Ahad, 24 Julai 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Belum puas lihat dunia

Posted: 24 Jul 2011 11:35 PM PDT


SEMPAT menjadi pemetik daun teh sewaktu berkunjung ke Ladang Teh Boh di Cameron Highlands, Pahang dalam Samantha Brown's Asia.


KALAU diimbas kembali perjalanan hidupnya, Samantha Brown tidak pernah terfikir bahawa dia akan menjadi seorang pengacara satu hari nanti.

Malah, dia sendiri tidak pernah ambil peduli tentang perihal pengacaraan dan tidak tahu tentang dunia sebenar seorang pengacara.

Dengan latar belakang pendidikannya dalam bidang teater muzikal dari Universiti Syracuse, New York, Amerika Syarikat (AS), Samantha sudah membayangkan dirinya menjadi seorang pelakon teater.

Apatah lagi dengan minat yang cukup mendalam dalam bidang seni persembahan, sudah pasti anak jati Texas, AS ini menyangkakan dia akan mencipta kejayaan sebagai seorang artis versatil.

Sehinggalah satu hari, dia menghadiri uji bakat yang dianjurkan oleh Travel Channel yang ketika itu sedang mencari pengacara untuk sebuah program baru berbentuk pelancongan.

Sekadar mahu mencuba nasib tanpa meletakkan harapan tinggi, siapa sangka rezeki berpihak kepada Samantha yang akhirnya begitu sinonim dengan program pelancongan.

"Itu cerita 11 tahun dulu. Bayangkan, saya sendiri tidak tahu apakah skop tugas seorang pengacara apabila berada di hadapan kamera.

"Saya bermula dari bawah dan perlahan-lahan saya belajar lalu menimba pengalaman sepanjang tempoh itu.

"Sehingga ke hari ini pun, saya tidak pernah menyangka saya sudah mengacara puluhan program yang ditonton oleh jutaan penonton di seluruh dunia," katanya penuh ramah dalam satu temu bual eksklusif bersama media tempatan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara program kendalian Samantha yang mendapat perhatian termasuklah Girl Meets Hawaii, Great Vacation Homes, Great Hotels, Passport to Europe, Passport to Latin America dan Great Weekends.

Kini, selepas 11 tahun menjadi seorang pengacara ternama, Samantha pastinya boleh berbangga dengan pencapaiannya apabila berpeluang mengembara hampir ke seluruh pelosok dunia.

Namun, Samantha tidak pernah mendabik dada atau meletakkan dirinya di kedudukan paling tinggi.

Setiap hari yang dilaluinya adalah hari baru untuknya menimba pengalaman yang berbeza.

Jika ada teman-teman mahupun ahli keluarga yang bertemu dengannya mahu dia menceritakan pengalamannya, dia lebih selesa tersenyum dan mendiamkan diri.

"Kalau ada yang bertanya, saya hanya memberikan jawapan yang ringkas.

"Justifikasi saya mudah. Kalau saya asyik bercerita, nanti saya akan dilabelkan sebagai seorang yang bongkak pula (ketawa).

"Tetapi, mereka tanpa segan-silu memberitahu saya bahawa mereka mencemburui saya yang berpeluang menjelajah dunia," cerita Samantha atau nama sebenarnya Samantha Elizabeth Brown ini sambil ketawa kecil.

Selama 11 tahun menjadi seorang pengacara, Samantha tidak menafikan bahawa proses pembelajaran yang dilaluinya sepanjang tempoh itu banyak mematangkan dirinya.

Kata Samantha, ada kalanya apa yang dilaporkan terhadap sesebuah negara itu seperti mana yang disiarkan di televisyen mahupun akhbar, bertentangan dengan pengalamannya sendiri.

Dalam masa yang sama juga, Samantha masih lagi memasang impian untuk meneroka negara India dan Afrika.

"Saya sudah berkunjung hampir semua negara di dunia tetapi bayangkan, saya belum pernah menjejakkan kaki ke dua buah negara itu," ujarnya.

Pengalaman berharga

Pertemuan yang berlangsung dalam suasana cukup santai itu, Samantha turut ditanya tentang pengalaman terbaiknya sepanjang bergelar seorang pengacara.

Sambil termenung seketika, dia menghela nafas panjang sebelum memberikan jawapannya.

Menurut Samantha, setiap negara yang dikunjunginya mencatatkan momen tersendiri dan atas alasan itu, begitu sukar sekali untuknya memilih destinasi terbaik pilihannya.

Sempat juga dia berkongsi rahsia tentang salah satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan sewaktu berkunjung ke salah sebuah wilayah di China.

Ketika itu, dia sedang berehat seketika daripada penggambaran dan berjalan seorang diri sehinggalah dia tiba di satu perkampungan.

Sedang dia duduk melepaskan lelah untuk seketika, Samantha didatangi dua orang kanak-kanak perempuan yang cuba hendak berbual dengannya.

Namun, kerana masalah bahasa dan tidak mampu berbicara dalam bahasa Inggeris, mereka bertanyakan soalan kepadanya dalam bahasa ibunda.

"Setiap dua minit, mereka akan datang kepada saya dan bertanyakan soalan-soalan asas. Dari jauh, saya ternampak seorang wanita yang mungkin salah seorang peniaga di sana menjelaskan kepada mereka jawapan yang saya berikan.

"Daripada situ, saya lihat mereka begitu bersungguh untuk mempelajari bahasa yang cukup asing buat mereka biarpun hanya soalan yang asas.

"Di sinilah terletak keunikan sesebuah negara itu di mana kita sendiri dapat mempelajari budaya dan bahasan mereka.

"Jika ditanya pengalaman terbaik sepanjang menjadi pengacara, saya rasa itulah jawapannya," katanya yang juga mahu meneroka dunia Asia Barat yang sebelum ini sering menjadi mangsa diskriminasi segelintir pihak.

Terbit buku

Dalam usianya yang sudah mencecah 41 tahun itu, isteri kepada Kevin O'Leary ini telah menghabiskan seluruh hidupnya hanya dengan mengembara demi tuntutan tugas.

Bayangkan, dalam 365 hari setahun, Samantha mengabdikan dirinya dengan rakaman program kendaliannya untuk 230 hari.

Dan, untuk rakaman sebuah program yang memakan masa selama satu jam, ia memerlukan lapan hari untuk menyelesaikannya.

Mengakui ada ketika Samantha berasa penat dan merindui kampung halaman serta suaminya, tetapi, dia sedar semua itu dilakukan adalah kerana kerja.

"Untuk itu, apabila selesai semua rakaman, saya lebih selesa menghabiskan cuti dengan berehat di rumah sahaja.

"Kalau ada teman atau ahli keluarga yang ingin melawat, saya akan memberitahu mereka untuk hadir dua hari selepas saya pulang. Biarlah saya berehat sepuasnya sebelum saya bersedia melayan tetamu yang hadir.

"Sudah pasti, saya dan suami juga ada memikirkan soal cahaya mata dan pastinya, kami mahu memulakan keluarga sendiri," katanya yang kini menetap di Brooklyn, New York, AS.

Samantha turut mengkhabarkan dia kini dalam proses akhir untuk menyiapkan buku mengenai pelancongan berdasarkan pengalamannya selama 11 tahun menjadi seorang pengacara.

Menurutnya, jika tiada aral melintang buku tersebut akan berada di pasaran sekitar pertengahan tahun depan.

Sepanjang Ramadan di Astro

Posted: 24 Jul 2011 11:34 PM PDT


IZELAN Basar (tengah) bersama pengurus saluran Astro yang lain iaitu (dari kiri) Azlin Reza Azmi, Raqim Ahmad Ramli, Nizam Sani dan Evon Koh sewaktu sidang akhbar pelancaran program Astro sepanjang Ramadan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SABAN tahun, stesen berbayar terulung negara, Astro tidak pernah gagal menyediakan program terbaik khusus untuk pelanggan setia mereka sepanjang bulan Ramadan.

Bukan hanya program berbentuk ilmiah, Astro juga tidak ketinggalan menayangkan pelbagai program hiburan yang dapat memberikan mesej berguna kepada audiens.

Jika tahun lalu, drama bersiri Geng Surau berjaya mencatatkan rating paling tinggi, namun, untuk Ramadan kali ini, drama Moreh pula menjadi pertaruhan.

Mengenengahkan konsep yang serupa seperti Geng Surau, Astro Oasis (saluran 106) selaku penyiar untuk drama bersiri itu begitu optimis dengan Moreh yang dijangka akan mencatatkan rating serupa.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, dia cukup sedar akan permintaan tinggi terhadap Geng Surau sehingga penonton setia drama itu mahukan ia disambung untuk tahun ini.

"Tetapi, sebagai kelainan, kami bercadang untuk tidak menyambung Geng Surau tetapi mengambil konsep yang serupa seperti drama itu untuk ditonjolkan dalam Moreh.

"Jalan cerita Moreh lebih kurang sama dengan Geng Surau dan kami tetap menerapkan nilai-nilai kekeluargaan dalam drama tersebut. Bezanya, hanyalah tajuk dan barisan pelakon sahaja demi tidak mengelirukan penonton.

"Drama seperti ini bagaikan tontonan wajib kepada audiens untuk menghiburkan mereka selepas hampir seharian berpuasa," jelasnya sewaktu sidang akhbar pelancaran program Astro sepanjang Ramadan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani; Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi; Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh dan Pengurus Pemerolehan Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli.

Tambah Izelan lagi, walaupun ia sebuah drama yang memberikan hiburan kepada audiens, namun, Moreh tetap menerapkan nilai kekeluargaan serta mampu memberikan mesej positif kepada audiens.

Secara ringkasnya, Moreh meneruskan kesinambungan drama Geng Surau dengan menampilkan watak Pak Abu yang kini sudah berpindah dari kampung ke pangsapuri baru di bandar.

Bersama-sama isteri dan anaknya, Duan, Pak Abu mendapati tradisi moreh yang sering diadakan pada bulan Ramadan tidak diamalkan oleh penduduk di kawasan itu.

Lalu, Pak Abu bersama-sama kenalan barunya, Tok Siak, Tok Imam dan Ustaz Steady, cuba meneruskan kembali aktiviti moreh di surau berdekatan.

Bukan hanya program berbentuk drama, Izelan dengan bangganya memberitahu Astro Oasis juga akan menyiarkan dua buah dokumentari menarik iaitu Salam Ramadan China dan Salam Ramadan Turki.

"Dua dokumentari ini akan membawa penonton untuk melihat sendiri aktiviti penduduk dua negara tersebut sepanjang bulan Ramadan.

"Kami juga berasa amat bertuah kerana masih lagi dapat berkongsi keseronokan beribadat di sepanjang Ramadan kelak dengan menayangkan siaran langsung solat sunat Tarawih secara langsung dari Masjidil Haram, Mekah selain Tadarus al-Quran serta tazkirah Ramadan menjelang waktu berbuka puasa," ujar Izelan lagi.

Kandungan mantap

Tidak ketinggalan memeriahkan bulan Ramadan tahun ini adalah Astro Prima (saluran 105) yang juga menayangkan dua buah drama bersiri dan empat telemovie yang tidak kurang hebatnya.

Drama bersiri yang menjadi pertaruhan saluran itu ialah Geng Mengaji dan Deru Ombak yang merupakan dua genre berbeza.

Sementara itu, genre berat pula dilihat menjadi pilihan Astro Prima menerusi telemovie yang akan ditayangkan sepanjang Ramadan ini iaitu Berselindung Di Sebalik Kaabah, Pintu Sakaratul Maut, Cinta Dari Kaabah dan Pelita Penyuluh Kiblat.

"Kesemua drama bersiri dan telemovie yang akan ditayangkan memiliki kekuatan tersendiri. Apatah lagi didukung oleh barisan pelakon yang popular dan mempunyai nama besar dan sudah tentu penonton akan menanti tayangannya," kata Nizam Sani sewaktu ditanya tentang kandungan program untuk salurannya bagi Ramadan tahun ini.

Selain itu, Astro Ceria juga akan menayangkan siri kartun popular, Upin & Ipin yang mempunyai jalan cerita yang sesuai dengan bulan Ramadan.

Sementara itu, sebuah dokumentari khas, Arena Sukan pasti akan menjadi pilihan peminat sukan apabila ia ditayangkan di Astro Arena (saluran 801) bermula 29 Julai ini.

Dihoskan oleh Datuk Rahim Razali, Arena Sukan menampilkan 13 personaliti sukan negara yang diangkat sebagai wira sukan negara.

Antaranya Adnan Saidin, Zainal Abidin Hassan, Datuk Eddy Choong, Datuk Ghani Minhat, Rosman Alwi, Datuk Malek Noor dan Minarwan Nawawi.

Impak Nora Ellena

Posted: 24 Jul 2011 11:34 PM PDT


Tiga tahun menapak diri di dalam industri seni, Siti Saleha terpaksa akur bukan senang untuk dikenali. Namun kini, sekelip mata, namanya mula menjadi bualan gara-gara drama Nora Ellena yang telah mencetuskan fenomena tersendiri.

Mengakui terkesima dengan populariti yang datang sekelip mata, dia tidak mahu terus melonjak gembira.

"Bagi saya, saya masih tidak sepopular artis lain, tetapi saya akui kerana drama Nora Ellena, saya mula mendapat perhatian.

"Boleh dikatakan ke mana saya pergi ada saja yang memandang dan menegur. Biarpun pada mulanya terasa pelik, tapi saya cuba membiasakan diri," katanya yang ditemui di majlis The Blue Kebaya Showcase, baru-baru ini.

Namun di sebalik kegembiraan itu, terdengar kata-kata sinis segelintir pihak bahawa Saleha bukan berlakon kerana minat, sebaliknya kerana mahukan limpahan populariti semata-mata.
Tidak cepat melatah, Saleha ­menegaskan bahawa penglibatannya di dalam bidang seni adalah kerana minat.

"Dulu ketika orang tidak mengenali saya, orang asyik bertanya kenapa saya tidak popular meskipun tiga tahun berada di dalam industri. Tapi kini lain pula yang kedengaran.
"Bukan saya yang tergila-gila publisiti, tapi ia datang dengan sendirinya. Lagipun saya berlakon kerana minat, bukan untuk glamor semata-mata," katanya.

Menyentuh mengenai namanya yang sedikit timbul-tenggelam sebelum ini, Saleha mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran drama dan filem di awal kemunculannya.

Saleha berkata sehingga kini, dia terpaksa memilih sebelum menerima tawaran berlakon. Namun gadis berusia 21 tahun ini pantas menafikan bahawa dia seorang yang demanding.
"Saya tidak nafikan, menerima beberapa tawaran berlakon filem di awal kemunculan, tetapi terpaksa menolak disebabkan saya terikat dengan pelajaran. Saya tidak mahu nanti, semuanya tergendala separuh jalan.

"Pelajaran saya hanya berbaki setahun saja lagi, selepas itu saya akan aktif di dalam bidang seni," kata gadis kelahiran Basildon, England itu.

Semangat baru Farah Asyikin

Posted: 24 Jul 2011 11:33 PM PDT



Nama Farah Asyikin sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Biarpun pernah gagal dalam perkahwinan, tidak bermakna hatinya sudah tertutup menerima kehadiran cinta baru. Bagi Farah Asyikin Zulkifli,33, tiada istilah serik untuknya kembali berumah tangga.

Namun cerita sebegitu tidak lagi menjadi topik besar dalam hidupnya, Tumpuannya kini hanyalah kepada bidang seni. Baginya, dia semakin bersemangat untuk bangkit semula dalam bidang seni.

Tidak mahu menolak mengenai jodoh, Farah akui tidak pernah menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran insan bernama lelaki.

Cuma pada waktu ini, dia lebih selesa menjalani kehidupan solo.

"Sekarang, fokus utama saya adalah karier. Saya mahu dikenali kerana lagu-lagu saya dan kerja saya. Soal peribadi, biarlah ia menjadi sampingan sahaja.

"Bukan mengalah, cuma saya disuntik semangat baru untuk memajukan diri. sudah beberapa waktu ini, orang asyik bercerita kisah peribadi saya tanpa mengingati lagu-lagu saya.

"Untuk tahun ini, saya harapkan akan ada sinar baru dalam kerjaya seni saya," katanya ketika ditemui di showcase The Blue Kebaya di The Weld, Kuala Lumpur.

Kenyataan Farah itu sekali gus menyangkal desas-desus mengatakan dia sudah punya pengganti selepas putus tunang sebelum ini. Mengakui dirinya masih solo, Farah kini lebih selesa berkawan daripada memikirkan soal cinta.

"Saya lebih senang dengan kehidupan sekarang, Lagipun saya ada keluarga yang sentiasa berada di sisi ketika saya memerlukan," katanya.

Keindahan Muzik Asli Malaysia!

Posted: 24 Jul 2011 11:33 PM PDT

Konsert Samingdad dan Keluarga Am Chengloi yang berlangsung baru-baru ini memberikan impak baru terhadap persembahan muzk tanah air. Gamat dengan persembahan yang menghiburkan, konsert ini bukti muzik Asli Malaysia punya kelas tersendiri.

Selain itu, muzik Asli ini juga mampu menggegarkan dunia sekiranya diberikan peluang untuk terus memperluaskan area muzik sebegini ke pentas yang lebih besar.

Menampilkan dua kumpulan pribumi Malaysia, Tuku Kame dan Kumpulan Chenloi Semai, konsert ini berjaya menghiburkan peminat-peminat yang hadir untuk menyaksikan kehebatan mereka. konsert yang di adakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur, baru-baru ini memperlihatkan kehebatan muzik tempatan untuk ke persada dunia.

Bertemakan Sounds of Nature Muzik Festival Asli Malaysia dan Taiwan ini turut diselitkan dengan beberapa aktiviti kebudayaan asli.

Persembahan alat muzik tradisional seperti gitar akustik dan tamborin bagi mengiringi lagu rakyat turut mendapat tepukan respons daripada penonton.

Ia turut diserikan dengan kehadiran penyanyi utama Samingdad iaitu Chi Hsiao-chun.

Konsert ini telah mendapat kerjasama dari Pejabat Maklumat Kerajaan Republik China (Taiwan), Pejabat Kebudayaan Malaysia dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kampung Budaya Sarawak dan China Press Berhad.

Hush Puppies lancar koleksi baru

Posted: 24 Jul 2011 11:32 PM PDT



Hush Puppies, jenama utama dunia dalam menyediakan busana kasual dan selesa melancarkan keluaran Koleksi Nautika Perancis untuk pasaran Malaysia dan Singapura bermula sekarang hingga Ogos 2011.

Ketua Perdagangan Hush Puppies, Malaysia dan Singapura, Yasmin Lim berkata, koleksi terkini Hush Puppies itu diilhamkan Coco Chanel pada 1930-an bagi musim panas tahun ini.

Menurutnya, ia mempunyai gaya tersendiri tetapi tidak menonjol, khas untuk individu yang memilih keanggunan yang lembut dalam bentuk pakaian kasual tetapi selesa.

"Antara corak yang disediakan dalam Koleksi Nautika Perancis adalah jalur, denim, kain berpetak klasik yang disempurnakan dengan motif yang berilhamkan tentera," katanya.

Koleksi kali ini mengekalkan gaya klasik, tetapi dikemaskan dengan perincian, grafik dan potongan menarik sambil mengekalkan piawaian kualiti tinggi.

AmIslamic lancar deposit boleh niaga Islam

Posted: 24 Jul 2011 11:31 PM PDT



AmIslamic Bank, cabang perbankan Islam Kumpulan AmBank, berhasrat mengumpul RM100 juta daripada produk kewangan terbarunya instrumen Deposit Boleh Runding Islam AmAdvantage Plus (AmAdvantage Plus NID-i).

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahdi Murad berkata instrumen itu disasarkan kepada pengguna yang yakin dengan permintaan global untuk komoditi seperti minyak, jagung, kuprum dan kapas di samping melindungi mereka daripada pasaran komoditi tidak stabil pada masa hadapan.

"Permintaan global untuk komoditi sentiasa meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan dijangka kekal kukuh dalam beberapa tahun akan datang.

"Harga komoditi juga dijangka naik seiring dengan lonjakan inflasi global dalam beberapa tahun ini," katanya selepas majlis pelancaran AmAdvantage Plus NID-i. Produk itu diuruskan berdasarkan konsep perkongsian keuntungan.

Jika harga komoditi kekal melepasi 75 peratus daripada nilai pelaburan permulaan, pengguna akan dapat pulangan 6.5 peratus setahun, dicampur dengan dua peratus hibah yang akan dibayar sebulan selepas tarikh tutup tempoh tawaran..

AmAdvantage Plus NID-i capai matang dalam tiga tahun. Produk dana itu ditawarkan kepada umum selama 32 hari bermula 18 Julai-18 Ogos 2011. Jumlah pelaburan minima RM70,000 manakala pelaburan seterusnya dalam gandaan RM10,000.

Koleksi 2011 Alfio Raldo lebih berani

Posted: 24 Jul 2011 06:45 PM PDT


Alfio Raldo, sebuah jenama tempatan dengan rekaan koleksi dari Itali memperkenalkan koleksi terbarunya yang menawarkan lebih banyak pilihan eksklusif untuk digayakan yang pastinya memenuhi citarasa para pelanggannya.

Pengarah Urusannya, Jordan Ling berkata, koleksi Alfio Raldo adalah koleksi yang sering dinantikan oleh pelanggannya terutama ketika musim perayaan khususnya Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Sejak berada di pasaran pada tahun 1989, Alfio Raldo telah berjaya menarik satu golongan iaitu pelanggan setia yang sering menjadikan koleksi jenama ini sebagai pilihan utama mereka.

"Oleh itu, Alfio Raldo sentiasa menghasilkan produk dengan rekaan yang menarik untuk memenuhi citarasa pelanggan kami." katanya ketika majlis pelancaran koleksi 2011 Alfio Raldo volum kedua, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk koleksi 2011 ini, rekaan dan warna yang diketengahkan Alfio Raldo adalah lebih terang dan berani sesuai dengan rekaannya yang sentiasa terkini dan mesra pengguna.

Selain sentiasa tampil dengan rekaan terkini, Alfio Raldo turut mementingkan kualiti rekaan bagi memberi lebih nilai kepada pelanggannya.

Dalam pada itu, selain menyediakan koleksi untuk golongan pertengahan dan atasan, Alfio Raldo turut menyediakan koleksi rekaan untuk generasi muda dari peringkat usia 18 tahun dan ke atas.

Isteri Sheikh Muszaphar lahir bayi menerusi kaedah bersalin dalam air

Posted: 24 Jul 2011 06:42 PM PDT


SOPHEA ISABELLA


KUALA LUMPUR - Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor kini bergelar bapa apabila isterinya selamat melahirkan bayi sulung mereka menerusi kaedah bersalin di dalam air. Dr. Halina Mohd. Yunos yang berkahwin dengan Sheikh Muszaphar pada 10 Oktober 2010 selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 21 Julai lalu.

Bayi seberat 3.6 kilogram itu dinamakan Sophea Isabella. Halina mengambil masa 18 jam untuk melahirkan bayi itu di Hospital Pantai Bangsar di sini. Halina kini adalah doktor bius di Hospital Selayang di sini. Ketika dihubungi Kosmo!, Sheikh Muszaphar berkata, dia sangat teruja dengan kehadiran bayi tersebut yang dianggap sebagai anugerah Ilahi paling istimewa. "Isteri saya dimasukkan ke hospital pada pukul 2 pagi Jumaat dan berjaya melahirkan anak pada pukul 9.08 malam.

"Dia memilih kaedah bersalin di dalam air kerana kurang sakit selain lebih semula jadi,'' katanya. Sheikh Muszaphar merupakan rakyat Malaysia pertama berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007 dan berada di stesen itu selama 10 hari bagi menjalankan pelbagai penyelidikan. Dia kemudian menjadikan tarikh keramat berlepas ke angkasa pada 10 Oktober itu untuk melangsungkan perkahwinan dengan Halina pada tahun lalu.

Sheikh Muszaphar yang kini bertugas sebagai Felo Penyelidik Utama Institut Sains Angkasa berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa. "Kami banyak membaca tentang cara mendidik anak-anak malah mendapat nasihat daripada kedua-dua orang tua kami supaya anak kami kelak berjaya kepada agama, negara dan bangsanya," ujar beliau.

Cucu berpakat ragut nenek dijel

Posted: 24 Jul 2011 06:40 PM PDT


SHAMSUL (dua dari kiri) dan Mohd. Ikhwan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang cucu bukan saja tergamak berpakat dengan rakan untuk merompak neneknya dalam kejadian di sebuah rumah di Ketereh di sini bulan lalu malah sanggup membiarkan warga emas itu ditolak oleh rakannya ketika meragut rantai emas dipakai mangsa. Tindakan jahat cucu warga emas, Shamsul Kahar Mohamad, 30, rakan sebayanya, Mohd. Ikhwan Abdullah, menerima balasan apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 tahun selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan merompak Rokiah Boto, 78, di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Irwan Suainbon turut mengenakan lima kali sebat terhadap setiap tertuduh. Shamsul dan Mohd. Ikhwan didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas Rokiah dengan melarikan seutas rantai tangan emas dan seutas rantai leher emas yang bernilai RM6,000 dipakai mangsa di dalam rumah wanita itu di Taman Binjai Manis, Ketereh pada pukul 1 petang pada 28 Jun lalu. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Hakim Irwan menyifatkan kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh serius dan mengarahkan mereka menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum iaitu semalam. Menurut fakta kes, Shamsul dan rakannya, Mohd. Ikhwan pergi ke rumah Rokiah pada hari kejadian dan berpura-pura meminta air daripada wanita itu. Rokiah kemudian masuk ke dapur sebelum Mohd. Ikhwan mengekori mangsa dengan bertanyakan di mana tandas.

Mohd. Ikhwan kemudian menolak dan memeluk mangsa sebelum suspek menarik rantai leher emas yang dipakai mangsa. Rokiah menjerit meminta tolong namun cucunya, Shamsul bersama rakannya kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal. Kejadian ditolak dan diragut itu menyebabkan mangsa menderita sakit di seluruh badan. Shamsul kemudian ditangkap polis pada 4 Julai lalu diikuti Mohd. Ikhwan empat hari kemudian.

Hasil siasatan polis mendapati barang kemas yang dirompak telah dijual oleh kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur itu sebelum hasilnya dikongsi bersama.

Semasa rayuannya, Shamsul dari Padang Enggang, Jalan Pasir Hor, berkata, dia melakukan perbuatan itu kerana berada dalam pengaruh dadah selepas mengambil pil kuda dan sudah seminggu tidak tidur. Mohd. Ikhwan dari Kampung Kubur Kuda, Kota Bharu yang mempunyai empat rekod jenayah pula dalam rayuannya berkata, dia meminta hukuman diringankan kerana sudah insaf. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari memohon kedua-dua tertuduh diberikan hukuman yang setimpal atas kesalahan yang dilakukan.

"Apabila mangsa menjerit meminta tolong, cucu sepatutnya membantu tetapi dalam kes ini cucu bukan sahaja membiar neneknya disakiti bahkan telah melarikan diri dengan motosikal. "Jenayah dalam kes ini amat berat iaitu di dalam rumah sendiri, melibatkan warga tua dan ahli keluarga sendiri," kata beliau. Menurut Asmah lagi, alasan tertuduh pertama iaitu cucu mangsa bahawa ia melakukan perbuatan itu atas pengaruh dadah bukan satu pembelaan yang boleh diterima mahkamah. "Dadah itu diambil sendiri oleh tertuduh dan bukan dengan paksaan," kata Asmah.

Banduan menyamar polis dicekup

Posted: 24 Jul 2011 06:37 PM PDT


SALAH satu koleksi gambar suspek lengkap berpakaian seragam polis yang terdapat dalam album miliknya.


KOTA BHARU - Tembelang seorang bekas banduan yang menyamar sebagai polis berpangkat Inspektor dan Asisten Supritendan (ASP) untuk memperdaya orang ramai sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila dia ditahan di Jalan Long Yunus dekat sini Khamis lalu.

Lelaki berusia 34 tahun dari Miri, Sarawak itu ditahan ketika sedang memandu sebuah kereta Toyota Alphard yang disewa. Turut menemui 'vest' bertulis polis dan wang RM2,619.

Modus operandi suspek ialah akan mengaku sebagai pegawai kanan polis sebelum memperdaya mangsa kononnya dia mampu membebaskan rakan atau ahli keluarga mereka yang ditahan selain memiliki album gambar di mana dia memakai seragam polis dalam pelbagai aksi.

Difahamkan, dalam tempoh tersebut, suspek berjaya mengaut RM145,000 selepas memperdaya lima mangsa di Lembah Klang dan di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, polis kemudian telah menyerbu rumah suspek di Tanjong Chat dekat sini dan merampas gari, seragam polis, sarung tangan dan sarung pistol.

Katanya, selain itu, pihaknya turut menemui satu album gambar suspek lengkap berpakaian seragam, lencana polis, pangkat Inspektor dan ASP.

"Semakan mendapati suspek pernah terlibat memperdaya mangsa masing-masing seorang dari Dang Wangi, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Selangor, dan tiga di sini sebaik sahaja dibebaskan dari penjara tiga bulan lalu.

"Salah satu penipuan yang dilakukannya ialah menyamar polis dan berjanji dengan mangsa untuk membebaskan seorang suspek yang ditahan dengan kes dadah," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, suspek meneruskan kegiatannya dengan menyamar sebagai polis Bukit Aman dan meminta wang RM20,000 kononnya untuk membantu menyelesaikan urusan melelong barangan elektrik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Menurut Azham, pada Mei lalu, suspek bersama rakan wanitanya telah memperdaya seorang peniaga emas di Kubang Kerian dengan memberikan cek palsu selepas mendapat barang kemas bernilai RM125,000.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170/420 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam dan menipu. Sabit kesalahan dia boleh dipenjara 10 tahun, sebat dan denda.

Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barang-barang yang dibekalkan kepada pegawai polis. Dia boleh dipenjara enam bulan atau denda RM500.

Perkahwinan bukan bisnes

Posted: 24 Jul 2011 06:35 PM PDT




KIRA-KIRA dua bulan sahaja lagi, pasangan yang pernah dilanda kontroversi hebat suatu ketika dahulu iaitu Norman Hakim, 35, dan tunangnya Memey Suhaiza Suhaimi, 23, bakal disatukan sebagai pasangan suami isteri pada 24 September ini. Memey akan menjadi isteri yang sah kepada Norman selepas majlis akad nikah itu yang dijadualkan berlangsung di kediaman keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor selepas solat Asar.

Pada sebelah malamnya, keluarga Memey akan mengadakan majlis khatam Quran dan berinai serta keesokan harinya pula akan diadakan majlis resepsi berkonsepkan ala taman di kediaman yang sama.

Itu sahaja perancangan asal kedua bakal mempelai, namun tuah hadir untuk mereka dua minggu lalu apabila wakil butik aksesori terkenal Rafflesia, Bill Bora, menyatakan keinginan untuk menaja sepenuhnya majlis resepsi perkahwinan Norman dan Memey yang bakal diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur menjelang 28 September.

Ibarat bulan jatuh ke riba, mereka lantas menerima pelawaan baik tersebut seterusnya perbincangan kedua-dua belah pihak dilakukan. Tidak menyangka rezeki yang hadir begitu hebat, perkahwinan Norman dan Memey bakal ditaja sehingga RM12 juta!

"Saya tidak sangka perkahwinan kami bakal ditaja sedemikian rupa. Ia di luar bidang kuasa dan jangkauan kami. Sejujurnya saya rasa takut sebab letakkan diri dalam perkahwinan seperti ini.

"Tetapi terpaksa terima. Memang pada asalnya kami cuma ingin mengadakan satu sahaja majlis resepsi iaitu di kediaman Memey," ucap Norman yang menganggap segala kontroversi yang telah melanda dirinya dan Memey selama ini diberi hikmah dan rezeki.


NORMAN dan Memey kini sudah bersedia untuk melayari bahtera rumah tangga.


Ditebak dengan persoalan tidakkah majlis respesi perkahwinannya itu seperti sebuah urusan perniagaan, kata pemilik nama sebenar Mohamed Nurhakim Zaidon itu, dia tidak menganggap sebegitu. Ini kerana bagi Norman, itu semua sudah menjadi rezeki buat mereka berdua.

"Kami tidak anggap ini perkahwinan bisnes. Ini semua sudah rezeki kami. Bill Bora sendiri meminta pendapat dan keizinan kami untuk lakukan semua ini," katanya.

Dalam pada itu Memey pula memberitahu kesemua idea mengenai majlis resepsi perkahwinan mereka pada 28 September itu bukan seratus peratus datang daripada Bill semata-mata, sebaliknya Norman dan dirinya sendiri ada memberi pendapat masing-masing.

"Perkara ini very open. Ia bukan idea orang lain semata-mata," ujar Memey ketika ditemui selepas sidang akhbar di Hotel Crown Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, Jumaat lepas.

New York Look

Memperincikan majlis resepsi perkahwinan Memey dan Norman itu, ia sebenarnya akan ditaja sepenuhnya oleh Rafflesia. Selain itu, enam penaja turut bekerjasama memberikan tajaan iaitu termasuklah Lord's Tailor, Snips, Crowne Plaza Mutiara Hotel, Angsana Spa, Naz Great Ideas dan Prof. Datuk Jimmy Choo.

Bill yang juga merupakan selaku perancang perkahwinan pasangan itu memberitahu, majlis resepsi tersebut akan berkonsepkan New York Look dan ia diadakan khas buat para media dan selebriti tanah air serta selebriti antarabangsa.

"Sememangnya majlis tersebut diadakan buat para media dan selebriti. Dijangka seramai 200 orang tetamu daripada media, selebriti tanah air dan antarabangsa akan hadir," katanya.

Paling beruntung sudah tentunya Memey apabila dia dikhabarkan akan memakai sebanyak dua persalinan baju yang bersalut mutiara Rafflesia bernilai RM1 juta, set barangan kemas yang bernilai RM5.6 juta dan kasut rekaan buat Memey khusus daripada Jimmy Choo berharga RM600,000.


BAKAL pengantin bersama barisan penaja majlis resepsi perkahwinan mereka (dari kiri) Pengarah Urusan Lord's Tailor, Loh Lee Lee, Datuk Jimmy Choo dan Pengarah Rafflesia, Winnie Sim.


Menurut Bill lagi, dua gaun disalut mutiara yang bakal dipakai Memey adalah untuk persandingan dan acara memotong kek perkahwinan.

"Harga gaun itu mengalahkan gaun persandingan yang pernah dipakai penyanyi nombor satu, Datuk Siti Nurhaliza yang berharga RM400,000," dedahnya.

Justeru apa pula perasaan Memey apabila dikatakan merupakan selebriti Malaysia pertama yang memakai kasut rekaan khas bertatahkan mutiara rekaan Jimmy Choo? Memey mengakui dia berasa cukup bertuah dan teruja kerana berpeluang menggayakan kasut sentuhan pereka terkenal dunia seperti Jimmy Choo yang pernah mencipta kasut untuk individu-individu ternama dunia termasuk mendiang Puteri Diana.

"Ia bagaikan mimpi menjadi nyata kerana saya dapat memakai rekaan Jimmy Choo pada majlis resepsi perkahwinan saya itu nanti. Saya difahamkan saya adalah satu-satunya artis dari Malaysia yang memakai kasut daripada sentuhan Datuk Jimmy Choo pada perkahwinan. Saya sangat teruja dan bersyukur dan anggap ini rezeki yang tidak diduga," luah Memey terharu.

Abby Abadii dijemput

Sementara bagi persalinan gaun Memey, Bill memberi peluang kepada semua pereka fesyen tempatan untuk menghantar rekaan masing-masing dan pihak Rafflesia akan memilih yang terbaik.

"Kami beri peluang kepada semua pereka fesuen untuk mereka gaun kahwin Memey. Gaun tersebut harus bersesuaian dengan padanan mutiara Rafflesia," kata Bill.

Menyentuh mengenai dekorasi dewan resepsi itu nanti pula ia bakal dihasilkan oleh pereka terkenal Naz Great Ideas. Rekaan glamor ala New York Look itu bakal diterapkan di dalam Nirwana Ballroom, Hotel Crown Plaza dan dewan ballroom itu juga nanti akan dipenuhi sebanyak tujuh lori aksesori termasuk bunga-bunga segar berwarna putih.

Ditanya pula kepada Norman adakah dia nanti akan menjemput bekas isterinya, Abby Abadi ke majlis resespsi tersebut, kata Norman dia sudah semestinya akan menjemput Abby dan anak-anaknya hasil perkahwinan mereka dahulu.

"Sudah pasti saya akan menjemput Abby dan anak-anak. Diapun sudah menghantar ucapan tahniah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS)," kata bapa kepada Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 9, dan Maria Danisha Hakim,3, itu.

Nilai eksklusif Anuar Zain

Posted: 24 Jul 2011 06:01 PM PDT


ANUAR ZAIN berharap dapat membuat persembahan konsert solo di Istana Budaya.


ANUAR ZAIN, satu nama yang cukup besar dalam industri seni suara tempatan, letakkan dia di mana-mana persembahan pasti tiket laris dijual. Begitu juga halnya dengan persembahannya baru-baru ini Up Close and Personal With Anuar Zain yang berlangsung selama dua hari di Menara Kuala Lumpur.

Persembahan sempena dengan Festival Kuala Lumpur 2011 itu dilihat berjaya apabila peminat setia Anuar Zain memenuhi segenap ruang Mega View Banquet Hall meskipun tiket persembahan bermula daripada RM500 sehingga RM1300, satu harga yang cukup mahal.

Kata Anuar yang ditemui selepas persembahannya selesai, dia bersyukur dan berterima kasih buat peminat yang sanggup hadir ke persembahannya kerana sedar harga tiket bukannya murah.

"Saya beri sepenuh hati saya untuk menyanyi malam ini kerana peminat yang hadir membayar harga yang cukup tinggi, jadi saya harus memberikan sebuah persembahan yang berbaloi dengan wang dilaburkan mereka," ujarnya.

Meskipun persembahannya bermula tepat pada pukul 10 malam, lewat setengah jam daripada jadual asal, bukannya satu masalah besar buat peminat dan Anuar sendiri. Sebelum Anuar menguasai pentas, penonton terlebih dahulu dihiburkan dengan celoteh Afdlin Shauki yang cukup mencuit hati.

Anuar membuka tirai persembahan dengan lagu Ku Berjanji Karna Cinta dan seterusnya menyanyikan lagu Kau Bunga Cintaku, Ketulusan Hati serta Kaulah Satunya.

Peminatnya tanpa diminta turut serta menjadi penyanyi latar secara percuma. Bukan itu sahaja, jika sudah namanya Anuar Zain tidak sah setiap persembahannya dia tidak dikerumuni peminat.

Kemudian, bagi memberi kelainan dalam persembahnnya kali ini, Anuar menyanyikan semula lagi dendangan asal penyanyi Sohaimi Mior Hassan iaitu lagu Epilog Cinta Dari Bromley dan Tiada Maaf Bagimu daripada Datuk Sharifah Aini dan sebuah lagu Inggeris, Cry Me A River dengan gubahan muzik baru.

"Kesemua lagu-lagu yang saya nyanyikan malam ini dipilih oleh saya sendiri dan saya sengaja buat kelainan dengan menyelitkan lagu-lagu lama yang saya minati. Begitu juga dengan barisan lagu-lagu saya yang jarang didendangkan dalam persembahan pentas, selalunya peminat sudah dapat tahu susunan lagu saya tetapi hari ini berbeza," katanya.

Selain itu Anuar turut mendendangkan lagu Suria & Siarra, Semua Untukmu dan lagu berhantunya buat masa ini Sedetik Lebih sebagai lagu penutup. Rasanya terlalu pantas masa berlalu kerana Anuar hanya mendendangkan 10 buah lagu secara keseluruhannya.

Namun, apa yang pasti peminatnya pulang dengan perasaan puas kerana dapat menatap wajah penyanyi pujaan dari jarak dekat selain mendengar secara langsung vokal mantap daripada Anuar.


ANUAR ZAIN sentiasa dikerumuni peminat dalam setiap persembahannya.


Album

Apabila disoal mengenai perkembangan terbaharunya, Anuar memberitahu dia kini sibuk dengan proses menyiapkan album terbaharu selepas empat tahun tanpa sebarang album.

Menegaskan dia mahu kualiti dan lagu yang terbaik dimuatkan dalam album itu, masa yang panjang serta pelaburan yang besar terpaksa diharungi demi kepuasannya serta peminat yang mendengar album itu kelak.

"Album keempat saya memang sudah siap sepenuhnya tetapi saya tidak puas hati dengan proses adunan dan mastering album itu.

"Buat masa ini, saya dan pihak pengurusan sedang menilai semula album itu untuk meneliti masalahnya. Saya mengakui kos penerbitan album ini sudah meningkat sehingga boleh menerbitkan dua buah album lagi. Jika semuanya berjalan lancar, saya harap ia dapat dipasarkan dalam tahun ini juga," tuturnya.

Melihat barisan tenaga kreatif yang terlibat dalam album baharunya, nampaknya Anuar lebih percaya kepada komposer seberang kerana daripada lapan buah lagu yang terkandung dalam album itu hanya dua daripada merupakan hasil kerja komposer tempatan.

Bagaimanapun, Anuar ada alasannya sendiri mengapa dia memilih enam buah lagu daripada komposer Indonesia.

"Saya pilih enam lagu daripada Indonesia kerana mereka ada bunyi yang saya mahukan. Bukan saya kata Indonesia lagi bagus daripada Malaysia, sebenarnya ada bunyi yang mereka ada tetapi kita tidak ada, begitulah sebaliknya.

"Ada juga komposer kita yang lebih hebat daripada mereka, cuma untuk album saya, saya selesa bekerja dengan mereka tambahan lagu-lagu yang dibikin mereka sesuai untuk saya itu sahaja, selain kos pembikinan lagu di sana jauh lebih murah daripada Malaysia," terangnya lagi.

Anuar juga memberitahu pada 30 September depan, dia dan kakaknya Ziana Zain bakal membuat sebuah konsert khas sempena raya di Esplanade, Singapura.

Dalam pada itu, Anuar juga menyimpan impian untuk mengadakan sebuah konsert solonya.

"Kalau bercakap tentang konsert solo memang tidak habis-habis, cuma masalahnya kita masih mencari penaja, kalau ada rezeki saya akan lakukan," katanya yang teringin membuat konsert di Istana Budaya.

Paris Hilton berang

Posted: 24 Jul 2011 05:59 PM PDT


PARIS HILTON


PARIS HILTON memang selalu dipandang enteng oleh banyak pihak kerana sikap selebriti itu sendiri yang dikatakan kurang cerdik. Malah dia selalu 'ditembak' dalam temu bual mengenai sumbangan dan kerjaya seninya.

Seperti baru-baru ini, dalam satu temu bual bersama ABC News, Paris telah ditanya mengenai popularitinya yang semakin merudum selain banyak nama baharu seperti Kim Kardashian yang mula mengambil alih dunia program realiti seperti yang dimilikinya.

"Adakah kamu risau tentang sinar bintang kamu yang semakin malap dan orang seperti Kim Kardashian merampas populariti kamu sekarang?" soal hos Dan Harris.

Mendengarkan dua soalan tersebut, ternyata telah membuat Paris berang. Dia bukan sekadar menunjukkan rasa kurang senang sewaktu ditemu bual, lebih daripada itu, Paris telah menghentikan temu bual sebelum kembali semula selepas emosinya tenang.

Setelah cukup tenang, wanita berusia 30 tahun itu akhirnya bersedia untuk kembali ditemu bual dan menjelaskan bagaimana dia berusaha untuk tetap maju.

"Saya sudah berada dalam bisnes ini selama 15 tahun. Ia satu tempoh yang agak lama. Seperti orang lain, dengan tempoh yang panjang ini, setiap daripada kami harus memajukan diri atau membuat projek baharu. Begitu juga saya, saya sentiasa memajukan diri untuk terus kekal di sini," ujarnya.

Bertukar ke alatan cekap tenaga

Posted: 24 Jul 2011 05:58 PM PDT




SEWAKTU kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik pada 1 Jun lalu, mereka yang menggunakan elektrik pada kadar kurang daripada 300kWj sebulan atau RM77 ke bawah pastinya menarik nafas lega.

Kenaikan itu hanya memberi kesan kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 301 hingga 1,000kWj sebulan. Bagaimanapun, kelebihan itu mungkin tidak akan berterusan.

Menurut Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, kos bahan api semakin meningkat dan ia adalah kos tertinggi bagi industri elektrik. Beliau membuat andaian itu berdasarkan laporan Imbangan Tenaga Kebangsaan (NEB) 2008.

"Menurut NEB, campuran bahan api untuk penjanaan elektrik adalah gas asli iaitu sebanyak 56.6 peratus , arang batu (33.4), hidro (8.1), diesel (1.2) dan minyak bahan api (0.7)," katanya.

Statistik NEB itu jelas dapat dilihat dua komponen utama yang mempengaruhi tarif elektrik iaitu gas asli dan arang batu.

Tambah beliau, gas asli dibekalkan oleh Petronas pada harga subsidi berdasarkan harga formula kerajaan. Sementara itu, arang batu pula dibeli dari luar negara berdasarkan harga pasaran antarabangsa.

"Kenaikan harga arang batu masih diserap oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas permintaan Kerajaan Persekutuan," kata Piarapakaran semasa mengulas impak kenaikan tarif elektrik yang diumumkan kerajaan Jun lepas.

Kenaikan tarif elektrik itu adalah untuk mengurus kenaikan harga gas asli dan pelaksanaan Feed-in Tariff (FiT) iaitu mekanisme yang diperkenalkan kerajaan bagi mempromosi pembangunan Tenaga Diperbaharui (RE).

Usaha itu, kata beliau, dibuat melalui penubuhan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) yang bertanggungjawab menguruskan Dana RE yang dikumpul melalui tarif elektrik pengguna.

Tenaga diperbaharui

"Satu peratus daripada tarif kita disumbangkan kepada Dana RE. Bagaimanapun, keperluan ini dikecualikan bagi pengguna domestik yang penggunaan elektriknya di bawah 300kWj sebulan," jelas Piarapakaran.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan bercadang meningkatkan campuran tenaga RE yang kini kurang daripada 1 peratus kepada sekitar 5.5 peratus pada tahun 2015.

SEDA dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2011 dan mempunyai masa empat tahun untuk mencapai sasaran seperti yang ditetapkan RMK10.

Dari segi penggunaan tenaga asas (semua bentuk sumber tenaga), Malaysia mencatat peningkatan pada kadar 6.1 peratus antara tahun 2000 hingga 2008.

Permintaan meningkat

Peningkatan permintaan tenaga bukan sahaja mempunyai kaitan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) malah pertambahan jumlah penduduk negara. Keadaan itu membuktikan bahawa permintaan tenaga di Malaysia akan sentiasa meningkat daripada nilai anggaran purata dunia.


BANYAK peralatan di dalam kediaman perlu diberi perhatian terutamanya dari segi tempoh penggunaan, usia produk, penyelenggaraan dan kecekapannya menggunakan tenaga. - Gambar hiasan


Dalam keadaan itu, kerajaan perlu menjamin industri elektrik masih mampu memberikan tarif yang saksama kepada semua pengguna.

"Ini penting untuk perkembangan ekonomi yang berterusan. Kebimbangan AWER adalah untuk kerajaan memastikan Malaysia kekal sebagai pasaran yang berdaya saing untuk pelabur.

"Disebabkan kerajaan sedang merasionalisasi subsidi, tarif elektrik menjadi parameter yang penting untuk dikaji. Kita sudah pun mula hilang tahap kompetitif kepada Thailand dan Korea Selatan," ujarnya.

Dalam hal berkaitan, Piarapakaran berkata pihaknya ingin mencadangkan supaya proses penetapan tarif yang telus dengan pembabitan rakyat dapat dilaksanakan.

Melalui proses yang sedemikian, rakyat boleh menerima sebarang kenaikan tarif tanpa sebarang keraguan dan dapat memainkan peranan mereka secara lebih bertanggungjawab.

Pada masa yang sama, pihak peniaga serta pelabur boleh merancang operasi mereka dengan lebih teliti.

Setiap kali berlaku pelarasan tarif elektrik, isu utama yang sering dibangkitkan ialah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara TNB dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Lazimnya, perkara yang menjadi tumpuan untuk PPA ini ialah kos bahan api.

Menurut Piarapakaran, mekanisme penyaluran kos bahan api yang dipraktikkan sekarang di bawah PPA agak kabur. Rakyat juga perlu dimaklumkan dengan lebih jelas mengenai kos bahan api yang memberi impak kepada tarif.

"Daripada kajian kami, IPP mengambil masa kurang daripada 10 tahun untuk memperoleh kembali perbelanjaan modal. Ini menunjukkan IPP tidak mempunyai sebarang risiko dalam perniagaan elektrik.

"IPP juga mendapat pinjaman kewangan untuk melaksanakan projek-projek mereka dan semua kos ini akhirnya disalurkan kepada rakyat sebagai tarif.

"Sektor penjanaan elektrik mesti dikawal selia dan kita tidak boleh membiarkan pihak-pihak tertentu hanya mengutamakan keuntungan seterusnya mengabaikan kesejahteraan rakyat," tegas Piarapakaran.

Langkah ideal

Sehubungan itu, rakyat Malaysia disaran untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga melalui pembelian alat elektrik yang cekap tenaga. Golongan yang tidak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik juga disyor untuk berbuat demikian.

Pengguna juga perlu mengenal pasti alat yang banyak menggunakan tenaga elektrik khususnya peralatan yang fungsinya memanaskan, menyejukkan dan berputar.

Perbuatan membiarkan peralatan dalam mod sedia juga perlu dielakkan selain keperluan menyelenggara alat-alat elektrik secara berkala.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian berat oleh pengguna ialah peralatan yang berusia lebih daripada 10 tahun kerana ia menggunakan hampir tiga kali ganda penggunaan tenaga elektrik berbanding model terkini di pasaran.


PERALATAN elektrik yang berusia lebih daripada 10 tahun menggunakan hampir tiga kali ganda penggunaan tenaga berbanding model terkini. - Gambar hiasan


Piarapakaran menjelaskan bahawa sebagai permulaan, kerajaan Persekutuan memberikan rebet untuk pendingin hawa sebanyak RM100 dan peti sejuk sebanyak RM200 yang cekap tenaga serta mempunyai label lima bintang.

Tawaran itu, katanya adalah untuk jenama-jenama yang menyertai program ini di lokasi-lokasi terpilih sehingga akhir 2011.

Pada masa yang sama, kaedah penggunaan atau pemasangan peralatan dengan betul adalah penting untuk memastikan tidak berlaku kenaikan mendadak bil.

Penipuan

Dalam keterujaan mengurangkan kos penggunaan elektrik, pengguna bagaimanapun dinasihatkan supaya berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Piarapakaran memberitahu, kini terdapat banyak produk yang mendakwa boleh mengurangkan penggunaan elektrik termasuk mengurangkan pembacaan meter.

"Dakwaan jurujual yang menyatakan bahawa Suruhanjaya Tenaga, TNB dan SIRIM telah memberi pengiktirafan kepada barangan seperti itu adalah tidak benar.

"Sekiranya ada orang awam atau peniaga didatangi jurujual-jurujual ini, segera laporkan kepada Suruhanjaya Tenaga," tegasnya.

Piarapakaran berkata pihaknya telah memulakan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pasar raya-pasar raya besar supaya tidak membenarkan jurujual berkenaan membuka kedai di lokasi mereka.

Menjaga keharmonian di spa

Posted: 24 Jul 2011 05:55 PM PDT


SUASANA spa yang mendamaikan memberi ketenangan kepada pengunjung dan konsentrasi positif kepada kumpulan terapi.


SEJAK hampir sedekad lalu, bisnes spa atau pusat rawatan kesihatan dan kecantikan berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan di negara ini. Hujung minggu ataupun pada sebelah petang antara waktu puncak yang menjadi pilihan individu mengunjungi spa untuk mendapatkan rawatan dan merehatkan minda.

Kesibukan menguruskan hal-hal di pejabat, keluarga dan urusan peribadi apatah lagi, menjalani kehidupan dalam era serba moden dan ingin lari seketika daripada hiruk-pikuk kota raya antara faktor yang mendorong individu menenangkan fikiran di spa.

Namun, dalam keghairahan masyarakat berkunjung ke spa masih ramai yang alpa dan mengambil ringan etika penting saat berkunjung ke sana. Walaupun, beberapa etika kelihatan sangat mudah dan ringkas, namun ia boleh memberi kesan kepada rawatan kecantikan yang diambil.

"Hari ini kebanyakan individu sama ada golongan wanita atau jejaka memilih spa untuk menenangkan minda dan meregang badan. Soal harga rawatan yang mahal ataupun murah, biasanya tidak menjadi masalah kerana rata-rata pengunjung lebih menitikberatkan tentang rawatan ideal.

"Namun kadangkala kami kesal kerana wang dibelanjakan untuk sebarang rawatan bagaikan sia-sia. Mengapa? Ini disebabkan pelanggan tempatan masih kurang peka pada etika ketika berada di spa. Situasi ini benar-benar merugikan diri," jelas Pengurus Taman Sari Royal Heritage Spa, Orni Yusniza Othman ketika ditemui Stailo di Wisma Mustika Ratu, Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.


PIHAK spa melarang pengunjung spa merokok atau mengambil minuman keras ketika berada di spa.


Bicara wanita yang mesra disapa Orni itu, salah satu kesalahan yang kerap dilakukan pelanggan contohnya tidak menjamah makanan sebelum menjalani rawatan. Biasanya ia berlaku dalam kalangan pelanggan yang memilih khidmat rawatan pelangsingan badan. Mereka menyifatkan sajian yang dinikmati membuatkan berat badan semakin bertambah dan akan menjejaskan hasil rawatan.

"Ia persepsi yang salah. Sepatutnya antara dua atau tiga jam sebelum rawatan pelanggan wajar mengisi perut dengan makanan yang sihat dan membekalkan tenaga roti, buah-buahan ataupun bijirin. Amalan ini penting bagi mengelakkan pelanggan keletihan dan tidak bermaya ketika menjalani rawatan.

"Saya pernah berhadapan dengan insiden pelanggan pengsan sewaktu melakukan rawatan. Selepas diselidik dia mengalami kekurangan air dan perut kosong. Padahal, dalam borang soal jawab pelanggan berkenaan memberi jawapan, dia sudah menikmati sajian dan sebagainya," terang Orni yang turut menegaskan supaya pelanggan sentiasa memberi jawapan jujur sewaktu menjalani sesi rundingan bersama ahli terapi.

Tambah Orni yang merupakan anak didik pengasas Mustika Ratu, Ibu Mooryati Soedibyo, berbual telefon dengan nada suara yang kuat dan membalas Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), dalam tempoh rawatan antara tindakan pelanggan yang tidak beretika. Tabiat berkenaan bukan sahaja mengganggu konsentrasi ahli terapi malah, ia menjejaskan sesi rawatan.

Seharusnya sebaik saja melangkahkan kaki ke dalam spa, pelanggan perlu segera mematikan telefon bimbit atau meletakkannya dalam mod senyap.

Selain itu, etika di spa juga meletakkan garis panduan kepada pasangan suami isteri yang menjalani rawatan kecantikan di spa yang sama.




"Nasihat saya, suami dan isteri yang berkunjung ke spa supaya menjaga tingkah laku dan berkelakuan sopan. Bergelar pasangan yang sah daripada sisi hukum agama tidak bermakna mereka bebas melakukan perkara seperti bercium, berpeluk atau bersentuhan di dalam bilik rawatan.

"Jaga batas masing-masing. Jangan lakukan perkara yang boleh memberikan situasi kurang menyenangkan kepada ahli terapi dan pelanggan yang lain," kata Orni yang turut menghalang keras pelanggan yang ingin menghisap rokok dan meminum minuman keras di dalam spa.

Disiplin tentang masa

Sementara itu, Pengurus Edz Enterprise yang mengendalikan Edzscape Spa di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, Edzrina Esa menjelaskan, segelintir pelanggan sanggup membawa anak-anak kecil khususnya ke spa. Alasan mereka, tiada penjaga untuk menguruskan anak-anak.

"Tidak salah untuk membawa anak-anak tetapi ibu atau bapa harus melatih dan mendisiplinkan mereka supaya menjaga tingkah laku. Tabiat kanak-kanak mereka suka bermain, ketawa dan menangis sehingga situasi ini mengganggu suasana damai di spa.




"Sebab itu, di Edzscape Spa kami bertanggungjawab menyediakan satu ruang yang luas untuk ahli keluarga menunggu si ibu menjalani rawatan. Enggan membiarkan suara bising kanak-kanak ketika bermain mengganggu pelanggan lain maka kami memisahkan ruang tersebut dengan pintu kedap bunyi," ujar Edzrina yang turut menitikberatkan aspek janji temu.

Lazimnya, bagi kebanyakan spa mereka menyarankan agar pelanggan membuat janji temu dua hari sebelum rawatan bagi mengelakkan pertindihan jadual dengan pelanggan lain.

Jelas wanita berusia 24 tahun tersebut selain melakukan tempahan temu janji terlebih dahulu, pelanggan juga dinasihatkan supaya menepati masa yang telah ditetapkan. Sekiranya, pelanggan berhadapan masalah dan lewat tiba di spa, mereka wajar menghubungi pihak spa supaya waktu yang terluang itu diisi dengan pelanggan lain.

Dewi warna-warni Jaspal

Posted: 24 Jul 2011 05:55 PM PDT


GAYA kasual dan santai yang sentiasa memenuhi cita rasa jejaka yang gemarkan penampilan santai kasual.


MENGGUNAKAN pilihan warna-warna gelap serta fabrik denim atau corak berkotak yang pelbagai, ia bagi mencipta personaliti dan gaya dalam dres maxi.

Demikian antara gambaran koleksi musim panas Jaspal kali ini dimulakan dengan warna-warna gelap tetapi, masih menyerlahkan kewanitaan pemakainya.

Kegilaan kepada corak monokrom pula tampil dalam rekaan jumpsuit dan dres feminin yang menyerlahkan bentuk tubuh, menyuntik keyakinan dalam busana klasik hitam putih sama ada pilihan dres labuh atau padanan skirt pendek.

Bagi penggemar motif bunga-bungaan, emosi kewanitaan pasti terserlah dalam pilihan dres pendek dan jumpsuit yang mendedahkan bahu dan dihiasi cetakan bunga-bungaan yang mekar, sesuai digayakan untuk menghadiri parti berkonsepkan taman.

Tidak dinafikan fabrik renda semakin menjadi pilihan masa kini, justeru, dres pendek yang dibuat menggunakan fabrik renda direka khas agar sesuai untuk apa sahaja acara.

Selain dres, seluar panjang dan pendek daripada fabrik renda putih mulus merupakan pilihan yang turut menyerlahkan sisi kelembutan dan fesyen tanpa cela.

Gaya vintaj

Penampilan vintaj yang tidak ditelan zaman, kini tampil dalam rekaan-rekaan khas buat gadis vintaj yang menyerlahkan siluet sepanjang zaman dalam dres maxi kuning yang sesuai digayakan untuk acara siang dan malam.

Blaus dengan cetakan arnab rona merah jambu pasti menjadi kegemaran gadis, manakala seluar midi yang suatu masa dahulu kian dilupakan pula semakin menjadi pilihan kini.

Koleksi Jaspal kali ini juga mempersembahkan palazo dalam pelbagai pilihan fabrik dan cetakan sama ada polka dot, jalur dan bunga-bungaan. Alunan kelembutan palazo merupakan gaya terkini yang longgar, malah semakin besar rekaannya, semakin hip penampilan pemakainya.


GAYA petang yang ringkas dan chic sesuai untuk menghadiri acara petang bersama rakan.


Fabrik denim juga menjadi pilihan ramai terutamanya kalangan gadis sama ada dalam pilihan blaus, seluar dan skirt pendek, dres labuh dan pendek. Yang pasti, semuanya ada di Jaspal.

Dres maxi magnitud sesuai bagi mereka yang mahu tampil berani dan bergaya dalam rekaan yang turut disediakan dalam cetakan berkotak. Corak itu turut tampil dalam rekaan kemeja yang juga sesuai digayakan bersama palazo.

Bagi mereka yang mahu tampil rileks dan bersahaja, pilihan kemeja T pasti memenuhi cita rasa. Cetakan bergaya dalam corak yang comel dan bersahaja mahupun sekadar jalur melintang mewujudkan emosi ceria dan remaja.

Tidak lengkap sekiranya koleksi kali itu melupakan blaus tanpa corak dan rona polos bagi mereka yang gemarkan kesederhanaan dalam penampilan. Justeru, pilihan warna terkini dalam navi dan ungu sesuai disemat ke dalam seluar bagi mencipta keanggunan.

Top knit pula sesuai bagi mereka yang ingin tampil sederhana tetapi, masih mampu mencuri perhatian si jejaka. Fabrik polos dalam rona-rona pilihan terkini seperti turquoise, hijau, oren, putih mutiara serta ungu dan hijau lembut yang dipakai sedikit longgar menyerlahkan refleksi keselesaan.

Tidak dilupakan pilihan seluar pendek yang menimbulkan sensasi dalam warna coklat dan kelabu hued yang dipadankan dengan kemeja mahupun kemeja T yang pantas mencipta gaya formal mahupun kasual.

Kelembutan para gadis juga terserlah dalam pilihan skirt paras lutut yang lembut dan beralun mengikut rentak kaki dan tiupan angin.

Rekaan bagasi artistik

Posted: 24 Jul 2011 05:54 PM PDT


KOLEKSI fiber lite turut tampil dengan pilihan warna hijau iguana, hitam dan merah.


BAGASI sememangnya menjadi salah satu elemen pertama percutian yang sering menimbulkan masalah. Sama ada ia terlalu berat berbanding barangan yang dibawa, tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan atau sekadar rekaan yang tidak menarik.

Generasi klasik Delsey sudah memikirkan perkara-perkara tersebut sebelum tampil dengan koleksi bagasi terbaharu mereka sempena tahun 2011 ini. Justeru, rekaan kali ini bukan sahaja artistik, malah lengkap ciri-ciri keselamatan yang dipatenkan.

Pengguna pastinya tertarik dengan rangkaian Fiber Lite daripada Delsey yang ringan, kekuatan zipnya adalah empat kali ganda berbanding zip bagasi biasa yang dibangunkan dengan teknologi Zip Securi Tech, malah pad kekuncinya dilengkapi sistem Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) yang memenuhi standard keselamatan Amerika Syarikat (AS).

Ia adalah inovasi teknologi dan sistem yang mengurangkan risiko kecurian barangan peribadi. Beg dengan rangka gentian kaca seberat 3.6 kilogram itu juga pasti menjadi pilihan pengembara yang inginkan keselesaan apatah lagi troli empat rodanya tidak membebankan pengguna berbanding beg sandang.

Rangkaian Inbox disediakan dalam warna ungu lembut (lilac), hijau iguana, merah dan hitam bersaiz 44 sentimeter (sm) X 65sm X (diameter) 30/34sm.

Rangkaian Inbox pula diinspirasikan oleh pengembaraan di bawah keadaan ekstrem. Tujuh Inovasi teknologi major terdapat di dalam bagasi itu. Rekaan luarannya yang cantik mudah dibersihkan dan tahan lasak.

Bagasi bergaya tersebut juga ringan dan mudah digerakkan menggunakan roda empatnya. Sistem keselamatan yang sama seperti Fiber Lite melengkapi ciri-ciri keselamatan.

Ia juga dibangunkan menggunakan 100 peratus tekno-polikarbonat yang diakui kekuatannya dan kalis air bagi melindungi sepenuhnya barangan yang dibawa.

Rangkaian itu tampil dengan warna hitam, logam dan tembaga, manakala saiznya ialah 46 X 63 X 27 cm.

Sementara itu, rangkaian Karat pula direka seperti seni moden dengan rupa yang diperhalusi supaya tampil dengan personaliti unik tanpa mengenepikan ciri-ciri ringan dan sistem keselamatan Delsey.

Roda bergandanya memberi keselesaan penuh dan senyap semasa digerakkan. Ia begitu cantik, praktikal dan selamat. Ia sememangnya menjadi bagasi yang mesti dimiliki setiap orang dan juga sesuai sebagai bagasi simpanan gajet elektronik.

Bagasi dengan rekaan seakan permata itu tampil dalam warna kelabu, putih dan perak serta disediakan dalam saiz 45sm X 65sm X 29sm.

Sementara itu, rangkaian Lite Gloss mensasarkan pengembara muda yang mahu tampil bergaya dan trendy. Warna-warna yang ditampilkan begitu serasi dengan golongan ini iaitu hitam, perak dan merah berkilat di atas material polikarbonatnya.

Material terkini inilah yang menjadikan bagasi tersebut ringan tetapi kuat dan lasak. Pembahagian bahagian dalamannya yang luas dan ruang berzip dapat mengasingkan baju kotor dan baju bersih.

Stail kasual Pippa

Posted: 24 Jul 2011 05:52 PM PDT


PESONA adik ipar kepada Putera William terserlah dalam gaun mini bermotif bunga.


SEBELUM ini Philippa Charlotte Middleton, 27, bukan sesiapa di mata masyarakat dunia. Dia tidak dikenali ramai dan menjalani rutin harian dengan tenang tanpa sebarang gangguan. Boleh dikatakan sebahagian masanya menguruskan bisnes parti, Party Pieces, iaitu perniagaan yang diasaskan oleh ibu bapanya dan beroperasi secara dalam talian.

Ruang privasi buat dirinya dan teman-teman jarang sekali menjadi tumpuan ramai. Dia juga bebas melakukan bermacam-macam aktiviti dan mengunjungi pelbagai destinasi.

Namun kini, situasi Philippa atau nama timangannya Pippa, sudah berubah. Sejak menjadi pengapit kakaknya, Kate Middleton, yang mengahwini pewaris takhta kedua Britain, Putera William, kehadiran Pippa mula meraih perhatian luar biasa dalam kalangan media dan lensa paparazi.

Ramai yang terpesona dan memuji keanggunan Pippa yang tampil ringkas dalam persalinan dres putih polos rekaan pengarah kreatif jenama Alexander McQueen, Sarah Burton, sewaktu mengiringi Kate pada hari persandingan. Kejelitaan Pippa semakin terserlah pada majlis resepsi yang berlangsung pada sebelah petang.

Pada acara berkenaan, wanita lulusan Ijazah Bahasa Inggeris, Universiti Edinburgh, United Kingdom (UK) tersebut menggayakan gaun warna hijau zamrud yang seksi di bahagian dada. Menurut Temperley London yang bertanggungjawab mereka gaun indah, dia seronok kerana berpeluang bekerjasama dengan Pippa yang disifatkan memiliki cita rasa fesyen yang tinggi.

"Pippa tidak cerewet. Dia bijak memilih warna fabrik dan potongan gaun yang bersesuaian dengan ton kulitnya. Lagipun warna hijau merupakan warna kesukaannya," tutur London dalam satu temu bual.


PIPPA bergaya dengan beg tangan material kulit bersama kasut kegemarannya warna krim.


Kebanyakan pemerhati dan komentar fesyen menyifatkan Pippa bijak dalam aspek fesyen. Tidak kira menghadiri majlis keramaian, berparti atau bersantai, setiap pakaian yang membalutinya tubuhnya semuanya tampak sempurna.

Kini, penampilan Pippa dalam fesyen jalanan ataupun kasual sentiasa menjadi subjek bidikan lensa paparazi. Bertambah menarik, koleksi foto gaya Pippa itu laris dipaparkan dalam ruangan fesyen majalah buat tatapan pembaca.

Bergelar adik ipar kepada keluarga diraja Britain sedikitpun tidak mendorong Pippa untuk memiliki koleksi pakaian berjenama. Sebaliknya, anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu selesa membeli pakaian yang mengikut trend sesama meskipun ia dijual pada harga sederhana.

Buktinya, sehari selepas hari persandingan kakak kesayanganya, Pippa yang pernah menjalinkan hubungan cinta bersama bekas pemain kriket, Alex Loudon, kelihatan bergaya dengan menyarungkan jaket warna biru jenama Zara.

Jaket berharga AS$100 (RM350) yang bertatah tiga butang kuning keemasan itu dipadankan bersama blaus nuansa krim, seluar denim putih dan kasut bertapak rata ala balet.

Selain itu, gaya ranggi Pippa memakai baju T warna merah terang dan berjaket hitam turut menjadi tumpuan. Stail tersebut diserikan dengan seluar jean potongan tirus jenama Hudson yang berharga AS$187 (RM654) bersama but hitam dan cermin mata hitam jenama Gucci.

Tidak ketinggalan gaya Pippa ke pejabat sambil menjinjing beg komputer riba. Penampilan ringkas dalam persalinan gaun mini tiga warna jenama Zara yang berharga AS$60 (RM210). Dia memadankan bersama kardigan warna dan sepatu nuansa putih.

Juara Doktor Kecil Lifebuoy

Posted: 24 Jul 2011 05:25 PM PDT


PASUKAN Doktor Kecil dari SK Tasik Damai, Perak dinobatkan sebagai juara Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy.


ANAK-ANAK muda Malaysia masa kini lebih menyedari keperluan amalan menjaga kebersihan.

Buktinya dapat dilihat dalam pertandingan antara sekolah di seluruh negara yang dipelopori oleh Lifebuoy, jenama sabun perlindungan daripada kuman No. 1 Dunia.

Pertandingan enam minggu Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy bertujuan untuk memberi penekanan positif rakan sebaya secara berkesan untuk menggalakkan murid sekolah mengamalkan tabiat kebersihan.

Amalan itu termasuk membasuh tangan dan membersihkan diri dengan sabun semasa melakukan lima perkara penting setiap hari iaitu ketika mandi, selepas menggunakan tandas, sebelum sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Sebanyak 16 buah sekolah iaitu wakil-wakil sekolah dari setiap negeri dan tiga Wilayah Persekutuan menyertai cabaran itu.

Setiap sekolah telah diwakili oleh murid tahun empat atau lima bersama seorang guru penasihat.

Para peserta itu kemudian dilatih sebagai Doktor Kecil Lifebuoy dalam kem interaktif selama tiga hari dua malam. Mereka ditugaskan untuk menggalakkan rakan sekolah supaya mengamalkan tabiat menjaga kebersihan apabila kembali ke sekolah masing-masing.

Pemenang kemudian akan dipilih berasaskan pertukaran tabiat paling ketara dalam kalangan murid sekolah, khususnya tabiat membasuh tangan dan membersihkan diri dengan sabun semasa melakukan lima perkara penting itu.

Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy ditutup pada 28 Jun lalu selepas meninggalkan kesan positif ke atas kira-kira 18,000 murid sekolah.

Selepas proses penilaian yang teliti, Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Damai, Perak telah dipilih sebagai pemenang.

Selain berjaya menggalakkan muridnya mengamalkan tabiat yang baik untuk menjaga kebersihan, Doktor Kecil SK Tasik Damai juga menarik murid-murid dari sekolah jiran mereka, SK Tasek, untuk mengikuti sesi tunjuk dan terang mengenai cara yang betul membasuh tangan.

Doktor Kecil yang sama juga menganjurkan Karnival Kesihatan di sekolah mereka untuk menggalakkan tabiat menjaga kebersihan dalam kalangan murid, ibu bapa dan orang ramai.


TABIAT menjaga kebersihan yang diajar pada murid-murid sekolah diharapkan dapat disebarkan kepada rakan sebaya mereka di mana-mana sahaja.


Bagi pemenang hadiah pertama, Lifebuoy akan menanggung kos pengubahsuaian tandas dan kemudahan mencuci tangan sekolah itu sehingga RM20,000. SK Tasik Damai juga akan menerima bekalan sabun Lifebuoy selama satu tahun untuk tandas mereka.

SK Taman Suria, Johor dan SK Pekan Satu, Labuan pula dipilih sebagai pemenang-pemenang hadiah sagu hati. Sekolah-sekolah tersebut menerima bekalan sabun Lifebuoy selama satu tahun untuk tandas masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar), Dr. Khair Mohamad Yusof, hadir untuk menyampaikan hadiah kepada sekolah yang menang dan Doktor Kecil mereka.

Turut hadir memberi sokongan, Lenny Chuah, Pengurus Jenama (Pembersihan Kulit), Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd. dan Amy Mastura, duta jenama Lifebuoy yang juga merupakan seorang penghibur terkenal.

"Sambutan terhadap Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy lebih baik daripada yang dijangkakan. Kami sukar membuat keputusan untuk memilih pemenang kerana semua sekolah peserta dan Doktor Kecil mereka telah menunjukkan semangat, kreativiti dan dedikasi untuk menyebarkan mesej yang ingin disampaikan.

"Secara keseluruhannya, kami percaya semua murid di sekolah-sekolah yang terlibat mendapat manfaat daripada misi sosial besar-besaran kami untuk menjadikan Malaysia lebih sihat.

"Kesedaran terhadap pentingnya kebersihan dan tabiat menjaga kebersihan yang disemai sejak kecil akan kekal sepanjang hayat mereka," kata Lenny.

Menurutnya, dalam kehidupan seharian mereka, kanak-kanak terdedah kepada kuman dan bakteria berbahaya yang menjadi punca pelbagai penyakit, daripada batuk, selesema hinggalah cirit-birit.

"Selain menekankan tabiat membasuh tangan, lebih penting lagi ialah membasuh dengan sabun yang betul dan berkesan untuk membunuh kuman yang berbahaya," jelasnya.

Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy adalah sebahagian daripada kempen Malaysia, Jom Lebih Sihat!.

Kempen itu bertujuan untuk mempelopori usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih sihat dengan menggalakkan perubahan positif dalam tabiat menjaga kebersihan menerusi penggunaan sabun setiap kali melakukan lima perkara penting sepanjang hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu