet yang salah dan bertentangan dengan gaya hiasan rumah. "Lagipun prinsip kami, pelanggan berhak memiliki seleksi karpet yang bermutu, terbaik dan ideal setimpal dengan wang ringgit yang mereka laburkan. "Sebab itu, sebelum membeli karpet pelanggan perlu mengukur keluasan ruang, konsep dekorasi dan warna cat dinding," terang Ressa yang tidak menang tangan melayan pelanggan yang tidak putus-putus mengunjungi gedung karpet Jakel di Jalan Bunus, Kuala Lumpur. Sempena hari lebaran yang bakal menjelang, Jakel menawarkan promosi jualan karpet secara besar-besaran di semua cawangan Jakel yang beroperasi di setiap negeri. Jualan satu juta karpet
Seperti tahun lepas, pada tahun ini Jakel turut menyasarkan jualan sebanyak satu juta keping karpet untuk dihamparkan sewaktu meraikan Aidilfitri. Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel, keistimewaan karpet Jakel bukan saja terletak pada material yang terbaik, malah ia dijual pada harga berpatutan memandangkan Jakel berurusan terus dengan pihak pengilang dari Asia Barat. "Kami cukup memahami kehendak pelanggan yang sentiasa tercari-cari karpet yang cantik tetapi dijual pada harga mampu dimiliki. Apatah lagi sebelum menyambut detik lebaran bermacam-macam barang yang hendak dibeli. "Maka, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi Jakel kerana sebahagian besar karpet kami dijual pada harga yang lebih rendah berbanding gedung karpet yang lain. Bukan itu saja, kami turut menawarkan promosi jualan karpet beli satu percuma satu bagi koleksi karpet yang terpilih. "Ini termasuklah menyediakan karpet daripada saiz yang paling kecil (1.2 meter x 1.8 meter) sehinggalah ukuran saiz besar (3.6 meter X 4 meter)," kata Faroz sambil menunjukkan rangkaian karpet Jakel yang diimport dari Mesir, Dubai, India dan Pakistan. Menyentuh mengenai trend permaidani masa kini, Faroz menyatakan karpet Shaggy atau lebih sebagai karpet bulu kucing paling diminati ramai. Tekstur karpet itu yang lembut, berwarna terang dan bercorak abstrak antara faktor ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan warga urban dan golongan muda. | ||||||
| Posted: 02 Sep 2011 10:13 PM PDT Zulkarnain Mohd. Saidin, Abdul Nazir Mohamed, Mohd. Riduan Rizal Ahmad ANITA (kanan) menerima tempahan cucian karpet daripada pelanggan setiap hari. SEMPENA sambutan Aidilfitri, selain halaman dan dalaman rumah serta perabot, proses pembersihan permaidani juga wajar dititikberatkan. Langkah itu bertujuan menyerikan semula permukaan karpet yang kusam dek kotoran dan menyegarkan kembali helaian bulu-bulu karpet yang telah menguncup. Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Urusan Desa Ringgit Sdn. Bhd., Anita Hanim Ahamaddi Hazali, 30, yang menawarkan khidmat cucian karpet kediaman, premis dan bangunan pejabat. Syarikat yang telah beroperasi selama enam tahun itu ditunjangi oleh belia bumiputera yang bertanggungjawab membersihkan pelbagai jenis dan saiz karpet tanpa mengira jenama serta kualiti karpet. "Kami mencuci semua jenis karpet tidak kira jenis atau jenama. Kadangkala karpet yang tidak berjenama itu boleh tampak cantik dan terang sama seperti karpet mahal. Asalkan ia dicuci dengan teknik cucian dan menggunakan bahan cucian yang betul. "Di Desa Ringgit, kami mempraktikkan cucian deep clean atau cucian dalaman yang mencuci fabrik karpet dari permukaan hingga ke dasar karpet. "Bagi mendapatkan hasil cucian yang terbaik, sekeping karpet akan melalui beberapa fasa cucian yang menggunakan alat dan bahan cucian terpilih," terang wanita yang mesra disapa Anita ini. Beliau memberitahu, setiap hari pusat itu mampu membersihkan 30 keping karpet. Jelasnya, selepas mengenal pasti kotoran, jenis dan kualiti karpet pelanggan, karpet tersebut akan dihantar ke pusat cucian di Senawang, Negeri Sembilan. Di sana petugas mula melakukan proses-proses pembersihan. Pertama, bahagian permukaan dan belakang karpet akan dibersihkan menggunakan vakum yang diimport khas dari Perancis. Selesai proses berkenaan petugas akan memeriksa permukaan karpet dan mencari bahagian yang terlekat kotoran degil. "Kami akan meletakkan bahan cucian di atas kotoran dan memberusnya dengan lembut sehingga kotoran hilang. Kemudian, barulah karpet dibersihkan menggunakan mesin brush up yang mencuci setiap helaian bulu karpet dari atas hingga ke dasar. "Seterusnya, karpet akan disembur dengan wangian dan dijemur di atas lantai batu sehingga ia kering. Meletakkan karpet di atas lantai batu mampu mempercepatkan proses mengering," kata Anita yang dibantu seramai 120 staf operasi. | ||||||
| Kehidupan minoriti Islam di Ho Chi Minh City Posted: 02 Sep 2011 10:12 PM PDT
SEMASA dibawa berkunjung ke Masjid Musulman, Ho Chi Minh City, Vietnam baru-baru ini, mata penulis terpandang kelibat seorang anak gadis bertudung sedang bermain badminton di halaman bersebelahan masjid. Wajah riang Hasikin Thanh Liem, 18, mencuri hati penulis untuk mendekatinya bagi memahami Islam di dalam jiwa anak gadis ini. Anak bongsu daripada dua beradik itu menceritakan biarpun Islam di tempatnya tidak segah Islam di Malaysia, namun tidak bermakna Islam tempatan perlu dipandang remeh. Bagi anak gadis itu, rasa tersisih sebagai seorang Islam sememangnya menebal dalam dirinya yang terpaksa hidup dikelilingi penganut-penganut agama lain. Paling ketara apabila rakan-rakan sekelas memandang rendah kepada gadis yang bertudung ke sekolah dan dianggap sebagai orang asing di bumi sendiri. Seorang diri bersekolah dalam kalangan rakan-rakan yang langsung tidak faham apa itu Islam merupakan satu cabaran pada dirinya. BECA yang boleh anda temui di Ho Chi Minh City yang digunakan untuk mengangkut barang. "Setiap hari saya perlu qada' solat," jawabnya ringkas beliau apabila ditanya bagaimana dia menunaikan solat setiap hari. Biarpun sedar dirinya terlalu kerdil, namun Hasikin tahu Islam ada di mana-mana sahaja tanpa batasan untuk diamalkan. Hari demi hari yang dilaluinya ditempuhi dengan penuh tabah semata-mata mahu memastikan keislaman di dalam dirinya tidak tergugat. Jauh di sudut hatinya, penulis dapat melihat keikhlasannya dilahirkan sebagai seorang Islam di bumi yang langsung tidak memahami Islam sebagai agama sejagat. Apa yang diimpikan Hasikin kini ialah mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran di negara yang meletakkan Islam sebagai agama utama yang dianuti. Mazhab Syafie HAMPIR sebahagian besar penduduk di Ho Chi Minh City lebih gemar menunggang motosikal untuk bergerak. Imam Masjid Musulman, Abdul Azim Ishak, 50 menjelaskan, Islam di Ho Chi Minh City mengamalkan mazhab yang sama di Malaysia iaitu mazhab Syafie. "Di sini Islam banyak dipengaruhi oleh masyarakat Islam dari Pattani, Thailand dan ada yang datang dari Kelantan yang dahulunya merupakan masyarakat Cham," katanya. Sebagai kaum minoriti di bumi sendiri, Abdul Azim mengakui, sememangnya banyak perbezaan cara mengamalkan Islam itu sendiri. Islam sebagai minoriti banyak kekurangannya dan terpaksa bersaing untuk survival komuniti yang kecil dalam kelompok majoriti agama lain. "Di sini, laungan azan tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara, namun ia tidak bermakna tidak akan ada orang datang berjemaah setiap hari," ujarnya. Biarpun senario Islam di Vietnam amat berbeza dengan di Malaysia, namun ketika solat Jumaat kata Abdul Azim, lebih daripada 1,000 jemaah bakal memenuhi ruang solat masjid. Masjid Musulman merupakan salah sebuah masjid paling sibuk di tengah-tengah Ho Chi Minh City. Ia dibina sekitar tahun 1935 oleh pedagang dari India. MASJID MUSULMAN merupakan salah sebuah masjid yang paling sibuk di tengah-tengah Ho Chi Minh City. Ruang solat terbahagi kepada dua iaitu di sebelah kanan merupakan ruang solat bagi jemaah lelaki, manakala sebelah kiri adalah ruang solat untuk wanita. Terdapat satu kolah mengambil wuduk yang dibina di sebelah kanan masjid. Biarpun keluasan dalam masjid agak kecil iaitu hanya sebesar bilik darjah, namun ia memadai bagi jemaah untuk beribadah. Selepas pedagang India meninggalkan Ho Chi Minh City pada tahun 1975, masjid tersebut diserahkan kepada masyarakat Islam tempatan untuk menguruskannnya. Sehingga kini, masjid tersebut menjadi ikon syiar Islam di Ho Chi Minh City sebagai salah satu tempat beribadah paling popular di tengah-tengah kesibukan kota. Kawasan sekeliling masjid pula dijadikan tempat tinggal beberapa penduduk Islam dengan membina rumah-rumah kecil.
Di Ho Chi Minh City, terdapat banyak butik yang menjual pakaian seperti telekung sulam, tudung, jubah dan baju Melayu. Salah seorang pengusahanya ialah Basiroh Aly. Kedainya di Jalan Huynh Van Banh, Daerah Phu Nhuan. Pemiliknya, Basiroh Aly berkata, pelbagai produk dijual bagi memenuhi permintaan masyarakat tempatan mahupun pelancong luar negara. "Telekung sulam serendah RM30 boleh dibeli di sini," katanya ketika ditemui di kedainya. Beliau yang mula berniaga dengan menjual barang dari rumah ke rumah pada tahun 2000 kini memiliki kilang dan butik sendiri untuk menerima tempahan daripada orang ramai. Katanya, perniagaan beliau mendapat sambutan lebih-lebih lagi daripada pelancong dari Malaysia yang sering ke Ho Chi Minh City. | ||||||
| Jamu selera dengan landak laut Posted: 02 Sep 2011 10:11 PM PDT BERAS dimasukkan di dalam kulit landak. MINGGU ini Makan Angin 2 masih di negeri Di Bawah Bayu kerana pelbagai perkara menarik di negeri Sabah yang ingin dijelajah. Kali ini Faiz akan ke Pulau Gaya, Sabah untuk misi seterusnya iaitu mencari makanan laut eksotik. Kota Kinabalu terkenal dengan keindahan kawasan pulaunya dan kehidupan di dalam laut.
Oleh itu, saya akan menyelam ke dalam laut untuk menyiapkan misi seterusnya. Menu kali ini ialah landak laut, bantunan, kahanga dan rumpai laut (latok). Untuk ke Kampung Pulau Gaya, kami menaiki feri dan mengambil masa lebih kurang 10 hingga 15 minit. Perkampungan air yang sangat menarik dan unik itu menemukan saya dengan seorang lelaki bernama, Osman yang pakar menangkap landak laut dan pelbagai makanan laut. Kebetulan dia memiliki kelong untuk memelihara rumpai laut iaitu spesies latok. Seperti yang diketahui umum landak laut merupakan haiwan yang berbahaya kerana racun yang terdapat pada durinya.
Namun, saya telah menyahut cabaran tersebut dan turut serta bersama Osman menyelam bagi mendapatkan bahan-bahan utama menu pilihannya. Kemahiran yang dimiliki Osman memang mengagumkan kerana dia boleh menahan nafas sehingga 10 minit di dalam laut untuk mencari landak laut tersebut. Lebih hebat, alat-alat pernafasan yang digunakan hanyalah peralatan yang biasa dan buatan sendiri. Setelah puas menyelam di lautan sehari, masa untuk saya menyiang bahan-bahan utamanya. Menyiang landak laut bukanlah perkara yang mudah, ia memerlukan kemahiran. Osman menunjukkan cara-cara menyiang landak laut kepada saya. Selesai proses tersebut, saya pun memasaknya. Landak laut boleh disediakan menjadi dua menu iaitu daripada isi dan kulitnya. Isinya akan dimasak rendang, manakala kulitnya akan dimasukkan beras dan direbus yang dipanggil oko-oko oleh kaum Bajau di pulau tersebut. Kemudian untuk resipi kedua iaitu kahanga, sejenis kerang laut yang memiliki cengkerang yang cantik dan biasanya dijadikan perhiasan dan cenderamata.
Rasanya sangat sedap dan saya cadangkan kalau anda semua berkesempatan ke sini, carilah kahanga sebab rasanya itu. Misi seterusnya lebih mencabar kerana dua daripada menu tersebut hanya perlu dimakan mentah. Apabila melihat rupa makanan tersebut, memang tidak yakin dapat masuk ke mulut. Tapi gagahkan juga untuk mencubanya. Bak kata orang, belum cuba belum tahu. Memang tak rugi mencuba sebab rasanya sangat sedap. Nak tahu apa makanan itu? Ia adalah bantunan dan latok! Bantunan merupakan spesies timun laut dan rasanya agak keras serta mempunyai bentuk lebih kurang seperti gamat. Latok pula spesies rumpai laut yang sedap apabila di cicah dengan air asam. Bila selesai semua menu, terasa berbaloi pula usaha saya menyelam ke dasar laut untuk kali ini. Sebelum pulang, saya sempat melalui kawasan sekolah di kampung tersebut yang merupakan sekolah yang memiliki pencapaian yang sangat memberangsangkan dan belajar tarian igal-igal yang merupakan tarian tradisi kaum Bajau. Tarian itu biasanya ditarikan dalam majlis keramaian dan persembahan untuk tetamu. Setiap pertemuan ada perpisahan, kenangan dan keindahan Kampung Pulau Gaya tidak akan dilupakan. Kepada yang berkunjung di Sabah, jangan ketinggalan melakukan aktiviti menyelam di Pulau Sapi kerana ia aktiviti yang menyeronokkan. Saya pun berkesempatan menyertai aktiviti Discover Diving dan Sea Walking di Pulau Sapi. Keindahan lautan Sabah sangat cantik dan menjadikan kita sedar akan kekuasaan dan keindahan ciptaan Tuhan. Jangan lupa saksikan keunikan pengembaraan kami di Pulau Gaya malam esok pukul 8.30 malam di TV 9. | ||||||
| Posted: 02 Sep 2011 10:10 PM PDT
SUDAH lumrah wanita, minyak wangi adalah produk yang paling dekat di hati mereka. Bagi Farahsuzie Sulaiman, 31, dia sanggup melabur sejumlah wang untuk mendapatkan minyak wangi yang digemarinya. Selaku peminat minyak wangi yang tegar, pada satu ketika, wanita ini terfikir mengapa tidak dia menghasilkan minyak wangi dengan jenamanya sendiri. Itu lebih mendatangkan kepuasan, getus hatinya. Lantas, niat itu dipanjangkan kepada suaminya, Ahmad Kamil Arifin, 43. Farahsuzie mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mencairkan hati suaminya supaya bersetuju dengan cadangannya itu. "Ya, benar. Saya ambil masa selama dua tahun untuk membuat keputusan. Saya mahu mencari yang terbaik. Lagi satu, saya mahu pastikan saya berpuas hati dengan testimoni yang dijalankan," jawab Ahmad Kamil yang mengiyakan kenyataan isterinya. Mereka berdua ditemui ketika majlis pelancaran DD's Perfume dan majlis meraikan Anak-Anak Yatim Asrama Ampang di Shah Alam. Majlis itu dirasmikan oleh penyanyi irama tradisional terkenal Noraniza Idris baru-baru ini. Import dari Perancis Setelah berhempas-pulas mencari mekanisme terutamanya dari aspek pemasaran dan persaingan, maka lahirlah jenama DD. Nama DD, kata Farahsuzie yang juga pengasas jenama ini adalah singkatan maksud 'dekat di hati selalu'. "Saya mahukan produk ini sentiasa meniti di bibir masyarakat dan saya mengimpikan setiap tas tangan wanita ada sebotol minyak wangi jenama DD," kata bekas graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) ini. Menjelaskan lebih lanjut tentang minyak wangi terbaharu keluaran SK Fragrance ini, Farahsuzie memberitahu, minyak wangi yang diimport dari Perancis ini diinspirasikan dengan sejumlah jenama minyak wangi antarabangsa. Antaranya ialah Gucci, DKNY, Polo, Jadore, Burberry, Paris Hilton, Bvlgary, Armani dan JLo. Sebanyak empat set haruman dengan empat jenama yang berbeza diperkenalkan. Pek-pek tersebut iaitu pek famili (RM60), pek wanita (RM55), pek lelaki (RM55) dan pek untuk remaja (RM55). "Kami ingin menunaikan impian masyarakat di luar sana yang mahu memakai minyak jenama antarabangsa tetapi tidak berkemampuan. "Jika tidak mahu membeli secara pek, pelanggan boleh membeli sebotol minyak wangi pada harga RM15 sahaja. Ia sesuai dipakai pada bila-bila masa," kata wanita ini sambil memberitahu bau wangiannya mampu bertahan selama dua hari. Bacaan doa Pasangan suami isteri ini sedar dengan saingan produk-produk yang sealiran dengannya di pasaran sekarang. Ditanya apa keistimewaan yang dibawa oleh jenama ini berbanding dengan yang lain, jawab Ahmad Kamil: "Pati haruman yang dibawa dari Perancis ini seratus peratus tulen. Kepekatan minyaknya lebih tinggi, daya tahan haruman lebih lama dan paling penting harganya mampu milik." Selain itu, produk ilham pasangan serasi itu turut membawa kelainan apabila minyak wangi yang dibekalkan dibacakan sekali dengan ayat al-Quran. "Semasa minyak wangi ini dipakejkan, ia dibacakan dengan surah Yusof (ayat 4) dan surah Thoha (ayat 39) oleh seorang ustaz bertauliah," terangnya. Bagaimana idea itu dirintis? Jawab lelaki yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur itu, pemakaian minyak wangi harus disertakan dengan keterampilan dan keyakinan. "Justeru, surah Yusof dibacakan bertujuan untuk membangkitkan seri kecantikan sementara surah Thoha lebih kepada membentuk keyakinan diri, jadi, kami memilih pendekatan itu," ujar Ahmad Kamil. Meskipun baru lima bulan di pasaran, pasangan suami isteri ini tersenyum puas. Ini berikutan jenama yang dibawa mereka mendapat sambutan hangat di pasaran. Untuk fasa pertama, sebanyak 2,000 unit telah terjual. Stokis dan ejen makin bertambah meliputi Sabah dan Sarawak, ujar Farahsuzie. Justeru, kepada yang berminat untuk terlibat sama dengan perniagaan ini, anda sangat dialu-alukan. | ||||||
| Posted: 02 Sep 2011 09:43 PM PDT PELBAGAI barangan kraf dipamer dan dijual sempena Pesta Negeri Terengganu di Menara Kuala Lumpur. MENARA Kuala Lumpur (MKL) tidak pernah sunyi daripada aktiviti. Salah satu aktiviti bulanan yang dianjur ialah Pesta Negeri yang diadakan di Kampung Budaya 1Malaysia MKL. Baru-baru ini, MKL di bawah program yang sama menganjurkan Pesta Negeri Terengganu yang menampilkan pelbagai aktiviti di samping memperkenalkan makanan, kebudayaan dan tarikan pelancongan negeri Pantai Timur itu. Pesta yang membabitkan negeri Terengganu itu adalah kali kedua selepas pesta yang sama diadakan pada tahun 2008 di tempat yang sama. Apa yang menarik, Pesta kali ini menerima penyertaan dua kali ganda lebih banyak daripada pesta sebelumnya. Pada majlis pelancarannya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Datuk Abd. Rahin Mohd. Said berkata, pihaknya amat gembira melihat kedatangan orang ramai ke Pesta Negeri Terengganu itu iaitu sebanyak 6,630 pengunjung pada tiga hari pertama sahaja. "Ini satu angka yang besar kerana kami menyasar antara 2,000 hingga 3,000 orang sahaja," ujar Rahin. Ketua Pegawai Eksekutif MKL, Zuraidah Mohd. Said berkata, pesta negeri seperti ini juga menjadi platform kepada pengunjung dari pelbagai negeri di Malaysia dan luar negara untuk mendekatkan diri dengan seni dan budaya negeri lain. "Ini secara tidak langsung membantu mempromosikan warisan dan budaya. Ia juga menggalakkan perkembangan industri pelancongan negeri tersebut," katanya. ABDUL RAHIN (tiga dari kanan) menyaksikan aktiviti menenun songket di Menara Kuala Lumpur. Promosi produk tradisi Tambah Zuraidah, sebagai destinasi pelancongan utama yang menarik kira-kira tiga juta pengunjung tahun lepas dan sekitar 2.8 juta pengunjung setakat Ogos tahun ini, MKL berpotensi menjadi pusat paling ideal untuk mempromosikan pesta sedemikian. "Ini satu peluang keemasan bagi kami memperkenalkan negeri Terengganu yang unik dan istimewa," ujar pengukir dari Tanjung Bakawali Sdn. Bhd., Norikhwan Nordin, 28. Beliau yang sibuk membuat ukiran kerawang memberitahu, pesta tersebut merupakan tempat yang sesuai untuk pengunjung mengenali dan membeli ukiran yang dijual. Bagi Maimunah Yusof, penggerai kerepek dan makanan ringan Terengganu pula, memperkenalkan kerepek kepada pengunjung luar negara adalah satu pengalaman yang mengujakan. "Ramai yang tertarik dengan kerepek di gerai saya kerana saya bukan menjual kerepek yang biasa, tetapi saya mengolah kerepek baru yang lebih sedap," katanya sambil menawarkan kerepek yang dibuat daripada roti canai. Dengan jumlah pengunjung yang ramai, pihak MKL dan Pelancongan Negeri Terengganu berharap dapat menganjurkan pesta serupa pada masa akan datang. Pesta Negeri seterusnya membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Sabah. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, hubungi talian 03-2020 5454 atau layari laman web www.menarakl.com.my. | ||||||
| Posted: 02 Sep 2011 09:38 PM PDT PENUBUHAN Kompeni AW Parlimen diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2000. WALAUPUN hasrat untuk menyertai pasukan tentera pernah dihalang keluarga, namun minat terhadap pasukan seragam itu sejak kecil kekal membara dalam jiwanya. Buktinya, Oh Kean Kwee, 44, telah berjaya terpilih untuk menyertai Askar Wataniah (AW) sebagai rekrut sukarela di Batalion 1 Rejimen 509 AW di George Town, Pulau Pinang kira-kira 11 tahun lalu. Mengakui latihan yang dijalani selama sebulan sangat mencabar, namun demi minat yang mendalam, Kean Kwee melaluinya dengan tabah. Berkat kesungguhannya, akhirnya dia diumumkan sebagai rekrut terbaik dalam latihan tersebut. Bertitik tolak dari saat itu, penglibatannya dalam bidang ketenteraan semakin menunjukkan perkembangan yang positif. Bermula daripada pangkat Prebet, dia telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran I, iaitu pangkat paling kanan untuk anggota peringkat bawahan tentera. "Penyertaan saya kerana tanggungjawab sebagai rakyat yang sayangkan negara. AW merupakan platform terbaik untuk menyumbang tenaga walaupun negara dalam keadaan aman," ujar bapa kepada seorang anak ini. Menurut pengurus operasi di sebuah syarikat swasta ini, kesibukan tugas tidak menghalang dia untuk bergiat aktif dalam latihan dan aktiviti AW termasuk mengikuti kursus kerjaya tentera. Daripada empat kursus yang dihadiri di Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan), dia terpilih menjadi pelatih terbaik sebanyak dua kali iaitu bagi Kursus Ketua Seksyen dan Ketua Penolong Ketua Platun. Kini, Kean Kwee adalah Sarjan Mejar Kompeni di Batalion 1 Rejimen 509 (AW) di George Town. Matlamatnya kini ialah mahu menggalakkan lebih ramai golongan muda terutama kaum bukan Melayu menganggotai pasukan tersebut. "Jika ingin berbakti kepada negara, AW pilihan terbaik kerana kita bukan sahaja dilatih dengan ilmu ketenteraan tetapi disiplin untuk menjadi warganegara yang baik. "Latihan ketenteraan mengajar kita menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa atau agama serta bersama-sama memupuk semangat setiakawan," ujarnya. AHMAD ZAHID HAMIDI turut menggalakkan golongan bukan bumiputera untuk menyertai pasukan tentera negara. Saranan yang sama turut disuarakan rakan sepasukannya yang juga seorang wanita, Kapten Goh Hui Leng, 35. Kata Hui Leng, tanggungjawab mempertahankan negara terletak di bahu semua rakyat Malaysia. "Sebagai pegawai wanita, saya amat menggalakkan penyertaan lebih ramai kaum hawa ke dalam AW kerana bukan sahaja kita dilayan sama seperti lelaki, malah diberi peluang mempamerkan kebolehan. "Sama ada wanita atau lelaki, tiada perbezaan jantina dalam AW, malah kedua-duanya mempunyai peranan yang sama penting," ujar guru di Sekolah Menengah Convent Dato' Keramat yang telah menyertai AW selama 10 tahun setelah ditauliahkan daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Sains Malaysia (USM). Kedua-dua mereka ditemui pada perbarisan Pelancaran Kompeni AW Kawasan Parlimen Pulau Pinang di sini baru-baru ini. Majlis tersebut dirasmikan secara gilang-gemilang oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahim Mohd. Yusoff. Kompeni Parlimen AW Abdul Rahim yang mewakili Panglima Tentera Darat telah menerima tabik hormat perbarisan yang melibatkan kira-kira 600 pegawai dan anggota daripada Rejimen 509 (AW) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mazlan Mohammad. Menyorot kembali penubuhan Kompeni AW Parlimen, ia sebenarnya diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2000. Selain bertujuan menambah paras keanggotaan AW, usaha ini juga sejajar dengan Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang berkonsepkan Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) bagi memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap tugas ketenteraan. Dalam ucapannya, Abdul Rahim memberitahu, sebanyak 23 lagi Kompeni Askar Wataniah (AW) bagi kawasan Parlimen akan ditubuhkan di empat negeri bagi melengkapkan jumlah sasaran sebanyak 222 pasukan seperti yang dirancang. LEFTENAN Muda Chew Chong Ooi (paling kiri), Pegawai Waran II Oh Kean Kwee, Kapten Goh Hui Leng dan Leftenan Khor Aik Keong merupakan contoh kaum bukan Melayu yang terlibat dalam pasukan simpanan sukarela Tentera Darat. Tambah beliau, setakat ini sebanyak 199 kawasan Parlimen telah menubuhkan Kompeni AW. Beberapa kawasan Parlimen di Kedah, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur yang belum mempunyai pasukan AW itu akan ditubuhkan secara berperingkat sehingga penghujung tahun ini. "Rancangan penubuhan ini selaras dengan Prestasi Petunjuk Utama (KPI), Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu pelancarannya disempurnakan sebelum penghujung tahun," ujarnya. Abdul Rahim berkata, penubuhan Kompeni AW di setiap kawasan Parlimen telah memberi impak dan kesan positif kepada masyarakat. "Kita berupaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat termasuk individu yang boleh dijadikan ikon seperti selebriti, atlet sukan dan mereka yang mengharumkan nama negara dengan kebolehan tertentu. "AW juga telah memberikan pendedahan kepada orang awam tentang tugas ketenteraan dan ia mampu meningkatkan kefahaman mereka sekali gus menjadi penghubung antara tentera dan rakyat," katanya. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan